"ABIY..." panggil Zinnirah sebaik saja melihat Absyar sedang melipat sejadah. Lelaki itu terus menoleh ke arah isterinya dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
"Ya sayang. Nak apa?" soal Absyar dan mendekati katil Zinnirah. Wanita itu masih bertelekung usai menunaikan solat subuh berjemaah tadi.
"Baringlah sini." Lengan Absyar dia tarik sehingga lelaki itu terduduk di atas katil. Ganas betul.
"Abiy tak tidur lepas subuh, sayang..." kata Absyar lembut sambil menolak masuk anak rambut isterinya ke dalam telekung.
"Bukan suruh tidur, nak ajak abiy baca mathurat." Zinnirah tersengih apabila tersedar tersalah susun ayat.
"Okey jom kita baca mathurat."
Zinnirah terus mencapai mathurat yang dihadiahi oleh Absyar beberapa tahun lalu dan membukanya dengan hati yang berbunga-bunga.
"Abiy ingat ni?" soal Zinnirah sambil menunjukkan buku kecil itu di tangannya.
"Abiy bagi mathurat sebagai hadiah birthday sayang kan?" Absyar tersengih malu.
"Yes! And I treasured it so much. Terima kasih berikan Ji mathurat ni. Ji amalkan sejak universiti sebab abiy and Ji rasa Ji lebih terjaga dan sentiasa ada ketenangan dalam jiwa," ucap Zinnirah penuh syukur.
Absyar yang mendengar terus rasa terharu dengan ayat isterinya itu. Dia rasa apa yang dia buat dihargai dan dia suka rasa itu.
"Semoga abiy mendapat pahala setiap kali Ji baca mathurat ni. Aamiin!" Doa Zinnirah secara tiba-tiba sehingga Absyar tertawa kecil.
Comel. Isterinya comel. Comel gila!
"Aamiin! Semoga Allah makbulkan doa sayang," kata Absyar lagi sebelum bergerak ke sebelah Zinnirah dan bersandar pada kepala katil hospital itu.
"Jom mula baca," ajak Absyar setelah dia pastikan duduknya dan duduk sang isteri selesa.
"'Auzubillah–"
"Abiy takde mathurat?" potong Zinnirah secara tiba-tiba.
"Tak apa abiy dah hafal."
"Kita sharelah macam tu." Zinnirah terus bergerak rapat ke arah suaminya sebelum mathurat dia letakkan di tengah antara pandangannya dan Absyar.
"Okey, jom mula." Zinnirah tersengih apabila dia sedar dia sudah membantutkan pembacaan mereka tadi. Absyar hanya tersenyum dan memulakan bacaan mereka.
Wad itu mula bergema dengan suara pasangan suami isteri itu yang membasahkan lidah dengan zikir-zikir yang disusun elok oleh As Syahid Imam Hassan al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin.
"Aamiin..." Mathurat diletakkan kembali ke tempatnya sebelum Zinnirah menjatuhkan kepala pada bahu Absyar. Tangan lelaki itu dibawa ke perutnya.
"Anak kita gerak," kata Zinnirah apabila merasakan tendangan yang aktif sejak solat subuh tadi.
"Aktifnya anak-anak ayah ni... Nak jadi pemain bola sepak ke? Tak kesian ke kat ibu ni sayang?" kata Absyar lembut sambil mengusap perut yang sudah membesar dengan sihatnya.
Zinnirah hanya menahan senyum apabila suaminya mula berbual dengan kandungan itu. Tiba-tiba dia teringat waktu kehamilan pertamanya dulu. Absyar begitu kerap bercakap dan mengalunkan ayat-ayat quran buat anaknya.
"Abiy ada bacakan tak surah-surah untuk kembar?" soal Zinnirah sambil mendongak sedikit untuk melihat wajah bersih Absyar.
"Ada sayang, setiap hari abiy baca. Awak je yang tak bangun." Absyar terus memuncungkan sedikit bibirnya.
Zinnirah terus tertawa lalu menarik muncung suaminya itu. Comel!
"Kan sekarang Ji dah bangun? Takmo muncung-muncung! Tak hensem!" usik Zinnirah dengan ketawa yang terkekeh-kekeh.
"Oh sekarang abiy dah tak hensemlah?" Keningnya mula terjungkit sebelah.
"Ya sebab abiy muncung jadi abiy nampak comel sangat! Macam Mayyah!" jujur Zinnirah berkata sambil memeluk pinggang Absyar dari tepi.
"Abiy kan ayah Sumayyah yang comel," aku Absyar lalu terus mengusap bahu Zinnirah yang bersandar pada dadanya.
"Mengaku pun abiy tu comel!" kata Zinnirah. Absyar hanya tersengih.
"Sayang..." panggil Absyar.
"Hmm," jawab Zinnirah tidak bersemangat tika kantuk menguasai diri.
"Sayang nak letak nama anak kembar kita ni apa? Sayang ada idea?" tanya Absyar. Tangannya tidak berhenti mengelus perut Zinnirah di sebalik telekungnya.
Mata yang tadinya tertutup kini kembali terbuka dengan soalan Absyar. Dia terus diam dan berfikir.
"Ji suka nama anak-anak kita ada kaitan dengan para pejuang Islam, abiy. Sama seperti Sumayyah." Zinnirah mendongak sedikit sebelum kembali melabuhkan kepalanya pada bahu Absyar.
Tiba-tiba terasa kepalanya berdenyut.
"Abiy okey dengan cadangan sayang tu. Nama anak juga boleh mempengaruhi cara hidup mereka. Abiy harap dengan nama yang penuh kemuliaan ini dapat menjadi asbab anak-anak kita menjaga maruah diri masing-masing," balas Absyar panjang sambil merenung dinding wad.
"Betul, abiy..." jawab Zinnirah dengan dahi yang berkerut hebat.
"Sayang dah ada nama untuk diorang?" Soalan yang sama lagi.
"Yang pertama Salman Al-Farisi. Yang kedua Ji masih belum ada idea. Ji mahu nama si bongsu ada Al-Fateh dan nama pertama dia mestilah bermula dengan huruf F." Absyar terus memikirkan nama untuk anak ketiga mereka setelah mendengar ujaran Zinnirah tadi.
"Kalau Safwan Al-Fateh? Okey tak?" Absyar mula menundukkan kepalanya ke arah Zinnirah yang sudah berpeluh-peluh.
"Sayang?" Absyar cuba mengubah kedudukan isterinya. Zinnirah menolak dan memeluk erat pinggang Absyar.
"Salman Al-Farisi dan Safwan Al-Fateh... Nama yang hebat untuk anak yang hebat, abiy. Semoga anak-anak kita akan membesar sebagai anak yang soleh dan sentiasa berada di atas landasan agama yang betul," ucap Zinnirah dengan senyuman yang tersungging di bibir.
"Sayang okey tak ni? Tunggu kejap abiy nak panggil doktor." Baru saja Absyar bergerak sedikit, pelukan wanita itu terasa diketatkan lagi.
"Ji nak berdua dengan abiy... Jangan panggil doktor..." Suara itu semakin lemah pada pendengaran Absyar.
Hatinya mula rasa sebu. Dia takut akan kemungkinan itu.
"Sayang..." Absyar menggigit bibir bawahnya.
"Abiy... Abiy ampunkan semua dosa Ji sepanjang kita kenal ya? Halalkan makan minum dan nafkah yang abiy berikan pada Ji... Ji-" Percakapannya terhenti apabila rasa sakit pada kepalanya menyerang lagi sehingga nafasnya terasa seperti disekat.
"Ji bahagia hidup dengan abiy. Terima kasih hadir dalam hidup Zinnirah yang penuh badai. Hadirnya abiy membawa rasa bahagia buat Ji. Badai bahagia ini sangat menyakitkan namun pada masa yang sama sangat menyenangkan. Ji sayang perkahwinan kita. Ji sayang anak-anak kita. Ji cintakan abiy, lillahi taala. Sampai syurga..." panjang Zinnirah berucap dengan tangannya menggengam erat tepi baju melayu Absyar.
Sakit.
"Sayang-" Absyar terhenti seketika apabila rasa dadanya sesak dengan kenyataan itu. Sakitnya, Ya Allah.
"Sayang, abiy ampunkan segala dosa sayang pada abiy. Sayang isteri yang membahagiakan buat abiy. Sayang tak pernah buat abiy rasa tak bahagia dengan perkahwinan kita. Abiy pun nak minta ampun atas segala khilaf abiy sepanjang perkahwinan kita. Maafkan abiy, sayang. Ampunkan abiy." Air mata Absyar jatuh bagai air terjun seraya mengatakan hal itu. Nafas Zinnirah yang berhembus laju di lehernya menggetarkan Absyar.
"Ji maafkan..." kata Zinnirah dengan payah.
"Abiy reda ya?" Matanya mula tertutup apabila rasa sejuk mula menghurung diri.
"Abiy reda sayang, abiy reda..." Absyar terlepas esakan kecilnya sebelum dia memeluk isterinya erat.
"Ji sejuk abiy..."
"Abiy dah peluk sayang." Bibirnya menggeletar hebat.
"A-abiy..."
"Abiy cintakan awak, sayang. Abiy cintakan awak. Abiy reda dengan apa yang berlaku..." Teresak-esak Absyar menyaksikan isterinya yang sedang bergelut dengan nafas sendiri walaupun keadaannya kelihatan tenang.
Apabila melihat Zinnirah seperti sukar untuk berbicara, Absyar menundukkan kepalanya ke tepi telinga Zinnirah.
"Ikut abiy sayang, ikut abiy."
Air mata dikesat dan nafas ditarik dalam.
"La,"
"La..." Zinnirah mengikut dengan nafas yang terasa sudah ditarik ke rangkungan.
"Ila,"
"I-ila..." Bebola matanya seperti terpusing. Yang kelihatan hanya mata putihnya.
"Haillahallah."
"Ha-haillahallah..."
Pelukan di badan Absyar terasa longgar sebelum suara tangisan lelaki itu semakin keras. Tubuh isterinya yang masih hangat dia peluk kejap dan dicium bertalu-talu bagai tidak mahu dilepaskan.
"Sayang..." panggil Absyar. Namun panggilannya tidak bersahut.
"Sa-sayang..." Air mata itu semakin deras tanpa ada tanda untuk berhenti.
Butang di kepala katil dia tekan dengan jari yang menggigil hebat dan menunggu kedatangan staf medikal.
Pintu wad yang terbuka dia pandang dengan mata yang berkaca hebat.
"To-tolong selamatkan anak saya."
Share this novel