"ALHAMDULILLAH, SEMUANYA SELAMAT." Absyar jatuh terduduk apabila mendengar kata-kata doktor yang tersenyum segaris di hadapannya. Dia terus meraup wajahnya lama sebelum melangitkan rasa syukur yang berkali-kali walaupun rasa sebak mula merajai hati.
"Isteri saya... betul-betul dah pergi... doktor?" Lambat-lambat Absyar menyoal walaupun dia sudah tahu kenyataannya. Walaupun dia sudah mendengar dengan telinganya sendiri death pronounce itu. Tapi, dia tetap mahu menyoal lagi.
"Allah sayang dia," jawab doktor itu dengan senyuman yang tidak dapat Absyar tafsirkan. Apa yang dia rasakan, air matanya kembali jatuh apabila jawapan itu bagai menghentaknya kembali ke dunia. Badannya terasa terhempas kuat dengan kenyataan itu.
Zinnirah sudah tiada... Zinnirahnya... sudah pergi...
"She's still breathing, Dr Absyar. She's still alive. Sekarang Puan Zinnirah akan dimasukkan semula ke dalam ICU sehingga dia sedar untuk pantauan rapat," tambah doktor itu lagi sehingga Absyar terkaku tanpa bicara. Matanya tidak mampu dia kelipkan dan bibir tidak dapat bergerak dengan apa yang dia dengar tadi.
"Maksudnya...? Isteri saya... masih hidup, doktor?" Bergetar bibir itu mengatakan hal ajaib yang menjadi pengharapannya sejak detik-detik yang sangat melemahkan segala organnya tadi.
"Lazarus Syndrome, autoresuscitation after failed cardiopulmonary resuscitation. Jantung dia kembali berdetak pada saat kami sudah berhenti melakukan CPR. She's alive dengan kuasa Allah. Wanita terhebat doktor masih hidup untuk berjuang demi anak-anaknya. Dan anak kembar doktor sekarang berada di NICU. Nanti doktor boleh azankan mereka di sana ya. Kalau tak ada apa-apa, saya minta izin untuk beredar terlebih dahulu," pamit doktor wanita sebelum berlalu pergi apabila mendapat anggukan dan ucapan terima kasih daripada Absyar.
Absyar terus berpaut kuat di dinding sekuat-kuatnya apabila khabar itu masih terngiang-ngiang di dalam mindanya. Air mata itu tidak segan-silu untuk jatuh ke bumi apabila otaknya dapat memproses setiap bait bicara doktor itu tadi.
Lazarus Heart. Dia tahu situasi ini. Fenomena yang sangat langka untuk terjadi kepada sesiapa sahaja yang sudah diisytiharkan kematiannya. Namun hari ini, isterinya diberikan peluang kedua oleh Allah untuk terus hidup.
Zinnirahnya masih hidup.
"Ya Allah... Ya Allah... Alhamdulillah, Ya Allah..." bisik Absyar sambil menepuk dadanya yang terasa sebu. Dia tidak menjangka Allah masih memberinya kesempatan untuk bahagia sekali lagi.
Jejaka itu terus menguatkan diri sebelum bergerak ke arah surau. Dia perlu solat. Ya, dia perlu merafakkan rasa kesyukurannya buat Dia. Dia perlu berdoa dan bersyukur sebanyaknya kepada Tuhan Yang Maha Penyembuh.
Wuduk dia ambil, takbir diangkat dengan perasaan sebak. Bacaan dalam solatnya mendayu-dayu sehingga Absyar terhenti beberapa ketika itu menenangkan diri. Sungguh dia berasa sebak dengan nikmat yang Allah kurniakan buat dirinya.
Setiap doa yang dia panjatkan, perkataan syukur dan alhamdulillah tidak pernah dia tinggalkan. Sejadah itu pun semakin lembap dengan air mata seorang suami yang masih tidak boleh percaya dengan takdir terindah yang Allah aturkan dalam hidupnya.
"Kupanjatkan rasa kesyukuran setinggi-tingginya kepada-Mu yang Allah atas kesempatan yang kesekian kalinya buat diriku, buat isteriku dan buat anak-anakku. Aku mohon Ya Allah, Kau panjangkanlah umur isteriku supaya dia dapat berbakti pada rumah tangga kami Ya Allah. Kau panjangkanlah umurnya supaya anak-anak kami tidak kehilangan kasih sayang seorang ibu. Kau panjangkanlah umurnya supaya aku..." Absyar berhenti seketika untuk menelan liur yang terasa pahit.
"...supaya aku dapat bahagia bersamanya sehingga ke hari tua kami. Aku cinta Zinnirah kerana-Mu, Ya Allah. Aku cinta dia melebihi diriku sendiri... Aku cinta dia..."
Dia hanya membiarkan air mata yang tidak henti jatuh bagai air hujan.
"Kau angkatlah segala kesakitan yang isteriku hadapi. Sembuhkanlah segala penyakit kroniknya, Ya Allah. Berilah dia peluang untuk hidup normal seperti orang lain. Kau kurangkan kadar keaktifan SLEnya. Kau tambahkan rasa bahagia buat dirinya. Kau kuatkan dirinya. Kau tanamkan rasa cinta yang melimpah-ruah dalam dirinya buat aku dan anak-anak kami, Ya Allah.
Dengan rendah hati aku memohon, makbulkan doa hamba yang hina ini. Jadikanlah keluarga kecil kami ini sebagai keluarga yang sakinah, mawaddah warahmah. Jauhkan keluarga kami dari anasir-anasir jahat. Berikan kami kesempatan untuk bahagia, Ya Allah..."
Mata dipejam erat seraya doa itu dilafazkan.
"Rabbana atina fiddunya hasanah, wafil akhirati hasanah. Waqina 'aza bannar..."
Dia meraup wajahnya lama sebelum Absyar menenangkan diri dalam janhka masa yang panjang di atas tikar sejadah surau itu. Kemudian, jejaka itu terus bangun setelah melipat sejadah. Tempat wuduk dia tujui lalu wajahnya dicuci untuk menghilangkan lekitan air mata yang bermaharajalela.
Nafas ditarik dalam dan dihembus panjang. Dengan nafas dan semangat baru, Absyar berjalan gagah ke NICU yang menempatkan anak-anaknya dengan senyuman yang mula terukir di bibir.
Anak-anak ayah....
TIGA HARI KEMUDIAN....
Cahaya yang terang menerobos masuk ke dalam iris memejamkan kembali kelopak mata yang baru saja terbuka. Dahi mula berkerut sebelum dia berdehem apabila tekak berasa tidak selesa.
"Sayang?" Suara lembut itu memaksa Zinnirah untuk kembali membuka matanya sekali lagi.
Tiada lagi cahaya yang menyakitkan mata melainkan wajah suami yang dia sentiasa mimpikan.
"A–air," pinta Zinnirah dengan suara serak.
Dengan tenang, Absyar menuang air mineral ke dalam gelas sebelum membantu isterinya minum menggunakan straw.
"Bismillahirrahnirrahim..."
"Terima kasih," ucap Zinnirah pendek sebelum kembali berbaring apabila terasa perit pada bahagian perutnya.
Absyar hanya diam dan memandang wajah itu tanpa lepas sehingga pipi Zinnirah terasa membahang.
"Kenapa abiy tengok Ji macam tu?" soal Zinnirah dengan jelingan manja di ekor mata.
"Abiy masih tak boleh percaya..." Tangan Zinnirah dia pegang lembut. "....yang sayang masih ada di sini. Masih ada dengan abiy. Masih ada untuk anak-anak kita."
"Kenapa abiy cakap macam tu?" Dahi Zinnirah berkerut sehingga Absyar tertawa kecil. Tanpa aba-aba, dia terus mengucup laju dahi isterinya yang masih terbaring lemah dengan wajah yang sudah sedikit berwarna berbanding hari-hari sebelumnya.
"Sayang dah diisytihar meninggal tiga hari lepas. Lepas kita baca mathurat waktu subuh, sayang secara tiba-tiba collapsed tak bernyawa. Nadi sayang pun tak ada. Abiy takut sangat dan abiy cepat-cepat panggil doktor untuk selamatkan kembar. Alhamdulillah, Allah sayang awak. Jantung sayang tiba-tiba berdegup semula waktu pembedahan dan sekarang sayang di sini, menjadi seorang ibu untuk tiga orang anak kita," terang Absyar panjang sambil meletakkan tangan Zinnirah di pipinya. Mata itu tidak lepas daripada memandang wanita yang sering menjadi ketakutan terbesarnya.
"Ji... pernah mati, abiy?" Dia terkejut dengan kenyataan itu.
"Sudden death tapi sayang masih hidup. Semoga selepas ni sayang akan semakin sihat supaya kita dapat saksikan anak-anak kita membesar di depan mata." Absyar hanya tersenyum melihat reaksi terkejut si dia.
"Ya Allah... Ji tak percaya Allah masih berikan Ji nyawa sedangkan dulu berkali-kali cuba untuk mencabut nyawa ini sendiri." Mata itu mula bergenang apabila teringat perbuatan jahilnya.
"Jangan ingat lagi sayang. Sayang dah bertaubat, jadi jangan ingat lagi tentang hal yang menyakitkan tu. Sekarang, anggap ini peluang kedua daripada Allah buat kita untuk kita bina keluarga bahagia. Sayang jangan sia-siakan peluang ini ya? Kita tak tahu bila lagi Allah akan berikan peluang yang seterusnya. Kita kena manfaatkan keajaiban ini, sayang. Okey?" pujuk Absyar sambil mengelus pipi Zinnirah.
Wanita itu hanya mampu mengangguk dan mengesat air matanya yang jatuh.
Ya Allah, sungguh besar kasih-Mu buatku...
"Abiy," panggil Zinnirah.
"Hm, ya sayang?" Keningnya terjungkit sebelah.
"Bila Ji boleh jumpa kembar?" Perasaan membuak-buak untuk bertemu dua anak lelakinya yang sungguh hebat berjuang secara diam di dalam rahim ibu.
"Sayang baru aje bangun, belum sempat doktor periksa pun lagi. Sekejap lagi abiy akan panggilkan doktor, doakanlan kita dapat jumpa Salman dan Safwan paling lambat esok hari," kata Absyar seraya mengusap lembut ubun-ubun isterinya. Jemarinya itu terus laju menekan butang di hujung kepala katil Zinnirah sebelum dia kembali duduk.
"Ji nak jumpa sangat kembar..." rengek Zinnirah.
"Insya-Allah nanti kita pergi jumpa kembar ya." Absyar tersenyum kecil.
"Zinnirah..."
"Ya?" Wanita itu terus berpaling untuk menatap wajah suaminya itu.
"Abiy cintakan sayang sangat-sangat, sampai syurga," luah Absyar secara tiba-tiba. Wajah Zinnirah langsung rasa panas membahang apatah lagi kelihatan doktor dan timnya mula memasuki ruang itu.
"I love you!" bisik Absyar di tepi telinga Zinnirah sebelum bangun untuk memberi ruang kepada doktor di situ. Dia terus mengenyitkan mata pada isterinya yang masih tergamam dengan tindakan luar alam itu.
Dia tidak kira, peluang kedua ini akan Absyar gunakan sebaik mungkin. Dia mahu memanfaatkan setiap detik mereka bersama. Dia tidak mahu ada penyesalan.
Dia hanya mahu mereka bahagia walaupun badai yang menimpa itu kuat.
Rindu tak? Nanti saya update lagi.
ji is backkk
Share this novel
nakkk
thanks update author