ABSYAR TERPAKU PADA lantai hospital apabila mendengar ucapan Mustaqim itu. Air oren yang baru saja dia beli dari mesin air itu digenggam kuat.
"Kau cakap apa? Tolong ulang balik," arah Absyar dengan mata yang mengerdip hebat bagai tiada tanda untuk berhenti.
"Aku cakap... adik aku, Zinnirah binti Alwie setuju untuk jadi isteri kau!" ulang Mustaqim turut sama tersenyum gembira.
"Alhamdulillah, Ya Allah!" Absyar memanjatkan rasa kesyukuran apabila mendapat jawapan yang positif setelah seminggu dia menunggu jawapan gadis itu.
"Ya Allah, terima kasih Ya Allah." Absyar terus menekup mukanya dengan sebelah tangan lalu berpaling daripada terus menghadap Mustaqim yang tersengih bahagia.
Yalah, siapa saja yang tak bahagia? Kawan baikku, adik iparku!
Absyar yang secara tiba-tiba mendiamkan diri itu Mustaqim pandang pelik walaupun hanya belakangnya saja yang terhidang di hadapan mata.
"Woi Acad, kau kenapa diam?" tegur Mustaqim namun masih tidak berbalas.
Tanpa aba-aba dia terus memegang bahu Absyar dan menolak lengannya yang menutup muka. Maka terpampanglah mata Absyar yang merah dengan pipi yang sedikit basah dengan air mata yang hampir mengering itu.
Tika itu, Mustaqim pula yang tergamam.
"Kau kenapa nangis ni?" tanya Mustaqim perlahan.
Absyar menggeleng laju. Selaju tangannya yang mengesat air mata yang tersisa di pipi.
"Aku ingat Zinnirah nak tolak anak haram macam aku ni, Mus..." kata Absyar lalu tergelak kecil. Sejujurnya, selama satu minggu ini hidup Absyar kurang tenteram apabila memikirkan jawapan apa yang bakal diberikan gadis itu.
Dan hari ini, dia dapat bernafas lega. Zinnirah sudah menerimanya walaupun banyak badai yang melanda sewaktu slot taaruf demikian hari.
"Apa bendalah kau ni? Bukan pasal anak haram ke anak ikan ke. Ni sebab hati kau, keikhlasan yang kau curahkan pada dia. Itu yang dia nampak bukannya isu kau anak siapa. Aku tumbuk muka kau baru tahu. Haram j betul... " Sungguh geram Mustaqim rasa apabila mendengar ayat itu terbit daripada mulut seorang hafiz seperti Absyar. Mahu saja dia cilikan mulut itu biar membesar seperti bibir DSV!
Kepalanya digelengkan perlahan. Macam-macam sungguh perangai manusia.
Di sebalik amarah Mustaqim, Absyar hanya tergelak kecil lalu tersenyum bahagia. Pipi yang tersisa dengan air mata dia seka sehingga kering. Dia terus bangun mendadak dan bergerak laju meninggalkan Mustaqim yang termangu-mangu di situ.
"Oi Cad, air oren kau!" ujar Mustaqim sedikit kuat apabila melihat satu gelas kertas yang masih dipenuhi dengan air oren.
"Kau minumlah, Mus." Absyar berkata tanpa menoleh langsung pada Mustaqim. Tanpa tunggu lama, dengusan kuat keluar daripada bibir lelaki itu.
"Huh, macam ni ke gaya orang angau?" bebel Mustaqim seorang diri dan langsung meneguk air oren yang ditinggalkan oleh Absyar itu.
Membazir amalan syaitan kan?
Gelas yang sudah kosong dia baling ke dalam tong sampah. Dengan penuh gaya, Mustaqim turut melangkah kembali ke jabatannya.
"BETUL ke kau nak memperisterikan Zinnirah, Acad?" Soalan daripada Zhafran itu membuatkan Absyar terus memandang wajahnya dengan senyuman nipis.
"Betul bang. Saya dah buat sesi taaruf dengan Zinnirah dan seminggu kemudiannya, dia setuju untuk bernikah," jawab Absyar jujur.
Tatkala itu, hanya ada Zhafran, Mustaqim dan Absyar di ruang tamu rumah Zhafran. Zinnirah, Atiya dan Zulaikha diminta untuk tunggu di dalam bilik sementara mereka bertiga melakukan perbincangan.
"Kau serius dengan keputusan kau ni, Acad?" Kali ini Mustaqim pula yang berkerut apabila mendengar soalan abang sulungnya. Wajah Zhafran dan Absyar dilihat berulang-kali.
"Demi Allah, saya sangat serius dengan keputusan saya untuk bernikah dengan adik abang, Zinnirah. Saya dan Zinnirah sudah berbincang segala consequences yang mungkin bakal berlaku dalam perkahwinan ini nanti. Saya sedar akan segala risiko jika saya tetap dengan keputusan saya untuk bernikah dengan Zinnirah. Tapi abang, tolong izinkan saya menjaga dan menyayangi adik abang dengan seluruh kudrat saya. Saya betul-betul memaksudkan apa yang saya ucapkan, bang..." Panjang Absyar meluahkan rasanya apabila melihat wajah Zhafran yang seakan-akan ragu dengan dirinya.
Zhafran hanya diam begitu juga Mustaqim.
"Kau boleh bahagiakan dia?"
"Insya-Allah saya akan cuba, bang."
"Jadi bila nak bertunang?" Soalan Zhafran itu membuatkan kepala Absyar dan Mustaqim mendongak pada waktu sama.
Semudah itu?!
Ingatkan abangnya itu susah beno nak lepaskan Zinnirah.
"Abang tak akan semudah ini lepaskan adik abang pada orang yang sembarangan Acad... Abang percaya kau boleh jaga adik abang dengan baik jadi jangan sesekali kau hancurkan kepercayaan ini," terang Zhafran panjang lalu tersenyum kecil.
Dia sayangkan Zinnirah, adik kecilnya sampai bila-bila.
"Terima kasih sebab percayakan saya, bang," ucap Absyar penuh terharu dengan bibir yang sudah tersenyum gembira.
"Jadi bila nak bertunang?" Soalan itu diulang sekali lagi.
Tanpa menunggu lama, Absyar menghulurkan sekotak baldu merah yang terdapat satu bentuk cincin belah rotan kepada Zhafran.
"Ini cincin merisik untuk Zinnirah." Zhafran hanya menjeling sebelum memandang muka Absyar.
"Sebenarnya saya tak ada keluarga jika nak bertunang mengikut adat melayu yang sebetulnya. Saya tiada sesiapa yang boleh bantu saya untuk meminang mengikut adat. Tapi saya mahu Zinnirah merasai flow pernikahan seperti orang lain. Ada majlis pertunangan, ada malam berinai dan ada majlis bersanding." Absyar menghentikan bicaranya. Senyuman kelat dia usaha untuk tutup.
"Tapi abang, Mus... Saya akan usaha untuk wujudkan kenangan bertunang buat saya dan juga Zinnirah. Jadi, saya bakal bawak rombongan meminang sekaligus berlangsungnya hari pertunangan kami pada jumaat, dua minggu akan datang. Boleh, bang?" Absyar terus menyuarakan cadangannya.
Mustaqim terus memandang wajah Absyar tidak percaya. Seriuslah Mus?
"Kau nak bawak rombongan Cik Kiah mana nanti ni, Cad?" Spontan, terkeluar soalan itu daripada bibir Mustaqim.
Absyar hanya tersenyum dengan soalan sahabatnya itu.
"Abang setuju. Insya-Allah, kami sekeluarga akan menunggu rombongan kau dua minggu akan datang, Acad."
PINTU bilik yang diketuk mematikan perbualan antara tiga manusia berjantina perempuan di situ. Atiya lantas bangun dan terus membuka pintu bilik Zinnirah.
Wajah Zhafran dan Mustaqim yang tersembul di celahan pintu membuatkan Zinnirah berasa gementar secara tiba-tiba. Lengan baju Zulaikha dipegang secara tidak sedar.
"Macam mana bang? Acad dah balik?" tegur Zulaikha sebaik saja Mustaqim menutup pintu bilik.
"Baru je dia beransur tadi," balas Zhafran lalu mengambil duduk di atas tilam Zinnirah.
Atiya dan Mustaqim hanya diam dan turut duduk bersila di atas katil empuk kepunyaan Zinnirah. Mereka hanya menyerahkan segala keputusan pada Zhafran sebagai ketua keluarga di situ.
"Ji..." panggil Zhafran. Zinnirah terus memandang wajah abang sulungnya. Mata mereka bertembung dan jantung Zinnirah berdetak hebat menanti ayat yang bakal dituturkan olehnya.
"Kenapa Ji terima Acad?"
Sungguh tidak sangka, soalan itu yang bakal terbit daripada bibir abangnya. Zinnirah terdiam seketika untuk memikirkan jawapan.
"Sebab dia ikhlas dengan Ji. Ji boleh nampak keikhlasan yang terbias dalam anak mata dia," tutur Zinnirah setelah lama berdiam diri.
"Ji tak sayang dia?" Soalan cepumas lagi!
"Ji akan cuba, abang." Kepala mula menunduk apabila terasa semua mata mula menatapnya.
"Cuba cintakan Acad ya, Ji? He loves you so much." Tangan kanan adiknya ditarik sebelum cincin emas belah rotan yang diberikan oleh Absyar tadi dipakaikan pada jari hantu adiknya.
Zinnirah tergamam dengan ucapan dan perbuatan abangnya.
Matanya terus naik dan mencari mata abangnya yang sudah tersenyum manis.
"Dia sangat tulus dan itu penyebab utama abang lepaskan Ji pada dia tanpa perasaan ragu-ragu."
Zinnirah melarikan pandangan ke arah cincin yang tersarung pada jarinya. Dia terkedu dengan kata-kata Zhafran.
Absyar... Terima kasih.
Share this novel