ABSYAR MEMBERI SALAM perlahan seraya menutup pintu rumahnya. Belakang tengkuk yang lenguh dia picit sebelum berjalan menuju ke kamarnya. Namun baru separuh perjalanan, dia terhenti apabila melihat perubahan kedudukan sofa di ruang tamu.
Dahi berkerut tanpa pinta. Kaki mula melangkah ke situ sebelum Absyar tersenyum kecil melihat lantai yang bersepah dengan kertas-kertas lukisan, laptop yang sudah gelap skrinnya dan juga sang isteri yang sudah tertidur secara meniarap walaupun pensel masih setia dalam genggaman.
Jam di dinding dia pandang sekali lalu. Baru jam 9 malam, masih awal buatnya namun tidak bagi Zinnirah yang sudah ke alam mimpi.
Absyar mencangkung di sebelah Zinnirah lalu rambut yang sudah panjang melebihi paras dada itu dia usap seketika. Wanita itu sudah berhenti memotong rambut sendiri sejak mereka bernikah dan Absyar bersyukur akan hal itu. Dia tidak pernah memaksa Zinnirah untuk memanjangkan rambutnya tapi wanita itu selalu bijak mengambil hatinya.
Pensel yang dipegang isterinya, Absyar tarik dan letakkan kembali ke dalam bekas pensel. Si isteri yang tadinya tidur meniarap, dia gendong dengan penuh lembut lalu Absyar letakkannya di atas sofa ruang tamu. Kepala turut dia lapik dengan bantal kecil untuk menyelesakan kedudukan Zinnirah.
Kertas yang bersepah Absyar kumpulkan dan dia letakkan di satu tempat bersama barangan kerja Zinnirah yang lain. Wajah si isteri yang letak itu dia kerling seketika lalu dia terus masuk ke dalam bilik untuk menyegarkan diri.
Dia mahu mandi dan makan. Seharian dia tidak menjamah apa-apa kecuali spagetti bolognese yang dibekalkan oleh Zinnirah pada pagi tadi. Perut melayu sepertinya itu... mana mungkin tidak mencari nasi dalam sehari. Dulu mungkin boleh tapi setelah berkahwin dengan Zinnirah, dia sudah terbiasa dengan perut yang sentiasa terisi.
Ini semua salah isterinya yang bijak mengikat perutnya!
Baju tangan pendek dan seluar pelikat dia pakai lalu terus meluru ke dapur. Tudung saji dia buka dan bibir sudah tersenyum gembira melihat lauk di bawah sana. Daging masak hitam yang dimasak oleh isterinya itu kelihatan sangat menggoda.
Pinggang di rak dia ambil lalu terus menceduk nasi yang masih panas dengan bahagianya. Baru saja dia duduk, loceng rumahnya berbunyi secara tiba-tiba. Absyar terus mengerutkan dahi dan menahan keluhan daripada terlepas.
Mahu tak mahu, dia tetap bergerak pantas ke arah pintu dan membukanya tanpa berfikir dua kali. Wajah Mustaqim yang tersengih di depan pintu membuatkan Absyar memeluk tubuh sendiri.
"Nak apa?" soal Absyar dengan wajah beriak biasa.
"Sombongnya adik ipar aku ni. Aku dah tak boleh datang sini ke?" perli Mustaqim kembali sebelum menolak sedikit tubuh Absyar dan melangkah masuk ke rumah sahabatnya. Matanya tertancap sedikit pada ruang tamu dan terus Mustaqim bergerak ke situ.
Zinnirah yang tertidur pulas di atas sofa membuatkan Mustaqim tertarik senyuman kecil. Tangan terus mengusap kepala adik kesayangannya sebelum melabuhkan satu ciuman hangat di ubun wanita itu.
Mustaqim terus bergerak ke dapur setelah dia puas menilik wajah adiknya yang sudah lama tidak berjumpa walaupun mereka hidup berjiran dek waktu pekerjaan yang tidak sama. Rak ditujui sebelum mengambil pinggan dan mengaut nasi dari dalam periuk nasi rumah sahabatnya itu.
"Uyo! Ada daging masak hitam bro!" kata Mustaqim sedikit kuat setelah matanya bertembung dengan semangkuk lauk yang sungguh menggoda itu
"Duduklah, makan sekali," ajak Absyar sebelum sambung menyuap juadah itu ke dalam mulut.
"Kalau kau tak ajak pun aku dah kaut nasi. Lapar ngat-ngat, kat hospital tadi tak sempat makan," adu Mustaqim. Lauk yang dimasak adiknya itu dia ceduk beberapa kali sehingga puas. Sudah lama dia tidak makan masakan Zinnirah. Rindu!
"Okey ke department kau?" soal Absyar sambil menjeling Mustaqim yang khusyuk makan tanpa bicara.
"Hampir K.O. Banyak gila budak-budak masuk hospital sebab influenza." Mustaqim menggelengkan kepalanya sebelum duduk bersandar pada kerusi seraya menepuk perlahan perutnya yang sudah kenyang.
"Memang musim influenza sekarang ni, apalagi makin busylah kau lepas ni Mus." Absyar tersenyum kecil.
"Tapi tak akan menjadi sesibuk kau, Cad. Department kau tu setiap masa sibuk, tak ada satu masa pun yang lenganglah." Mustaqim pelik sungguh dengan minat sahabatnya itu. Dalam banyak-banyak jabatan, jabatan kecemasan juga yang menjadi pilihan hatinya.
Tak faham betul.
Absyar hanya tersenyum tanpa membalas ayat Mustaqim. Dia terus bangun membawa pinggannya dan juga Mustaqim ke singki untuk dicuci.
"Eh tak payahlah, Cad. Kau ingat aku tak reti basuh pinggan ke?" tegah Mustaqim dan langsung duduk menegak.
"Takpe, bukannya kena steril pun pinggan ni." Mustaqim berdecit dengan jawapan toya Absyar. Menyampah aku!
"Kalau macam tu, meh basuh tangan aku ni sekali." Mustaqim terus menghulurkan tangannya dari kerusi yang dia duduki tadi. Nak basuh sangat kan?
"Bontot kau melekat kat kerusi ke apa? Pergilah basuh sana. Dua langkah aje pun, Mus." Kepala digelengkan dengan perangai Mustaqim itu. Tak berubah-ubah!
Absyar terus meneguk air sejuk tanpa mengendahkan Mustaqim yang sedang membebel entah apa.
"Kau nak air, kau ambil sendiri dalam peti ais tu," kata Absyar sambil menahan tawa memandang Mustaqim.
"Teruknya kau layan tetamu, Acad. Ada ke suruh tetamu buka peti ais rumah orang?" bebel Mustaqim namun tangannya itu laju saja mengambil sebotol air sejuk ke meja yang mereka duduki sejak tadi.
"Macam tak biasa pulak kau ni..."
"Memanglah, aku ni putera lilin. Semuanya kena orang buatkan."
"Otak kau!" Mereka terus menghamburkan tetawa sebaik saja Absyar menghamburkan ayat itu dengan penuh menyampah.
"Abiy..." panggil Zinnirah sambil berjalan mendekati mereka. Mata dia gosok berkali-kali disebabkan kantuk yang masih tersisa.
Mustaqim yang terdengar panggilan adiknya itu terus tersembur air yang diminumnya tadi. Dia batuk tanpa henti lalu mengurut dada yang terasa perit. Adui, sakitnya tersedak!
"Mus ni cuba minum elok-elok? Dah besar pun minum macam budak kecik ni kenapa?" marah Zinnirah sambil mengusap belakang abangnya sedikit kuat.
"Mus terkejut je..."
"Terkejut apa?" Absyar dan Zinnirah menyoal serentak.
"Ji panggil Acad abiy... Memang terkejutlah jantung Mus yang selembut baldu ini..." Mustaqim terus mengebilkan matanya ke arah Zinnirah sebelum wanita itu menolak pipi abangnya tanpa kasihan.
"Biarlah nak panggil apa pun, sibuk je..." Zinnirah mengambil duduk di sebelah Absyar. Botol yang masih berisi air sejuk itu dia capai lalu dituangkan ke dalam gelas suaminya. Dengan lafaz basmallah, dia membasahkan tekaknya yang sedari tadi kering.
"Nanti nak suruh isteri Mus panggil Mus hubby lah. Eii mesti comel!" Mustaqim secara tiba-tiba menopang dagu dan tersenyum lebar sementelah dia mengatakan hal itu.
"Dah ada calon ke?" soal Absyar.
"Dah, korang je tak tahu." Mustaqim menjawab penuh bangga.
"Sumpahlah, Mus?" Kali ini Zinnirah pula yang terkejut.
"Iya, betul. Bila tiba masanya nanti Mus kenalkan dengan family kita. Bawak bersabar yang semua orang. Tahu tak sabar nak tengok putera ini bernikah dengan gahnya tapi bawak bersabar ya," seloroh Mustaqim namun apa yang dia katakan itu benar. Satu hari nanti dia akan kenalkan calonnya dengan family mereka.
"Cantik tak dia, Mus?" soal Zinnirah ingin tahu.
"Cantik gila! Cantik daripada Ji." Mustaqim mengekek ketawa dengan ayat terakhirnya apabila melihat wajah cemberut sang adik.
"Benci Mus!"
"Jangan dengar Mus tu, sayang. You're the prettiest okay," puji Absyar.
Mustaqim yang dengar sudah buat gaya mahu termuntah. Loya betul dirinya menyaksikan Absyar versi yang ini. Geli!
Mana perginya Absyar pelajar plus tahfiz dulu? Dia tidak sanggup menyaksikan Absyar versi romantis ini.
"Rasa nak muntah aku dengar kau berjiwang ni, Acad. Aku rasa malam ni aku mimpi buruk." Mustaqim terus bertingkah gaya geli.
"Sayang dengar tak ada orang nak muntah tadi? Apa yang kita nak buat dengan dia ni sayang?" Absyar berbisik di telinga Zinnirah namun masih dapat didengari oleh Mustaqim. Zinnirah tahu suaminya mahu mengusik Mustaqim menyebabkan dia terlepas tawa besar apabila terpandang wajah abangnya.
"Kita biarkan aje dia muntah abiy, lepas muntah suruh dia mop sendiri." Zinnirah turut melayan.
"Argh sudah! Gelilah!" Mustaqim terus bangun daripada duduknya. Tak sanggup dia mahu menyaksikan jiwa jiwang karat dua manusia di depannya itu.
Absyar dan Zinnirah terus tertawa dengan tingkah Mustaqim itu.
"Aku nak balik. Goodbye annyeong!" Terus Mustaqim berlalu sambil menjeling pada pasangan dua sejoli itu.
"Dah nak balik ke, baby?" usik Absyar lagi.
"Diam bodoh! Aku geli!" jerit Mustaqim dari depan pintu menyebabkan Zinnirah menyambung tawanya. Absyar hanya senyum tanpa bicara apa-apa. Kelakar betul.
"Abiy..." panggil Zinnirah.
"Ya?" Keningnya terangkat sebelah.
"Abiy nak minum air manis ke? Sorry Ji tertidur tadi, tak dapat temankan abiy dinner." Zinnirah sungguh-sungguh berasa bersalah atas tindakannya tadi.
"Tak apa, yang. Abiy dah makan dengan Mus tadi. Thank you for the dinner," ucap Absyar dengan senyuman yang tidak pernah lepas daripada bibirnya.
"Betul ni tak nak air?" soal Zinnirah sekali lagi. Absyar terus geleng. Dia tidak mahu menyusahkan isterinya itu.
"Esok Ji ada appointment tau, abiy nak ikut?" Wajah Absyar dilihat sebelum pandangan mereka bertembung.
"Pukul berapa?"
"9 pagi."
"Okey, abiy nak ikut."
"Tak kerja ke?" Dahi Zinnirah berkerut.
"Esok abiy shift malam." Zinnirah angguk tanda faham.
"Dah, sayang pergi tidur. Ni biar abiy kemaskan." Absyar mula menolak isterinya masuk ke dalam bilik. Dia tahu wanita itu masih berasa lelah dengan kerjanya.
"Terima kasih abiy..." ucap Zinnirah.
"Sama-sama kasih, sayang..." balas Absyar dengan senyuman yang turut melebar. Namun hanya bertahan buat seketika apabila teringatkan perbualan demikian hari dan esok mereka akan tahu apa kena dengan ginjal Zinnirah.
Semoga semuanya baik-baik saja...
Share this novel