BAB 49

Romance Series 33949

HANYA DENGAN SATU perkataan 'jom', kini Zinnirah dan suaminya berjalan bersama-sama dengan tautan tangan yang kejap. Wajah Absyar gembira bukan main apabila ajakannya itu bersambut tanpa paksaan. Kini mereka berdua sedang bersiar-siar di deretan kedai ini tanpa ada tujuan.

"Kita nak pergi mana abiy?" soal Zinnirah sambil mendongak ke arah Absyar yang masih tersenyum bahagia.

"Sayang nak pergi mana?" Absyar membalas soalan Zinnirah dengan soalan yang sama membuatkan wanita itu terus menjongketkan bahunya. Manalah dia tahu mahu ke mana...

Suasana menjadi hening seketika. Absyar terus memandang sekeliling sebelum matanya tertancap pada satu kedai pakaian yang sangat menarik perhatiannya.

"Jom ikut abiy!" kata Absyar dengan bersemangat lalu berjalan sedikit laju namun masih dalam pace seorang Zinnirah. Mereka berhenti di depan ke kedai itu dengan dua reaksi yang berbeza. Seorang tersenyum bahagia manakala seorang lagi sudah berkerut hebat dahinya.

"Kita buat apa kat sini?" tanya Zinnirah.

"Jom survey barang umrah?" tutur Absyar dengan sengihan melebar lalu pintu kaca itu ditolak tanpa ragu-ragu. Zinnirah yang awalnya pelik mula berasa teruja melihat segala barang di sana. Perasaannya menjadi sedikit teruja.

Tangannya sudah terlepas daripada genggaman Absyar membuatkan Zinnirah meneroka kedai itu seorang diri dengan tubuh yang bagaikan terpukau. Dia suka rasa itu... Rasa tenang melihat pakaian putih... Rasa tenang melihat ayat-ayat quran yang cantik dibingkaikan di situ. Zinnirah bagaikan dalam dunia lain.

Matanya tertancap pada satu telekung yang tergantung berdekatan dengan diri sebelum dia berjalan ke arah itu. Telekung yang berwarna putih itu dia sentuh dengan bibir yang sudah menarik senyuman gembira.

"Cantik. Pandai sayang pilih." Suara itu terasa begitu dekat dengan telinganya menyebabkan Zinnirah terus menoleh ke kanan dengan rasa penasaran yang tinggi. Wajah Absyar yang tersenyum melihat itu membuatkan Zinnirah menghela nafas lega.

"Kenapa?" soal Absyar.

"Ji terkejut aje, ingatkan ada orang nak rompak Ji..." adu Zinnirah membuatkan tawa lelaki itu tercetus. Isterinya itu sentiasa comel.

"Sayang suka telekung ni?" tanya Absyar lagi. Anggukan daripada Zinnirah membuatkan dia kembali melebarkan senyuman.

"Ambillah kalau sayang suka, abiy belanja."

"Betul ke?" Mata Zinnirah sudah bersinar-sinar penuh harapan dan rasa bahagia.

"Betul sayang, ambillah..."

"Nak ambil dua boleh?" pinta Zinnirah sambil mengerdipkan matanya berkali-kali.

"Boleh, pilihlah yang mana sayang suka." Absyar terus mengusap kepala Zinnirah penuh kasih. Dia seronok dapat melihat wajah itu gembira kerananya.

"Yang ini Ji nak pakai waktu solat," kata Zinnirah sambil menunjukkan satu telekung putih dengan bunga-bunga kecil berwarna biru di bawahnya.

"Yang ini pulak... Ji nak abiy pakaikan sewaktu Ji meninggal nanti. Ji yakin Ji akan nampak cantik sangat dengan telekung ni." Kata-kata itu menyentakkan Absyar yang sedang merakam isterinya tika itu. Wajah yang tadinya tersenyum terus berubah kelat.

"Apa ni sayang... Janganlah cakap macam ni..." Absyar terus menjatuhkan tangan yang sedari tadi memegang handphone ke sisi tanpa dia menghentikan rakaman kerana terlupa.

"Mati itu pasti, abiy... Ji hanya mahu bersedia," ujar Zinnirah dengan senyuman lirih apabila memandang wajah serius Absyar.

"Abiy faham tapi abiy belum bersedia untuk kehilangan awak. You know that, right?" Perlahan suara Absyar menjengah telinga.

"Abiy perlu bersedia dan jangan terlalu cintakan Ji melebihi Allah dan Rasulullah. Ji tahu abiy faham, abiy seorang hafiz quran dan Ji sangat yakin abiy ada kefahaman agama yang lebih luas daripada Ji. Ji tak nak hidup Absyar Abid sebagai seorang hafiz akan rosak disebabkan isterinya sendiri. Ji tak nak..." tegur Zinnirah panjang. Telekung tadi dia genggam erat apabila matanya bertembung dengan iris Absyar.

Suasana mejadi hening tanpa suara mereka berdua. Absyar diam begitu juga dengan Zinnirah.

"Sayang..." panggil Absyar secara tiba-tiba. Dia terus menarik tangan Zinnirah supaya wanita itu dapat duduk di kerusi di hujung kedai itu. Telekung pilihan Zinnirah dia sangkutkan ke lengannya sendiri.

"Listen here, Zinnirah akan sentiasa menjadi yang ketiga tertinggi dalam hati abiy selepas Allah dan Rasullulah. It always be the fact that no one can change it. Dan Zinnirah bukan seorang isteri yang merosakkan suami malah awak ialah isteri yang membawa makna bahagia buat abiy. Abiy faham rasa hati awak tentang sakit dan kematian, abiy faham. Abiy bukan tidak boleh terima apa yang awak cakapkan tadi tapi tolong berikan abiy masa. Abiy sudah berhadapan dengan berpuluh-puluh kematian di depan mata abiy sendiri tapi untuk berhadapan dengan pemergian awak... Abiy tak tahu abiy mampu atau tidak. Walaupun abiy seorang hafiz tapi itu tidak bermaksud abiy tidak ada perasaan. I have feelings, sayang... So please, let us enjoy every moment selagi ada waktu. Awak akan setiasa hidup selagi Allah belum letakkan tanda noktah pada takdir awak, sayang. Please sayang, let's enjoy life to the fullest. Takdir Allah tak ada siapa yang tahu. Mungkin awak sedang mempersiapkan diri dengan kematian awak sendiri tapi takdir yang Allah tetapkan abiy yang meninggal dulu."

Zinnirah terus mendongak memandang wajah Absyar yang serius itu setelah telinganya dijamah dengan perkataan terakhir tadi.

"Janganlah cakap macam tu..." Perlahan saja suara Zinnirah tika itu.

"Tengok, awak sendiri tak bersedia dengan kematian orang terdekat. Begitu juga dengan abiy, sayang. Abiy tak bersedia dan abiy tak tahu bila waktunya abiy akan bersedia. Kita mungkin akan sentiasa bersedia dengan kematian kita sendiri asbab kita mempunyai penyakit yang mematikan. Tapi bagaimana pula dengan orang yang sihat wal'afiat tiba-tiba pergi dahulu? Adakah mereka bersedia? Adakah mereka tahu? Tak. No one knows. Sebab tu dalam hidup ini, kita sentiasa perlu lakukan amar makruf nahi mungkar kerana kita tidak tahu bila kita akan dijemput sang pencipta. Dan abiy harap bila sudah tiba waktunya, kita sudah benar-benar bersedia dengan amalan dan juga perkara baik yang kita lakukan di dunia ini yang memungkinkan kita untuk memasuki syurga selain syafaat daripada Rasulullah dan rahmat daripada Allah." Absyar menasihati wanita itu panjang.

"Ji minta maaf, abiy..." Tangan suaminya itu terus dikucup dengan penuh rasa serba salah.

"Abiy minta maaf sebab terlalu emosi. I'm sorry and I love you..." ucap Absyar lalu menarik wanita itu ke dalam pelukannya.

"Abiy jangan marah Ji lagi..." pinta wanita itu lagi dengan wajah yang menempel pada bahagian perut Absyar.

"Abiy tak marah..."

"Betul ni?"

"Betul sayang..."

"Terima kasih abiy..."

"Sama-sama sayang. Sekarang, jom kita cari barang umrah." Absyar terus melepaskan pelukan mereka dan menarik wanita itu untuk berdiri.

"Umrah? Siapa yang nak pergi umrah?" tanya Zinnirah dengan alis yang hampir bersambung.

"Kita," jawab Absyar sambil tersenyum simpul.

"Hah?!" Terkejut beruk dia dengan ucapan suaminya itu. Biar betul?

"InsyaAllah kita akan menunaikan umrah bulan 12 nanti. Plus minus kita ada lagi tiga bulan untuk selesaikan hal berkaitan kerja. Untuk kursus, kita akan pergi sama-sama setiap sabtu. Boleh ke?"

Mata Zinnirah sudah berkaca mendengar bicara suaminya itu. Menunaikan umrah? Sungguh dia tidak sangka dia dapat menjejakkan kaki ke tanah suci itu nanti.

"Abiy tak main-main kan?" Suaranya sudah bergetar tidak percaya. Absyar terus mengangguk kepalanya laju untuk menjawab persoalan isterinya itu.

"Tapi Ji sakit abiy... Ji boleh pergi jauh ke?" soalnya lemah apabila terfikirkan hal itu.

"Esok appointment dengan nephro kan? Abiy akan tanya waktu itu, sayang jangan risau okey?" Bahu wanita itu dia rangkul sebelum mereka berjalan ke arah bahagian ihram.

"Terima kasih abiy. Ji sayang abiy sangat-sangat!" ujar Zinnirah dengan senyuman yang mula tertarik. Senyuman itu membuatkan Absyar turut sama tersenyum bagai virus yang berjangkit.

ZINNIRAH diam tidak berkutik apabila keputusan pemeriksaannya tiga hari lalu telah keluar. Kali ini dia pergi ke hospital sendirian tanpa Absyar kerana suaminya itu tidak tahu tentang tarikh keputusan ini.

Dia hanya mampu tersandar sebelum terjatuh lemah di dinding hospital apabila kata-kata Doktor Wendy tadi berulang-ulang kali bermain dalam mindanya bagai kaset rosak.

"Nanah masih solid dan fungsi ginjal you hanya tinggal 8%. Protein dan creatinine dalam air kencing you dah lebih daripada bacaan 150. The CT scan result also shows that your left kidney was not functioning at all. Mahu atau tidak, kita kena lakukan operation untuk buang ginjal kiri you kerana ia sudah tidak berfungsi."

Air matanya mula jatuh bagai air hujan yang menimpa bumi. Sebelah ginjalnya bakal dibuang disebabkan sudah tidak dapat berfungsi. Pada umur 27 tahun... ginjalnya akan dibuang.

Pada umur yang masih muda, dia perlu hidup dengan satu ginjal sahaja. Kenapa takdirnya begitu perit untuk ditelan? Kenapa takdir masih tidak menyebelahinya tika ini? Kenapa harus dia lagi?

Patutlah dalam tiga hari itu hatinya berasa sangat tidak enak. Apatah lagi dengan segala ujian yang dia lakukan termasuklah prosedur Urografi Intra Vena (IVU) di Hospital Kuala Lumpur sehari selepas appointmentnya itu. Tangannya makin menggeletar hebat apabila rasa sesak mula menyerang dada.

Tangisan masih belum berhenti. Orang yang lalu lalang di situ dia buat tidak endah dan hanya melayan perasaan sedih dan kecewa.

Dia kecewa kerana dia tidak dapat menjaga diri sendiri. Dia sedih kerana dia perlu menghadap semua ini di usia ini. Dia...takut dengan takdir yang mendatang kerana dia merasakan yang takdir seakan-akan tidak pernah berpihak pada dirinya.

Sakit. Rasa itu sakit sekali.

Telefon yang berdering secara tiba-tiba membuatkan Zinnirah terus mencarinya dari dalam beg dengan tangan yang terketar hebat.

Nama Absyar yang terpampang di skrin menambahkan lagi rasa sebak di dadanya. Tombol hijau digeser ke kanan sebelum dengan perlahan-perlahan dibawa ke telinganya.

"Assalamualaikum sayang, dah makan?" tanya Absyar sebaik saja panggilannya bersahut.

"Ab-abiy... Abiy..." Hanya itu yang dia mampu balas. Daripada duduk, Absyar terus berdiri apabila suara esakan itu masuk ke dalam telinganya.

"Sayang kenapa ni? Awak sakit, sayang? Abiy balik sekarang ya." Absyar terus kelam-kabut berlari ke ruang kerjanya sambil melepaskan kot putih di badan.

"Neph-nephro... Ji dekat nephro." Tersekat-sekat suara itu membuatkan Absyar berhenti bertindak. Dahinya berkerut seketika sebelum kakinya tetap melangkah laju ke jabatan nefrologi seperti yang diberitahu.

"Abiy on the way, sayang jangan letak phone. Abiy on the way," ujar Absyar dalam keadaan gelabah. Dia terus mendaki tangga untuk ke tingkat tujuh apabila lif itu terasa sungguh lambat bergerak.

"Abiy..." Sungguh lirih suara itu kedengaran di koklea Absyar.

"Ya sayang, abiy dah nak sampai. Kejap ya sayang..." pujuk Absyar dalam keadaan mengah.

"Ji-Ji takut abiy... Ji ta-takut..." Zinnirah terus memeluk lututnya sambil menunggu suaminya tiba.

"Abiy dah nak sampai, sayang. Abiy tengah cari awak kat mana." Lelaki itu berpusing ke sana ke sini dalam kadar laju untuk mencari kedudukan isterinya di tingkat tujuh itu. Kakinya melangkah lebih laju apabila terlihat gerangan wanita yang sedang memeluk lutut di atas lantai dan bersandar pada dinding bilik Doktor Wendy.

"Abiy dah sampai, sayang..." ujar Absyar lalu menamatkan panggilan mereka. Dia terus menjatuhkan satu lutut dan menarik Zinnirah dengan lembut supaya memandangnya.

Wajah yang sembap, mata merah bak biji saga, hidung yang berair dan pipi yang basah. Itulah pemandangan Absyar tika itu.

"Sayang..." panggil Absyar perlahan sehingga hampir tidak terkeluar suaranya. Lengannya terus digenggam kuat oleh tangan Zinnirah yang menggeletar hebat sehingga dia turut dapat merasakan itu. Mata Zinnirah menikam irisnya dengan perasaan yang larut dalam kedukaan yang tidak dapat dia ucapkan melalui kata-kata.

"Abiy... Ji n-nak mati... Ji nak mati..." Tatkala itu, Absyar terus menarik tubuh genit itu ke dalam dakapan hangatnya. Belakang srubnya terasa dicengkam kuat oleh Zinnirah. Dia cuba menenangkan wanita itu yang entah mengapa bereaksi seperti ini.

"Apa yang membuatkan sayang cakap macam ni?" tanya Absyar di tepi telinga Zinnirah. Cukup untuk pendengaran mereka berdua sahaja.

"Buah pinggang... Bu-buah pinggang Ji-" Wanita itu tidak mampu menghabiskan ayatnya apabila rasa sakit itu mula menjalar dalam dada. Sakitnya Ya Allah.

Absyar hanya diam lalu mengusap belakang Zinnirah untuk menyalurkan rasa ketenangan padanya. Mata lelaki itu mula meliar ke sekeliling mereka sebelum tertancap pada satu sampul besar berwarna coklat di tepi Zinnirah.

Dia terus mencapai sampul itu dan matanya tertancap pada nama yang tertulis di situ. Zinnirah Alwie.

Keputusan X-Ray itu dibawa keluar sebelum Absyar termengap dengan gambar hitam putih itu. Saiz ginjal kiri isterinya dua kali ganda lebih besar daripada ginjal kanan.

Dengan degupan yang semakin kuat, Absyar menarik surat-surat dari dalam sampul yang sama. Matanya ligat membaca satu persatu ayat yang ada dalam surat itu sebelum tubuhnya terasa lemah sehingga pegangannya pada surat-surat itu terlepas. Matanya jadi kelam buat tiga saat sebelum dia mengetatkan pelukannya pada Zinnirah.

"Sayang..." Absyar memanggil wanita itu lemah.

"Abiy akan sentiasa ada dengan awak... Sayang jangan takut. Abiy akan tetap ada di samping awak, sayang." Tepi kepala Zinnirah dicium sekali lalu walaupun hatinya tika itu turut dilambung ombak sedih yang dahsyat.

Isterinya itu bakal hidup dengan satu ginjal sahaja selepas ini...

Isterinya itu perlu menjalani ujian seberat ini...

Zinnirah... Isterinya...

Esakan Zinnirah semakin kuat kedengaran sesudah Absyar mengatakan ayat itu. Scrub suaminya sudah basah dengan air mata dia namun Zinnirah masih tidak dapat melepaskan pelukan itu.

Dia takut...

Dia takut mati...

Untuk pertama kalinya dia berasa takut dengan kematian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience