BAB 17 (TW)

Romance Series 33949

TW: Harassment

BAHAGIAN-BAHAGIAN YANG sudah dia lakarkan, Zinnirah asingkan ke tepi. Kadbod baharu diambil dan dia lakar bahagian binaan yang seterusnya.

Terlampau khusyuk dia dengan assignmentnya itu sehingga tidak perasan orang keluar masuk ke dalam bilik yang dikhaskan untuk pelajar seni reka itu.

Usai melakar, Zinnirah terus berdiri dan mula memotong kadbod itu mengikut garis-garis lakaran yang sudah dia siapkan tadi. Sehingga tersenget-senget kepalanya demi menyiapkan tugasan yang diberikan.

"Khusyuk nampak." Teguran secara tiba-tiba itu menyebabkan Zinnirah terkejut lalu terguris sedikit jarinya.

Wajah yang menegurnya tadi dipandang sebelum mengeluh perlahan.

"Jari kau berdarah tu wei!" tegur Khairil apabila matanya tertancap pada jari gadis itu yang laju mengalirkan darah segar. Terus membuntang matanya melihat reaksi bersahaja Zinnirah.

"Semua sebab kau," kata Zinnirah tegas lalu bergerak ke arah begnya untuk mencari tisu dan plaster.

Jari yang berdarah dilap dan ditekan sedikit kuat untuk menghentikan pendarahan. Minyak gamat yang sentiasa ada dalam begnya diambil namun penutup botol itu susah untuk dibuka.

"Isy! Susah betullah..." bebel Zinnirah seorang diri.

"Meh sini aku tolong kau," Khairil terus mengambil botol kecil minyak gamat itu dan membuka penutupnya dengan mudah.

Kedudukan mereka yang agak dekat membuatkan dada Zinnirah berasa ketat dan tidak selesa.

"Kau jauh sikit boleh tak?" arah Zinnirah sebelum melangkah beberapa tapak menjauhi Khairil yang memandangnya pelik.

"Okey, sorry." Minyak gamat diletakkan di atas meja sebelum Zinnirah mengambilnya dan dituang sedikit pada tempat luka. Dibiarkan minyak pada luka itu mengering seketika sebelum Zinnirah membalutnya dengan plaster.

"Khai..." panggil Zinnirah sambil menyimpan kembali minyak gamat ke dalam beg. Lelaki yang hanya mendiamkan diri itu terus memandang wajah Zinnirah dengan penuh tanda tanya.

"Thank you," kata Zinnirah ikhlas lalu duduk di tempatnya tadi. Tugasannya belum selesai dan dia tidak pernah menyambut kedatangan lelaki itu di sini.

"My pleasure Ira," balas Khairil sambil tersengih. Ingat senang ke nak dengar suara emas gadis itu?

Pergerakan Zinnirah terhenti secara tiba-tiba. Terus dia memandang Khairil dengan dahi berkerut.

"Kau panggil aku apa?" soal Zinnirah.

"Ira," balas Khairil tanpa rasa bersalah.

"Tukar. Aku tak suka kau panggil aku Ira." Jejaka itu dijeling tajam.

"Aku nak panggil kau apa? Baby? Sayang?" usik Khairil dengan sengihan lebar.

Namun sengihannya terhenti apabila mendapat jelingan tajam daripada Zinnirah.

"Nak mati ke?"

Khairil terus menelan liur apabila disoal begitu. Nak bergurau pun tak boleh.

"Aku kena panggil kau apa ni?"

"Ji. J. I. Ji."

"Ji?" soalan Khairil hanya dijawab dengan anggukan Zinnirah. Dia kembali memotong kadbod yang tergendala disebabkan sergahan jejaka itu tadi.

"Kenapa Ji? Kenapa bukan Jinni ke? Jen ke? Jira ke?"

"Banyak mulut pulak kau ni. Bisinglah aku nak buat kerja!" marah Zinnirah. Nak saja dia gam bibir lelaki itu dengan gam 3-secondnya itu.

Becok!

"Sorrylah..."

Zinnirah hanya mendengus perlahan dan kembali ke dunia memotongnya tadi. Bahagian kadbod yang tak digunakan di buang ke lantai sebelum dia buang ke dalam tong sampah di luar bangunan nanti.

"Kau ni memang sombong ke dengan aku?" Kerusi di bahagian meja tepi ditarik dan Khairil melabuhkan punggungnya di situ.

Zinnirah hanya diam dan mula menyambung bahagian kadbod menggunakan gam.

"Kalau kau marah aku disebabkan kejadian kau kena panic attack di kelas haritu, aku minta maaf. Sumpah aku tak tahu." Kejadian gadis itu menggigil disebabkan usikannya pada pagi itu, takkan sesekali Khairil lupa.

Khairil terus merenung lama wajah Zinnirah dari tepi. Jarak antara mereka sudah dia jaga kerana dia tidak mahu kejadian yang sama berulang kembali.

Zinnirah hanya diam.

Bukan salah Khairil tapi salah dirinya yang tidak tahu cara mengawal trauma sendiri.

"Kau boleh tak jangan tengok aku macam tu. Aku tak selesa, Khai. Tolong hormat aku as a woman. Aku lagi tua daripada kau so please respect me."

Khairil terus berdehem dan menoleh ke arah lain apabila ditegur begitu. Belakang kepala yang tak gatal digaru.

Mana Ji tahu aku tengah usyar dia?!

"Berapa umur kau?" soal Khairil lagi.

"23."

"Oh... Aku 20 tahun."

Zinnirah diam tidak membalas. Dia rasa tiada keperluan untuk menjawab.

"3 tahun tu tak banyak pun age gap, kan?Bolehlah kita kawan?" Khairil cuba mencucuk jarum.

"Aku tak kawan dengan orang lelaki," balas Zinnirah dingin.

"Masalahnya dengan orang perempuan pun aku tak pernah nampak kau berkawan," bidas Khairil semula.

"Pastu nak tanya buat apa lagi?" Keluhan kuat terbit daripada bibir kering itu.

"Kau tahu tak kau dah viral dalam channel confession kampus? Disebabkan perangai kau yang nampak muslimah tapi sebaliknya."

Terus Zinnirah menoleh ke arah Khairil apabila mendengar ayatnya itu.

"Viral?" soal Zinnirah. Khairil angguk.

"Kau couple dengan budak medik yang nama Mustaqim tu kan? Kalau betul, tak trauma pulak kau? Dengan aku bukan main menggigil kalau aku rapat sikit dengan kau. Kalau dengan si Mus tu, dia siap boleh usap pipi kau pulak, Ji." Khairil berkata dalam satu nafas.

Zinnirah sudah mula tidak senang duduk apabila dia diserang sebegitu rupa. Dia sudah tidak boleh fokus dengan kerjanya.

"Nampak macam muslimah. Pakai siap dengan handsock tapi bagi lelaki lain sentuh kau. Kau ni culture shock atau sememangnya murah?"

Dia triggered. Zinnirah triggered dengan ayat terakhir Khairil. Jemarinya mula menggeletar.

Handsock? Dia tahu ke apa yang tersimpan di sebalik handsock ini? Parut trauma yang tak akan pernah hilang dan lelaki ini menuduhnya macam-macam.

Dia hanya mengabaikan ayat Khairil itu dan mula mengemas barangnya. Kotak pensel dimasukkan ke dalam beg. Kepingan kadbod yang belum siap dia tinggalkan di atas meja yang sudah dia reserved.

Zinnirah terus bangun dan mengutip sepihan kadbod yang sudah dipotong.

"Kau nak pergi mana? Aku tengah bercakap dengan kau kan, Ji?" Khairil terus bangun dan mendekat. Lengan Zinnirah disentuh sebelum gadis itu menepis kuat.

"Jangan sentuh aku!" Matanya mencerlung tajam memandang wajah Khairil. Lelaki itu terus mengangkat kedua-dua belah tangannya.

"Kau bukan bercakap dengan aku tapi kau sedang menuduh aku. Kau tengah fitnah aku dengan perkara tak berasas hanya disebabkan ada orang viralkan dalam channel bodoh tu!" jerit Zinnirah kuat.

Dadanya naik turun menahan geram. Mata yang mula berkaca dia kelipkan berkali-kali.

"Ada bukti Ji-"

"Dia abang aku. Dia, Mustaqim Alwie. Aku, Zinnirah Alwie. Dia. Abang. Aku."

Serpihan kadbod itu dilemparkan pada Khairil sebelum dia menggalas begnya dan bergerak ke luar dalam kadar pantas.

"Ji tunggu!" Khairil yang pada awalnya terkedu terus mengikut jejak langkah Zinnirah setelah mengutip kadbod yang dilempar secepat mungkin.

"Ji!"

Kali ini kedua-dua lengan gadis itu dipegang apabila serpihan kadbod telah dibuang dalam perjalanan tadi.

"Ji! Stop!" Genggamannya pada lengan gadis itu semakin kuat.

"Lepaslah Khairil! Lepas!" Zinnirah mula memberontak dengan dada yang berdebar hebat bagai mahu pecah.

"No! Aku takkan lepas selagi kau tak ceritakan hal yang sebenarnya pada aku!" Wajahnya diturunkan separas muka Zinnirah. Dia dapat merasakan gadis itu menggigil hebat.

"Tak nak... Lepaskanlah aku... Tak nak!" jerit Zinnirah kuat sehingga dia merasakan kakinya menjadi lemah.

"Aku nak tahu perkara sebenar je Ji. Aku takkan apa-apakan kau!" ugut Khairil sambil menggoncangkan badan Zinnirah.

Mujur saja mereka berada jauh dari pandangan orang walaupun sudah hampir ke fakulti perubatan. Sungguh jauh gadis berjalan untuk mengelak daripadanya.

"TAK NAK! LEPASKAN AKU!" jerkah Zinnirah kuat bersama-sama air mata yang merembes keluar.

Dia terasa nafasnya menjadi tersekat. Badan makin menggeletar dan mata sudah dikaburi dengan air mata.

Apa yang dia tahu, badannya sudah hampir lumpuh ketika itu sebelum genggaman di kedua-dua lengannya terasa dilepaskan.

Terdengar erangan kesakitan daripada Khairil. Namun Zinnirah tidak tahu apa yang terjadi.

"Zinnirah! Buka mata awak Zinnirah!"

Dia cuba. Dia cuba apabila mendengar suara yang dia kenal itu. Tapi sukarnya hanya Tuhan yang tahu.

"Zinnirah!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience