BAB 68 (part 2)

Romance Completed 60011

"AWAK betul-betul serius nak masuk ke ni sayang?" soal Absyar untuk kali yang kesepuluh apabila dia masih tidak percaya dengan isterinya.

"Betul, abiy. Ji nak masuk harini. Abiy nak teman Ji tak?" Zinnirah menarik senyum kecil sebelum bersusah payah membuka tali pinggang keledar sebelum dibantu sang suami.

"Sudah semestinya abiy akan teman awak, sayang. Doa banyak-banyak okey, kalau diorang maki caci sayang, sayang terus letak gagang telefon tu. Jangan dengar. Boleh?" Panjang Absyar berceloteh tapi isterinya hanya tertawa kecil.

"Sayang!"

"Ya abiy, Ji dengar dan Ji menurut perintah!" usik Zinnirah langsung mencubit pipi Absyar.

"Jomlah turun abiy," ajak Zinnirah apabila lelaki itu masih diam.

"Okey jom."

Mereka berjalan beriringan masuk ke dalam penjara itu. Zinnirah memegang erat lengan suaminya.

Penjara. Ya, dia datang ke sini untuk melawat baba dan mama buat pertama dan terakhir kalinya.

Kenapa sekarang? Kerana pandangannya sudah kabur dan dia tidak dapat melihat dua wajah itu dengan jelas. Dia takut, dia akan kembali trauma jika memandang dua gerangan itu. Jadi, sekarang adalah waktu yang tepat untuk dirinya.

Kaki melangkah mengikut jejak polis di hadapan sebelum mereka berdua berhenti dan dipelawa duduk di depan satu cermin kaca jernih yang bertirai besi. Telefon di hadapannya, Zinnirah kerling seketika sementara menunggu gerangan yang sudah lama dia tidak berjumpa.

Tangannya terasa digenggem erat oleh Absyar sehingga dia terpaksa memandang ke arah suaminya tika itu.

"Sayang okey?" soal lelaki itu perlahan. Rasa risau mula merajai hati.

"Ji okey, abiy. Jangan risau." Zinnirah mengelus tangan Absyar dengan ibu jarinya.

"Abiy–" Percakapannya terhenti apabila gerangan tua itu sudah mengmbil duduknya di hadapan mereka. Dia menelan liur seketika apabila Zinnirah mula membawa gagang telefon itu ke telinganya.

Lelaki di sebalik kaca jernih itu turut melakukan hal yang sama.

"Assalamualaikum," tegur Zinnirah dengan suara yang hampir bergetar namun dia tahan.

"Waalaikumussalam. Siapa?" Encik Alwie mula menyoal apabila dia tidak dapat mengecam wajah itu.

"Encik tak ingat saya? Orang yang encik rogol 14 tahun lalu?" soal Zinnirah dengan anak mata tajam melihat gerangan itu. Dia tidak nampak riak wajah babanya namun dia boleh tahu yang lelaki itu sedang tidak senang duduk tika dapat meneka identiti dirinya.

"Zinnirah..." panggil Encik Alwie dengan mata yang tidak henti memandang anak perempuannya itu.

"Ya, saya Zinnirah. Encik masih ingat saya ya?" Tawa sinis terbit secara tiba-tiba.

"Maafkan baba, nak. Maafkan baba. Baba menyesal dengan apa yang baba dah buat pada kamu dulu. Baba minta maaf, Ji. Baba minta maaf." Air mata tuanya mula jatuh membasahi pipi.

"Saya mengandung anak encik. Saya mengandung anak haram encik waktu tu! Kenapa encik sanggup buat saya macam tu? Saya anak encik... Saya anak encik tapi kenapa encik tergamak hancurkan hidup saya sampai macam ni sekali?" Air mata mula bergenang. Tangannya terasa digenggam kuat oleh Absyar yang langsung tidak menoleh ke arah lain selain Zinnirah.

"Maafkan baba, sayang. Maafkan baba..."

"Jangan panggil saya sayang, saya jijik dengan encik."

"Maafkan baba. Maafkan baba sebab dah buat kamu begini. Maafkan baba nak..."

Suasana menjadi senyap sunyi apabila Zinnirah diam tidak menjawab. Gagang telefon itu dia genggam kuat dengan air mata yang tertahan.

"Hidup saya susah disebabkan encik. Hari-hari yang berlalu selepas kejadian itu ibarat pisau tumpul yang perlahan-perlahan menyiat tubuh saya sedikit demi sedikit. Saya jijik dengan diri saya selepas apa yang encik buat pada saya. Encik tanpa rasa berdosa boleh hidup dalam ni? Tak ada sedikit pun rasa menyesal dalam diri encik? Tak ada rasa berdosa ke bila jadi haruan makan anak?!" Zinnirah terjerit kuat sehingga air matanya mengalir jatuh dengan ayatnya yang terakhir.

"Baba–"

"Encik tak kesian ke dekat suami saya? Dia dapat sisa encik.... Dia dapat sisa yang sepatutnya menjadi seorang pelindung buat saya tapi apa yang encik buat? Encik taburkan benih haram encik dalam rahim saya sampai saya jadi takut dengan semua lelaki dalam dunia ni. Saya takut dengan suami sendiri disebabkan encik. Dia terpaksa menunggu saya bertahun-tahun juga disebabkan tindakan bodoh encik. Encik sedar tak dosa apa yang encik dah buat?!" Kali ini, esakan turut mengiringi percakapannya. Absyar yang pada awalnya terkejut dengan bicara Zinnirah mula memeluk bahu isterinya untuk menenangkan dia.

"Baba minta maaf..." Hanya itu yang mampu dia ungkapkan bersama air mata yang semakin laju mengalir. Dia menyesal dengan perlakuan jijiknya pada sang anak tika itu. Dia mengaku dia telah melakukan dosa besar pada anaknya.

"Maaf encik dapat kembalikan kehidupan saya ke?" Sinis dia menyoal.

"Maafkan baba Zinnirah."

"Saya benci encik. Saya tak nak maafkan encik sampai saya mati. Biar encik hidup dalam penyesalan sampai ajal menjemput encik." Zinnirah berhenti lalu mengambil nafas.

"Tapi suami saya tak benarkan saya berbuat demikian. Encik Alwie, saya maafkan encik atas semua kezaliman yang encik buat ke atas diri saya," kata Zinnirah sebelum menghela nafas berat. Belakang kepalanya terasa diusap perlahan.

"Ya Allah, terima kasih Zinnirah. Terima kasih Zinnirah." Menggigil tangannya melekap pada kaca itu bagai malu memeluk tubuh sang anak.

"Saya maafkan encik untuk ketenangan saya. Saya harap encik takkan lupakan kezaliman encik pada saya sampai encik mati." Dia terus meletakkan gagang itu sebelum mengesat air matanya.

Gerangan baba yang sudah dibawa keluar oleh pegawai penjara itu langsung tidak dia lihat.

Tekanan yang dia rasakan tika itu sungguh luar biasa sehingga urat-urat di dahinya turut timbul.

"Sayang, kita balik ya? Awak tak okey ni? You look stress," pujuk Absyar apabila melihat keadaan Zinnirah tika itu. Wanitanya itu sudahlah masih belum benar-benar kebah daripada demam. Kini dia berada dalam situasi stres yang melampau membuatkan Absyar sedikit gusar.

"Ji nak jumpa mama."

"Tapi sayang tak okey."

"Ji nak selesaikan semuanya hari ini. Ji nak jumpa mama." Tekan Zinnirah apabila lelaki itu asyik memujukanya untuk pulang.

"Jangan terlampau stres okey?" pesan Absyar apabila dia kalah dengan kedegilan Zinnirah.

Gerangan wanita tua bertudung yang muncul di sebalik kaca jernih itu mematikan percakapannya.

Zinnirah langsung membawa gagang telefon itu ke telinganya.

"Zinnirah, maafkan mama sayang. Maafkan mama. Dah lama mama tunggu Ji datang jumpa mama. Mama minta maaf sayang, maafkan mama. Mama bersalah dalam semua hal." Berjuraian air mata mula jatuh tatkala dia melihat wajah anak bongsunya.

"Kenapa sekarang?" soal Zinnirah pendek.

"Mama menyesal dengan layanan mama pada kamu dulu, Ji. Mama minta maaf sebab pilih kasih. Mama minta maaf sebab benci kamu, nak. Mama minta maaf..."

"Lagi? Takkan itu je kesalahan puan pada saya? Saya rasa macam ada banyak lagi cuma saya yang tak ingat disebabkan kesan ubat yang saya makan."

Puan Khalidah terkedu dengan kebekuan anaknya tika itu. Makin dia terpaku apabila wanita itu langsung tidak memanggilnya mama seperti dulu.

"Ji... Jangan panggil mama, puan. Panggil mama, mama. Tolong guna semula perkataan mama tu Ji..." rayunya dengan mata yang semakin berkaca. Oh sakitnya dia rasa apabila diperlakukan begitu.

"Dulu puan tak nak mengaku saya anak puan. Kenapa sekarang puan nak saya panggil puan mama pula? Tak malu ke jilat ludah sendiri, puan?" perli Zinnirah sebelum mata sendiri mula berkaca.

Ah, penatnya menjadi cengeng!

"Itu dulu sayang. Sekarang Ji anak mama. Ji anak mama, sayang. Tolong panggil mama sayang, tolong!" Puan Khalidah sudah tidak malu untuk merayu tika itu. Dia sudah menyesal dengan tindakannya dulu dan dia tidak mahu identiti Zinnirah sebagai anakanya itu hilang.

"Saya tak ada mama, kenapa saya perlu panggil puan mama?" Zinnirah cuba mengeraskan hatinya walaupun jiwanya turut berasa sakit.

"Jangan buat mama macam ni sayang. Maafkan mama. Tolong maafkan mama, Ji..." Tudung yang dia pakai sudahpun basah dengan air mata sendiri.

"Tahun depan, puan bebas kan?" soal Zinnirah dan wanita tua itu hanya mengangguk dalam sendu.

"Jangan cari saya." Runtun hati Puan Khalidah mendengar arahan itu.

"Kenapa buat mama macam ni sayang..."

"Bagi saya, puan sangat terlambat untuk sayang saya. Sangat terlambat selepas apa yang terjadi. Saya masih ingat bagaimana pandangan puan tika saya hampir dibunuh Encik Alwie. Semuanya masih saya ingat dengan jelas bagaimana puan menutup rapat pintu kamar dan berlakon seperti tiada apa-apa. Puan tahu bertapa kecewa dan takutnya saya pada waktu itu? Suami puan rogol dan cuba untuk bunuh saya! Dan puan bersubahat walaupun puan hanya tengok dan tak melakukan apa-apa! Puan turut sama cuba membunuh saya!" Zinnirah semakin beremosi sehingga dadanya naik turun laju.

"Sayang..." Absyar terus menegur apabila melihat keadaan itu.

"Puan kejam. Puan zalim. Puan pukul saya berkali-kali macam saya tak ada deria sakit. Sampai hati puan kan?" Air matanya mula mengalir laju dengan suara yang semakin bergetar.

"Saya sayang puan sebagai mama saya tapi saya tak akan lupa apa yang puan buat pada saya sepanjang saya hidup bersama puan. Saya terseksa dan puan suka melihat saya begitu!" Esakannya mula terluah. Urat di dahi semakin jelas kelihatan menandakan dia semakin tertekan.

"Sayang, dah sayang. Cukup, kita datang hari lain pula okey?" Absyar cuba mengambil gagang telefon itu tapi ditepis lembut oleh Zinnirah.

"Let me end this today. Ji dah tak nak datang berjumpa mereka lagi lepas ni."

"Jangan terlampau tertekan sayang. Awak tak okey sekarang ni." Wajah Absyar semakin gusar.

"This is the last one," ujar Zinnirah lelah.

"Promise?"

"Promise."

"Okey."

Deringan telefon Absyar mematikan perbualan mereka. Dia terus melepaskan genggaman tangan dan melihat skrin dengan dahi berkerut.

Doktor Liza. Dia terus mengangkat panggilan itu tidak terlalu jauh dari isterinya.

"Siapa dia?" soal Puan Khalidah.

"Suami saya," jawab Zinnirah datar.

"Tak nak kenalkan dengan mama?"

"Tak perlu."

Puan Khalidah terus menghembus nafas berat dengan respons anaknya.

"Puan, saya nak minta satu hal daripada puan," ujar Zinnirah secara tiba-tiba sehingga membuatkan wanita tua itu tersenyum dan mengesat air matanya sendiri.

"Apa tu sayang?"

"Halalkan air susu yang pernah puan berikan pada saya. Ampunkan dosa saya pada puan." Zinnirah menutup matanya seketika tatkala ayat itu terbit daripada bibirnya.

Puan Khalidah terkedu dan hanya tergamam tanpa bicara.

"Puan?"

"Mama halalkan semuanya, sayang. Mama ampunkan semuanya. Mama pun minta maaf pada kamu, tolong maafkan mama. Mama menyesal perlakukan kamu seperti itu dulu. Maafkan mama..." rayu Puan Khalidah dengan hati yang semakin sebak. Entah kenapa dia berasa tidak sedap hati tika itu.

"Saya dah maafkan puan. Jangam cari saya lagi. Biarkan saya hidup bahagia tanpa kehadiran puan dan suami puan." Zinnirah langsung meletakkan gagang telefon dan bergerak pergi dari situ.

Badannya berasa tidak enak dan mula 'glitch' tanpa dia sedar. Kepalanya bagai diketuk dengan suatu tukul yang kuat sebelum dia jatuh di lantai penjara itu dengan mulut yang mula mengeluarkan buih putih yang banyak.

"Ya Allah sayang!" Suara Absyar semakin dekat sebelum terasa kepalanya dipegang.

"Tolong! Tolong telefon ambulans! Isteri saya terkena sawan!" jerit Absyar kepada pegawai yang berada di sana.

Dia sudah cuak melihat keadaan isterinya itu. Ini pertama kalinya Zinnirah sawan dan dia bertambah resah apabila mendengar maklumat daripada Doktor Liza tadi.

SLE sudah menyerang pada kawasan otak.

"Sayang, tolong bertahan. Jangan tinggalkan abiy..."

Absyar cuba memberi bantuan awal dengan dada yang semakin sesak melihat keadaan isterinya. Air mata mula jatuh ke atas pakaian Zinnirah apabila dia sudah tidak mampu menahan rasa takut yang mula mencengkam jiwanya tika itu.

Selamatkan Zinnirah, Ya Allah.

Selamatkan dia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience