ZINNIRAH tidak senang duduk apabila mendapat panggilan daripada Mustaqim tentang keadaan Absyar. Kini sudah masuk tiga jam dia menunggu suaminya yang tidak berkunjung pulang. Hati mula berasa takut dengan segala kemungkinan yang terjadi.
"Abiy dekat mana? Kenapa abiy tak balik lagi?" ujar Zinnirah seorang diri sambil mundar-mandir di ruang tamu. Sumayyah yang diletakkan di toto bayi berhadapan televisyen hanya memerhati setiap pergerakan ibunya.
"Assalamualaikum." Salam yang diberi bersama pintu rumah yang ditutup perlahan membuatkan Zinnirah menderu laju ke arah Absyar. Wajah keruh yang cuba ditutup dengan senyuman manis itu terhidang di hadapan iris Zinnirah.
"Waalaikumussalam abiy, abiy lapar?" Tangan Absyar dia salam lalu menarik lelaki itu ke dapur.
"Ji ada masak sup ayam simple je. Abiy makan eh?" Tangkas Zinnirah ke sana ke mari walaupun sendinya belum seperti sedia kala. Waktu memegang mangkuk yang berisi nasi dan sup, mangkuk itu bergegar hebat namun dia cuba kawal sebaik mungkin. Sudu dia capai sebelum dia melabuhkan duduk di sebelah Absyar.
"Bismillahhirrahmanirrahim, jom makan." Sudu yang sudah diisi dengan nasi, sup dan isi ayam dia bawa ke hadapan bibir Absyar dalam keadaan yang menggigil. Absyar terus membaca doa dan membuka mulut apabila melihat kesungguhan isterinya tika itu.
Makanan yang dikunyah terasa sukar untuk ditelan. Sakitnya dia perlu berlakon seperti baik-baik saja sedangkan dalamannya sudah parah.
Suapan kedua dari Zinnirah dia sambut dengan perasaan sebak yang mula melanda. Air mata yang ditahan mula jatuh di hadapan isterinya tika itu. Bermula dengan air mata, esakan Absyar semakin kuat kedengaran sehingga Zinnirah terpaksa mengabaikan makanan itu dan memeluk erat suaminya.
Belakang Absyar dia usap penuh kasih. Bahagian belakang baju Zinnirah terasa digenggam erat oleh Absyar sehingga terasa getaran lelaki itu pada diri Zinnirah. Baju yang sudah basah dengan air mata insan yang disakiti itu, Zinnirah abaikan sebelum melabuhkan kepalanya ke atas kepala Absyar yang masih menggogoi menangisi takdir diri.
"Ke-kenapa manusia terlampau ke-kejam? Ke-kenapa- kenapa anak luar nikah selalu dianggap ti-tidak berguna sedangkan ini bukan sa-salah mereka? Ken-kenapa saya yang perlu hadap semua ini Zinnirah. Ke-kenapa saya?" Dalam keadaan tersedu-sedan, Absyar mula membuka rasa hatinya pada Zinnirah.
"Kerana Yang Maha Adil, Yang Maha Penyayang dan Yang Maha Pengampun itu hanya ada pada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Allah pilih abiy sebab Allah tahu abiy mampu hadap semua ujian yang dia turunkan buat abiy. Abiy kuat, Ji tahu. Selagi mana kita tanamkan rasa percaya pada Allah di sini..." Zinnirah memegang bahagian tengah dada Absyar.
"...kita akan sentiasa mendapatkan ketenangan. Dulu abiy selalu cakap pada Ji... Semakin beriman seorang umat manusia, semakin bertambah ujian yang diturunkan oleh Allah kepadanya. Semakin bertambah ujian, semakin sayang Allah pada kita. Abiy jangan salahkan Allah dengan apa yang terjadi, ya? Manusia kejam dan zalim kerana mereka tidak mahu merasai sakit itu secara berseorangan. Jadi, mereka akan salurkan rasa dendam mereka kepada orang yang tidak salah dan membunuh jiwa mangsa itu sedikit demi sedikit," tambah Zinnirah lagi.
Bunyi esakan yang masih terngiang di telinga Zinnirah, dia cuba abaikan untuk menguatkan diri demi menenangkan Absyar.
"Sa-saya dah lama ca-cari emak. Tapi emak benci saya, Zinnirah. Dia benci sa-saya. Dia benci tengok wajah sa-saya sebab muka saya sam-sama macam orang yang mengandungkan dia." Zinnirah hanya diam dan menggosok belakang kepala suaminya sambil mendengar curahan hati dia.
"Sepatutnya di-dia tak datang jumpa saya. Dia se-sepatutnya biarkan saya terpinga-pinga tanpa tahu sia-siapa orang tua saya berbanding dia menyakiti saya seperti ini. Sakit Zinnirah... Hati saya sakit sangat. Dada saya sesak sampai saya rasa susah untuk bernafas. Sakit Zinnirah..."
"Sa-saya lebih rela hidup tanpa ta-tahu identiti sebenar saya berbanding tahu dengan ca-cara seperti ini. Tolong saya Zinnirah, sakit sangat rasa ni," rayu Absyar sambil menumbuk perlahan dadanya yang terasa sempit.
"Abiy istighfar abiy. Ikut Ji ya... Astagfirullahal 'Aziim Allazi Laa iLaaHa illaa Huwal Hayyul Qayyum Wa AtuuBu iLaih." Berulang-ulang kali mereka berdua melafazkan sayyidul istigfar itu bersama-sama sebelum Zinnirah membisikkan doa Nabi Yunus supaya suaminya itu semakin tenang.
Dada yang tadinya berombak laju kini sudah menjadi lebih perlahan dan tenang. Absyar berasa lelah dengan penderaan emosi yang dia rasakan pada waktu itu. Pelukan di pinggang Zinnirah dia eratkan.
"Abiy minta maaf sebab menangis seteruk ini depan sayang..." ujar Absyar dengan mata terkatup rapat dek rasa pedih.
"Air mata itu perlu ada untuk kembali bangkit dan menjadi kuat pada esok hari. Jangan malu dengan Ji, Ji akan sentiasa dengan abiy. Absyar yang Zinnirah kenal sentiasa kuat dan tabah. Ini yang buatkan Zinnirah bertambah cinta pada Absyar," usik Zinnirah di ayat terakhirnya untuk menarik lelaki itu keluar daripada terus dibelenggu rasa sedih.
Absyar terus tersenyum kecil dengan ayat Zinnirah itu.
"Sayang..." panggil Absyar walaupun kepalanya masih menempel di bahu Zinnirah.
"Ya, abiy."
"Abiy mengantuk... dan letih." Absyar mengadu apabila kepalanya terasa berat dan berdenyut.
"Okey kalau macam tu, jom kita masuk bilik dan tidur. Mayyah pun mesti tengah tunggu ayah dia tu." Zinnirah melepaskan pelukan dan membantu Absyar untuk bangun. Lelaki itu dibawa ke arah singki dan wajah yang melekit dengan air mata, Zinnirah bilas dengan air bersih.
"Jom tidur," ajak Zinnirah sambil memimpin suaminya yang bagaikan tiada jiwa tika itu. Sumayyah yang masih berjaga hanya diam dan bergolek ke kiri dan ke kanan di atas tilam nipisnya.
"Abiy tidur ya. Semoga perkara-perkara buruk yang menimpa hari ini hilang dan menjauh. Selamat berehat, abiy." Dahi Absyar dia cium lama.
Angkatlah rasa sedihnya, Ya Allah.
Share this novel