Masih lagi special chapter semikolon. Selamat membaca.
RAMBUT YANG BASAH dia lap menggunakan tuala sebelum disangkutkan pada besi penyidai baju di dalam bilik itu. Absyar berdiri di hadapan meja solek sebelum menyikat rambutnya ala kadar.
Pantulan Zinnirah yang baring mengiring di atas tilam itu membuatkan Absyar tersenyum kecil. Badan ditoleh ke belakang sebelum dia mengusap dadanya perlahan.
Zinnirah yang tadinya berbaring kini duduk sambil menatap tajam ke arahnya. Kus semangat. Boleh gugur jantung kalau tiap-tiap hari macam ni.
"Ya Allah, terkejut saya," kata Absyar sebelum mendekati katil. Perlahan-lahan dia melabuhkan badan di situ. Hatinya berasa ragu-ragu, adakah Zinnirah akan baik-baik saja dengan kehadirannya di sebelah gadis itu.
"Sorry awak... Saya terjaga bila awak balik tadi," kata Zinnirah sambil bersila menghadap ke hadapan. Absyar di samping katil hanya dilihat dengan hujung mata. Sesekali, matanya ditenyeh perlahan.
"Oh tadi buat-buat tidur je lah ya?" tanya Absyar sambil menjungkitkan sebelah keningnya.
"Bukan, tadi tu pre-sleep." Zinnirah berseloroh sebelum Absyar tergelak kecil. Ada-ada saja gadis ini.
"Zinnirah, awak okey ke kalau saya tidur sekatil ni?" Absyar terus bertanya kerana kantuk mula menguasai diri.
Zinnirah terdiam sebelum memandang Absyar yang berdiri tegak menghadapnya. Mata lelaki itu sudah kuyu dan merah.
"Saya...tak tahu." Ya, Zinnirah juga tidak pasti sama ada dia mampu atau tidak.
"Kalau tak okey, saya tidur atas sofa je." Ayat itu membuatkan Zinnirah menoleh kepalanya untuk melihat wajah Absyar yang kini sudah bergelar suaminya.
"Eh tak apa, awak tidur je atas ni. Saya okey." Pantas dia menghalang lelaki itu daripada bergerak ke sofa.
"Betul ni?"
"Ya, betul," Zinnirah mengakui walaupun tangannya sudah mula menggigil.
"Okeylah kalau macam tu, jom tidur. Good night isteri saya." Absyar terus membaringkan dirinya lalu terus menutup mata. Sedap betul rasa pinggangnya apabila bertemu dengan tilam empuk itu.
"Good night...suami," balas Zinnirah perlahan sebelum melabuhkan badannya agak jauh daripada Absyar. Dia mengiring membelakangi suaminya itu. Mata dipejam erat, memaksa diri untuk tidur. Badannya kini menggigil lebih hebat daripada tadi.
Dengkuran halus yang terbit daripada bibir Absyar menandakan lelaki itu betul-betul telah tidur. Zinnirah menarik nafas dalam untuk menenangkan dirinya sebelum dia turut sama dibawa ke alam mimpi bersama sang suami.
Namun, bayang-bayang baba yang tiba-tiba muncul dalam lena yang baru sedetik itu menyebabkan Zinnirah terus terbangun dari tidurnya.
Dada naik turun laju. Badan menggeletar hebat. Sudah lama dia tidak mimpikan kejadian itu. Kini, ia datang lagi pada malam itu.
Seluruh badan menjadi seram sejuk dan mata itu mula berair. Kaki mula melangkah ke meja solek lalu tangannya laju menggapai beg ubatan.
Dada terasa sangat ketat seperti dikepit sesuatu dengan sangat kuat. Sungguh sukar dia rasakan tika itu untuk menyedut udara ke dalam peparunya. Dia jatuh terduduk di tepi kerusi meja solek.
Esakan kecil mula terbit di bibir. Tangan yang bergetar itu mula membuka penutup botol ubat sebelum sebiji pil penenang ditelan tanpa air. Botol kedua dicapai dan turut menelan sebiji lagi ubat tidur dengan air mata yang berjuraian turun.
"Tolonglah... Biarkanlah aku tidur dengan tenang. Janganlah ganggu kehidupan aku lagi... Aku merayu... Jangan ganggu aku..." gumam Zinnirah perlahan dengan pipi yang masih basah dengan air mata. Tangannya menumbuk perlahan dada yang masih terasa ketat.
"Ya Allah, tolong..." ucapnya. Sekali lagi dia cuba mengawal serangan panik yang berlaku secara tiba-tiba dan sangat menyesakkan dada. Tangan yang menggeletar menggenggam kuat hujung baju.
Setelah dia rasa dirinya makin reda, Zinnirah menopang tangannya pada kerusi dan cuba untuk bangun. Badan distabilkan lalu gerangan suaminya yang tidur dikerling sekali lalu.
Kaki mula melangkah ke arah katil walaupun lututnya sudah terasa lembik. Baru saja dia mahu membaringkan badan, Absyar di sebelah secara tiba-tiba bangun daripada perbaringannya.
"Awak...kenapa?" soal Zinnirah walaupun kantuknya sudah memanggil dengan dada yang tersisa sakit.
"Tidurlah, saya nak ke toilet. Sakit perut," bohong Absyar lalu terus bergerak ke arah tandas yang ada di dalam bilik itu.
Badan disandarkan pada pintu tandas sebelum Absyar meraup wajahnya perlahan. Dia terjaga apabila terasa katil mereka berombak dan bergetar hebat. Esakan kecil Zinnirah itu bagai menghiris jiwa lelakinya.
Gadis itu...masih trauma.
Mana mungkin trauma yang diukir oleh baba dan mamanya itu dapat dikikis dengan begitu mudah. Trauma itu takkan sesekali menjadi perkara yang paling menguatkan malah ia menjadikan seseorang itu hancur lebur.
Dunia mangsa itu hancur berkecai yang meninggalkan luka dan parut besar yang tidak dapat diubati dan dilupakan.
Saya janji Zinnirah, saya akan tolong awak untuk atasi trauma itu. Walaupun seberapa lama masa yang awak perlukan, saya akan bantu awak.
Hampir 15 minit, Absyar akhirnya keluar dari tandas dan matanya tertancap pada isteri yang sudah tertidur pulas. Absyar melangkah ke arah meja solek, melihat ubat-ubatan yang ditinggalkan begitu saja.
Ubat tidur Zinnirah dipegang dan dibelek sebelum dia mengeluh perlahan.
Katil didekati sebelum dia memandang lama Zinnirah yang berbaring menghadap siling. Riak wajah itu tidak begitu tenang walaupun dalam tidur.
"Tidurlah sayang..." Senyuman kelat terukir di bibir lelaki itu.
Bantal dipegang lalu dibawa ke arah sofa. Absyar membaringkan badannya sebelum dia kembali memejamkan mata.
Biarlah dia tidur di sofa ini selama mana yang mungkin demi keselesaan Zinnirah. Dan sementara menunggu wanita itu berasa selesa dengannya.
ZINNIRAH memandang lama tangan yang dihulurkan di hadapannya. Semua yang dirasakan bagai bercampur aduk ketika itu.
"Awak tak nak salam saya ke?" Teguran daripada Absyar membuatkan Zinnirah menggigit bawah bibirnya.
"Err." Hujung telekung digenggam erat. Rasa takut dan rasa bersalah sama kuat dalam dirinya. Wajah Absyar dia lihat sekilas sebelum kembali menekur sejadah.
"Masih takut lagi?" Zinnirah hanya menganggukkan kepalanya sebagai jawapan kepada soalan Absyar.
"Saya minta maaf," tambahnya lagi apabila melihat Absyar membawa tangannya yang tidak bersambut kembali ke sisi.
"Tak apa sayang, trauma bukan senang untuk diatasi. Jadi saya faham perasaan awak. Tapi saya nak awak janji dengan saya satu hal, boleh?" Omongan Absyar itu menyebabkan Zinnirah terus mendongak untuk melihat anak mata suaminya.
"Janji apa?" Mata berkerdip laju.
"Janji untuk kita sama-sama atasi trauma awak. Sebab ini bukan mudah dan awak dah ada saya sekarang. Awak dah tak keseorangan sekarang, you have me. Your husband. We should fight this together even it is hard, okay?" pujuk Absyar sambil menikam lembut anak mata Zinnirah.
Zinnirah terus menggigit dalam pipinya apabila mendengar bicara lembut suaminya itu. Nafas dihela perlahan lalu senyuman kecil ditayang.
"Saya akan cuba sekali lagi... Dan kali ini bersama awak, suami saya."
Tersenyum lebar Absyar mendengar jawapan Zinnirah. Berbunga terus hatinya pada waktu subuh itu.
'Suami saya.' Ya Allah, Absyar rasa nak tumbang!
"Macam ni lah sayang saya. Jangan putus asa sebab kali ni awak ada saya sebagai tulang belakang awak. Kalau ada apa-apa yang bermain dalam minda awak, you can tell me freely, ya sayang. Kalau awak ada tak suka dengan perangai saya, kaedah saya atau apa-apa tentang saya, saya harap awak dapat maklumkan pada saya. Dan ya satu lagi, no secret between us, okay?" Absyar menyimpan senyum apabila melihat wajah Zinnirah.
Pipi Zinnirah semakin merah apabila berkali-kali digelar 'sayang' oleh lelaki itu. Namun, dia turut membalas pandangan lelaki itu dengan rasa malunya yang menebal.
"Baik, awak."
"Pipi awak merah macam buah ceri, comelnya!" usik Absyar dan itu telah menambahkan lagi tona merah pada pipi itu.
"Awak!"
Absyar ketawa lepas sebelum mula melipat sejadah yang mereka guna untuk solat subuh berjemaah tadi.
"Jangan comel sangat dengan orang lain. Nanti saya cemburu," tambah Absyar lagi apabila selesai meletakkan sejadah di tepi. Dia kemudiannya duduk bersila di hadapan Zinnirah yang masih tersipu.
Manis leting!
"Apa kebaikan yang saya buat dulu sampaikan Allah kirimkan lelaki sehebat dan sebaik awak sebagai suami saya?" soal Zinnirah perlahan kepada dirinya sendiri namun suara itu masih dapat ditangkap oleh telinga lintah Absyar.
"Even if you do nothing, I would fall for you all over again, Zinnirah. Be it one year, seven years or forever. My heart only calls your name. Hanya nama Zinnirah Alwie yang tersemat di sini." Absyar menunjukkan dada kirinya dengan jaru telunjuk sebaik saja ayat terakhirnya dihabiskan.
Sejak bila dia bermulut manis ni? Rasanya Absyar yang dia kenal sebagai sahabat baik Mustaqim dahulu seorang yang hanya bercakap bila perlu dan jika ada perkara penting sahaja.
Kenapa lelaki ini berubah 180° ni?!
"Such a sweet talker," kata Zinnirah sambil tersenyum senget.
"Only for you, my forever sayang."
"Mesti dah banyak orang yang awak mengayat ni."
"Mana ada, saya buat stok ayat ni untuk awak sorang je tau. Tujuh tahun saya simpan seorang diri. Jadi lepas ni awak kena hadap ayat kencing manis saya tiap-tiap hari okey?"
"Kenapa tujuh tahun?" tanya Zinnirah apabila sudah beberapa kali mendengar nombor itu. Dahinya berkerut menanti jawapan.
"Sebab saya dah jatuh suka pada awak sejak tujuh tahun lepas," jawab Absyar tenang.
"Biar betul awak ni. Sejak bila awak suka saya?" Perasaan ingin tahu mula berkobar-kobar.
"Pulau Perhentian. Banyak memori kita di situ," terang Absyar sambil memandang lama wajah Zinnirah yang seperti berfikir lama.
"Saya banyak beri awak memori buruk di situ dulu..." ujar Zinnirah apabila teringatkan perilakunya dahulu. Allah Tuhan, sungguh dia seakan kurang waras pada zaman remajanya kerana mental yang sakit. Sangat sakit akibat perbuatan keluarganya sendiri. Walaupun sekarang masih tidak 100% sembuh, dia cuba sedaya upaya untuk mengawal rasa itu supaya tidak terbabas.
"Ada sebab Allah berikan kita memori buruk pada waktu tu. Tengok sekarang, kita dah kahwin." Absyar tergelak kecil dengan olahan ayatnya.
"Macam tak ada kaitan je."
"Adalah... Semua peristiwa yang ada awak, sangat berkait dengan diri saya. " Absyar tersengih.
Zinnirah terus membuat muka menyampah secara tidak sengaja dan Absyar hanya tertawa perlahan.
"Jom kita masak sarapan," ajak Absyar apabila perutnya mula mendendangkan lagu dalam rentak perlahan.
"Kejap saya nak sangkut telekung." Absyar hanya memerhati setiap pergerakan Zinnirah. Rambut gadis itu yang dahulunya panjang sekarang hanyalah separas bahu.
Orang putih cakap, 'hair contains a lot of memories' mungkin sebab itu Zinnirah memotongnya pendek. Kerana gadis itu, kehidupan masa lalunya sangat perit dan hanya membawa luka dalam.
"Jom masak." Absyar terus terjaga daripada lamunannya dan terus berdiri bersebelahan Zinnirah.
"Nak cuba atasi trauma tak?" soal Absyar secara tiba-tiba.
"Macam mana?" Berkerut dahi gadis itu memandang sang suami.
"Like this." Terus Absyar memautkan jemari tangan kanan dan kirinya tanpa menyentuh gadis itu langsung. Zinnirah hanya melihat dengan dahi yang berkerut sebelum liurnya ditelan.
"It's hard..." kata Zinnirah.
Tangannya dibawa ke atas tangan Absyar dan dia mahu letakkan secara perlahan-lahan. Baru saja kulit mereka bersentuhan, Zinnirah terus menarik laju tangannya bagai terkena renjatan elektrik.
Gigilan kecil mula terhasil.
"It's okay Zinnirah, just feel the warmth of my hand okay? Nothing gonna happen, you're safe," tutur Absyar apabila melihat wajah itu mulai pucat.
Zinnirah memejamkan mata dan mengikut apa yang diperkatakan oleh suaminya. It's okay Zinnirah, Absyar orang baik. Absyar suami kau!
Sekali lagi dia cuba yang akhirnya menyebabkan dadanya terasa sesak sendiri.
"Tak boleh," kata Zinnirah lalu menggenggam kuat kedua-dua tangannya. Absyar yang melihat menjatuhkan tangan dan mendekati isterinya yang kelihatan sangat sukar bernafas.
"Tarik nafas," arah Absyar. Dada Zinnirah mula meninggi.
"Hembus." Ia kembali mendatar.
"Tarik lagi."
"Hembus."
Berkali-kali tarik hembus nafas dilakukan demi memastikan Zinnirah berada dalam keadaan normal dan jauh daripada perasaan gemuruhnya.
Gigilan pada tangannya semakin berkurang menyebabkan Zinnirah membuka mata. Terhidang terus wajah Absyar yang tenang dihadapannya dan tangan mereka masih lagi erat bertautan.
"Do you feel okay?"
"Better."
"Alhamdulillah, good job my Zinnirah." Puji Absyar sambil tersenyum bangga.
"It's okay kalau awak masih tak boleh. Jangan risau, kita masih ada seumur hidup untuk atasi trauma awak. Saya akan sedia berkhidmat untuk Puan Zinnirah!" Ayat terakhir Absyar diiringi dengan tabik di tepi dahi.
Zinnirah hanya tergelak kecil dengan tingkah Absyar itu. Dia mula berasa tenang.
Wajah Absyar yang tinggi dilihat lama lalu senyuman kecil diukirkan.
"Saya akan cuba macam ni dulu, boleh?" Zinnirah terus memegang hujung lengan baju Absyar sambil tersengih.
"Boleh sayang." Absyar merasakan hatinya sangat berbunga-bunga. Ah, Zinnirah! Pegang baju pun Absyar dah rasa macam nak lompat bintang!
Kuat sungguh penangan Zinnirah dalam hidup seorang Absyar Abid!
Dalam masa yang sama, Absyar mula berdoa dalam hatinya sendiri.
Tuhan, jangan kau tarik nikmat yang baru saja kami rasakan ketika ini. Berikanlah kami kebahagiaan yang kami damba setelah peritnya ujian yang kami hadapi.
Berilah kami peluang sekali lagi.
Kerana kami juga layak bahagia, Ya Allah.
Share this novel