"BULAN DEPAN ABIY dah tak kerja tau." Pemakluman itu menyebabkan Zinnirah mengentikan kunyahan nasi sebelum menatap lama wajah Absyar yang sedang bersahaja menjamah makanan di hadapannya.
"Kenapa?" Pendek soalan itu masuk ke koklea Absyar sehingga lelaki itu tersenyum kecil. Tanpa menjawab soalan Zinnirah, Absyar menghulurkan tangannya ke hadapan bibir sang isteri untuk meneruskan suapan yang seterusnya. Semenjak SLE kembali menyerang sendi Zinnirah, wanita itu tidak dapat menggenggam jemarinya sendiri apatah lagi mengangkat benda-benda berat. Bahkan, penutup botol air pun tidak dapat dia buka dek rasa sakit dan menggeletar yang terlampau kuat.
"Buka mulut, sayang," arah Absyar apabila suapannya masih belum bersambut. Zinnirah lantas menggeleng perlahan. Seleranya mati apabila soalannya digantung tidak bertali.
"Kenapa ni? Dah kenyang ke?" Nasi dijatuhkan kembali ke dalam pinggan.
"Abiy abaikan soalan Ji," jujur Zinnirah berkata dengan wajah cemberut. Dengan tangan yang terketar-ketar, Zinnirah cuba mencapai minuman. Belum sempat jemarinya menyentuh gelas itu, ada Absyar yang membantu membawa gelas ke hadapan bibir si isteri tanpa dia pinta. Dia mengemam bibir tanpa meneguk walaupun setitis air itu.
"Sayang..." panggil Absyar lagi. Zinnirah buat tidak tahu dan langsung tidak menoleh ke arah Absyar. Rasa mahu merajuk mula memenuhi jiwa wanitanya.
Absyar terkesima apabila dirinya diabaikan oleh Zinnirah. Idea yang tiba-tiba datang untuk mengusik wanita itu membuatkan dia tersenyum seorang diri. Tanpa aba-aba, dia dekatkan wajah mereka sebelum mencium pipi Zinnirah bertalu-talu. Belum sempat wanita itu habis terkejut, Absyar bingkas bangun dan menuju ke singki untuk mencuci tangan serta pinggan yang digunakan tadi.
Sedap pipi sayang, rasa sambal ayam!" usik Absyar lalu bergerak ke bilik tidur mereka untuk mengambil dokumen yang perlu dia tunjukkan kepada Zinnirah. Zinnirah hanya memberikan jelingan tajam apabila pipinya sudah bau makanan. Dengan langkah perlahan, singki ditujui dan dicuci pipinya dengan air dan sabun. Kalau biarkan, memang pipi gebunya ini bakal dicium oleh lipas.
Absyar memanjangkan lehernya apabila melalui katil bayi. Sumayyah yang tertidur pulas menaikkan senyuman gembira di wajah lelaki itu.
"Selamat tidur, anak ayah." Satu kucupan dia jatuhkan di ubun Sumayyah sebelum dia berlalu ke ruang tamu rumah bersama satu dokumen yang dia bawa.
"Sayang, jom kita pergi ruang tamu kejap," ajak Absyar sambil membantu wanita yang diam membisu itu bergerak ke ruang tengah rumah mereka. Hari ini, SLE agak agresif menyerang wanita itu sehingga sendi di seluruh badannya terasa sangat nyeri apabila digerakkan. Untuk berjalan juga dia perlu mengambil masa. Yang paling menyedihkan, sudah masuk beberapa minggu dia tidak dapat mendukung Sumayyah tanpa orang lain. Lengannya kerap kali berasa lenguh sehingga tidak mampu menampung anak kecil itu.
Ketika menyusu si kecil, Absyar terpaksa memberi sokongan dengan berada di belakang isterinya lalu mendukung Sumayyah dari bawah lengan Zinnirah untuk mengelakkan Sumayyah tergolek jatuh.
"Cakaplah dengan abiy sayang, janganlah marah..." pujuk Absyar sementelah dia duduk rapat di sebelah Zinnirah yang menghasilkan haba yang panas dari badannya asbab ubat-ubatan yang dia ambil.
Zinnirah hanya membisu dan memandang dinding ruang itu tanpa perasaan. Absyar menjuihkan bibirnya lalu menjatuhkan kepalanya ke atas bahu Zinnirah. Dan-dan wanita itu menjongketkan bahunya agar lelaki itu menjauhkan diri darinya.
"Abiy nak cerita kat sayanglah ni kenapa abiy berhenti kerja tapi ayang tak nak bercakap dengan abiy pulak. Kalau macam tu, tak jadilah abiy buka cerita." Absyar mula mengumpan isterinya sambil mengibas wajah sendiri menggunakan sampul coklat yang bersaiz A4.
Mata Zinnirah mula melihat ke arah sampul di tangan Absyar itu namun bibirnya masih terkunci hebat. Bawah bibir digigit apabila perasaan ingin tahu membuak-buak dalam diri.
"Betul ni tak nak bercakap dengan abiy? Kalau macam tu abiy masuk tidur ajelah..." Sekali lagi dia memasang umpan. Kepala yang dia labuhkan di bahu wanita itu diangkat sebelum dia berura-ura untuk bangun dan meninggalkan Zinnirah.
Belum dua langkah, terasa lengannya ditarik oleh tangan hangat itu. Bibir mula menggaris senyuman walaupun dia belum berpaling menghadap sang isteri.
"Abiy... Maafkan Ji..." ujar suara itu perlahan namun masih jelas di pendengaran Absyar.
"Apa sayang?" Dia kembali duduk dengan kepala yang menyenget memandang wajah bersih Zinnirah. Sebelah lengannya dinaikkan ke kepala sofa yang sedang disandar oleh wanita tersebut.
"Ji minta maaf abaikan abiy. Maafkan Ji, abiy..." Seraya itu, kekura tangan Absyar dikucup penuh syahdu.
Dalam kesempatan yang ada, Absyar mencium sekilas ubun Zinnirah sebelum menegakkan semua badan wanita itu supaya memandangnya.
"Sayang tak buat salah pun dengan abiy. Abiy yang salah sebab dah menjentik emosi sayang. Abiy yang sepatutnya minta maaf. Maafkan abiy, boleh?" Lembut suara Absyar tika itu sehingga Zinnirah hanya mengangguk faham.
"Abiy dah tak kerja bermula bulan depan sebab kontrak abiy dengan hospital kerajaan dah habis dan abiy memilih untuk tak sambung kontrak itu lagi," terang Absyar ringkas sambil menatap lembut anak mata Zinnirah.
"Kenapa abiy tak sambung?" soal wanita itu dengan dahi yang berkerut.
"Sebab ni." Sampul yang dia pegang sedari tadi, dia serahkan kepada Zinnirah dengan senyuman yang tertahan. Zinnirah memandang wajah suaminya itu dengan penuh tanda tanya.
"Bukalah," kata Absyar apabila melihat wanita itu seperti menunggu izin daripadanya. Dengan tangan yang tidak membantu dan asyik menggeletar, Zinnirah menarik keluar dokumen yang tersimpan di dalam sampul coklat itu. Dia membaca satu persatu perkataan yang tertulis di atas kertas putih dengan rasa ingin tahu yang merajai hati.
Mata Zinnirah terbelalak besar apabila dia memahami setiap satu perkataan yang terpampang di depan irisnya. Wajah Absyar yang tersenyum simpul di tepinya dilihat dengan rasa tidak percaya.
"Betul ke ni, abiy?" tanya Zinnirah. Dia masih tidak percaya dengan apa yang dia baca sebentar tadi.
Full scholarship on Master of Medicine (Internal Medicine) in Universiti Putera Malaysia with full time study mode
"Betul sayang," jawab Absyar penuh bahagia.
"Alhamdulillah, tahniah abiy! Ji bangga dengan abiy!" Absyar tergerak ke belakang sedikit apabila tubuhnya dipeluk secara mendadak oleh wanita kesayangannya itu.
"Terima kasih, yang. Abiy anggap ini rezeki sayang dan Mayyah. Terima kasih, sayang." Absyar mengucapkan rasa penuh ikhlas itu sambil mengeratkan pelukannya pada pinggang Zinnirah. Dagunya turut direhatkan pada bahu isterinya.
"You're going to be specialist! I'm proud of you, my Abiy-syar!" Pelukan itu terasa semakin erat sebelum Absyar berasa bahagian bahunya seperti basah. Dia melepaskan pelukan mereka sebelum memegang lembut rahang Zinnirah dengan kedua-dua tangannya. Wajah yang sudah basah dengan air mata membuatkan Absyar terkejut untuk seketika.
"Kenapa menangis ni, sayang?" tanya Absyar lalu menghapuskan air mata Zinnirah yang tidak segan silu jatuh di hadapan suaminya. Makin dikesat, makin laju air mata yang mengalir.
"Sebab abiy layak untuk dapat semua yang abiy terima sekarang setelah segala jerih payah yang abiy lalui. Ji tak mampu untuk berikan apa-apa untuk abiy kecuali ucapan tahniah dan kebahagiaan yang Ji rasa buat abiy. Abiy perlu tahu yang Ji bangga sangat dengan abiy. Semoga Allah lancarkan proses pembelajaran suami Zinnirah, Absyar Abid Abdullah. Semoga Ji dapat saksikan majlis konvokesyen abiy nanti." Panjang Zinnirah bertutur dengan mata yang sudah kabur dengan air mata.
"Perlu. Sayang perlu ada waktu majlis konvokesyen abiy nanti. Abiy tak nak orang lain, abiy nak sayang dan Sumayyah je yang ada nanti. Jadi, tolong bertahan untuk abiy. Sayang ialah support system terkuat untuk abiy sepanjang Master ni. Okey, sayang kena ada setiap saat dengan abiy. Boleh?" ujar Absyar sebelum menyatukan dahi mereka. Rasa gembira tadi sudah digantikan dengan rasa sebak apabila melihat keadaan Zinnirah tika ini.
Dia rasa dihargai dan disayangi.
Untuk kali ini, perjalananannya untuk menggapai Sarjana itu bakal ditemani Zinnirah dan Sumayyah yang akan menjadi tulang belakang serta kekuatannya.
Zinnirah mengangguk laju bagi menjawab persoalan Absyar. Mata dipejam buat seketika dan dia menarik nafas panjang.
"Janji dengan abiy, sayang akan ada dengan abiy sampai bila-bila." Ayat itu membuka kembali mata Zinnirah. Hembusan nafas hangat lelaki itu terasa pada wajahnya.
"Abiy..." Mana mungkin dia berjanji sedangkan lelaki itu turut maklum dengan keadaannya sekarang.
"Janji dengan abiy, Zinnirah." Absyar berkata tegas, memotong percakapan Zinnirah yang dia sudah tahu bakal ke arah mana.
"Ya, Ji janji untuk sentiasa ada dengan abiy sampai akhir nafas Ji..." Zinnirah menghela nafas berat apabila suaranya terasa tersekat-sekat untuk menyampaikan ayat itu.
"Pinky promise." Absyar menghulurkan jari kelingkingnya di antara tubuh mereka.
"Abiy..."
Absyar terus memegang tangan Zinnirah sebelum memautkan jari kelingking Zinnirah pada jarinya yang dua kali ganda lebih besar.
"You already make a promise with me. Don't betray it, sayang..." Absyar memejamkan mata untuk menenangkan diri walaupun dahi mereka masih bertemu. Zinnirah diam membisu tatkala dia sudah tidak mampu berkata apa-apa. Tautan jari mereka dia lihat dengan penuh perasaan.
"Sorry abiy... Ji dah jadi joykiller abiy," ujar Zinnirah dengan rasa bersalah.
"Shh, I love you my Zinnirah. I love you. I love you," ucapnya dengan mata yang masih tertutup. Absyar Abid akan sentiasa cintakan Zinnirah.
Share this novel