ZINNIRAH TERTAWA SENDIRIAN apabila melihat tingkah suaminya yang sedang bermain layang-layang bersama beberapa orang kanak-kanak di pinggiran pantai. Sesekali, dia merakam tindak-tanduk Absyar dari tempat duduknya sekarang.
Dia sering mengusap perutnya sendiri apabila terasa pergerakan kecil oleh sang anak.
"Baby pun nak main layang-layang dengan ayah ke?" soal Zinnirah perlahan sambil tersenyum seorang diri. Angin sepoi-sepoi bahasa menghentam lembut dirinya mewujudkan rasa tenang tanpa dia pinta.
"Nanti bila baby dah keluar, baby bolehlah main dengan ayah okey? Sekarang, baby kena membesar dengan sihat dalam rahim ibu. Ibu harap bila baby keluar nanti, baby senang untuk dijaga dan baby tak banyak ragam. Ibu sayang sangat tau kat baby." Perbualannya bertambah panjang apabila dia merasakan hanya dirinya yang berada di pantai itu.
Zinnirah sangat teruja untuk menyambut kelahiran anaknya itu. Dia mahu melimpahkan sepenuh kasih sayangnya buat si kecil itu nanti. Dia tidak mahu anaknya itu merasa hal yang sama seperti zaman kanak-kanak dan remajanya. Perit.
Dia akan sayang anak ini dengan sepenuh hati. Dia sayang kandungannya dan tidak akan sesekali dirinya menjadi seperti Khalidah. Tidak akan.
"Ayang!" Panggilan itu memecahkan lamunan Zinnirah. Kepala dipanggungkan dan terlihat gerangan Absyar yang sedang tersengih memandang isterinya sambil membawa dua plastik hijau berserta air di tangannya.
"Abiy dah habis main?" soal Zinnirah sebaik sahaja Absyar melabuhkan duduk di atas batang kelapa di sebelah isterinya.
"Dah, abiy belikan budak-budak tu layang-layang yang dorang nak. Memang senyum sampai ke telinga lepas dapat," cerita Absyar sambil membuka sos yang diikat di dalam plastik.
Zinnirah turut menjengahkan kepalanya untuk melihat isi di dalam plastik itu.
Oh, keropok lekor rupanya.
"Seronok tak?" tanya Zinnirah lagi. Absyar yang sedang mencicah keropok lekor ke dalam sos itu hanya tersenyum sebelum menyuap isterinya dengan makanan tadi.
"Seronok. Lama abiy tak main layang-layang," jawab Absyar penuh ceria. Sesekali dia mengelap juring bibir Zinnirah yang comot dengan sos.
"Dulu abiy selalu main dengan adik-adik di rumah Baitul Jannah. Balik je sekolah agama waktu petang tu, terus cari layang-layang kitorang buat sendiri. Seronok!" tambah Absyar lagi dengan mata yang bercahaya. Tiba-tiba dia merindukan suasana di rumah anak yatimnya.
"Bestnya, nanti bolehlah abiy ajar Ji buat layang-layang. Ji tak tahu nak buat tapi Ji teringin nak main," pinta Zinnirah dengan mata beningnya yang semakin bercahaya.
"Boleh sayang, nanti abiy ajar awak dengan anak kita sekali okey?" Tergaris senyum senget Absyar apabila melihat wajah Zinnirah berona merah. Dek rasa geram, terus dia mencium pipi Zinnirah sekilas lalu setelah memastikan tiada orang yang memandang.
"Absyar!" Zinnirah terjerit kecil dan lantas kepalanya menoleh ke kiri dan kanan untuk memastikan tindakan suaminya itu tidak disaksikan orang lain.
Dia tidak mahu viral!
"Ya sayang?" jawab Absyar sambil tersengih lebar. Tanpa rasa bersalah, dia terus mengunyah pisang goreng yang turut dia beli tadi.
"Kalau orang nampak tadi macam mana?" Dahi Zinnirah terus berkerut.
"Abiy dah pastikan tak ada orang yang nampak. Jangan risau." Absyar cuba membela diri. Sekeping pisang goreng dia hadapkan di hadapan bibir sang isteri yang sudah monyok.
"Yang, tak nak makan ke?" Absyar menyoal apabila Zinnirah hanya mengunci rapat bibirnya walaupun aroma pisang goreng itu sangat menggoda.
Absyar semakin merapat tika soalannya tidak berjawab. Lengan isterinya dicuit walaupun wajah Zinnirah semakin cemberut.
"Kalau anak kita keluar muka asyik masam aje, abiy dah tahu dia ikut siapa. Senyumlah ayang, abiy gurau je tadi. Siapa suruh pipi sayang gebu menggoda sangat? Dahlah lembut macam pau pastu merah macam ceri. Macam mana abiy nak-"
Percakapannya terhenti sebaik sahaja Zinnirah menyuap pisang goreng itu ke dalam mulut suaminya.
"Abiy tak payahlah nak describe details sangat! Malulah orang dengar," tegur Zinnirah sambil menjeling suaminya itu. Sejak dia mengandung, Absyar berubah 180°. Lelaki itu sangat gemar bercakap, suka bermanja dengannya dan sering mengidam yang pelik-pelik!
"Ayang janganlah marah abiy lagi..." kata Absyar sambil menjuihkan bibirnya meminta simpati.
"Ji tak marah abiy, Ji terkedu aje. Dulu abiy sopan tau, mana mungkin abiy nak kiss kat tempat awam macam ni. Mana pergi Absyar si hafiz ni, hm?" Zinnirah terus menjungkitkan keningnya berkali-kali seraya tunak memandang wajah tenang sang suami.
"Okey, khilaf abiy. Sorry sayang..." kata Absyar perlahan dan kedengaran seperti jauh hati. Rona wajah turut bertukar sedikit muram walaupun mulut itu tidak henti-henti mengunyah pisang goreng dan keropok lekor secara berselang-seli dalam rentak perlahan.
Dia sedikit terasa dengan ayat isterinya. Tapi betullah cakap isterinya itu, kenapa dia cium isterinya di tempat awam? Mana pergi rasa malunya sebagai seorang hafiz?
"Abiy..." panggil Zinnirah apabila melihat wajah mendung Absyar. Lelaki itu hanya diam sambil memandang skrin telefonnya sendiri.
"Abiy..." Sekali lagi dia panggil dan tiada sahutan.
Plastik makanan dan minuman dia alih ke tepi. Badan dirapatkan dengan suaminya sebelum kepala terteleng untuk melihat raut wajah itu dari bawah.
"Abiy?" panggil Zinnirah dengan suara yang diceriakan. Dia terus memeluk kejap suaminya dari tepi untuk menghilangkan rasa rajuk yang merajai hati suaminya.
"Ji minta maaf abiy, ji tersalah cakap. Ji yang salah, abiy tak salah. Ji kan terlampau comel, mana mungkin abiy nak tahan kan? Kan abiy kan?" Mata dikerdipkan berkali-kali sambil tersenyum tatkala melihat juring bibir suaminya itu turut tertarik sedikit ke atas.
"Bosannya pantai ni tanpa suara Absyar Abid saya. Dia pergi mana eh? Encik tahu tak suami saya pergi mana? Selalunya dia bercakap non-stop jadi bila dia tak ada saya rasa sunyi sangat. Encik ada nampak dia tak? Dia pakai t-shirt biru dengan seluar slack. Pastu rambut dia tak panjang sangat dan tak pendek sangat. Lagi satu kan encik, suami saya kacak gila sebab dia pakai cermin mata. Encik ada nampak tak suami saya?" usik Zinnirah lagi sebelum melepaskan pelukan pada badan doktor muda itu. Bahagian dagunya diketuk perlahan dengan hujung jari gaya memikirkan hal yang berat.
"Encik tak nampak ke-"
"Stop sayang sebelum abiy kiss awak sekali lagi," arah Absyar sambil menyepetkan matanya ke arah wanita nakal itu.
"Ops!" kata Zinnirah seraya menutup bibirnya dengan kedua-dua belah tangan. Bahaya!
"Encik dah tak marah saya ke?" soal Zinnirah polos.
"Abiy nak merajuk sikit pun tak boleh. Bijak betul pujuk orang, eh?" kata Absyar sambil memicit kedua-dua belah pipi Zinnirah. Sungguh dia suka pipi isterinya itu. Lembut betul. Dia guna skincare apa ni? Ke guna bedak sejuk je?
"Abiy tak boleh merajuk, Ji aje yang boleh," balas Zinnirah sambil menjelirkan lidahkan lantas tertawa kecil.
"Mana aci!" Absyar membentak manja.
"Kat India!"
"Sayang!"
Mereka terus melepaskan tawa dengan respons spontan Zinnirah itu. Absyar terus memeluk isterinya dari tepi sebelum matanya jatuh pada langit yang semakin jingga, menandakan senja bakal tiba.
Zinnirah turut diam dan membalas pelukan hangat. Dia selesa. Dia suka bau Absyar.
"Sayang," seru Absyar.
"Ya?" Mata cuba mencari wajah Absyar yang masih menghadap laut.
"I love you so much, mummy to be," luah Absyar secara tiba-tiba dengan senyuman yang semakin melebar.
Zinnirah yang bingung tadi terus tertawa perlahan dengan senyuman bahagia yang mula tertarik.
"I love you too three four, daddy to be!"
Absyar terus melabuhkan satu ciuman hangat di ubun isterinya. Mereka hanya berdiam diri dan menikmati suasana romantis ini sebaik mungkin.
Satu perkara yang Absyar mula sedar, laut sentiasa menjadi pengantara buat Absyar dan Zinnirah sejak dahulu. Dan laut juga mula menjadi tempat kegemarannya semenjak dia tahu wanitanya sukakan laut. Kini, laut akan menjadi tempat mereka menghabiskan masa bersama.
InsyaAllah, sehingga ke syurga.
Share this novel