ABSYAR HANYA MEMERHATIKAN Zinnirah yang terbaring dengan wayar yang berselirat di atas katil ICU itu dengan perasaan yang bercampur-baur. Bibir dikatup rapat namun matanya menikam lembut wajah sang isteri yang kekal tidur yang entah bila bangunnya. Isterinya koma...
Otak Absyar bagai mahu pecah memproses segala informasi yang dia terima sebentar tadi. Jantungnya bagai mahu berhenti berdegup dengan berita yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
SLE wanitanya itu sudah menyerang pada bahagian otak dan saraf mata Zinnirah. Sawan yang terjadi satu minggu lalu adalah disebabkan keadaan dia yang terlampau stres dan oksigen yang tidak cukup di otak.
Doktor Liza juga ada memberitahunya bahawa Zinnirah hampir buta. Isterinya itu mengalami masalah penglihatan disebabkan SLE yang menyerang. Absyar berasa dadanya bagai dipukul dengan sesuatu yang kuat apabila dia sebagai suami dan seorang doktor tidak dapat mengesan sakit Zinnirah.
Tapi ada satu hal yang membuatkan Absyar lembut lutut tika itu juga kerana dia tidak pernah menjangka hal ini bakal berlaku.
Zinnirah mengandung... Kembar... Lima bulan... Dan dia tidak mengetahuinya langsung.
Absyar membawa tangan ke arah perut Zinnirah sebelum mengusapnya perlahan seraya mengawal perasaan sebak yang mendatang.
"Sayang... Awak dah mengandung lima bulan, sayang. Tapi baby bump awak langsung tak ada. Pandai anak kita bersembunyi kan?" Absyar berseloroh untuk membuang rasa hiba dalam hati.
Dia tidak sanggup melihat Zinnirah dalam keadaan itu. Isterinya dipasang dengan endotracheal tube (ETT) ke dalam mulutnya yang bersambung ke mesin ventilator sebagai bantuan pernafasan.
"I miss you, sayang. Selepas sayang dah puas tidur, sayang bangun okey? Abiy rindu awak, sayang." Absyar membawa tangan Zinnirah ke pipinya sebelum dia mencium kekura tangan itu lama. Isterinya semakin mengurus, lengannya semakin kecil.
"Sumayyah rindu sayang, dia sampai demam-demam cari ibu. Sayang bangun tau? Mayyah rindu ibu dan ayah pun rindu ibu sangat-sangat. Mayyah dan abiy akan tunggu sayang sihat dan kita akan sambut kelahiran kembar bersama-sama. Sayang, bangun tau," kata Absyar dengan suara yang bergetar. Dia tahu seteruk mana keadaan Zinnirah ketika itu namun tidak salahkan dia masih mahu berharap? Dia yakin isterinya akan bangun untuknya dan untuk anak-anak mereka.
Keajaiban Tuhan pasti akan berlaku dengan doa yang tidak henti-henti dilangitkan kepada si Dia.
"Abiy dah kena balik... Abiy tinggalkan Mayyah di rumah Mus tapi anak kita demam sayang. Betapa kuatnya kasih dan cinta anak kita pada sayang sehinggakan sayang sakit, Mayyah pun turut sakit. Awak tak kasihankan anak kita, sayang? Bangun tau, Zinnirah. Abiy tunggu..." pesan Absyar lagi sebelum dia nampak dengan jelas air mata wanita itu mengalir lesu dari kelopak mata yang tertutup.
Absyar terus mengesat lembut lalu melabuhkan ciuman hangat di kawasan wajah isterinya. Ubun Zinnirah dia usap penuh kasih sebelum dahi isterinya dicium lama.
"Jangan menangis, jangan sedih. I love you, Zinnirah. Abiy balik dulu ya, rest well sayang."
Absyar terus bergerak ke pintu keluar sebelum kembali menoleh ke belakang melihat Zinnirah. Sungguh berat rasa hati untuk meninggalkan si dia namun keadaan sang anak yang turut sakit membuatkan dia tidak sampai hati utnuk menyusahkan Mustaqim dan Lashira.
"Assalamualaikum sayang," ucapnya perlahan lalu menutup pintu ICU dan bergerak perlahan-lahan.
Tolong berjuang untuk sekali lagi, Zinnirah...
USAI subuh, Absyar terus mencapai al-Qurannya untuk murojaah sebelum dia bergerak ke suatu tempat dengan Sumayyah. Anak itu sudah kebah demamnya selepas seminggu badan panas dan sentiasa merengek dalam tidur. Absyar tidak pernah meninggalkan Sumayyah sendirian kecuali ketika dia menjenguk Zinnirah di hospital.
Bercakap tentang sang isteri, hari ini genap dua bulan dia koma. Lama. Sungguh lama baginya menanti wanita itu untuk membuka mata dan kembali berborak dengannya. Dalam masa dua bulan ini, tidur Absyar tidak tenang mengenangkan Zinnirah yang masih bertarung nyawa untuk dirinya dan juga anak kembar mereka yang sudah berusia tujuh bulan tika itu.
Quran di tangan diselak lalu halaman surah Yasin dibuka. Dengan lafaz basmallah, dia mula membaca surah penawar itu dan diniatkan untuk kesembuhan Zinnirah. Semenjak wanita itu terlantar, Absyar akan membaca surah Yasin setiap kali selepas solat dan diniatkan untuk Zinnirah.
"Ayah..." Baru saja dia menadah tangan untuk berdoa, suara kecil itu masuk ke halwa telinga membuatkan Absyar menoleh ke belakang.
Sumayyah berdiri di hujung katil sambil memeluk patung Spongebob memerhati Absyar lama. Rambut yang serabai menandakan si kecil itu baru saja terbangun daripada tidur.
"Ya sayang, meh sini." Absyar terus mendepakan tangannya supaya Sumayyah datang kepadanya. Dengan langkah perlahan, Sumayyah bergerak ke arah sang ayah sebelum perlahan-lahan menjatuhkan duduk di atas riba ayahnya.
Absyar terus mengelus rambut ikal mayang separas bahu itu dengan penuh kasih.
"Ayah... Mana ibu..." soal Sumayyah sambil memeluk erat patung Spongebob yang ibu hadiahkan untuknya.
"Mayyah rindu ibu?" tanya Absyar lalu memeluk badan kecil itu.
"Indu..."
"Kalau rindu ayah cakap Mayyah kena buat apa?"
"Mayyah kena doakan ibu sebab ibu perlukan doa anak solehah. Betul kan, ayah?" Sumayyah memutarkan badannya ke belakang dan mendongak untuk memandang Absyar.
"Pandainya anak ayah ni. Ayah sayang Mayyah, Mayyah sayang ayah tak?" soal Absyar dengan kepala yang menyenget melihat si anak gadisnya. Ubun-ubun Sumayyah dia usap penuh kasih.
"Cayang. Mayyah cayang ayah. Mayyah cayang ibu. Semua Mayyah cayang sangat-sangat!" kata Sumayyah lalu mengeratkan pelukannya pada patung kegemarannya itu. Absyar tersenyum kecil lalu mencium pipi gebu anaknya.
"Jom kita doakan ibu nak?" ajak Absyar sambil membetulkan duduk anaknya supaya menghadap kiblat walaupun masih berada di atas riba si ayah.
"Nak!"
"Okey tadah tangan," arah Absyar lalu turut menadah tangannya di belakang tangan kecil itu.
"Ayah baca, Mayyah ikut okey?"
"Okey ayah..."
"Bismillahirrahmanirahim..."
"Bismillahirrahmanirahim..." suara kecil itu mula mengikut.
"Ya Allah, Yang Maha Penyembuh..."
"Ya Allah, Yang Maha Sembuh..."
"Lagi Maha Penyayang..."
"Lagi Maha Sayang..."
"Ya Allah, Kau sembuhkanlah ibu."
"Ya Allah, sembuhkan ibu..."
"Angkatlah kesakitan ibu."
"Angkatlah kecakitan ibu, Ya Allah..."
"Hanya kepada-Mu kami memohon syifa' untuk ibu."
"Hanya Mu kami memohon syifa' untuk ibu..."
"Panjangkanlah umur ibu, Ya Allah..."
"Panjangkan umur ibu Mayyah, Ya Allah..." Mata kecil itu berkaca apabila dadanya terasa sebu secara tiba-tiba.
"Berikan kami waktu bahagia bersama." Absyar turut menahan getaran pada suaranya.
"Berikan kami waktu bahagia sama-sama..."
"Kami mahu hidup dengan ibu lebih lama, makbulkan doa kami Ya Allah..." Air mata Absyar jatuh tanpa sempat dia halang.
"Mayyah... Mayyah nak ibu, Ya Allah... Mayyah indu ibu..." Kali ini dia tidak mengikut doa ayahnya melainkan dia menghamburkan apa yang dia rasai tika itu. Rindu. Hatinya penuh dengan rindu pada gerangan ibu.
Absyar terus memejam matanya mendengar rintihan si kecil itu. Dada terasa sesak dengan luahan Sumayyah sedangkan dia tidak mampu berbuat apa-apa.
"Mayyah nak jumpa ibu... Ya Allah... Mayyah nak jumpa ibu..." Esakan Sumayyah mula kedengaran sehingga Absyar melabuhkan dagu pada ubun anaknya.
"Ya Allah, hari ini hari jadi Sumayyah Az-Zahrah yang keempat, Kau makbulkan doa anakku yang merindui ibunya ini. Makbulkan doa anak polos ini untuk berjumpa dengan ibunya. Makbulkan doaku yang merindu isterinya tika ini. Aku hanyalah hamba-Mu yang hina namun dengan rendah diri, aku meletakkan 100% pengharapan dan kepercayaanku hanya kepada-Mu Ya Allah. Walau untuk sedetik cuma, berikanlah rasa bahagia buat kami supaya tiada rasa penyesalan yang bakal timbul di kemudian hari. Makbulkanlah doa kami, Ya Allah..."
Bilik itu mula dipenuhi dengan esakan Sumayyah dan Absyar yang cuba mengawal tangisnya sebaik mungkin namun dia gagal. Hatinya tidak sekuat yang dia jangka. Hatinya dipegang kuat oleh Zinnirah sehingga dia bakal menjadi selemah ini tanpa Zinnirah.
Dia takut untuk menghadapi hari-hari yang bakal mendatang walaupun minda sudah meminta dirinya untuk bersedia dengan segala kemungkinan. Namun untuk menerima arahan itu, hatinya belum mampu. Bahkan, dia tidak tahu bila kemampuan itu akan wujud.
"Aamiin..." Absyar terus meraup wajah sebelum turut melakukan hal yang sama pada Sumayyah. Badan anaknya dialihkan sebelum dia memeluk erat si kecil itu dan merehatkan kepala Sumayyah pada dadanya. Belakang si kecil dia usap untuk menenangkan rasa sedih anaknya.
"Mayyah anak yang baik, mesti Allah akan makbulkan doa Mayyah," pujuk Absyar sambil mengeratkan lagi pelukannya.
"Ayah... Nak ibu..." Baju Absyar dia genggam erat dengan air hangat itu masih laju mengalir dari mata bundarnya.
"Ya sayang..." Absyar mengesat air mata Sumayyah.
"Hari ini hari jadi Sumayyah yang ke empat, tau? Anak ayah dah besar, anak ayah bakal jadi kakak nanti. Jadi, lepas ni Mayyah kena kesat air mata. Lepastu kita pergi mandi. Lepas mandi, kita pergi jalan-jalan. Lepas pergi jalan-jalan, kita pergi jumpa ibu okey? Mayyah nak ikut tak?" Absyar menyengetkan kepala untuk melihat Sumayyah yang sudah berhenti menangis walaupun masih tersisa sedunya.
"Betul ke ayah? Kita pergi jumpa ibu?" Mata bundar hitam itu memandang ayahnya tanpa berkelip untuk mendapatkan kepastian.
Absyar terus tersenyum dengan soalan itu.
"Betul sayang. Kita pergi sambut hari lahir Mayyah dulu okey? Mayyah kena tunjuk pada ibu yang Mayyah happy, barulah ibu tak susah hati. Boleh?" Lembut Absyar berbicara dengan si kecil yang sudah mula menunjukkan wajah cerianya.
"Boleh ayah! Mayyah nak jumpa ibu!" Senyuman itu mula tertarik di bibir.
"Macam ni lah anak ayah ibu yang baik! Pandainya Sumayyah ni! Lepasni kita nak pergi jalan-jalan kat mana?" tanya Absyar lagi sambil mencubit pipi si kecil. Suasana yang muram tadi cuba diceriakan.
"Mayyah nak tengok ikan, ayah. Nak masuk dalam laut."
"Dalam laut? Aquaria?" Keningnya sudah terjungkit sebelah.
"Entah." Bahu dijongket laju. "Yang penting nak tengok kawan Spongebob."
"Ha Aquaria lah tu. Nanti kita pergi ya? Sekarang jom kita bersiap cantik-cantik. Jadi ibu boleh happy!"
"Okey! Jom!" Sumayyah terus bangun dan terkedek-kedek ke arah biliknya untuk mengambil tuala. Dia nak jumpa ibu!
Absyar yang memerhati terus mencabut kopiah dari atas kepala sebelum bahunya jatuh. Nafas dihela berat dengan mata yang ditutup.
"Sayang... Anak kita macam awak... She loves sea creatures. She loves going to Aquaria... Sama macam awak... I miss you so bad, sayang..."
"Ayah! Mandi!" jerit Sumayyah mengejutkan Absyar daripada terus melayan rasa hatinya.
"Ya sayang, jom." Absyar terus bangun dan mengikut jejak si kecil ke dalam tandas di biliknya.
"Selamat hari lahir, Sumayyah. Ayah sayang Sumayyah," ucap Absyar secara tiba-tiba sebaik saja melangkah masuk ke dalam bilik mandi.
"Terima kasih ayah! Mayyah cayang, ayah!"
Share this novel