BAB 29

Romance Series 33949

MATA ZINNIRAH MELIAR memandang ke sekeliling kedai makan yang tidak ramai orang itu. Mungkin disebabkan masih awal. Sesekali air lemon aisnya disedut untuk mengurangkan rasa pahit di tekak.

Atiya yang secara tiba-tiba ketawa di sebelahnya mendapat perhatian Zinnirah. Dahinya berkerut lalu lengan adiknya dicuit.

"Apa yang seronok sangat?" tegur Zinnirah dengan sebelah alis yang terjungkit.

Atiya hanya tersengih lalu menunjukkan skrin telefonnya pada Zinnirah. "Tengah tengok Running Man," kata Atiya.

"Patutlah..." Dia tahu betapa kelakarnya variety show itu. Jadi, dia faham kenapa gadis itu ketawa sehingga menggigil badannya.

"Ganggu akak ke?" soal Atiya. Risau jika mengganggu ketenteraman jiwa kakaknya itu.

"Taklah, akak okey je." Zinnirah tersenyum kecil dengan soalan Atiya.

"Kejap lagi bila Abang Acad sampai, Ati pindah ke meja situ tau," kata Atiya sambil menujukkan meja sebelah.

Lantas, Zinnirah memegang lengan Atiya sambil menggeleng kepalanya laju.

"Janganlah Ati... Temanlah akak kat sini," pujuk Zinnirah dengan mata yang dikebilkan.

"Takkan Ati nak dengar akak dengan abang bincang soal hati? Eh, tak naklah." Atiya terus membuat gaya geli-geleman.

"Sebab tulah akak suruh Ati bawak headphone. Bawak tak?" soal Zinnirah semula.

"Oh sebab tu ke akak suruh Ati bawak?" Zinnirah angguk laju.

"Ei apalah akak ni, nak dating pun ajak adik duduk semeja," bidas Atiya.

"Bukan datinglah. Taaruf je," balas Zinnirah sambil membuat muka.

"Samalah tu."

"Mana ada sama. Taaruf kalau ikut ajaran Islam yang sebetulnya tak boleh berdua-duaan antara lelaki dan perempuan bukan mahram.  Bukannya hentam keluar berdua untuk berkenalan pastu cakap tengah taaruf. Itu dating namanya bukan taaruf. Nak chat pun kena ada orang pantau dan tak boleh nak bersembang sampai dua tiga pagi. Curfew tu kita kena setup sendiri supaya tak terbabas walaupun hanya pada alam maya. Janganlah kita menghalalkan perkara yang sudah terang-terangan haram, Ati." Zinnirah membalas panjang apabila adiknya itu hanya buat tidak endah dengan ajaran Islam.

"Sorry akak, sumpah Ati baru tahu tentang konsep taaruf ni. Janganlah marah Ati." Lengan kakaknya dipeluk dengan mata dikebilkan berkali-kali. Bibir turut dijuihkan untuk meminta perhatian sang kakak kesayangan.

"Lepas ni simpan dalam otak tu, jangan main sedap mulut je cakap," tegur Zinnirah lagi.

"Sorrylah akak..."

"Akak tak marah. Relakslah," kata Zinnirah apabila melihat wajah Atiya hang seakan mahu berubah. Dia terus tergelak kecil.

"Sayang akak!" ujar Atiya lalu memeluk Zinnirah dengan wajah ceria. Zinnirah hanya tertawa kecil dan hanya mengabaikan pelukan erat adiknya itu.

Mereka hanya mengabaikan pandangan manusia yang memandang mereka sambil tersenyum kecil. Macam-macam sungguh kerenah manusia.

"Assalamualaikum, maaf saya lambat." Ucapan itu membuatkan Zinnirah dan Atiya mendongak memandang gerangan yang menegur mereka itu.

"Waalaikumusalam." Zinnirah terus menunduk kepalanya.

"Waalaikumusalam, abang!  Duduklah," kata Atiya dengan senyuman.

Absyar tersenyum kecil dan mengangguk. Kerusi berhadapan Zinnirah dia tarik dan melabuhkan duduk.

"Ati duduk kat sini je ya. Tak perlu ubah tempat," pesan Absyar sambil menjeling sedikit pada Atiya.

"Akak pun cakap benda yang sama, bang. Sweetlah korang ni, patut kena kahwin cepat-cepat ni. Tak sabarnya Ati!" kata bibir itu laju.

Zinnirah hanya tergamam sebelum menyiku adiknya yang bermulut lancang itu.

"Ati!" bisik Zinnirah lalu mencubit lengan Atiya.

Atiya ketawa mengekek sebelum memakai headphonenya. Wajah Absyar yang tersenyum simpul dilihat seketika sebelum Atiya menaikkan ibu jari kanannya.

Ada-ada saja budak ni!

"Awak dah makan?" tegur Absyar apabila suasana mereka menjadi senyap sunyi apabila sang mulut becok itu sudah masuk ke dalam dunianya sendiri.

Zinnirah menggeleng laju sambil melihat saja pada meja yang mereka duduki.

"Saya tunggu awak datang," jawab Zinnirah jujur.

"Nak makan dulu atau...taaruf dulu?" soal Absyar lagi. Tangan sudah diangkat untuk memanggil pelayan kedai.

"Taaruf dululah..." jawab Zinnirah. Masih menekur tunduk memandang meja. Absyar hanya tersenyum melihat reaksi itu.

"Saya nak teh ais satu. Terima kasih," pesan Absyar pada pelayan itu sebelum dia mula membetulkan duduknya di kerusi.

"Awak nak tahu apa tentang saya?" Soalan Absyar itu membuatkan Zinnirah terus memanggungkan kepalanya untuk melihat wajah bersih Absyar. Wajah yang sentiasa murah dengan senyuman sedikit sebanyak menambahkan rasa gementar dalam diri Zinnirah.

"Ceritalah tentang diri awak. Dari zaman kecil sampai sekarang," balas Zinnirah lembut.

"Erm kalau macam tu..." Sekali lagi duduknya dibetulkan apabila air yang dipesan sudah dihidangkan di hadapan mata.

"Saya... Absyar Abid bin Abdullah. Umur saya 29 tahun dan sekarang bekerja sebagai doktor kontrak di jabatan kecemasan di hospital kerajaan dah masuk dua tahun. Gaji saya RM6,700 sebulan insya-Allah cukup untuk sara kita selepas nikah. My incremental wage is RM250 every year. Saya tinggal di rumah sewa sekarang and I have future plan to build my own landed house one day, insya-Allah. I have my own car tapi kereta Bezza je, lagi beberapa bulan akan habis bayar." Absyar menerang panjang.

"Apa lagi yang awak nak tahu?" soal Abysar lalu menyedut teh aisnya. Sesekali matanya memandang Zinnirah yang khusyuk mendengar penerangannya.

"Keluarga awak?" Absyar terkedu apabila soalan itu menusuk masuk ke koklea telinganya.

Dia sudah bersedia namun kenapa dia masih takut untuk menceritakan hal yang sebenarnya pada gadis itu?

"Keluarga saya..." Absyar sudah tidak senang duduk. Matanya melingas ke seluruh tempat sebelum kedua-dua tangannya dirapatkan untuk bertenang.

Fuhhh. Dia menghembus nafas panas dengan mata yang terpejam menahan gemuruh.

"Saya tak tahu awak boleh terima saya atau tak selepas awak dengar tentang kisah keluarga saya, Zinnirah." Absyar tersenyum nipis. Mata Zinnirah lembut menikam anak matanya itu.

"It's okay, Absyar. That's why we are here, taaruf for knowing each other more deeply before proceeding to next step." Lelaki itu bagai tidak tenang apabila disoal tentang keluarganya. Disebabkan itu, Zinnirah langsung menuturkan ayat itu untuk menenangkan lelaki itu.

Senyuman manis diberikan pada Absyar dan lelaki itu kelihatan tergamam buat seketika. Zinnirah senyum manis kepadanya?

Nafas ditarik dalam dan dihembus. Air manis itu disedut sekali lagi.

"Nama saya Absyar Abid bin Abdullah. Abdullah itu bukannya nama ayah saya, Zinnirah. Saya tak tahu siapa ayah saya. Saya tak tahu siapa ibu saya dan saya tidak tahu saya daripada keturunan apa. Saya... Saya anak luar nikah yang dibuang di rumah Anak Yatim Baitul Jannah, tempat saya membesar sehingga berumur 19 tahun. Itupun lepas saya pujuk bonda untuk tinggal setahun lebih lama berbanding yang lain sebab saya nak kumpul duit dan masuk universiti. I have no family to show to you. Saya hanya ada diri saya sendiri, Zinnirah."

Kali ini Zinnirah tidak dapat menutup rasa terkejutnya apabila matanya membesar dengan sendirinya di hadapan Absyar. Lelaki itu terus menundukkan kepalanya disebabkan rasa malu yang menebal.

Realiti hidupnya bagai menampar kuat pipi.

Anak luar nikah sepertinya ini ada hati pada gadis sebaik Zinnirah? Mana mungkin, kan?

"Saya... Minta maaf sebab tanya perihal keluarga awak, Absyar." Kali ini, Zinnirah yang memohon maaf. Absyar terus menggeleng kepalanya laju.

"Awak tak salah. Awak memang sepatutnya tahu tentang keluarga saya, jadi jangan rasa bersalah ya?" Absyar mula melakar senyuman tipis untuk menghilangkan rasa bersalah yang mula bertapak dalam hati gadis itu.

"Awak suka apa?" Zinnirah cuba menukar topik.

Awak. Namun perkataan itu hanta tersangkut di rangkungan tanpa Absyar luahkan.

"Saya suka spend time dengan orang yang saya sayang. Makan ke tonton movie ke lepak ke piknik ke ataupun hanya duduk tanpa bercakap apa-apa pun saya okey. As long as saya ada dengan dia." Senyuman semakin melebar di bibir Absyar.

"Siapa dia?" soal Zinnirah polos.

"Nak tahu ke?" soal Absyar kembali. Zinnirah hanya angguk tanpa menduga apa-apa.

Absyar terus menunjuk Zinnirah dan membuatkan gadis itu tergamam. Dia terus berdehem dan menoleh ke arah lain.

Kedua-duanya sudah panas pipi!

"Awak tak nak ceritakan pada saya tentang diri awak ke?" Absyar mula mengubah angin untuk menghilangkan rasa janggal disebabkan ulahnya.

"Awak nak tahu apa tentang saya?" soal Zinnirah.

"Apa-apa yang awak nak cerita."

"Okeylah kalau macam tu... Nama saya Zinnirah binti Alwie. Nama panggilan saya Ji kalau awak tak tahu sebab awak selalu panggil nama penuh saya. Umur saya 27 tahun, sama dengan kawan baik awak. Saya sekarang kerja sebagai architect assistant di salah sebuah firma arkitek yang kecil. Saya ada empat adik beradik, saya anak ketiga. Saya dan Mustaqim Irish Twin. Kami lahir pada tahun yang sama tapi bulan yang berbeza. Saya ada sakit yang awak perlu tahu walaupun saya tahu yang awak sudah maklum tentang hal ini. Saya sakit SLE. Systemic Lupus Erythematosus. Tahun ni dah masuk tahun ke-11 saya hidap penyakit yang tidak ada punca dan ubat ini." Zinnirah berhenti seketika dan tersenyum kelat.

"Dulu SLE saya serang sendi dan kulit. Tapi sekarang dia serang buah pinggang saya, Absyar. Saya harap saya tak perlu nak hadap dialisis atau buah pinggang saya dibuang. Saya... Takut," tambah Zinnirah dengan wajah yang sudah berubah.

Realiti sangat menyakitkan kan?

"Insya-Allah kita doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal. Allah akan beri jalannya pada awak. Jadi, jangan risau ya?" pujuk Absyar dengan suara yang lembut.

Zinnirah hanya angguk.

"Selain SLE, I'm a mental health patient. Saya ada MDD with anxiety. Saya jugak ada PTSD. Saya pernah duduk di wad psikatri. Dulu teruk, saya hampir ambil nyawa sendiri berkali-kali and then there was you, selamatkan nyawa saya, juga berkali-kali." Kali ini senyuman ikhlas Zinnirah mula terukir membuatkan Absyar turut sama tersenyum.

"Appointment psychiatry saya dah tak sebanyak dulu. Sekarang, saya perlu jumpa Dr. Dahlia sebulan sekali. Dos ubat saya pun dah turun, alhamdulillah."

