BAB 70 (part 2)

Romance Completed 60011

"Abiy tak marah ke Ji mengandung lagi?" tanya Zinnirah sebelum kepala suaminya di perut dia elus penuh kasih.

"Kenapa abiy nak marah? Ini anak-anak kita. Ini rezeki kita," balas Absyar dengan suara lembut lalu terus duduk menegak di depan isterinya. Kedua-dua tangan Zinnirah yang hangat, dia pegang erat tanpa mahu lepas.

"Ji takut abiy tak terima anak ni sebab abiy pernah cakap abiy tak nak anak lagi buat masa sekarang. Ji takut kalau Ji bagitahu abiy tentang kehamilan ini, abiy akan minta Ji gugurkan anak ini," jujur Zinnirah mengungkapkan apa yang dia rasa kepada sang suami setelah lama merahsiakan hal ini.

Absyar yang mendengar hanya beristighfar perlahan. Jemarinya mengelus lembut tangan sang isteri yang kering akibat rawatan yang sedang dia jalani.

"Abiy takkan mampu nak membunuh anak sendiri sayang. Abiy cakap belum sedia nak ada anak lagi sebab abiy fikirkan tahap kesihatan awak, bukan abiy tak nak ada anak dengan sayang lagi. Abiy takkan sanggup biarkan sayang menanggung sakitnya rahim ini dirobek untuk mengeluarkan anak yang masih bernyawa secara paksa. Abiy tak sekejam itu sayang. Abiy sayang awak, abiy sayang anak-anak kita... Abiy takkan sanggup melihat orang yang abiy sayang sakit..." ujar Absyar panjang untuk menghilang fikiran-fikiran negatif dalam minda Zinnirah.

"Ji minta maaf abiy... Ji simpan kandungan ni seorang diri tanpa beritahu abiy sebab Ji takut."

"Dah berapa lama sayang tahu sayang mengandung?" soal Absyar sebelum menyelit rambut isterinya ke belakang telinga.

"Beberapa hari selepas our anniversary photoshoot."

Absyar tersentak.

"Oh, dah lama sayang tahu?" Air mukanya sedikit berubah sebelum mengawalnya sebaik mungkin.

"Ji minta maaf abiy. Ji hanya bagitahu Doktor Liza dan dia minta Ji gugurkan anak ini. Sebab itulah Ji tak bagitahu abiy, Ji takut abiy berpendapat yang sama dengan Doktor Liza." Matanya mula berkaca apabila rasa bersalah mula menggunung dalam dada.

"Tak apa sayang, abiy faham keadaan awak. It's okay, don't cry," pujuk Absyar sambil mengesat lembut air mata si dia yang mula jatuh.

"Ji rasa bersalah pada abiy..." Esakan kecil mula terhambur tanpa dia pinta.

"Sayang tak buat salah pada abiy, janganlah rasa bersalah." Dia terus melabuhkan satu kucupan hangat pada dahi isterinya sebelum memeluk bahu itu. Sebelah tangan lagi dibawa ke arah perut Zinnirah dan dia usap perlahan.

"Sayang dah tahu jantina anak kita?" soal Absyar, masih dalam pelukan.

"Tak tahu, Ji tak pernah periksa kandungan ni..." Mukanya dia tekapkan pada dada bidang Absyar.

"Anak kita lelaki, sayang. Kedua-duanya lelaki," bisik Absyar lalu melepaskan pelukan mereka. Wajah Zinnirah yang bagaikan tergamam itu dia sentuh sebelum menarik senyuman kecil.

"D-dua?"

"Mereka kembar. Anak kita kembar," tambah Absyar lagi.

"Ya Allah!" Tanpa dipinta, air mata itu mengalir laju tanda kesyukuran yang tinggi dipanjatkan kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Kasih Lagi Maha Penyayang.

"Anak-anak kita sihat abiy?" Zinnirah bertanya dengan bibir yang sudah bergetar hebat.

"Kembar sihat. Kembar sangat kuat macam ibu," usik Absyar sehingga Zinnirah terhambur tawa kecilnya.

"Alhamdulillah, Ya Allah... Syukur anak-anak kita sihat abiy..."

"Lagi dua bulan sayang akan melahirkan dua budak comel ni. Abiy doakan sayang cepat-cepat sembuh supaya sayang ada banyak tenaga untuk diri sendiri. Terima kasih, sayang. Terima kasih untuk zuriat-zuriat comel yang bakal menambahkan kemeriahan dalam rumah kecil kita nanti." Pipi Zinnirah yang sedikit cengkung dia cium lama untuk menghilangkan rasa rindu yang bertalu. Namun makin lama dia cium, makin menebal rasa rindunya buat Zinnirah.

"Aaamiin! Ji tak sabar nak peluk cium anak-anak kita... Terima kasih kerana selalu ada dengan Ji, abiy. Ji sayang abiy sangat-sangat." Kali ini, Zinnirah pula yang mencium pipi suaminya bertalu-talu sebelum bilik itu dihiasi dengan tawa mereka berdua.

Gembira? Ya.

Bahagia? Ya.

Mereka berharap momen ini akan bertahan sehingga akhirnya. Sehingga dunia ini tidak lagi mengizinkan mereka untuk bersatu lagi.

"Sayang..." panggil Absyar.

"Hmm," sahutnya dengan mata yang terpejam. Kepala sudah dilabuhkan pada dada Absyar.

"Sayang ada mengidam nak makan apa-apa tak? Kejap lagi abiy akan hantar Sumayyah ke rumah Mus dan abiy akan menginap di sini, teman sayang." Rambut isterinya dia elus. Menerima setiap aksi manja si dia.

"Mayyah kena balik ke abiy?" Bibirnya sudah tercebik menahan sedih untuk berpisah sekali lagi dengan sang anak.

"Sumayyah tak boleh duduk di hospital lama-lama, sayang. Bahaya. Sayang faham kan?" ujar Absyar lembut.

"Ji faham..." Lemah Zinnirah berkata dan cuba menerima fakta itu. Dia bakal merindui anak kecilnya itu lagi.

"Sayang nak makan apa? Abiy akan bawa petang ni," soal Absyar lagi.

"Ji nak megi kari yang abiy masakkan boleh? Dua bungkus!" Dua jarinya diangkat ke hadapan wajahnya sebelum tersengih. Absyar tersenyum kecil.

"Lagi?"

"Ji nak bubur berlauk yang Shira buat boleh? Ji pun nak nasi goreng tomyum seafood. Nak dessert, nak jus epal hijau." Absyar menelan liur yang terasa kelat tika itu.

"Abiy, Ji nak sundae Mixue juga boleh ke?" Kali ini Zinnirah mendongak untuk memandang suaminya yang setia menunduk melihat sang kekasih hati tanpa lepas.

"Boleh ke, abiy?" soal Zinnirah sekali lagi.

"Boleh sayang, abiy akan bawa semua yang sayang order okey?" Terus dia mencium kepala itu dengan rasa yang berat di hati.

"Terima kasih, abiy!" ujar Zinnirah lalu mengetatkan pelukannya pada pinggang Absyar. Dia selesa begini. Dia mahu selamanya begini.

"Sama-sama, sayang..."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience