GERANGAN ZINNIRAH YANG sedang duduk di atas pasir di tepi pantai itu Absyar lihat dan dia tuju tanpa berfikir dua kali. Tanpa kata, Absyar melabuhkan duduk di sebelah isterinya yang sedang mengelamun jauh.
Absyar terus melekapkan bekas air kelapa sejuk itu pada isterinya sehingga menyebabkan wanita itu terkejut seketika. Dia tersengih lalu menghulurkan air kelapa muda itu pada Zinnirah.
"Terima kasih," tutur Zinnirah perlahan lalu dengan lafaz basmallah dia menyedut minuman untuk menyegarkan tekaknya yang kering sedari tadi.
"Ni saya ada belikan lokching bakar jugak." Plastik yang berisi lebih daripada 10 cucuk lokching itu diletakkan di tengah antara mereka. Zinnirah memandang lokching itu dan juga Absyar berulang-ulang kali.
"Kenapa tengok saya macam tu?" soal Absyar dengan kening yang sudah terangkat apabila melihat tindak-tanduk isterinya.
"Doktor pun makan processed food ke? Tak baik untuk kesihatan kan?" Soalan Zinnirah menyebabkan Absyar tersengih dalam mengunyah lokching cheese jumbonya itu.
"Bukan selalu," jawab Absyar dengan sengihan yang tidak luntur. Isterinya itu tidak tahu yang Absyar ini hantu mi segera! Zinnirah terus menggelengkan kepalanya sebelum dia turut mengambil secucuk lokching gemuk itu.
"Saya ambil satu eh, awak..."
"Ambiklah, makan puas-puas. Kalau tak cukup saya pergi beli lagi," kata Absyar sambil melihat wajah isterinya yang hanya dipancar cahaya bulan. Angin sepoi-sepoi bahasa menemani malam mereka yang indah dengan desiran ombak laut. Selendang yang dipakai Zinnirah turut berubah bentuknya akibat angin di tepi pantai ini.
Zinnirah menggigit hujung lokching yang dipegang dengan tangan kanan manakala tangan kirinya ditadah di bawah untuk mengelakkan sos jatuh dan terkena pakaiannya sendiri. Dalam dia sibuk mengunyah, matanya mula memandang langit gelap yang bertaburan jutaan bintang di langit.
Secara tiba-tiba, senyuman tersungging di hujung bibir apabila matanya menangkap sesuatu.
"Awak!" panggil Zinnirah dengan mata yang tidak lekang menatap benda itu.
"Ya, kenapa?" soal Absyar sebelum turut mendongak seperti isterinya setelah melihat tingkat Zinnirah tadi.
"Tu..." Jarinya ditunjuk ke langit dan Absyar hanya menurut. Tanpa aba-aba, dia turut tersenyum seperti Zinnirah tika itu.
"Betelgeuse."
"Betelgeuse."
Kedua-duanya bertutur dalam waktu yang sama menyebabkan mereka sama-sama tertunduk dan melepaskan tawa kecil.
"Jodoh kuat betul eh?" usik Absyar menyebabkan Zinnirah berdecit buat seketika sebelum dia sambung tersengih di sebelah suaminya itu.
"Terang bintang tu malam ni dan sekali lagi Allah izinkan saya untuk nampak bintang itu buat kali kedua," kata Zinnirah lalu kembali menatap dada langit itu.
"Dan kedua-dua kali saya adalah bersama awak..." sambung Zinnirah menyebabkan Absyar terus mengulum bibirnya bagi menahan senyum.
Aduh sayang, janganlah cakap macam tu!
"Awak ingat lagi tak apa yang saya cakap tentang Betelgeuse tujuh tahun lepas?" soal Absyar lalu menongkat kedua-dua tangannya ke belakang. Kedudukannya kini sangat santai dengan kaki yang terlunjur ke hadapan, menikmati angin malam.
"Awak cakap, Betelgeuse is tenth brightest star dan betapa beruntungnya kita dapat menyaksikan bintang itu pada malam itu dan juga pada malam ini," jawab Zinnirah lalu menoleh ke arah Absyar yang masih menghadap langit.
"Dan selepas tu awak tanya saya, boleh atau tak awak jadi seterang Betelgeuse dalam hidup awak yang gelap, kan?" Zinnirah hanya angguk sebagai jawapan kepada soalan suaminya.
"Walaupun saya dah jawab tujuh tahun lepas, izinkan saya jawab soalan awak sekali lagi." Posisi diubah. Kini dia bersila menghadap Zinnirah yang sedari tadi memandangnya tanpa putus. Wanita itu hanya diam menanti perkataan demi perkataan yang bakal terbit daripada bibirnya.
"Tujuh tahun telah berlalu Zinnirah dan awak berjaya menjadi lebih terang daripada Betelgeuse. Langit gelap itu sudah mula diterangi oleh cahaya yang awak pancarkan sehingga ia terbias pada orang sekeliling awak secara tidak langsung. Kehadiran awak, membahagiakan. Kewujudan awak, memberi makna hidup. Jika dulu awak rasa langit gelap itu seperti menghempap dunia awak sehingga nyawa terasa tersekat di rangkungan, kini awak berjaya bangkit menjadi seorang Zinnirah yang saya sangat bangga untuk miliki." Absyar menelan liurnya. Wajah Zinnirah yang tenang dia lihat.
"Zinnirah, saya sangat bangga dengan awak. Saya sangat kagum dengan kekuatan dan ketabahan yang ada dalam diri awak. Tak semua orang mampu bertahan seperti awak. Tak semua orang mampu bangkit seperti awak." Zinnirah menarik senyuman kecil di hujung bibirnya apabila melihat cahaya keikhlasan yang terpantul pada anak mata Absyar.
"Jika selepas ini awak berasa seperti tidak mempunyai sesiapa, ingatlah awak ada saya. Saya Absyar Abid Abdullah yang sentiasa mencintai, menyayangi dan mengagumi awak sepanjang hidup saya. Awak adalah segalanya untuk saya, Zinnirah. Dalam hidup ini, saya hanya ada awak. Jadi jangan sesekali rasa takut untuk bergantung pada saya, suami awak yang sentiasa dibuli oleh Mus." Ayat terakhir Absyar menyebabkan Zinnirah melepaskan tawanya secara tiba-tiba membuatkan lelaki itu turut menarik senyum.
Usai saja tawanya reda, dia menatap wajah Absyar yang masih menatap dirinya dengan senyuman yang menimbulkan rasa tenang dalam jiwa kecilnya.
"Terima kasih, Absyar. Awak sentiasa berikan saya kata-kata yang menghidupkan kembali jiwa saya sejak dulu. Saya banyak sangat terhutang budi dengan awak. Bukan setakat budi, nyawa sekali. Awak pun turut hampir mati berkali-kali disebabkan saya," tutur Zinnirah lembut.
"Saya pernah cakap dulu saya ialah bukti cinta Allah pada awak. Allah hantar saya untuk sentiasa selamatkan awak daripada awak pergi dengan cara yang Allah murka. Awak tak hutang apa-apa dengan saya kecuali awak berhutang sesuatu dengan diri awak." Ayat terakhir Absyar membuatkan Zinnirah mengerutkan dahinya.
Hutang dengan diri sendiri?
"Saya hutang apa dengan diri saya?" soalnya dengan penuh tanda tanya.
"Self-love. Self-appreciation. Berbanggalah dengan diri sendiri. Sayangi dan cintailah diri awak dengan selayaknya. You need to love yourself first before you start loving anyone else."
Zinnirah tersentak seketika dengan ayat suaminya itu. Wajah yang sentiasa tenang itu dia lihat tanpa kata. Absyar hanya tersenyum sedangkan dia hanya berdiam diri apabila hatinya tertusuk dengan kata-kata jujur Absyar itu.
"It's hard... tapi saya dah cuba... dan saya sedang mencuba..." kata Zinnirah perlahan dengan kepala yang menunduk.
"Jangan merendah diri, Zinnirah. Saya nampak usaha awak dan saya sangat bangga dengan awak. You should keep going untuk mencintai diri sendiri." Absyar tersenyum kecil. Hujung bahu Zinnirah dia sentuh dengan hujung jari agar wanita itu memberi perhatian padanya.
Zinnirah terus memandang Absyar apabila terasa sentuhan itu pada bahunya.
"Senyumlah. You're the prettiest star when you start smiling. Skru lutut saya pun rasa longgar kalau awak senyum," seloroh Absyar dengan kepala yang ditelengkan untuk melihat wajah yang agak muram itu. Dia tidak mahu wanita itu sedih pada malam itu. Dia hanya mahu lihat isterinya senyum.
Zinnirah yang mendengar ayat usikan Absyar terus tersenyum.
"Silly!" kata Zinnirah lalu terus menyedut air kelapanya.
"Ha, kan cantik isteri saya ni..." puji Absyar.
"Tadi tak cantiklah?" Zinnirah memulangkan paku buah keras.
"Cantik tapi sekarang lagi cantik! Awak punya senyuman dah buatkan lutut saya hilang skru," ujar Absyar dengan sengihan yang makin melebar. Zinnirah terus tertawa dengan tingkah Absyar.
Mereka hanya diam beberapa saat menikmati ketenangan malam yang mula meresap dalam jiwa.
"Absyar..." panggil Zinnirah secara tiba-tiba.
"Ya?" Kepala ditolehkan pada Zinnirah sebelum dia kembali melihat laut apabila isterinya tidak menoleh ke arah Absyar.
"Saya akan cuba sayang dan cinta diri saya dengan ikhlas. Saya akan cuba untuk terima semuanya dengan hati yang reda," tutur Zinnirah dengan lembut. Absyar tersenyum kecil.
"Saya akan sentiasa sokong apa yang terbaik untuk awak, sayang." Absyar membalas dengan nada yang turut sama lembut.
"Absyar... awak nak tahu sesuatu?" soal Zinnirah.
"Tahu apa tu?"
"Saya tak pernah reda dengan apa yang berlaku pada diri saya. Saya tak pernah reda dengan kejahatan dan kekejaman yang mereka buat pada saya. Saya tak pernah reda dengan kematian nenek saya. Saya tak pernah reda dengan kematian anak saya, Absyar. Saya tak pernah reda..." luah Zinnirah apa yang tertanam dalam hatinya sejak sekian lama. Sudah lama dia memendam rasa itu sehingga Absyar merupakan orang pertama yang tahu.
Absyar hanya diam dan menanti sambungan ayat ZInnirah.
"Disebabkan perasaan itu ke hidup saya tak tenang? Disebabkan saya masih dalam fasa untuk menerima takdir ini... saya tak tenang? Salah saya ke sebab saya tak reda, Absyar?" Suaranya mula bergetar tanpa dia sedar.
Seperti biasa, Absyar akan diam dan memikirkan jawapan yang rasional sebelum dia melontarkan pendapat dan kata-katanya untuk menenangkan isterinya itu.
"Sayangku Zinnirah..." panggil Absyar sehingga wanita itu memandang Absyar dengan mata yang berkaca.
"Awak sedikit pun tidak salah untuk merasa sakit itu. Awak tak salah bila rasa marah itu menyerang diri dan awak tak salah bila awak luahkan ini pada saya. Awak tahu, reda adalah perkara yang paling susah bagi seorang hamba hina seperti kita untuk kecapinya. Ia perlukan rasa yang berulang-ulang kali untuk melepaskan apa yang terpendam, apa yang berlaku dan apa yang kita hadapi untuk kita benar-benar reda dengan takdir yang tertulis buat kita.
Dalam kitab Hilyah al-Awliya', Imam Abu Nu'aim telah nukilkan ucapan Imam al-Syafie kepada Rabi' perihal keredaan. Awak dengar dan fahamkan ya apa maksud ayat yang bakal saya baca ini," arah Absyar sambil melihat wajah Zinnirah. Wanita itu hanya angguk tanda faham.
"Keredaan manusia merupakan satu matlamat yang tidak mampu dicapai. Maka hendaklah kamu kamu melakukan apa-apa yang baik buat diri kamu dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, sesungguhnya tidak ada jalan untuk sampai kepada keredaan mereka (manusia). Dari ucapan ini, you should do anything yang mampu mengembalikan ketenangan awak kembali. Hidup dalam keadaan tidak tenang ini ibarat kita terperangkap dalam satu tasik yang dalam. Terkapai-kapai mencari udara tapi apabila kita sedut, hanya air yang memenuhi ruang peparu dan hanya rasa sakit yang kita rasa. Hidup sentiasa rasa tidak selamat. Dalam tasik itu juga kita tidak tahu meski ada ancaman lain atau tidak, jadi kita tidak akan bisa tenang.
Dan untuk situasi awak ini, maafkan dan lepaskan. Maafkan mereka yang kejam dengan awak, lepaskan apa yang terbuku dalam hati awak. Memaafkan mereka bukan bermaksud awak rela dengan apa yang terjadi. Namun awak memaafkan untuk ketenangan hidup awak sendiri. Awak memaafkan untuk awak hidup tanpa ada rasa lemas, tanpa ada rasa sakit, tanpa ada rasa takut. Awak perlu belajar terima apa yang sudah berlaku walaupun perit. Meskipun apa yang berlaku pada awak adalah luar daripada kuasa kita sebagai manusia, ikhlaskan dan lepaskan. Saya tahu ia sangatlah tidak mudah tapi melihat awak bertahan sehingga saat ini, saya yakin awak boleh. Saya yakin sayang saya yang seorang ini mampu hadapi ujian Allah yang ini.
Dalam surah Al-Mulk ayat kedua yang membawa maksud 'Dialah (Allah SWT) yang telah menciptakan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.' Tujuan kita hidup di dunia ini adalah untuk diuji dan awak diuji dengan kemampuan awak, Zinnirah. Allah sayang awak. Saya sayang awak. Jadi jangan berserah ya? Saya doakan awak akan memperoleh syurga yang tertinggi asbab ujian yang awak hadapi di dunia ini, ya sayang." Kata-kata terakhir Absyar membuatkan Zinnirah menghamburkan tangisnya tanpa segan silu. Dia sudah tidak mampu unnntuk menahan rasa sebak yang merajai hatinya sejak tadi.
Absyar yang melihat, semakin mendekati Zinnirah sebelum menarik isterinya itu ke dalam pelukan hangatnya. Lega hatinya apabila si dia tidak menolak.
"Belajar reda ya sayang. Saya tak mampu nak tengok awak menangis dalam tidur lagi. Sayang tak mampu nak tengok awak seperti ini, menangisi rasa sakit yang terpendam bertahun lamanya. KIta belajar reda sama-sama ya..." Absyar cuba memujuk sambil mengusap lembut belakang isterinya.
" Dulu kan.. al-Fudhail bin 'Iyadh pernah nasihat Bisyr al Hafi tau tentang konsep reda ni. Awak nak tahu tak beliau nasihat apa?" Absyar cuba memancing Zinnirah yang masih menangis di dadanya.
Walaupun tidak mendapat jawapan daripada sang isteri, Absyar tetap meneruskan percakapannya.
"Beliau cakap macam ni, 'Reda lebih afdhal berbanding zuhud di dunia. Ini kerana, orang yang reda tidak mengharapkan lebih daripada apa yang dia berada.' Semoga kesayangan saya, Zinnirah akan sentiasa tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa reda, yang sentiasa gembira dan bahagia, yang akan jauh daripada kesedihan mulai malam ini," ujar Absyar sambil menolak sedikit badan Zinnirah supaya jauh darinya. Wajah yang basah dengan air mata, Absyar lap penuh lembut.
"Ya Allah, Kau angkatlah rasa kesedihan dan beban dalam jiwa isteriku ini. Buangkanlah segala perkara yang menghantui hidupnya. Kau hadiahkanlah rasa ketenangan, kebahagiaan, jiwa yang sentiasa reda dengan takdirmu dan kekayaan iman dalam hatinya. Jadikanlah isteriku Zinnirah binti Alwie sebagai hamba kesayangan-Mu, Ya Allah supaya rasa cintanya terhadap-Mu akan bercambah. Kau makbulkanlah doaku ini, Ya Allah. Berikanlah kebahagiaan dan ketenangan kepada isteriku..." Doa Absyar dengan penuh lembut di hadapan wajah Zinnirah sambil mengusap perlahan kepala isterinya.
Zinnirah yang mendengar doa itu menjadi semakin sebak dan terharu.
"Awak..." panggil Zinnirah dengan suara yang serak.
"Ya?" Absyar senyum kecil.
"Saya janji, saya akan cuba untuk reda." Ucapan Zinnirah membuatkan Absyar melebarkan senyumannya.
"Alhamdulillah slowly but surely okay, sayang?" Zinnirah angguk dan langsung menghapuskan air matanya yang tersisa. Nafas dia tarik dan hembus berulang kali untuk menenangkan diri.
"Terima kasih untuk kata-kata awak. You should be a motivator for real," puji Zinnirah sebelum menyedut air kelapa yang masih berbaki.
"Tak naklah, saya nak jadi motivator awak je," kata Absyar.
"Absyar, saya janji saya akan cuba balas rasa awak. Saya tak tahu seberapa lama tapi saya akan cuba sayang awak seperti mana awak menyayangi dan mencintai saya," kata Zinnirah perlahan namun tetap masuk ke pendengaran Absyar yang sudah terpaku di situ. Mata merah isterinya itu dia tatap dan apa yang dia lihat hanyalah kejujuran.
"Saya akan sentiasa tunggu awak," balas Absyar dengan senyuman yang mula melebar.
'Ya Allah, berikanlah hati Zinnirah untukku... Hanya ini doaku untuk diriku, Ya Allah...
Share this novel