"ABSYAR, KALAU SAYA lantik awak sebagai class rep untuk sem ni boleh?" kata-kata Prof. Isma itu menyebabkan Absyar yang ralit mencatit nota pada buku terus memanggungkan kepalanya.
Matanya terus terkebil-kebil sebelum badan ditegakkan untuk melihat pensyarahnya.
"Saya ke prof?" soal Absyar dengan wajah tertanya-tanya sambil menunjuk pada diri sendiri.
"Iya, awak sorang je nama Absyar dalam kelas ni kan?" kata Prof. Isma sambil menjungkitkan keningnya. Jemarinya laju menari pada skrin telefon dalam menjawab soalan pelajarnya yang lain.
Absyar terus menggigit dalam pipinya mendengar balasan Prof. Isma itu. Terkena lagi...
"Boleh ke Absyar?" soal Prof. Isma sekali lagi.
"Saya okey kalau classmates yang lain setuju," jawab Absyar setelah habis fikir. Pensyarah melantik dirinya sebagai ketua kelas kerana dia mendapat kepercayaan wanita itu.
"Okey semua, do you guys agree to make Absyar as your class rep for this subject? If you agree, please raise your hand. If not, give your long essay of the reason why you do not agree with Absyar as class rep. Get it?" terang Prof Isma laju.
"Yes, prof!" Bergema satu dewan kuliah apabila semua rakan sekelas Absyar menyahut soalan pensyarah mereka.
"So please raise your hand if you agree to make Absyar your class representative."
Baru saja Absyar mahu menoleh melihat rakan sekelasnya yang lain, namanya sudah diseru oleh Prof. Isma.
"Absyar, you cannot watch the voting process. So please close your eyes until we are finished. If your classmates are slow as snails, then you need to be in the dark until tomorrow," seloroh Prof. Isma menyebabkan Absyar melepaskan tawa kecilnya lalu menganggukkan kepala tanda faham.
Tanpa menunggu lama, dia terus memejamkan matanya dan bersandar dengan selesa pada kerusi di dewan kuliah itu sambil menunggu proses pengundian mereka selesai. Sepanjang proses itu, dia terdengar bisikan daripada rakan sekelasnya yang kadang-kadang menyebabkan dia geli hati.
Ada-ada saja mereka ini.
"Open your eyes Absyar, we are already got the result," tegur Prof. Isma apabila melihat Absyar masih kekal memejamkan matanya.
"Majority of the class were agreed to have you as the class rep. So Absyar, anything I will contact you regarding our subject. Get it?"
"Yes prof, I got it," balas Absyar sambil tersenyum kecil.
"Okay, class dismissed. See you next time, guys!" kata Prof. Isma sebelum melangkah keluar daripada dewan kuliah itu.
"Fuh, class rep eh?" ujar Absyar perlahan sambil mengemas barang dan terus dimasukkan ke dalam beg galas. Bibir tersenyum kecil.
Satu lagi amanah tertanggung di atas bahu walaupun hanya dilantik sebagai wakil kelas. Namun, amanah tetap amanah. Apabila namanya amanah, ia menjadi sesuatu yang besar tanggungjawabnya dan bakal disoal di akhirat kelak.
Sesungguhnya Absyar takut dia bakal lalai dengan amanah ini kerana pada semester ini, dia sudah mula bekerja separuh masa tanpa pengetahuan Mustaqim.
Jika lelaki itu tahu tentang tindakannya ini, dirinya bakal dibebel. Absyar sangat yakin dan pasti.
Baru sahaja dia mahu melangkah keluar, terasa bahunya ditepuk dari arah belakang. Kening terus bertaut sebelum menoleh dengan pantas.
"Oh, Umar... Ingatkan siapa tadi," kata Absyar lalu tersenyum nipis.
"Aku nak ajak kau makan. Jom lepak kafe bawah library tu," ajak Umar sambil menjungkitkan keningnya berkali-kali.
"Sorry Umar, aku kena pergi kerja lepas ni. Lagipun, aku puasa sunat Khamis hari ni," balas Absyar dengan wajah yang bersalah.
Dia mahu menerima ajakan lelaki itu namun apakan daya, kerja sedang memanggil-manggil dirinya ketika itu.
"Kau kerja Cad?" soal Umar dengan dahi berkerut. Absyar terus mengangguk laju.
"Kerja apa? Kat mana?"
"Weekdays aku kerja dekat gerai Mak Lijah, weekend di 7e and sometimes aku jadi tutor mengaji juga kalau ada yang nak," jawab Absyar dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
"Banyak sangat bro. Kalau boleh manage masa ke nanti? Kena ingat Cad, kau budak medik. Kita punya tahap sibuk tak seperti pelajar lain," ujar Umar dengan wajah yang serius.
"Tahu tapi aku boleh manage masa, insya-Allah doakan aku. Aku perlu buat semua ni untuk masa depan aku Umar, aku tak ada tempat bergantung macam kau. Kau beruntung..." kata Absyar sambil menepuk bahu rakannya itu dengan senyuman kelat.
"Aku gerak dulu, assalamualaikum."
Terus Absyar berlalu meninggalkan Umar di situ. Basikal yang dia beli hasil pengumpulan duit gaji selama tiga bulan selepas SPM didekatinya.
Tidak terlalu murah dan tidak terlalu mahal. Sekadar mampu membantunya pergi dan balik kelas yang jauh dari kolej tempat tinggalnya. Sekarang, basikal itu akan berjasa untuk Absyar bergerak pergi dan pulang dari tempat kerjanya.
"Bismillah, Ya Allah... Berikanlah rezeki yang melimpah-ruah kepada Absyar Abid bin Abdullah," ucapnya perlahan sambil mengayuh laju basikal itu menuju ke gerai Mak Lijah.
Rezeki yang halal dan berkat adalah perkara yang paling penting dalam kehidupan seorang Absyar yang hidup sebatang kara... tanpa gerangan ibu dan bapa.
"Zinnirah..." panggil jururawat yang bernama Syakila apabila melihat Zinnirah hanya termenung ke arah tingkap jeriji yang terkunci dan tiada ruang langsung untuk membenarkan pesakit memboloskan diri dari situ.
Zinnirah yang terdengar namanya diseru terus berpaling secara perlahab dengan riak wajah yang kosong.
"Assalamualaikum, selamat pagi! Macam mana tidur awak semalam? Nyenyak?" soalnya bagai polis pencen.
Zinnirah hanya diam tanpa bicara. Dia hanya memerhati Syakila yang ligat memakaikan alat pengesan tekanan darah pada lengan kanannya yang kurus itu.
"Awak seronok tak dah dipindahkan ke wad sini? Dah ada banyak kawan-kawan yang awak boleh borak lepas ni. Boleh hilangkan rasa bosan awak," lancar bicara Syakila sambil menjeling wajah pucat gadis itu.
"Nak balik..."
Hanya ayat itu yang sering terbit daripada bibir itu semenjak dia menjejakkan kaki ke hospital ini.
"Nanti awak dah sihat, awak dah boleh balik. Jadi, jangan sesekali skip ubat. Awak nak balik cepat kan? So, kenalah makan makanan yang hospital sediakan dan makan ubat. Okey?" pujuknya sambil tersenyum manis.
Pagi-pagi lagi sudah meminta untuk pulang.
Parah... Parah...
Zinnirah terus mengangguk perlahan akan pesanan Syakila. Dia mahu pulang. Dia tidak mahu tinggal di sini.
Takut...
Dia mahu pulang...
"Nice girl, macam ni lah baru cepat untuk sembuh. Keep going Zinnirah, we move forward together okay?" kata Syakila dengan nada ceria sambil membuat gaya 'fighting!' dengan lengan kanannya.
"Nanti lepas lunch, saya akan bawa awak ke tingkat 10 ya. Awak ada appointment untuk sakit SLE awak. Jangan give up, Zinnirah. Fighting!"
Zinnirah hanya terkebil-kebil melihat kelakuan misi itu sebelum kembali berbaring pada katilnya. Katil kosong di sebelah kanannya diperhati sebelum mata ditutup.
Dia cuba untuk tidur kerana semalaman dia tidak dapat tidur disebabkan mimpi ngeri itu lagi.
Penat.
Sumpah dia penat dengan mimpi sebegitu.
Sampai bila dia akan begini?
Sampai bila dia akan terseksa dan dikurung mati seperti ini?
Sedangkan mereka... Berbahagia dan tidak berasa bersalah atas tindakan zalim yang telah lakukan.
Salahkah jika dia berasa ingin meninggalkan dunia ini?
Sakit.
Amat sakit walapun untuk bernafas selama sedetik cuma.
Dia cuma mahu pergi.
Dia mahu rasa sakit ini hilang.
Zinnirah... Mahu hilang.
Share this novel