"ESOK KAU JADI ke balik rumah abang kau?" soal Absyar sambil menutup buku teks setebal tiga inchi itu. Badannya dialihkan ke belakang untuk melihat Mustaqim yang dengan senang-lenangnya berbaring di atas katil.
"Hm, kenapa?" balasnya acuh tak acuh. Mata masih melekap pada skrin telefonnya.
"Tak ada apa, saja tanya," dalih Absyar.
"Kau tak nak ikut ke Cad?" soal Mustaqim secara tiba-tiba. Daripada berbaring dia terus duduk di hujung katil sambil memandang wajah sahabatnya itu.
"Ikut balik rumah abang kau?"
"Ya lah, Ji pun dah keluar wad pagi tadi. Sebab itulah aku decide untuk balik esok," terang Mustaqim panjang.
Terus terangkat kepala Absyar yang menunduk buat seketika tadi. Wajah Mustaqim dipandang dengan penuh perasaan terkejut.
"Zinnirah dah keluar wad?" Dahi turut sama berkerut.
Mustaqim mengangguk laju. "Dah tiga bulan dia terkurung dalam wad tu Cad... And esok pun birthday Ji, that's why aku nak balik. Tak nak ikut ke?" sekali lagi dia mengajak.
"Is she really okay now?" tanya Absyar dengan wajah penuh serius. Soalan terakhir itu dia hanya mengabaikannya.
"Much better. Doktor Dahlia bagitahu aku haritu, Ji tak boleh duduk dalam wad tu dalam waktu yang panjang dan berterusan. It's not good for her. Jadi, it is the time untuk dia pulang walaupun dalam masa seminggu dua dan selepas itu dia kena kembali semula ke wad." Mustaqim menerang panjang.
"Tak nak ikut ke, Cad?" Sekali lagi dia menyoal. Lelaki itu tidak punya siapa-siapa, sebab itulah Mustaqim selalu berkepit dengannya.
"Tak naklah, itu kan small celebration untuk family kau. Tak seronoklah kalau aku ada," balas Absyar dengan wajah serius.
"Kau kan family aku, Cad. Kau abang aku. Mestilah kau kena ada sekali dengan aku," Mustaqim cuba memujuk lagi.
Not yet, Mus.
"Fikirkan keselesaan Kak Zu dan Zinnirah. Aku tak ada pertalian darah dengan keluarga kau, nanti mereka tak selesa ada lelaki asing dalam rumah tu. Cukuplah haritu aje aku menumpang rumah abang kau, Mus. Jawapan aku muktamad, aku tak akan ikut kau," kata Absyar dengan penuh rasional. Bibirnya juga tersungging senyuman nipis.
Mustaqim mengeluh perlahan.
Betul juga apa yang dikatakan oleh Absyar tadi. Sungguh tidak pernah terlintas dalam fikirannya tentang hal yang satu itu.
Jeda.
Suasana menjadi senyap tanpa apa-apa bicara.
"Mus, esok kau balik pagi ke?" soal Absyar.
"Haah, dalam pukul 10 macam tu. Kenapa?"
"Sebelum kau balik, kau tunggu aku sekejap boleh?" tanya Absyar sebelum matanya mencari wajah Mustaqim yang sudah berkerut mendengarkan soalannya itu.
"Apahal pula kena tunggu kau?" Hampir bersambung kening Mustaqim pada ketika itu.
"Aku...err...aku..." Kepala yang tidak gatal tiba-tiba saja terasa seperti diserang kutu babi.
"Sejak bila kau gagap pula ni Absyar Abid? Nak terberak ke?"
"Otak kau nak terberak!" Terus dia menjeling Mustaqim yang sudah tersengih memandangnya.
Usik sikit pun tak boleh.
"Lepas tu, yang kau duk aku err aku err dari tadi tu kenapa? Nak kena pergi buat kad OKU pula ke?"
"Tuhan, berikanlah aku kesabaran yang tebal dalam menghadapi cengkerik ini." Absyar berdoa dengan suara kuat sambil mengangkat tinggi kedua-dua tangannya dengan mata tertutup.
Mata Mustaqim terus membulat mendengar panggilan itu.
Cengkerik?! Cengkerik dia panggil?!
"Kau–"
"Okey dah tak payah jerit. aku nak bagitahu kenapa aku suruh kau tunggu aku esok." Laju Absyar memotong percakapan Mustaqim apabila kelihatan lelaki itu mula untuk menaikkan nada suaranya.
"Ha cakaplah cepat, cengkerik ni nak dengar," balas Mustaqim dengan muka menyampah.
Absyar hanya mampu tertawa perlahan dengan ayat sahabatnya itu.
"Esok sebelum kau balik, aku nak bagi sesuatu untuk kau berikan pada Zinnirah. Boleh ke?" Dalam satu nafas, Absyar berkata sebelum menggigit dalam pipinya.
"Kenapa kau nak bagi 'sesuatu' untuk Ji?" Kening dijongketkan dek rasa pelik.
"Aku dah berjanji dengan dia haritu, waktu keputusan STPM keluar. Aku janji nak berikan dia hadiah. Alang-alang esok birthday dia, aku serahkanlah terus pada kau. Boleh ke?" Sekali lagi dia menyoal.
"Kenapa kau tak serahkan pada dia sendiri?" soal Mustaqim lagi bagai polis pencen.
"Seganlah. Lagipun aku memang tak nak jumpa dia, aku takut dia tak selesa." Alasan baru dicipta.
"Apa nak segannya? Kau bukannya kenal dia semalam."
Absyar terus menghela nafas panjang.
Apa yang susah sangat nak memahamkan seorang Mustaqim ni?
Nak cakap bodoh, sekarang dia tengah sambung belajar dalam bidang perubatan. Tapi jujur Absyar katakan, kenapa Mustaqim kelihatan sangat bodoh?
Geram pula dia pada waktu itu.
"Aku kenal dia tak sampai setahun pun, Mus. Dan yang paling penting, tak manis. Aku dan Zinnirah tak ada apa-apa pertalian darah. Kami bukan mahram. Selagi aku boleh elak daripada berjumpa dia, aku elak. Selagi aku boleh gunakan kau sebagai orang tengah, aku akan memanfaatkannya sebaik mungkin."
Ayat terakhirnya membuatkan Absyar tersengih seperti kerang busuk. Sesungguhnya dia masih mempunyai niat untuk berhubung dengan gadis itu melalui abangnya.
"Ah, kau ingat aku ni posmen kau?" Mustaqim terus berdecit.
"Aku kan abang kau, Mus?" Absyar cuba memasang jerat.
"Ish ya lah, menyesal pula aku mengaku kau abang tadi." Mustaqim berkata penuh sebal.
"Macam ni lah adik abang, menurut perintah." Absyar terus mengusap rambut Mustaqim tanda mengusik lelaki itu sebelum terasa bontotnya disepak perlahan oleh jejaka cengkerik itu.
"Gelilah setan!" jerit Mustaqim sebelum mereka sama-sama tertawa.
"Setan ni tengah cuba jadi hafiz tau?"
"Ah diamlah Acad. Aku surrender." Mustaqim mengangkat kedua-dua tangannya tanda dia benar mengalah dengan Absyar. Sudah tidak mampu lagi untuk berlawan mulut apabila dia sudah membuka perihal agama.
Dia bukanlah tidak tahu, cuma ilmunya cetek dan ciput.
"ASSALAMUALAIKUM, kesayangan Mus yang dicintai dunia akhirat!" kuat suara lelaki itu apabila tiba di hadapan pintu rumah Zhafran.
Wajahnya bersinar-sinar apabila terpandang Zinnirah yang elok duduk bersebelah Zarif di sofa itu.
"Pak ngah!" suara Zarif turut sama nyaring dengan Mustaqim.
"Ya sayang, Ayep buat apa dengan mak su?" soal Mustaqim sambil berjalan beriringan dengan budak kecil itu. Beg pakaian dan beg kertas pemberian Absyar itu dia letakkan di tepi sofa.
"Ayep nak main lego dengan mak cu! Tapi mak cu diam je, tak bercakap pun..." suara itu makin kendur apabila mengadu perihal Zinnirah kepada pak ngahnya.
Mustaqim yang baru melabuhkan duduk di sofa yang sama dengan adiknya, terus menoleh memandang Zinnirah yang menenung televisyen bagai hendak tembus.
Gadis itu mengelamun lama sampai tidak sedar yang dia sudah ada di sisinya.
"Mak cu letih tu, Ayep. Mak cu kan baru balik dari hospital, mestilah mak cu penat. Jadi Ayep jangan buat mak cu marah tau, Ayep kena sabar aje dengan mak cu. Boleh?" kata Mustaqim sambil menarik anak buahnya untuk duduk di ribaannya.
"Boleh!" jawabnya penuh semangat.
"Tapi kan pak ngah..." Mustaqim mula menunduk melihat kepala Zarif.
"Hm, kenapa?"
"Mak cu sakit apa? Kenapa mak cu baru balik rumah?" Soalan itu membuatkan lidah Mustaqim kelu buat seketika.
"Mak cu sakit teruk. Ayep doakan mak cu cepat sihat tau?" Hanya itu yang mampu Mustaqim jawab.
"Baik! Ayep sayang mak cu! Ayep nak mak cu cepat sihat! Bila mak cu sihat, mak cu boleh main dengan Ayep. Betul kan pak ngah?" Kepala itu mendongak memandang Mustaqim yang sudah tersenyum kecil memandangnya.
"Betul. Bijak anak pak ngah ni." Rambut lebat itu diusap perlahan.
"Mana lego Ayep? Jom kita main," ajak Mustaqim sambil mendukung Zarif ke tempat dia bermain tadi.
"Yeay! Pak ngah nak main dengan Ayep! Jom jom kita buat lego!"
Mustaqim terus tergelak kecil dengan suara nyaring. Sesekali, matanya tertancap pada Zinnirah yang masih dalam dunianya sendiri.
Termenung tanpa sedikit kerdipan.
Apa yang berada di fikiran gadis itu?
Share this novel