BAB 61

Romance Series 47910

ZINNIRAH MENELAN LIUR yang terasa kelat di rangkungan sebelum dia terpaksa membuka mata untuk mencari air. Sebelah tangan meraba sebelah kawasan katil lalu dahi mula berkerut secara automatik. Kosong? Mana pergi suaminya?

Perlahan-lahan, Zinnirah mendudukkan diri dan bersandar di kepala katil. Tangan itu lalu mencapai jug air dan gelas yang sentiasa disediakan oleh Absyar di sebelah tempat peraduan mereka. Usai, baru matanya kembali melingas mencari gerangan lelaki itu.

Bibir mula tersungging senyum kecil tatkala korneanya berhenti pada gerangan Absyar yang khusyuk bertenggek di tepi katil bayi Sumayyah, memandang bayi kecil itu tanpa berkelip dan senyuman yang langsung tidak luntur. Sesekali jemari panjang dan runcing itu mengusap lembut rambut Sumayyah yang larut dalam mimpi.

Begini rupanya pemandangan yang Zinnirah peroleh setelah empat tahun lelaki itu menunggu kehadiran si kecil dalam keluarga mereka. Dia mula berasa terharu apabila dihargai sedemikian rupa oleh Absyar. Lelaki itu sangat sayangkan Zinnirah dan Sumayyah. Jadi, nikmat Tuhan yang mana satu perlu dia dustakan? Tak ada. Absyar sudah cukup sempurna buat keluarga mereka.

"Abiy," panggil Zinnirah setelah sekian lama menjadi patung cendana dan memerhatikan setiap gerak-geri sang ayah terhadap anak sulungnya.

Jejaka itu terus menoleh laju ke arah katil apabila namanya diseru. Daripada bongkok, dia terus menegakkan badan lalu berjalan ke tempat beradu mereka.

"Sayang dah bangun? Nak apa-apa ke?" soal Absyar lembut. Dia melabuhkan duduk di sebelah Zinnirah lalu membetulkan sedikit kedudukan bantal di belakang isterinya supaya wanita itu selesa.

Zinnirah menggeleng perlahan. Wajah suaminya dipandang lama sehingga membuat Absyar tidak senang duduk. Sesekali, dia menolak cermin matanya ke belakang lalu berdehem perlahan. Belakang kepala digaru tanpa sedar.

Aish, kenapa tengok macam tu? Jantung dia berdebar tahu tak?!

"Kenapa sayang tengok abiy macam tu?" soal Absyar polos.

"Saja nak tengok abiy puas-puas. Nanti abiy pergi kerja, Ji dah tak boleh tengok," jawab Zinnirah lalu tersengih lebar dengan jawapannya.

"Abiy ada kat rumah sampai minggu depan, sayang. I took paternity leave walaupun bersilat juga nak dapat kelulusan padahal cuti tujuh hari aje pun," adu Absyar sambil menjuihkan bibirnya. Geram! Nak cuti untuk anak bini pun susah!

Zinnirah melepaskan tawa kecil menyaksikan mini tantrum Absyar itu. Comel sungguh ayah Sumayyah ini.

"Abiy kan orang penting kat hospital. Mana boleh cuti lama-lama, staf pun tak ramai kan. Bila abiy tak ada, susahlah ED tu. Short of this handsome doctor," usik Zinnirah sebelum menarik pipi kiri Absyar dengan bersahaja.

"Betul juga kan? Abiy cuti, memang murunglah PT sebab doktor hensem ni tak ada." Absyar terangguk-angguk bak burung belatuk tika menyetujui ayat sang isteri. Tanpa dia sangka, jemari Zinnirah laju mencubit perutnya membuatkan dia terjerit kecil.

"Sakit, sayang!"

"Gatal!"

"Abiy cakap benda fakta. Tiba-tiba kena ketam dengan ibu Mayyah pulak... Apa salah abiy sampai dicubit sebegini rupa." Absyar menayangkan wajah sedih sebelum menyelak sedikit bajunya ke atas.

"Tengok ni, dah merah perut abiy. Awaklah ni..."

"Usik sikit pun dah tak boleh abiy-syar ni. Siapa yang dalam pantang ni, Ji ke abiy? Macam abiy je yang terkena baby blues ni." Zinnirah ketawa mengekek melihat wajah cemburut suaminya itu. Kelakar!

"Sejak bila awak kuat mengusik ni, sayang. Tak baik untuk kesihatan organ-organ abiy," tutur Absyar lalu melepaskan nafas berat. Parah ni parah.

"Sejak jadi ibu Mayyah rasa nak mengusik abiy tu membuak-buak. Suka tengok abiy jadi comel macam ni. Geram! Rasa nak cubit lagi!" Seraya itu, dia mengangkat lengannya dan jemari itu mula mencari mangsa.

Absyar terus bergolek dan berdiri di pinggiran katil untuk mengelakkan badannya menjadi mangsa cubitan Zinnirah. Pelik-pelik aje mengidam orang berpantang ni. Risau dirinya yang masuk hospital sebab Post-Partum Depression yang diberikan sang isteri.

"Tak nak sayang! Nanti abiy beli patung baru untuk awak cubit okey? Free my skin please, sayang. Jangan dicubit ayah Mayyah yang hensem ini," rayu Absyar sambil merapatkan kedua-dua belah tangannya. Zinnirah terus menghamburkan tawa kuatnya sebelum terhenti dek terasa nyeri pada bahagian jahitan di bawah. Dia mengaduh separa kuat dengan dahi berkerut hebat dan membuat lelaki itu bergerak pantas ke arahnya.

"Kenapa sayang? Sakit kat mana? Bagitahu abiy." Bertubi-tubi soalan itu muncul apabila melihat raut wajah yang masih menahan sakit. Bahu isterinya dipegang erat sebelum dia memandang wajah Zinnirah dengan kepala yang ditelengkan.

"Sakit sikit je kat tempat jahit sebab kuat sangat Ji ketawa tadi. Nanti okeylah ni," jawab Zinnirah lalu terus memegang lengan suaminya.

"Awak tengah pantang, sayang. Jangan lupa, nanti awak sakit," tegur Absyar sebelum mengusap lembut ubun Zinnirah.

"Okey abiy," jawab Zinnirah sambil tersenyum kecil dengan keprihatinan yang diberikan oleh cinta hatinya.

"Lady Wati dah sampai ke?" soal Zinnirah apabila dia merasakan bilik itu terlalu cerah untuk waktu dini. Mereka sudah berbincang untuk menggunakan khidmat Confinentment Lady sepanjang tempoh Zinnirah berpantang. Bukan tidak ada ibu menawarkan diri untuk menjaga dia dan Sumayyah di rumah Zhafran, namun Zinnirah menolak kerana dia lebih selesa di rumahnya sendiri. Lagipun, Atiya lebih memerlukan ibu berbanding dirinya kerana wanita itu masih lagi dalam tempoh berpantang.

Menggunakan pakej berpantang ini lebih menjaga diri dan juga mentalnya juga. Jadi, dia tidak ada penyesalan mengeluarkan beribu-ribu ringgit demi kemaslahatan dirinya sendiri. Tambahan pula, Absyar menawarkan diri untuk membayar semua kos bersalinnya dari di hospital sehingga sekarang membuatkan Zinnirah menerima tanpa banyak bicara.

Dia suka dirinya dimanjakan sebegini rupa.

"Dah, dia sampai dalam pukul 9.00 pagi macam tu. Sekarang tengah prepare bahan-bahan untuk sayang gunakan nanti," terang Absyar.

"Mayyah dah mandi, abiy?" Kepalanya mendongak mencari mata Absyar.

"Abiy dah mandikan Mayyah tadi sebelum dia tidur."

"Ji tak susukan dia lagi, dia tak merengek ke?" soal Zinnirah lagi.

"Alhamdulillah, budak kecil tu tak banyak bunyi. Mungkin Mayyah tahu ibu dia letih jadi dia tak banyak meragam." Absyar tersengih apabila terkenang Sumayyah yang sungguh senang untuk dijaga.

"Alhamdulillah, cerdiknya Sumayyah..." puji Zinnirah dengan mata yang terpaku pada katil bayi tidak jauh dari kedudukan mereka.

"Cerdik macam ibu, bijak macam ayah. Semoga Sumayyah membesar menjadi muslimah yang menyenangkan hati kita, sayang." Doa Absyar dengan sorotan mata tetap pada katil anak kecil mereka itu.

"Aamiin."

"Tak nak mandi, sayang? Nanti bising pulak Lady Wati kalau dia tahu sayang belum mandi lagi," soal Absyar yang perhatiannya sudah diarahkan pada wajah bersih sang isteri.

"Nak tapi abiy tolong Ji boleh?" Zinnirah tersengih apabila dia memohon bantuan daripada suaminya tika itu.

"Boleh tapi tunggu sekejap tau. Abiy nak panaskan air untuk sayang mandi."

Usai, Absyar terus hilang ditelan pintu bilik air untuk memanaskan air seperti yang dia beritahu Zinnirah. Tanpa membuang masa, wanita itu bangun perlahan-lahan dan bergerak ke arah almari untuk mencari pakaian. Kain batik, baju lengan panjang, pakaian dalam berserta stoking dia ambil sebelum kembali ke arah katil.

"Kenapa tak tunggu abiy, sayang. Nanti abiy ambilkan pakaian awak, tak perlu susah-susah jalan jauh," kata Absyar sambil membawa tuala mandi berwarna hijau.

"Tak jauh pun abiy, lima langkah aje." Senyuman kecil tersungging disebabkan tingkah suaminya.

"Pergi balik dah jadi 10 langkah, sayang. Awal-awal pantang ni jangan banyak berjalan sangat, nanti terbuka jahitan awak." Zinnirah mengulum bibir menahan tawa.

"Baik abiy."

"Ada apa-apa lagi tak sayang belum ambil?" soal Absyar sebelum duduk mencangkung di depan kaki Zinnirah. Kaki wanita itu disentuh perlahan sebelum menarik keluar stoking yang dipakainya.

"Ji belum ambil pad."

"Okey kejap, abiy pergi ambil." Pantas lelaki itu bergerak ke hujung bilik bagaikan lipas kudung.

"Ada lagi tak?" soalnya lagi sambil meletakkan tuala wanita itu di atas pakaian yang sudah diambil Zinnirah tadi. Wanita itu menggeleng laju.

"Okey, jom mandi." Tanpa aba-aba, Absyar terus mengendong isterinya sehingga membuat wanita itu terkejut dan memeluk erat leher suaminya.

"Abiy! Terkejut Ji. Ji boleh jalan sendirilah, abiy!" Bahu suaminya ditampar perlahan apabila dia didudukkan di atas kerusi di dalam bilik mandi itu.

"Boleh jalan sendiri tapi tunggu luka tu kering dulu. Dalam seminggu ni, abiy yang akan gendong sayang ke toilet, okey? Bila abiy dah pergi kerja, suruh Lady Wati yang dukung awak," seloroh Absyar sambil tersengih lebar melihat jelingan tajam Zinnirah.

"Patah pinggang Lady Wati kalau dukung Ji abiy. Tak pasal-pasal jadi headline surat khabar," tutur Zinnirah dengan wajah cemberutnya. Lantas Absyar melepaskan tawa besarnya dengan respons Zinnirah.

"Abiy pergi ambil barang sayang kejap," maklum Absyar lalu terus dia ke katil untuk mengambil pakaian wanita itu kecuali stoking dan kembali ke dalam bilik mandi. Pakaian dan tuala diletakkan di tempat yang senang untuk digapai oleh Zinnirah.

"Sayang mandilah, apa-apa panggil je abiy." Absyar menaikkan tiga jarinya membuat gaya OK.

"Okey abiy, silalah keluar," halau Zinnirah dengan senyuman yang melebar.

Absyar melepaskan tawa kecil dengan tingkah isterinya sebelum menutup pintu kamar mandi itu.

"Okey sayang, abiy dah keluar!" jerit Absyar dari luar membuat Zinnirah tertawa kecil seorang diri.

"Ada-ada je ayah Sumayyah ni..." kata Zinnirah perlahan.

bab comel untuk orang comel!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience