SUMAYYAH DALAM DUKUNGANNYA Zinnirah letakkan ke atas katil bersama Absyar yang masih tidur. Bantal dia sendal di sekeliling bayi kecil itu untuk mengelakkan Sumayyah jatuh. Dia bergerak ke arah Absyar sebelum merasa suhu badan lelaki itu dengan tangannya. Kini sudah masuk tiga hari Absyar demam setelah kejadian itu. Dia menjadi tersangat lemah sehingga Zinnirah terpaksa memanggil Mustaqim untuk memeriksa suaminya.
Kata Mustaqim, Absyar hanya demam biasa. Mungkin dia terkejut dengan kenyataan yang baru saja dia tahu. Kenyataan tentang ibu kandung yang membencinya dan tidak mahu mengaku dia sebagai anak yang telah dibuang.
Senyuman kecil mula terukir di bibir Zinnirah apabila dia merasakan suhu badan Absyar sudah turun ke paras normal. Tangannya turun pula ke leher Absyar sebelum dia mengusap perlahan pipi suaminya yang sudah sedikit cengkung.
"Abiy..." panggil Zinnirah lalu dia melabuhkan duduk di sebelah Absyar. Jemarinya mula mengusap rambut Absyar sebelum turun ke mata suaminya yang mempunyai bulu mata lebat seperti Sumayyah.
"Abiy..." seru Zinnirah sekali lagi. Sesekali, dia melihat ke arah jemarinya yang sudah tidak bengkak. Sungguh ajaib kuasa Allah, sepanjang Absyar demam, sendi-sendinya sudah kembali normal dan tidak berasa sakit lagi. Ini membuatkan Zinnirah dapat menjaga suami dan anaknya dengan mudah tanpa dia perlu berfikir tentang sakitnya.
Sumayyah yang membuat bunyi asing dengan kuat sambil bermain dengan kakinya mendapat perhatian Zinnirah. Anak gadisnya sangat suka mengumam perkataan-perkataan yang belum jelas pada pendengaran.
"Mayyah." Dengan sekali panggilan, Sumayyah terus menoleh ke arah ibunya dengan mata hitam bundar itu tidak berkelip memandang Zinnirah. Jemari kecil itu mula dia masukkan sebelum tersenyum kecil melihat sang ibu.
"Ibu nak pergi ambil makanan dan ubat ayah sekejap tau. Mayyah duduk elok-elok, okey? Kalau boleh, kejut ayah bangun sekali," ujar Zinnirah lalu mencubit pipi montel itu dek rasa geram. Terus terdengar tawa kecil dari Sumayyah apabila dia terasa geli pada bahagian perutnya yang digeletek oleh Zinnirah.
"Ibu pergi ni, Mayyah. Kejut ayah tau!" pesan Zinnirah sekali lagi bagai anak kecil itu mengerti apa yang dia sampaikan.
Sumayyah yang ditinggal oleh ibunya itu terus memandang sekeliling bilik sebelum matanya terhenti pada orang yang sangat dia kenal.
Ayah.
Daripada berbaring, Sumayyah menggunakan seluruh tenaga yang dia ada untuk meniarap.
Percubaan pertama: gagal
Percubaan kedua: dia tergolek berdekatan Absyar
Percubaan ketiga: berjaya
Sumayyah berjaya meniarap walaupun di atas lengan ayahnya. Dia mula tersengih seronok sehingga menampakkan gusi kecilnya. Bibir itu semakin nyaring mengeluarkan suara sambil menggoyangkan badan.
Absyar yang mula berasa lenguh pada lengan kanannya terus membuka mata yang berat. Lengan yang terasa dihempap sesuatu itu cuba diangkat namun dia gagal. Sorotan iris mula turun ke bawah sebelum dihidangkan dengan gerangan Sumayyah. Bayi itu memandannya dengan anak hitam yang bersinar dan wajah yang ceria sebaik saja sang ayah membuka mata. Suara itu pula bertambah kuat apabila Absyar melihatnya sehingga terangkat kedua-dua tangan kecil itu untuk pergi ke ayahnya.
"Mayyah..." panggil Absyar sambil tersenyum kecil. Dia terus mengangkat si kecil itu dan mendudukkannya di atas abdomen. Sumayyah makin bergiat aktif tatkala dia dilayan seperti itu oleh sang ayah.
Sumayyah langsung memegang kedua-dia pipi Absyar lalu menepuknya dengan tawa yang beriringan. Usai, dia terus menjatuhkan wajahnya pada muka Absyar sehingga air liur si kecil itu turut membasahi sebahagian wajah ayahnya.
"Kenapa gembira sangat anak ayah ni? Habis air liur Mayyah kat muka ayah..." kata Absyar sebelum mengangkat Sumayyah dan dibaringkan bersebelahannya. Dia kini mengiring ke kanan dan membiarkan mukanya dinodai oleh jemari kecil itu. Air liur Sumayyah yang melekat, dia lap menggunakan baju yang dia pakai.
Sesekali dia mencium pipi gebu yang wangi dengan bedak. Mesti Zinnirah sudah memandikan anak mereka. Sebut sahaja nama isterinya, dia baru tersedar yang wanita itu tiada di dalam bilik.
"Mayyah, ibu pergi mana?" soal Absyar sebelum terus duduk daripada terus berbaring. Belakang kepala digaru perlahan.
"Ibu mandi ke Mayyah?"
Sumayyah terus mengerutkan dahinya apabila kerap kali disoal seperti dia boleh menjawab semua pertanyaan ibu dan ayahnya. Dia terus berpaling dan kembali menghisap ibu jarinya daripada terus melayan sang ayah.
"Mayyah..." panggil Absyar sebelum melabuhkan kepalanya pada badan kecil itu. Rambut Absyar mula menyucuk kulit Sumayyah sehingga dia berasa geli dan mula ketawa semahunya. Lelaki itu terus terpinga-pinga lalu mengangkat kepalanya dan memerhati Sumayyah dengan perasaan pelik.
"Kenapa Mayyah ketawa ni hm?" Terus bayi itu digomol sehingga suara ketawa Sumayyah semakin nyaring dan sampai ke pendengaran Zinnirah di dapur. Tatkala itu, Absyar terus melepaskan tawa bahagianya dengan tingkah sang anak. Wajah yang muram sudah menjadi sedikit berseri disebabkan kecomelan dan kelakuan Sumayyah Az-Zahrah.
"Mayyah... ibu mana ni, Mayyah... Ayah rindu ibu..." ujar Absyar perlahan sebelum berbaring terlentang seperti anaknya. Mata mereka sama-sama berkerdip memandang siling bilik dengan hembusan nafas yang tenang.
"Ibu ada kat sini, ayah." Zinnirah terus tersenyum mengusik dengan ayatnya tadi. Ibu-ayah eh? Dulang yang dia bawa, Zinnirah letakkan di meja sebelah katil sebelum dia melabuhkan duduk di sebelah suaminya.
"Sakit kepala lagi tak?" tanya Zinnirah kepada Absyar yang terkebil-kebil memandangnya. Sumayyah turut melakukan hal yang sama. Ya Allah, dua beranak ini... Macam klon! Sama persis kelakuan mereka.
"Abiy, sakit kepala lagi tak?" soalnya sekali lagi apabila Absyar hanya diam tidak menjawab. Rambut suaminya yang sudah caca merba, Zinnirah sikat dengan jemarinya.
"Tak sakit dah, sayang..." jawab Absyar perlahan. Paha Zinnirah dia lihat seketika sebelum Absyar melabuhkan kepala pada paha Zinnirah. Sumayyah turut ditarik untuk berbaring bersamanya. Zinnirah hanya tersenyum kecil dengan tindakan suami dan anaknya itu.
"Abiy dah okey?" Lembut suara itu menjengah gegendang telinga Absyar yang sedang memeluk erat Sumayyah.
"Alhamdulillah dah sebab ada sayang," jujur Absyar berkata. Zinnirah terus mengulum senyum dengan jawapan suaminya. Kepala itu dia usap dan urut perlahan.
"Ada-ada je abiy ni..."
"Betul yang... I don't want to care about anything but you and Sumayyah only. Apa yang terjadi tiga hari lepas, abiy nak let go. Abiy tak nak mental abiy rosak disebabkan orang yang tak mahu pun abiy wujud atas muka bumi ni. Abiy nak lupakan semua, abiy nak hidup bahagia dengan sayang dan Mayyah. Badai yang mendatang akan abiy tepis dengan rasa bahagia yang wujud dalam keluarga kecil kita. Biarlah apa pun nak jadi, Zinnirah dan Sumayyah adalah sumber kekuatan Absyar." Tangan Zinnirah dia tarik dan kucup sebelum membiarkannya di atas pipi cengkung Absyar.
"Cepatnya abiy move on," kata Zinnirah lalu mengusap lembut pipi Absyar.
"Tak mudah, sayang. Sakit itu masih ada dan abiy tak tahu berapa lama masa yang abiy perlu ambil untuk pulih sepenuhnya daripada kenyataan yang kejam ini. Kalau abiy tetap menangisi perkara yang dia buat, apa yang abiy dapat selain kehancuran? Dalam keadaan sekarang, abiy perlu rasional. Dia tak nak abiy? Okey. Dia tak nak abiy cari dia? Okey, abiy ikut. Tapi abiy harap dia pun takkan tunjukkan muka dia depan abiy lagi." Panjang lelaki itu menerangkan kepada sang isteri kerana risau akan menjadi salah faham.
"Abiy benci dia?"
Terdengar hembusan nafas panjang Absyar membuatkan Zinnirah terbungkam seketika. Lelaki itu memejam erat kelopak matanya.
"Tak."
"Abiy maafkan dia?"
"Abiy dah maafkan dia."
"Abiy sayang dia?"
Jeda.
Suasana menjadi sunyi tanpa bicara kecuali Sumayyah yang membebel seorang diri di dalam pelukan Absyar.
"Abiy sayang awak."
"Kalau dia?"
"Yang..."
"She's your mother, abiy..." Lembut saja suara Zinnirah tika itu di samping dia cuba menenangkan Absyar dengan usapan di kepala lelaki itu.
"Dia dah mati dalam hati dan minda abiy seperti mana abiy sudah mati dalam hati dan minda dia sejak 33 tahun yang lalu. Abiy dah maafkan dia dan abiy tak benci dia. Tapi abiy tak mahu jumpa dia lagi, sayang. Cukup setakat ini saja, abiy penat." Keluhan berat terbit daripada bibir Absyar sebagai tanda untuk Zinnirah berhenti berbicara tentang wanita itu. Dia tidak mahu tahu apa-apa tentang wanita itu lagi.
"Ji minta maaf, abiy..." Dengan rasa bersalah, Zinnirah memohon maaf. Dia tahu dia sudah melampaui batas sehingga suaminya yang tidak pernah mengeluh berat di depannya telah melepaskan rasa itu sebagai tanda dia penat.
"Jangan tanya tentang dia lagi selepas ini, sayang." Matanya dibuka sebelum dia memanah lembut iris Zinnirah yang tunduk memandangnya.
"Ji janji Ji tak akan tanya lagi. Ji minta maaf." Wajah itu bertukar muram.
"Jangan sedih-sedih sayang, abiy pun minta maaf juga sebab berlaku ignorant. Maaf abiy terpaksa buat macam ni sebab abiy tak nak sakit lagi. Abiy nak kita hidup bahagia je selepas ni, boleh?" Tangan Absyar mula terangkat untuk memegang wajah isterinya dari bawah.
"Boleh, abiy."
"I love you, sayangku Zinnirah." Bibirnya mula tersungging senyuman bahagia.
"I love you, my abiy-syar." Zinnirah turut membalas rasa itu dengan kehangatan tangan Absyar yang berada di pipinya. Cinta yang dia tidak pernah jangka untuk hadir, kini semakin bercambah untuk gerangan bernama suami. Dia berjanji akan membawa rasa cintanya buat Absyar sehingga ke syurga.
Share this novel