"Alhamdulillah, tahniah Zinnirah!" ucap Absyar penuh teruja apabila diberitahu berita baik itu.

"Absyar..." panggil Zinnirah.

"Ya?" Absyar melihat terus ke mata gadis itu.

"Awak tahukan keadaan saya?"

"Tahu dan saya dah bersedia untuk menjaga dan merawat awak jika awak terima saya."

"Bukan setakat itu Absyar. Saya... Saya mangsa rogol. Saya pernah keguguran dan saya trauma dengan lelaki. Awak fahamkan risiko bernikah dengan saya?" Bergetar suaranya menahan rasa dalam hati.

"Dan perkara yang sangat menyakitkan buat saya dan juga mungkin pada awak jika awak tetap memilih saya untuk dijadikan isteri ialah... kemungkinan untuk saya mengandung itu sangat tipis." Zinnirah tersenyum nipis lalu menunduk ke bawah. Sukarkan untuk menerima kenyataan perit tentang dirinya?

"Saya tahu dan saya faham semuanya, Zinnirah. Awak bukannya sebuah risiko melainkan awak ialah takdir terindah yang ditetapkan oleh Allah buat saya. Sebelum saya melamar awak, saya sudah fikirkan tentang hal ini.

Awak kena tahu Zinnirah, tujuan saya mahu bernikah dengan awak bukanlah disebabkan nafsu. Saya memilih untuk bernikah dengan awak berlandaskan atas dasar kasih yang mula bercambah dalam hati saya. Dengan penuh rasa rendah diri, saya mahu ada hubungan yang halal dengan awak kerana saya mahu yang terbaik buat kita. Bukan hanya saya, bukan hanya awak. Tapi kita." Absyar membalas panjang dengan penuh rasional.

"Saya tak cintakan awak, Absyar."

Absyar terasa seperti hatinya dibelah dengan sebilah belati. Sakitnya, hanya Tuhan yang tahu.

"Bernikah atas dasar rasional dan tanggungjawab akan menghidupkan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. Sifat empati adalah hal yang paling penting dalam pernikahan and if we master all of these, cinta akan hadir dengan sendirinya. Jangan takut untuk keluar dari circle yang lama untuk kehidupan yang lebih baik di hadapannya, Zinnirah." Absyar mengulas panjang.

Entah kenapa, dia sungguh takut akan jawapan yang bakal diberikan oleh Zinnirah nanti.

"Bagaimana cinta itu akan hadir jika saya tak mampu untuk menyayangi diri saya sendiri, Absyar?" Kalini Absyar terdiam dengan soalan Zinnirah.

"Saya tak cintakan awak dan saya tak tahu saya akan dapat mencintai awak ataupun tidak. Saya takut perkahwinan ini hanya akan menyakitkan kita berdua." Keluhan mula terbit daripada bibir mungil Zinnirah.

Mata Absyar sudah mula menggeletar.

"How should we know if we didn't give ourselves a chance?"

"The more you love me, the more you will hurt. Marriage is not easy as you think," bidas Zinnirah semula.

"I have been thinking about it in all aspect before. And I'm ready to be hurt by you if that is the only chance that I get to protect you. Hurt me as you want, I will keep being your shelter. Use me as you want, Zinnirah... At the end, I will only choose you," luah Absyar dengan mata bening yang sudah berkilat.

Sekali lagi Zinnirah mengeluh dengan jawapan keras kepala lelaki itu.

"Give me time, Absyar. I will give you an answer soon. Saya harap awak akan berlapang dada dengan jawapan saya nanti." Zinnirah memutuskan untuk tidak meneruskan lagi sesi taaruf mereka itu.

Absyar hanya tersenyum faham sebelum pamit ke tandas. Zinnirah hanya memerhatikan langkah doktor muda itu.

'Tuhan, berikanlah aku petunjuk tentang lelaki itu. Dia terlampau baik untuk aku lepaskan namun terlampau kejam jika aku menerimanya. Berikanlah aku petunjuk-Mu agar keputusan ini bakal menjadi keputusan yang terbaik buat aku dan juga Absyar Abid Abdullah.'

'Bantulah aku Ya Allah, aku buntu.'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience