WAJAH ABSYAR YANG sedang tertidur pulas di katilnya membuatkan Zinnirah memandang penuh minat sehingga dia menongkat dagu di kerusi tika itu. Sebentar tadi, hampir saja mereka bergaduh di wad itu apabila Zinnirah memaksa Absyar supaya tidur di katilnya dan lelaki itu menolak sekeras-kerasnya.
Namun, Zinnirah menggunakan teknik supaya suaminya itu mengikut arahannya untuk mendapatkan tidur yang nyenyak di tilam empuknya. Mata Absyar sudah merah benar apabila mereka bertembung pandangan.
Mana mungkin dia akan membiarkan lagi suaminya itu menjadi zombie seperti ini. Jika dia tidak berjaga untuk oncall di ED, dia akan berjaga untuk menjaga Zinnirah sepanjang malam dan paginya dia akan sambung kerja. Hanya sesekali saja Absyar akan tertidur dan itupun hanya sebentar cuma.
Sudah enam minggu dia ditahan di sini. Dia turut mengambil cuti tanpa gaji disebabkan sakitnya ini. Namun dirinya masih tiada apa-apa perubahan walaupun sudah dua kali dia melakukan prosedur untuk menyedut keluar nanah daripada dalam ginjalnya itu. Namun gagal kerana nanah itu masih dalam bentuk ketulan.
Ya, nanahnya itu tidak mencair walaupun sudah diberikan ubat melalui Peripherally Inserted Central Catherer (PICC) di mana satu lubang kecil ditebuk di lengannya untuk memasukkan satu wayar kecil yang bersambung sehingga ke jantung sebagai kemudahan memasukkan ubat. Ini terjadi disebabkan tangannya selalu saja membengkak apabila kerap dipakaikan branula.
Perasaannya mula berasa pelik dengan semua yang terjadi pada dirinya namun dia memilih untuk mendiamkan diri terlebih dahulu.
"Kacaknya abiy ni..." puji Zinnirah secara tiba-tiba sebelum jemari runcingnya dibawa ke wajah Absyar. Hidung lelaki itu disentuh dengan hujung jari sebelum dia ketawa seorang diri. Rambut Absyar yang jatuh ke dahi juga turut dia main dengan bersahaja.
"Untungnya Ji dapat suami sebaik abiy. Terima kasih kerana tidak pernah berputus asa dengan diri ini..." Kini pipi Absyar pula menjadi mangsa usapannya.
"Thank you for loving me, Absyar. Ji minta maaf... Ji masih belum boleh balas rasa itu, berikan Ji masa untuk mencintai abiy... Rasa yang bertapak dalam hati Ji hanya rasa sayang pada abiy. Namun belum wujud rasa cinta untuk abiy. Ji minta maaf, abiy..." Zinnirah kembali menarik tangan nakalnya dan hanya merenung wajah Absyar yang sangat tenang dalam tidurnya.
"Tidurlah orang baik, mimpi yang indah-indah saja. Sebaik saja abiy buka mata nanti, abiy hanya akan menghadap beban hidup ni dalam hidup abiy. Tak seronok kan?" Zinnirah tersenyum kelat dengan ayatnya. Dia terus bangun dari duduknya lalu mencapai tudung yang dia sangkut di belakang kerusi.
"Ji turun tingkat dua kejap okey. Ji ada appointment psychiatric dengan Doktor Dahlia. Sleep well, Ji pergi dulu," pamit Zinnirah walaupun dia tahu lelaki itu tidak mampu mendengarnya. Kekura suaminya dicium sebelum dengan perlahan-lahan dia melangkah keluar dari dalam bilik itu meninggalkan Absyar yang sudah mengalirkan sedikit air matanya.
Mata Absyar buka sebelum pintu yang ditutup tadi dia perhati lama. Air mata yang masih mengalir dia hanya abaikan walaupun penglihatannya sangat kabur tika itu.
Sakit.
Sakitnya apabila perlu mendengar kata-kata itu daripada mulut orang yang dia cinta. Walaupun sepatutnya dia bersedia dengan realiti itu. Kenyataan di mana untuk dicintai semula oleh gadis yang mempunyai trauma berat itu cukup sukar. Kenyataan di mana selama ini hanya dia yang mengejar wanita itu walaupun berkali-kali ditolak secara halus. Kenyataan di mana hanya dia seorang yang menaruh harapan yang tinggi dalam perkahwinan mereka.
Sakitnya bagai ditusuk puluhan belati.
Namun dia tidak akan sesekali menyerah dan menyalahkan wanita itu. Absyar sangat sayangkan Zinnirah dan kenyataan itu tidak akan berubah sehingga dunia ini hancur.
"I will love you... I will always love you walaupun kita tidak berkongsi rasa yang sama. I will always love you, sayangku Zinnirah..." ucap Absyar perlahan lalu mengesat air mata di pipinya.
Saya akan tunggu awak sampai bila-bila... Sampai mati, saya akan tetap tunggu awak....
ZINNIRAH berdecit sesudah keluar daripada lif sambil menghayunkan plastik ubat yang dia dapat dari farmasi bahagian psikatri tadi.
Dos anti-depression yang bertambah membuatkan Zinnirah bertambah sugul. Kenapa dosnya bertambah sedangkah dia tidak berasa terlalu murung beberapa minggu ke belakang? Kenapa dosnya bertambah sedangkan dia baik-baik saja?
Doktor Dahlia berkomplot dengan Doktor Wendy ke? Dia tak sakit tapi kasi ubat banyak-banyak sedangkan dia sihat wal'afiat!
Pintu wad dia buka sebelum matanya dihidangkan dengan pemandangan Absyar yang berbual dengan Doktor Wendy. Panjang umur, baru je dia menyumpah doktor ini tadi.
"Where are you going?" soal Doktor Wendy dengan dahi yang berkerut. Absyar hanya diam sambil menarik lengan isterinya untuk duduk di katilnya.
"Psychiatrist. Had an appointment," jawab Zinnirah lalu turut menarik lengan Absyar supaya dia turut sama duduk disampingnya.
"Okay baik. Sekarang waktu untuk you ambil ubat." Doktor Wendy terus bangun dari duduknya dan bergerak ke arah troli yang ditinggalkan oleh jururawat sebentar tadi.
"Doktor ke yang akan masukkan ubat pada saya hari ni? Usually nurse kan yang buat?" Zinnirah menyoal pelik.
"I nak pantau keadaan you. It's been 6 weeks and I want to know the progress whether it still solid or has turned into liquid..." balas Doktor Wendy yang langsung tidak terkesan dengan pertanyaan pesakitnya itu.
"Oh... Okey..." Zinnirah terus berbaring apabila dibantu oleh Absyar. Dia tersenyum apabila wajah suaminya itu sangat kacak berada sedekat ini.
"Senyum apa eh?" soal Absyar lalu menarik perlahan hidung Zinnirah. Drastik, Zinnirah terus menampar lembut lengan suaminya membuatkan Absyar tertawa kecil. Plastik ubat yang masih dalam genggaman Zinnirah, dia ambil dan letakkan di atas meja.
Suasana menjadi sunyi apabila Absyar mengundurkan diri untuk memberi ruang kepada Doktor Wendy merawat isterinya.
"Kejap doktor, saya nak tanya sesuatu." Kata-kata Zinnirah itu menghentikan tindakan Doktor Wendy yang sudah memegang wayar kecil di lengan wanita itu.
"You nak tanya apa?" soal Doktor Wendy lalu meneruskan kerjanya.
"Doktor tak pelik ke dengan keadaan saya? Saya dah buat PICC dalam jangka masa enam minggu. Saya pun dah makan ubat baru yang doktor berikan for almost a month tapi kenapa macam tak ada apa-apa perubahan pada diri saya? No, kenapa tak ada perubahan pada nanah dalam ginjal saya? Why it is still solid? Ataupun sebenarnya ubat-ubat ini tak berkesan buat saya, doktor?" tanya Zinnirah setelah sekian lama berfikir tentang hal ini.
Dia memandang wajah Doktor Wendy yang tiba-tiba saja berdiam diri dalam jangka masa beberapa minit.
"Doktor?"
"Zinnirah, we should run an urine test again."
DAN kini Zinnirah hanya terpaku pada katilnya apabila Doktor Wendy menyampaikan keputusan ujian air kencingnya tadi. Dunianya bagai berhenti berputar buat 30 saat sebelum semuanya kembali seperti biasa.
"Tibi, doktor?" Itu bukan soalan daripada Zinnirah melainkan itu ada suara Absyar yang sudah sedikit bergetar pada pendengarannya. Zinnirah menoleh seketika ke arah Absyar sebelum melihat Doktor Wendy.
Dia tidak tahu mahu memberikan reaksi yang bagaimana.
Perlukan dia menangis? Atau meraung sekuat-kuatnya tika ini? Atau dia perlu gelabah kerana dia mempunyai penyakit baru iaitu Tibi yang menjadi penyebab utama kewujudan nanah dalam ginjalnya.
Dia ada batuk namun tidak teruk. Dia hanya berfikir itu adalah kesan perubahan musim yang sekejap panas dan sekejap hujan. Tidak pernah dia sangka dia akan berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit pada usia 27 tahun seperti sekarang.
Zinnirah seorang yang sangat beruntung, kan?
"Tapi jangan risau, Tibi Zinnirah adalah Tibi jenis laten yang tak akan menjangkiti orang lain. Selepas ini, I akan berikan ubat Tibi untuk you consume, Zinnirah. This is serious issue, I hope you would not skip your medicine." Doktor Wendy memandang lama wajah pesakitnya itu dengan rasa berat di dada. Ujian wanita itu, tidak pernah habis.
"I would not, doctor..." balas Zinnirah perlahan. Doktor Windy mengangguk dan terus berlalu dari situ.
"Sayang..." panggil Absyar lalu melabuhkan punggung di sisi katil isterinya. Tangan wanita itu digenggam dan Zinnirah turut membalas dengan cengkaman yang lebih kuat. Dia terus memandang wajah Absyar dengan rasa bersalah di dada.
"Kenapa sayang?" soal Absyar apabila mata itu seperti mahu mengatakan sesuatu padanya.
Zinnirah menggeleng sebelum memberikan senyuman kelat pada Absyar. Hal itu sangat tidak menyenangkan buat lelaki itu.
"Sayang, it's okay to cry. Jangan pendam kalau awak tak okey. Abiy ada untuk awak. Abiy akan sentiasa menjadi telinga untuk mendengar setiap luahan awak." Absyar langsung mengelus lembut rambut isterinya membuatkan Zinnirah terus menggigit dalam pipi.
"Abiy..." panggil Zinnirah.
"Ya sayang, awak nak apa-apa ke?" Rambut Zinnirah yang berjuntaian, dia tolak ke belakang telinga.
"Nak abiy peluk Ji boleh?" pinta Zinnirah. Absyar terkedu seketika sebelum dia menurut dengan menarik wanita itu masuk ke dalam pelukan hangatnya.
Itu kali pertama mereka berpelukan dengan rela hati setelah kejadian di Pulau Pangkor dulu.
Tiada air mata yang jatuh namun Zinnirah hanya mahu rasa dilindungi seperti ini. Hanya Absyar yang mampu membuatnya nyaman dalam badai yang menimpa diri buat sekian kali.
Badai yang tidak pernah dia jangka untuk tiba.
Share this novel