BAB 13

Romance Series 33949

MUSTAQIM BERGOLEK KE kiri lalu ke kanan akibat perasaan bosan yang maha hebat melanda dirinya ketika itu.

Sungguh dia tidak tahu mahu berbuat apa di dalam bilik ini seorang diri. Solat sudah. Mengaji pun sudah.

Tugasan yang diberikan oleh pensyarah sudah diselesaikan. Assignment bahagiannya turut sudah siap. Zinnirah juga sudah ditelefon tadi.

Cuma, Absyar saja yang belum pulang ke bilik untuk dibuli. Ehek, macamlah dia dapat membuli 'abang'nya itu.

Kaki mula menyepak angin apabila dia betul-betul tidak tahu mahu berbuat apa. Secara tiba-tiba, matanya tertancap pada kipas siling di bilik mereka.

Bagai ada mentol lampu yang muncul, Mustaqim terus melompat turun dari katilnya dan mematikan suis kipas. Penyapu dicapai dengan senyuman yang lebar di bibir.

Dia mahu cuci kipas!

Barulah tidak bosan seorang diri dalam bilik walaupun jam sudah menginjak pukul 9.15 malam.

Aplikasi muzik dibuka sebelum dia memulakan langkahnya untuk membersihkan kipas yang berhabuk setebal buku teks Sivik dan Kewarganegaraan tingkatan empat.

Usai membersihkan kipas, lantai disapu dengan bersih sebelum kepulangan 'abang' kesayangannya itu. Mahunya dia dibebel jika tinggalkan begitu saja.

Jam di telefon dilihat sekali lagi sebelum dahi berkerut hebat.

Mana pergi Absyar ni? Dah nak masuk 9.45 malam tapi belum nampak batang hidungnya.

Tanpa menunggu lama, Mustaqim terus meniarap di atas tilamnya sambil membuka aplikasi TikTok.

Bunyi derapan kaki di luar bilik menyebabkan fokusnya pada telefon terganggu. Mustaqim terus menoleh ke arah pintu sebelum menopang dagu.

"Tak penat ke?" soal Mustaqim sebaik saja Absyar menutup pintu kamar mereka.

Beg terus diletakkan pada meja belajar lalu stoking terus dicabut dan dimasukkan ke dalam bakul baju kotor.

"Apa yang penat?"

"Kau lah, kau tak penat ke? Siang kelas, malam kelas mengaji lagi. Weekend kerja. Tak penat ke?" Dahi mula berkerut apabila memandang wajah tenang itu. Absyar mula menggaris senyuman sebaik saja soalan itu masuk ke koklea telinganya.

"Dalam hidup ni, tak ada benda yang tidak memenatkan Mus. Penat atau tak, aku kena teruskan sebab aku yang pilih jalan ini. Aku tak akan mengeluh," jawab Absyar penuh hemah.

Botolnya diambil dan diteguk air di dalamnya dengan lafaz basmallah.

"Perlu ke kau jadi student plus tahfiz, Cad?"

"Belajar tentang agama itu wajib, Mus. Walau sesibuk manapun aku, aku akan cuba untuk belajar supaya aku tak akan rasa menyesal di kemudian hari." Absyar tersenyum manis.

Mustaqim terus terkulat-kulat dengan jawapan Absyar itu. Fuh, menusuk jantung!

"Lagipun aku bakal menjadi ayah kan suatu hari nanti? Takkan aku nak biarkan anak aku terkapai-kapai tanpa bimbingan yang betul."

Mustaqim terus menoleh laju pada Absyar setelah mendengar ayat itu. Ayah? Wah, mamat ini memang sudah berfikir ke depan!

"Kau nak kahwin dengan siapa ni? Dah ada calon ke?"

"Dah." Senyuman Absyar semakin melebar.

"Aku kenal ke?" Dahi Mustaqim semakin berkerut.

"Kenal. Kau kenal sangat dia."

"Siapa, Cad? Bagitahulah aku!" Perasaan teruja tiba-tiba melonjak dalam diri Mustaqim.

"Bila tiba masanya, kau akan tahu juga." Senyuman Absyar semakin melebar manakala senyuman Mustaqim meluntur.

"Sejak bila kau kerek sampai macam ni sekali, Cad? Bagitahu je lah aku. Dengan aku pun kau nak berahsia ke?" Mustaqim berdecit kuat sebelum dia bangun dari terus meniarap.

