BAB 73

Romance Completed 60011

ABSYAR MELOMPAT TURUN sebelum diikuti oleh Mustaqim dan Zhafran. Tubuh tiga orang dewasa itu hanya menyisakan sedikit sahaja ruang di dalam liang.

Suasana yang teduh pada petang itu membuatkan hati Absyar menjadi lebih sebak namun dia tahan.

Mereka bertiga mengambil tempat masing-masing sebelum menyambut jenazah Zinnirah yang bakal diturunkan sebentar saja lagi.

Absyar mencapai bahagian kepala, Mustaqim bahagian badan dan Zhafran pada bahagian kaki. Mereka masing-masing melafazkan doa buat Zinnirah.

"Bismillahi wa 'alaa millati rasuulillaah. Dengan menyebut nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW."

Ketiga-tiga beradik itu menurunkan kaki masing-masing sebelum memasukkan jenazah Zinnirah ke dalam liang lahad secara mengiring menghadap kiblat. Tangan Absyar menggeletar tika memastikan pipi kanan isterinya itu berada di atas tanah.

Mustaqim dan Zhafran mula meletakkan beberapa ketulan tanah pada bahagian belakang Zinnirah supaya jenazahnya tidak berpaling dari arah kiblat.

Absyar mengigit bawah bibirnya apabila menyaksikan situasi yang menyesakkan dada itu.

"Acad." Tepukan di bahunya membuatkan Absyar terjaga daripada lamunan. Dia terus menoleh ke arah Mustaqim.

"Dah boleh buka ikatan, kau pergilah buka. Kau yang paling layak kat sini," kata Absyar lembut dengan mata yang turut sama sembap asbab menangisi pemergian adik kesayangannya.

Absyar mengalihkan pandangan pada Zhafran dan lelaki itu hanya menganggukkan kepalanya tanda mengizinkan.

Tanpa menunggu lama, Absyar mencangkung di belakang jenazah isterinya sebelum dia menarik tali ikatan itu secara perlahan-lahan. Nafasnya terasa bagai disekat di kerongkong apabila wajah pucat Zinnirah mula menghiasi matanya.

Matanya mula berkaca apabila memandang cinta hatinya yang kini sudah tidak bernyawa tika itu. Tanpa sedar, Absyar merendahkan dirinya dan mengucup tepi dahi dan pipi Zinnirah, lama sehingga menitis air matanya.

"Wajah sayang tenang sangat, mesti sayang dah tak sakit kan sekarang? Selamat tidur tenang, sayangku Zinnirah. Abiy... Sentiasa cintakan Zinnirah..." bisiknya pada telinga Zinnirah walaupun dia tahu wanita itu sudah tidak dapat mendengar apa pun ucapannya.

Absyar berdiri lalu mengesat air matanya sebelum membiarkan Mustaqim dan Zhafran menutup liang lahad menggunakan papan. Mata Absyar tidak lekang dari memandang wajah Zinnirah sehingga muka itu ditutupi sepenuhnya oleh papan tersebut.

Dia hanya mampu berdiri di dalam liang itu tanpa bisa melakukan apa-apa. Hanya Zhafran dan Mustaqim yang menyambut gumpalan tanah dan diletakkan pada bahagian kepala, pinggang dan kaki isterinya.

Absyar sudah tidak mampu. Hatinya terasa sangat berat sehingga untuk bernafas pun sangat sukar baginya.

Dia melangkah naik ke atas dengan bantuan Mustaqim apabila merasakan kakinya sudah tidak berdaya untuk berdiri. Absyar hanya menyaksikan liang isterinya dikambus dengan tanah tanpa mampu berbicara apa-apa.

"Aaayah!" Suara Sumayyah yang secara mendadak berlari ke arahnya dan memeluk leher sang ayah dengan kuat, mengembalikan Absyar ke dunia realiti.

"Mayyah..." sahut Absyar perlahan sebelum memeluk belakang anak gadisnya.

"Kenapa ibu ada dalam tanah?! Ibu tak boleh duduk dalam tanah!" tanya Sumayyah dengan suara nyaring dan air mata yang sudah meleleh lebat.

"Ayah, bawa ibu naik atas! Bawalah ibu naik atas, ayah!" Dada Absyar dia tumbuk berkali-kali sehingga lelaki dapat merasakan matanya berkaca untuk sekali lagi.

"Mayyah..." panggil Absyar lembut.

"Nak ibu! Mayyah nak ibu!" bentak Sumayyah lagi. Tangannya tidak henti-henti memukul dada sang ayah.

"Sumayyah, ibu dah tak ada. Ibu dah pergi jumpa Allah..." kata Absyar lembut setelah memegang wajah anaknya dengan kedua-dua belah tangan. Anak mata hitam Sumayyah dia tikam supaya si kecil itu kekl bertenang.

"Sumayyah Az-Zahrah, anak kesayangan ibu kan?" soal Absyar dan anak itu mengangguk laju.

"Sumayyah suka tengok ibu sakit?" Sumayyah terus menggeleng.

"Sumayyah tak nak ibu sakit kan?" Anak kecil itu angguk dengan air mata yang masih mengalir laju.

"Sumayyah nak tahu tak? Ibu sekarang dah tak sakit lagi. Allah dah sembuhkan ibu..." ujar Absyar sambil mengusap rambut sang anak. Dia cuba mengawal emosi sendiri yang sedang berkecamuk tika itu.

"Tapi Sumayyah kena tahu... Ibu orang yang sangat baik. Sebab tu Allah panggil ibu balik. Allah nak ibu duduk dengan Dia. Allah nak ibu bahagia dekat sana. Allah nak ibu tak rasa sakit lagi. Jadi, Sumayyah jangan sedih-sedih tau? Sekarang ibu dah ada di syurga. Syurga tempatnya sangat best tau. Takkan Sumayyah tak nak ibu duduk di tempat yang best kan?"

"Kenapa Allah tak bawa Mayyah ikut ibu. Mayyah nak ikut ibu...." Teresak-esak si kecil itu menyoal takdir Allah.

"Sebab belum tiba masanya lagi. Kalau Mayyah ikut ibu, ayah nak duduk dengan siapa? Ibu dah tinggalkan ayah... Lepastu Mayyah pula nak tinggalkan ayah? Tak kesian ke kat ayah? Ayah dah tak ada siapa-siapa..."

Gagal. Absyar gagal menahan rasanya apabila air matanya jatuh di hadapan Sumayyah. Sakitnya mahu menanggung rasa ini, Ya Allah.

"Ayah ada Mayyah je, Mayyah janganlah tinggalkan ayah..." Terpejam mata Absyar bila Sumayyah menyapu air matanya yang mengalir di pipi.

"Mayyah takkan tinggalkan ayah..." kata si kecil sebelum menjatuhkan kepalanya pada bahu Absyar. Dia menenangkan diri daripada sisa sedu yang merajai jiwa tika itu. Absyar terus memeluk erat hasil cintanya dan Zinnirah tanpa kisah tanah yang mula mengotorkan pakaian mereka berdua.

"Ayah sayang Mayyah. Ibu sayang Mayyah. Nanti kita akan jumpa ibu di syurga ya, sayang? Kita kena banyak doakan ibu. Sebab doa kita yang akan bantu ibu..." ujar Absyar lagi walaupun dadanya terasa dikoyak tanpa bius.

Sakit sangat.

Orang-orang di situ hanya memerhati dua beranak itu dengan mata yang bergenang dan penuh rasa simpati. Namun mereka tidak mampu melakukan apa-apa kecuali mendoakan agar Absyar menjadi lebih kuat untuk terus hidup bersama anak-anaknya.

Bacaan talkin selesai. Siraman air di atas kubur merah itu juga selesai. Semua orang mula beransur pulang kecuali Absyar yang masih bersila di hadapan rumah baharu isterinya sambil memangku Sumayyah yang sudah tertidur di atas riba.

"Kini... Kita telah terpisah di dunia yang berbeza sayang... Baru sekejap, abiy dah rindu awak sangat-sangat. Macam mana abiy nak lanjutkan hidup tanpa sayang.... Macam mana abiy nak besarkan anak-anak kita tanpa ibunya? Berat sayang... Berat sangat buat abiy..." Air mata itu mengalir lesu daripada mata yang sudah pedih.

Biarlah orang mahu mengatanya lelaki lembik. Dia tidak kisah. Dia rindukan cintanya. Dia rindukan Zinnirahnya.

"Acad..." panggil Mustaqim sebelum melabuhkan duduk di sebelah adik iparnya. Masing-masing berwajah sembap namun yang paling teruk ialah Absyar. Lelaki itu benar-benar seperti orang yang hilang arah tuju.

"Jom balik," ajak Mustaqim apabila melihat langit semakin gelap menandakan waktu maghrib sudab dekat.

"Kau balik dulu. Aku nak teman Zinnirah."

"Mana boleh macam ni, dah nak maghrib Acad. Kau kena balik, kau kena bersihkan diri. Malam ni kita ada buat tahlil untuk Ji kan?" pujuk Mustaqim lagi.

"Kalau aku balik... Nanti malaikat datang teman Zinnirah..." Absyar bercakap seperti budak kecil itu membuatkan Mustaqim menghela nafas berat.

"Itu kerja Allah, Acad. Kalau kau duduk di sini 1000 tahun pun, ada kemungkinan ke Ji takkan didatangi malaikat di sana? Tak ada kan?"

Absyar hanya diam sebelum menunduk.

"Aku- aku dah rindu dia, Mus..." ujar Absyar sebelum bahu itu kembali bergetar menahan esakan.

"Aku tahu. Kau kena yakin, Ji orang yang baik. InsyaAllah, semoga dia dijauhkan dari semua azab kubur."

"Aamiin," jawab Absyar sambil mengesat pipinya dengan belakang tangan.

"Kau kena bangkit, Acad. Anak-anak kau masih bertarung nyawa dalam NICU. Jangan sampai kau hadap kehilangan lagi, Cad. Peninggalan Ji yang terakhir ni, kau kena jaga betul-betul. Dah ada yang kedua atau ketiga kalinya. Ini yang terakhir, Cad. Bangkit dan jaga anak-anak kau," pesan Mustaqim sambil menenung Absyar yang lemah. Tidak pernah dia sangka dia akan melihat Absyar dalam keadaan yang sangat lemah seperti ini.

Absyar bagaikan tersentak apabila anak kembarnya diaebut oleh Mustaqim. Dia terus menoleh dan memandang wajah sahabatnya itu dengan penuh perkara yang berselirat di dalam kepala.

"Aku-aku nak jumpa anak-anak aku, Mus."

Mustaqim terus tersenyum dengan ayat Absyar itu.

"Okey, jom balik."

Absyar terus bangun sambil mengendong Sumayyah dalam dukungannya. Kubur Zinnirah dia lihat buat kesekian kalinya sebelum dia menghembus nafas berat.

Kali ini, abiy betul-betul reda sayang...

Terima kasih kerana hadir dalam hidup abiy...

Semoga sayang dijauhkan daripada segala azab kubur...

Selamat tinggal, sayangku Zinnirah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience