ZHAFRAN TERKAKU APABILA mendengar penerangan yang disampaikan oleh doktor pediatrik itu. Bagai mahu terhenti deruan nafasnya apabila setiap kata-kata doktor itu menusuk masuk koklea telinga.
Anaknya Zarif, overdose ubat.
Sepuluh biji pil ubat yang telah dijumpai dalam perut kecilnya menyebabkan mata Zhafran terbelalak untuk seketika.
Kenapa boleh jadi sampai begini sekali?
Mujur saja isterinya cepat mengambil tindakan pantas sebaik saja Zarif mengalami tindak balas di rumah tadi. Kini Zarif berada dalam keadaan stabil.
Betapa hancur hatinya sebagai seorang bapa apabila Zulaikha menelefonnya sambil menangis, mengatakan mulut Zarif mengeluarkan buih bagai terkena sawan.
Namun, ianya bukan sawan malah terlebih dos ubat yang boleh meragut nyawa anaknya jika terlambat.
Zhafran mengepalkan kedua-dua tangannya dek rasa amarah yang mula memenuhi diri.
"Ubat siapa yang Ayep makan, Zu?" soal Zhafran sebelum mengerling isterinya yang terduduk di kerusi hospital.
"Zu tak pasti abang, Zu tak sempat nak perhatikan Zarif tadi. Maafkan Zu," tutur Zulaikha dengan mata yang sembap. Dadanya terasa mahu pecah dengan keadaan anak sulungnya itu.
"Susah sangat ke nak jaga Zarif? Tu belum yang dalam perut tu keluar, macam mana ni Zu?" keluh Zhafran panjang sebelum meraup mukanya.
Lelah.
Letih.
Anak seorang pun tak tahu nak jaga.
"Maafkan Zu, bang..." Semakin sebak rasa memenuhi dada. Air mata kembali jatuh menghentam pipinya yang sudah sedia basah. Esakannya turut berbunyi seiring dengan air mata yang laju turun.
Tangan dibawa ke perut yang buncit dan sarat menunggu masa sebelum dielus perlahan.
"Maafkan Zu, abang..." Sekali lagi ayat itu diulang.
Zhafran menghela nafas panjang sebelum mengambil duduk di sebelah isterinya. Bahu Zulaikha dipeluk dari tepi dan diusapnya perlahan. Kepala itu ditarik dapat ke dada bidangnya.
"Shhh, don't cry. Abang tak sepatutnya cakap begitu, maafkan abang," ujar Zhafran setelah lama berdiam diri dan hanya membiarkan tangisan isterinya yang semakin mendayu-dayu.
"Zu minta maaf..."
"Ya sayang, it's not your fault. Nanti abang jumpa doktor dan tanya jenis ubat apa yang Ayep termakan tu. Jangan risau, anak kita tak akan apa-apa." Dia cuba memujuk Zulaikha walaupun hatinya tidak yakin dengan kata-katanya sendiri.
"Zu cuai, Zu tak pandai jaga anak kita," rintih Zulaikha. Zhafran hanya menggeleng sebelum mencium tepi kepala Zulaikha yang bertudung itu.
"Dah sayang, stop blaming yourself," tegas Zhafran berkata dalam pujukannya.
Zulaikha yang tersedu-sedan hanya mendiamkan diri sambil mengesat air matanya yang masih mengalir laju.
Dia tahu, masih tersisa amarah Zhafran dalam diri lelaki itu.
"Abang nak jumpa doktor dan lepas tu abang akan balik rumah terus. Zu temankan Ayep malam ni boleh?" soal Zhafran sambil menatap wajah basah isterinya.
Zulaikha hanya mengangguk tanpa membantah.
"Nanti abang bawakkan pakaian Zu ya." Zulaikha angguk sekali lagi.
"Abang balik dulu. Kalau ada apa-apa, call abang terus," pesan Zhafran sambil menghulurkan tangannya ke hadapan wajah Zulaikha.
Tangan itu dipegang dan dicium penuh hormat. "Hati-hati abang."
Zhafran hanya tersenyum kecil dan mengangguk sekali. Kakinya mula melangkah meninggalkan Zulaikha dan anaknya di wad kanak-kanak itu.
Dia perlu tahu, siapa yang menyebabkan anaknya hampir putus nyawa seperti itu.
Dia. Perlu. Tahu.
TW: Suicide attempt, trauma, halusinasi
PINTU rumah dihempas kuat. Dia sudah tidak kisah jika bunyi hempasan itu akan mengejutkan orang di rumah itu pada waktu maghrib begini.
Rasa marahnya semakin meluap mendengarkan penerangan doktor tadi.
Nama ubat yang asing di telinganya itu membuatkan dia tahu milik siapakah ubat itu.
Hanya seorang.
Zinnirah.
Tangga didaki laju dengan harapan saat bakal berlalu dengan cepat kerana dia sudah tidak sanggup menahan rasa amarah yang meluap ini.
Pintu bilik Zinnirah dikuak besar dan kasar sebelum matanya hanya dihidangkan dengan kegelapan.
Rengusan kuat mula terbit. Zhafran terus memetik suis lampu dan terus bergerak ke arah adik bongsunya yang berselubung di dalam selimut.
"Zinnirah! Bangun sekarang!" jerkah Zhafran kuat sambil menarik selimut itu. Wajah serabai Zinnirah ketika itu menambah rasa membaranya.
"Zinnirah kau pekak ke? Abang cakap bangun, bangunlah!"
Kali ini, lengan Zinnirah ditarik kasar sehingga gadis itu bangun daripada perbaringannya. Terpaku mata Zinnirah pada wajah abangnya yang begis ketika itu.
Hatinya mula bergetar hebat apabila melihat mata yang penuh dengan amarah itu.
Mata itu...
Mata itu sama dengan mata baba pada hari itu...
Bebola matanya mula melingas ke kiri dan kanan dek rasa tidak sedap hati.
"Kau kenapa cuai sangat sampai kau biarkan Zarif makan ubat kau? Kau nak bunuh anak aku ke, Zinnirah?" Herdikan itu sungguh nyaring di telinga namun gadis itu hanya berdiam diri dengan badan yang menggeletar.
Zhafran terus mencengkam kuat kedua-dua lengan adiknya tanpa perasaan.
Wajah pucat itu langsung tidak mampu mematikan rasa amarahnya ketika itu.
"Sampai bila kau nak jadi mayat hidup macam ni? Sampai bila!" Kali ini kolar baju Zinnirah dicekak kuat sehingga terangkat sedikit badan adiknya.
Kepala itu terdongak memandang wajah abangnya dengan perasaan penuh ketakutan.
Kerana bukan Zhafran yang dia nampak ketika itu melainkan raut wajah baba yang menghancurkan dirinya waktu itu.
Hanya wajah Alwie yang dia lihat ketika itu.
Wajah yang merenggut harga dirinya pada malam itu dan malam-malam sebelumnya di bawah paras kesedaran seorang Zinnirah.
Badan bergetar hebat. Renik peluh mula membasahi dahinya. Belakang baju turut terasa basah.
Satu persatu kejadian silam terimbas di hadapan matanya bagaikan ada layar wayang yang membantunya menonton dengan jelas.
Nafas Zinnirah mula menjadi semakin laju dan tersekat-sekat.
Kedua-dua tangannya diangkat dan menolak kuat dada Zhafran yang dibayangkan Alwie ketika itu. Mata dipejam hebat tanpa mahu melihat wajah di hadapannya.
"Tak nak! Lepaskan aku! Lepaskan aku!" jerit Zinnirah kuat sambil menolak lelaki itu dengan sepenuh kudrat yang ada.
Dahi Zhafran mula berkerut mendengar reaksi Zinnirah.
Tangan yang menggeletar hebat itu masih lagi kuat menolak badan yang terasa sangat dekat dengannya.
Dia tidak mahu!
Dia tidak mahu kejadian buruk itu berulang!
Dia tidak mahu sakit!
Dia tidak mahu!
Dia jijik dengan lelaki ini!
"Lepaskan Ji baba! Ji tak nak!" Nyaring jeritan itu menusuk masuk ke halwa telinga Zhafran yang sudah terpinga-pinga.
"Abang, kenapa ni?" soalan Mustaqim yang muncul tiba-tiba di pintu bilik hanya diabaikan.
"Hey hey Ji! Ni abang, bukan baba!" kata Zhafran dengan ton suara rendah apabila dia sedar bahawa dia telah menjentik rasa trauma gadis itu.
Kedua-dua Zinnirah dipengang lembut dan didekatkan wajahnya pada gadis itu supaya adiknya dapat melihat dengan jelas. Bahawa dia ialah Zhafran dan bukannya Alwie.
Namun tindakannya itu hanya menambahkan rasa takut pada gadis yang bernama Zinnirah.
Semakin kuat dia meracau dan menendang Zhafran sehingga lelaki itu jatuh daripada katil yang didudukinya tadi.
Tanpa membuang masa, Zinnirah terus turun daripada katil dan berlari keluar dengan sepenuh tenaga.
Dia hanya mahu lari dari situ.
Perasaan takutnya merangkumi segala-galanya.
Semua orang jahat!
Zinnirah takut!
Nenek... Ji takut!
"Ji!" kuat suara Mus memanggilnya namun dia hanya terus berlari dan berlari sehingga ke jalan raya dengan berkaki ayam.
Dia mahu lari jauh.
Dia takut.
TELEFON yang berdering sebaik saja dia membayar makanan yang dipesan tadi membuatkan Absyar mengerutkan dahi.
Mustaqim?
Eh, tak menyabar betul mamat ni. Lapar sangat ke?
Baru saja telefon diletakkan di cuping telinga, ayat Mustaqim terus menyebabkan darahnya berderau.
"Cad tolong cari Ji, dia lari! Dia lari, Cad!"
"Dia lari ke arah mana?" Absyar bertanya dengan nada tenang. Padahal dalam hatinya sudah seperti badai taufan apabila mendengarkan ayat Mustaqim.
"Jalan besar. Please Cad, tolong cari Ji. Aku dengan abang aku tengah cari dia juga. Tolong aku Cad..." Rayuan Mustaqim dengan suara bergetar itu menyebabkan Absyar menggigit bawah bibirnya.
"Aku cuba. No, kita cuba. Semoga kita dapat jumpa Zinnirah, malam ni."
"Terima kasih," ucap Mustaqim penuh lesu.
Absyar terus mematikan panggilan sebelum motor Zhafran yang dipinjamnya itu ditunggang dengan kelajuan yang melanggar undang-undang jalan raya.
Ah, lantaklah!
Zinnirah lagi penting ketika itu.
Hampir 30 minit dia menunggang motor itu, berpusing dua tiga kali pada jalan raya berdekatan taman perumahan Zhafran sebelum matanya ternampak kelibat gadis yang tidak terurus itu.
Zinnirah berada di seberang jalan besar yang sesak dengan kenderaan. Gadis itu sedang duduk bersandar pada tiang lampu sambil menekup kuat kedua-dua belah telinganya dengan tangan yang bergetar hebat.
Dia yang dari jauh ini juga boleh nampak bertapa kuatnya ketaran tangan gadis itu.
Namun, Absyar terus mengungkapkan rasa syukur dalam hati.
Hela nafas kelegaan terhambur secara automatik.
Tanpa menunggu lama, Absyar terus memulas minyak bergerak menuju ke tempat Zinnirah.
Belum sempat dia menurunkan tongkat motosikal, dia sudah kehilangan jejak Zinnirah.
Gawat!
Mana gadis itu pergi dalam sekelip mata?
Absyar terus berpusing dan berjalan mencari Zinnirah tanpa arah.
Topi keledar di kepalanya turut tidak sempat dibuka kerana hatinya berasa gusar dengan kehilangan jejak Zinnirah.
Bunyi hon yang kuat menyebabkan Ansyar berpaling ke arah jalan besar dengan pantas.
Membulat matanya apabila melihat Zinnirah yang sedang berjalan setentang dengan bas yang menuju laju ke arahnya.
Apa yang gadis ini cuba buat?
"Zinnirah!" kuat Absyar menjerit memanggil nama gadis itu.
"Zinnirah, bahaya! Zinnirah!"
Kali ini tanpa mengira mara bahaya, Absyar terus memecut laju ke arah jalan raya itu. Menuju ke arah Zinnirah yang seperti tiada jiwa, tiada rasa takut sedangkan kenderaan itu bila-bila saja bisa menghentam dan menghancurkan tulang-belulangnya.
Pinnnn!
"Zinnirah!"
Nyawa bagai terhenti.
Nafas bagai tersekat.
Share this novel