"Tak boleh bagitahu benda yang belum pasti, Mus. Jangan risau, kau orang pertama yang akan aku maklumkan nanti. Jangan risau, okey?" Absyar tersengih dengan ayatnya.

"Serius?"

"Pernah ke aku main-main?"

"Oh, betul juga tu..." Mustaqim terus menggaru kepalanya.

Absyar hanya menggelengkan kepala sebelum mencabut baju yang dipakai lalu dicampak masuk ke dalam bakul kotor.

Tuala yang tersidai di tepi almari, dia ambil dan sangkutkan pada leher. Baru saja dia mahu melangkah keluar dari bilik untuk menuju ke bilik air, namanya sudah diseru oleh Mustaqim.

"Ada apa?" soal Absyar yang masih berada di bingkai pintu bilik.

"Duduklah dulu, aku nak cakap dengan kau kejap," arah Mustaqim sambil menunjuk menggunakan mata ke arah katil Absyar yang berhadapan dengannya.

Absyar hanya menurut sambil menjungkitkan keningnya.

"Kenapa?" soalnya sekali lagi.

"Lagi sebulan kita dah nak cuti semester." Ayat Mustaqim terhenti di situ.

"Okay... Then?" Dahi Absyar semakin berkerut dengan ayat separuh lelaki itu.

"Teman aku balik kampung," kata Mustaqim sambil tersengih.

"Bukannya family kau semuanya ada kat sini ke? Kau nak balik kampung buat apa?" soal Absyar dengan nada pelik.

"Aku nak pergi ambil kenderaan baba dan bawa ke sini. Orang tua tu lama lagi dalam jail, so daripada biarkan kereta dan motor tu mereput, lebih baik aku guna," jawab Mustaqim panjang tanpa perasaan. Absyar hanya diam mendengarkan jawapan itu.

"Sejak kes Ji, aku tak pernah balik kampung. Entah dah jadi apa dah rumah tu. Sebab itulah aku ajak kau untuk balik kampung dengan aku. Aku nak bersihkan rumah tu dan rumah nenek. Nak kemas barangan Zinnirah untuk angkut balik ke sini. Nak kemas kubur nenek juga," tambah Mustaqim lagi.

"Kau dah tanya abang Zhafran?" soal Absyar penuh hati-hati.

"Dah dan semestinya dia tak akan ikut. Member busy person." Mustaqim terus menjongketkan bahunya sambil menjuihkan bibir apabila teringatkan abang sulungnya itu.

"Kalau macam tu, aku on aje nak ikut kau balik kampung. Nanti apa-apa kau roger aku semula, takut aku lupa."

"Betul ni, Cad?"

"Ya."

"Thank you, bro! Kan aku dah cakap, kau yang selayaknya jadi abang aku!" kata Mustaqim penuh gembira.

"Kau janganlah cakap macam tu depan abang Zhafran, mahu terasa dia nanti," tegur Absyar dalam senyuman yang tertahan.

"Argh, lantak dia lah. Apa yang aku cakap itu fakta kut," bantah Mustaqim.

"Suka hati kau lah, Mus. Aku nak pergi mandi," kata Absyar sebelum mula bergerak ke pintu bilik.

"Ha pergilah mandi, aku nak sambung scroll TikTok ni," balas Mustaqim tanpa menoleh ke arah Absyar.

Lelaki itu hanya mampu menggelengkan kepala melihat tindak-tanduk sahabatnya itu.

Mustaqim... Mustaqim... Bila kau nak matang ni?

SEBULAN KEMUDIAN....

"Home hell home!"

Absyar hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila suara Mustaqim itu menusuk ke dalam telinganya sebaik saja mereka memberi salam.

Rumah yang lama ditinggalkan, sama seperti kali terakhir mereka berada di situ.

Absyar terpandangkan ke suatu arah di ruang tamu. Bagai tertayang di hadapan matanya keadaan Zinnirah yang berlumuran darah di lantai itu. Zinnirah yang nadinya berdetak perlahan dan hampir saja hilang ritmanya. Dan perasaan gementarnya apabila melihat keadaan gadis itu, berbulan yang lalu.

Absyar mula berjalan ke arah dapur. Masih tersusun tanpa sebarang usikan.

"Acad!" Jeritan dari satu bilik itu menyebabkan Absyar menghentikan tindakannya. Kakinya melangkah pantas ke arah bilik yang terbuka luas biliknya.

"Kenapa?"

"Duduklah sini, teman aku kemas barang Ji," ajak Mustaqim sambil melorotkan matanya ke dalam bilik itu.

"Ini bilik Zinnirah ke?" soal Absyar kembali.

"Haah," jawab Mustaqim.

"Dia suka warna biru laut ke?" tanya Absyar lagi apabila dia sudah masuk ke dalam bilik gadis itu.

"Haah, dia cakap warna biru itu menenangkan dan dia sangat sukakan laut. Kau tahu tak, percutian kita di Pulau Perhentian tahun lepas tu merupakan holiday pertama Ji dengan laut. That's why dia selalu duduk and pandang aje laut tu lama-lama." Mustaqim bercerita panjang sambil tangannya laju melipat dan memasukkan pakaian Zinnirah ke dalam bagasi.

Absyar hanya mengangguk faham dan memerhati bilik itu. Kemas, bersesuaian seperti seorang Zinnirah yang dia kenal dulu.

"Acad, kau tolong kumpulkan dokumen Ji boleh?" arah Mustaqim.

"Kat mana? Kumpulkan semua dokumen ke?" tanya Absyar sebelum bergerak ke arah meja belajar gadis itu.

"Ada dalam laci meja, kau kumpulkan aje semua dokumen dia." Absyar mengangguk faham.

"Oh, nanti kita pergi sekolah Ji ya untuk ambil slip dan sijil STPM dia," tutur Mustaqim.

"Beres, bos." Tangannya laju memasukkan fail dan dokumen ke dalam kotak yang dia jumpai. Sesekali dia membelek tulisan dalam buku nota pelajaran Zinnirah. Sungguh cantik dan kemas, persis seperti tuannya.

Absyar tersenyum kecil.

"Eh ini jaket siapa?" Soalan Mustaqim itu menyebabkan Absyar pantas menoleh. Matanya membuntang sebelum dia mengemam bibir.

Itu... Jaketnya.

Jaket yang dia berikan pada Zinnirah pada malam yang gadis itu cuba untuk menamatkan riwayatnya di dalam laut dalam itu.

"Kenapa aku macam pernah nampak eh jaket ni?" soal Mustaqim lagi sehingga terteleng kepalanya membelek jaket itu.

"Kau tahu ke siapa punya?" Mustaqim terus menyoal Absyar yang berdiam diri.

Absyar terus berdehem sebelum menggelengkan kepalanya.

"Mungkin ada kawan dia yang hadiahkan pada Zinnirah, kau bawa ajelah jaket tu," cadang Absyar.

"Ada betul juganya tu, mungkin jaket ni ada sentimental value untuk Ji. So, aku bawa aje lah." Mustaqim terus melipat dan memasukkannya ke dalam beg. Absyar terus tersenyum dalam hati.

Apabila dia yakin yang semua dokumen Zinnirah selamat di dalam kotak itu, Absyar terus bergerak ke arah Mustaqim.

"Mus, aku nak pergi belakang rumah kau kejap boleh?" Dia meminta izin.

"Buat apa?" soal Mustaqim dengan dahi berkerut.

"Aku nak ziarah Muhammad."

"Hah? Siapa Muhammad?" Terus terhenti tindakan Mustaqim apabila mendengarkan ayat yang keluar daripada mulut lelaki itu.

"Muhammad, anak Zinnirah."

Kali ini, Mustaqim faham apa yang dikatakan oleh Absyar.

Lelaki itu mahu melawat janin Zinnirah yang keguguran berbulan yang lalu. Hal ini kerana, Absyar ialah orang yang menyelesaikan hal pengebumian janin itu. Walaupun dia hanya perlu menutup ketulan daging itu dengan kain bersih tanpa perlu dimandikan, dikafankan dan disolatkan kerana Muhammad tidak disabit sebagai kelahiran biasa.

Meskipun baru berusia satu bulan dalam kandungan, masih tidak mempunyai bentuk dan jauh lagi ditiupkan ruh ke dalamnya, namun Absyar tetap menamakan anak Zinnirah itu sebagai Muhammad, Yang Terpuji.

"Pergilah," kata Mustaqim sambil memandang belakang Absyar yang mula bergerak keluar dari bilik itu.

"You're really going to be a great father, Acad," kata Mustaqim seorang diri.

Sumber pengebumian janin berusia satu bulan : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #602

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience