TW: Panic Attack
ZINNIRAH TIBA AWAL di kelas pada pagi itu. Dia mengambil tempat duduk di barisan kedua dari hadapan. Baginya, itu tempat duduk yang strategik. Tidak terlalu ke depan dan tidak terlalu ke belakang.
Dia hanya berpakaian blouse labuh berwarna ungu, seluar slack hitam, tudung bawal hitam bersama sarung lengan yang mempunyai warna yang sama dengan bajunya.
Buku nota dibawa keluar dan diletakkan ke atas meja. Di zaman moden yang kebanyakkan pelajar menggunakan gajet seperti ipad atau tablet, Zinnirah masih dengan cara pembelajaran tradisionalnya.
Jam di pergelangan kiri dilihat.
7.35 pagi.
Masih terlalu awal.
Mathurat yang pernah diberikan oleh Absyar itu dikeluarkan dan Zinnirah baca dalam nada perlahan. Cukup untuk pendengarannya saja.
Selepas membaca surat daripada Absyar tiga tahun yang lepas, Zinnirah terus mencari kebaikan mathurat ini. Dan dia sangat kagum dengan manfaat dengan Mathurat hasil susunan Imam Hassan al-Banna yang sebelum ini dia tidak pernah ambil endah.
Sesungguhnya, jiwa Zinnirah menjadi semakin tenang setelah menjadikan himpunan wirid, zikir dan doa itu sebagai amalan harian.
"Amin," lafaznya setelah selesai membaca al-Mathurat. Halaman kulit belakang dibuka sebelum bibirnya ternaik sedikit apabila terbaca ayat di situ.
'Ini hadiah daripada bonda sebab aku dapat nombor 1 dalam aliran tingkatan 5. Baca dan amalkan, insya-Allah Allah akan bantu sepanjang hidup kau, Absyar Abid. Jangan mudah berputus asa dalam hidup. Jangan kau letakkan tanda noktah dalam hidup kau sedangkan Allah hanya meletakkan tanda koma untuk kau berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan hidup yang masih panjang sebagai hamba Allah. Belajarlah setinggi yang boleh kerana selagi kau berusaha mencari ilmu, semakin kau akan dekat dengan Allah. Kau nak jadi hamba yang Dia cinta kan?' – Absyar Abid
Kata-kata motivasi yang bertulisan tangan itu sentiasa menjadi penguat semangat buat Zinnirah dalam keadaan dia tidak sedar.
Zinnirah tidak pasti sama ada lelaki itu sedar atau tidak akan nota di bahagian kulit belakang Mathurat yang dia hadiahkan kepada Zinnirah.
Apa-apa pun, Zinnirah sangat berterima kasih untuk nota itu.
"Sedap suara kau mengaji,'" tegur satu suara dari belakangnya. Zinnirah terus berpaling dengan jantung yang berdetak hebat.
Dia rasa... Hanya dia seorang di dalam kelas ini tadi.
"Bila kau masuk?" soal Zinnirah dengan dahi berkerut apabila melihat lelaki yang berpakaian serba hitam di meja belakangnya.
"About five minutes ago? Sempatlah aku turut sama dapat pahala sebab dengar kau mengaji tadi," kata lelaki itu sambil tersenyum senget.
Zinnirah sudah meremang mendengarkan ayat yang dilontarkan oleh rakan sekelasnya itu.
Perlu ke dia cakap macam itu?
"Jangan buat macam tu lagi," tegas Zinnirah berkata dengan mata yang mencerlungnya tajam.
"I did what?"
Kerek. Itu adalah perkataan yang sesuai untuk lelaki itu.
"Dengar orang perempuan mengaji. Masuk kelas tak beri salam. Duduk belakang perempuan."
"Kuno juga kau ni eh?" Lelaki itu membidas sambil tersenyum senget.
Zinnirah merasakan badannya panas. Jejaka itu benar-benar mencetus rasa amarah dalam dirinya.
"It's not about kuno, it's about adab."
Tersenyum sinis lelaki itu sebelum dia menyebak rambutnya ke belakang.
"Kalau duduk belakang perempuan dikira tak beradab, how about I sit next to you?" Beg galas diletakkan di kerusi sebelah Zinnirah sebelum dia melabuhkan punggungnya.
Badannya dialihkan untuk menghadap gadis berwajah lembut dan ayu yang terpempan dengan tindakannya.
"By the way, I'm Khairil Rizqin but you can call me Khai. Nice to know you as my classmate walaupun dah masuk week 4." Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan Zinnirah.
Namun gadis itu semakin mengesot ke tepi, menjauhi Khairil yang seperti tidak tahu jarak antara mereka.
Dadanya berdebar hebat. Jemari mula menggeletar sebelum dia menggenggamnya kuat. Mata dipejam apabila kejadian dulu terimbas sekali lalu dalam bayangan mindanya.
Nafas menjadi berat. Namun, Zinnirah cuba kawal sebaik mungkin. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu tentang kelemahannya yang itu.
Dia cuba menggunakan teknik pernafasan seperti yang diajar ketika berada di wad psikatri dulu dengan harapan serangan panik akan hilang secepat mungkin.
"Hey, kenapa ni?" tegur Khairil apabila melihat badan Zinnirah seperti menggeletar. Dia sudah tidak senang duduk.
Rasanya dia hanya mengusik gadis itu tapi tidak sangka begini sekali reaksinya.
Khairil semakin mendekat, cuba menyentuh bahu Zinnirah.
"Hey–"
"Ja-jangan de-dekat," kata Zinnirah dengan nafas yang tersangkut-sangkut. Telinga terasa berdesing. Kedua-dua tangan diangkat dan telinga ditekup.
"Just g-go away!" jerkah Zinnirah sedikit kuat sehingga menyentakkan Khairil yang masih terpaku di kerusi itu.
"I'm sorry..." perlahan suara Khairil masuk ke pendengaran Zinnirah. Dengan langkah perlahan, pemuda itu berpindah ke meja yang jauh daripada Zinnirah. Matanya masih menatap gadis yang masih menggigil di tempatnya tadi.
Salah dia ke gadis itu jadi begitu?
Dia cuma mahu berkenalan.
Salah dia ke?
Dalam keadaan yang sangat susah, Zinnirah cuba mengambil ubatnya dari dalam beg. Dua biji ubat dituang ke telapak tangan dengan keadaan yang menggigil.
Ubat itu ditelan tanpa air. Kepala disandarkan pada dinding dengan mata yang masih lagi terpejam rapat. Tangan dibawa ke dada dan ditepuk perlahan.
"Ya Allah... Tolong..." bisik Zinnirah perlahan pada dirinya.
"Tolong angkat rasa sakit ini, Ya Allah."
Entah berapa lama masa yang dia ambil untuk dirinya reda tapi apabila dia membuka mata, kelihatan semua rakan sekelasnya sudah tiba. Termasuk pensyarahnya.
Zinnirah terus memandang sekeliling sebelum matanya bertembung dengan Khairil yang masih memandang tindak tanduknya sedari tadi.
Tanpa menunggu lama, Zinnirah terus memandang ke depan dan mula fokus bagi sesi pembelajarannya yang sudah bermula.
Bagi Zinnirah, lelaki itu berbahaya. Lelaki itu boleh mencetuskan traumanya pada bila-bila masa sahaja.
Ya Tuhan, berikanlah aku kekuatan untuk terus bertahan sepanjang semester ini. Tetapkanlah hatiku bahawa aku menuntut hanya kerana-Mu. Buangkanlah rasa takut dan trauma ini kerana aku hanya mahu menjalani hidup seperti manusia yang normal.
Zinnirah berdoa dalam hati. Semoga apa yang didoakan itu bakal dimakbulkan Tuhan samada cepat ataupun lambat.
Dia cuma mahu hidup normal seperti dulu tanpa ada rasa takut.
Dia mahu tenang.
Hanya itu yang dia mahukan.
Selamat Hari Raya!
Maybe ini last update untuk minggu ni atau bulan ni sebab esok saya dah start kelas. Esok ada 2 test (doakan!) and bunch of assignments yang perlu dihantar dalam masa terdekat.
Jangan tunggu saya update sebab tak janji saya akan update bila. Kalau sempat, saya update. Kalau tak, kena tunggu :(
Maaf buatkan semua orang menunggu dalam penuh penyiksaan. I'm not a good at making promises so saya tak akan berjanji.
Dan jangan risau, Khairil tidak bakal merampas Zinnirah daripada Absyar (tapi siapalah yang tahu tentang masa depan, kan? Haha)
Once again, terima kasih kerana menyayangi Zinnirah, Absyar dan juga Mustaqim.
Till then, assalamualaikum semorang!
Share this novel
Best.. Update lg sis tq.. Moga dipermudahkan urusan sis dlm menuntut ilmu n cmlg dlm exam n semua urusan