PAKAIAN YANG TERAKHIR dia masukkan ke dalam beg sebelum zipnya ditarik. Zinnirah mula meliarkan matanya ke arah hujung bilik yang awalnya kosong namun sekarang sudah terisi dengan katil bayi buat anak mereka.
Sungguh cepat masa berlalu. Baru saja Zinnirah merasakan waktu-waktu seronok membeli barangan bayi bersama Absyar waktu di Negeri Sembilan berbulan yang lalu. Baru saja dia melayan karenah manja suaminya yang setiap kali mahu tidur, perlu dia peluk. Baru saja dia dapat menikmati ubat-ubatannya dalam dos yang sedikit asbab kandungannya. Dan baru saja dia merasakan tendangan kecil itu dari dalam perutnya.
Kini, Zinnirah sedang menghitung hari untuk melahirkan cahaya mata mereka. Perut yang memboyot itu membuatkan dia semakin mengah tatkala melakukan aktiviti hariannya.
"Allah..."
Sesekali dahinya berkerut apabila terasa kontraksi yang agak kuat. Namun, dia cuba mengawalnya seperti yang sudah diajarkan oleh doktor peribadinya, Doktor Absyar Abid.
Perutnya dielus lembut sambil menghembus nafas perlahan. Bibirnya itu pun terkumat kamit membacakan doa dan surah seperti apa yang Absyar amalkan.
Suaminya itu tak pernah sehari pun terlepas daripada membacakannya Surah Yusuf, Surah Maryam dan Surah Luqman sambil mengelus lembut perut sang isteri. Tika itu, Zinnirah merasakan dirinya sangat disayangi dan perasaan terharu membuak-buak.
"Yang..." panggil Absyar sambil membawa beg kelengkapan anak mereka.
Zinnirah terus berpusing ke arah Absyar dengan senyuman nipis.
"Dah siap?" soal Absyar yang sudah menghampiri isterinya. Kepala Zinnirah yang sudah bertudung, dia usap perlahan sebelum duduk melutut di tepi katil. Perut si isteri di pegang dengan senyuman yang terukir.
"Assalamualaikum anak ayah. Anak ayah sihat? Kita dah nak pergi hospital tau kejap lagi, ibu dah nak kena warded. Anak ayah anak yang baik kan? Tolong mudahkan urusan ibu ya, baby. Ayah doakan semoga urusan ibu dan baby Allah mudahkan dan lancarkan. Semoga semuanya selamat. Semoga ibu dan baby sihat bila selesai semuanya nanti. Baby jangan degil-degil ya? Mudahkan urusan ibu ya sayang. Bila baby keluar nanti, ayah bagi baby hadiah kalau baby jadi anak yang baik," pesan Absyar panjang sebelum melabuhkan satu ciuman hangat pada perut Zinnirah. Ciuman lama itu berakhir apabila terasa tendangan anak kecil itu pada pipinya.
Absyar tertawa kecil.
"Garang betul anak kita ni yang, sampai pipi abiy pun dia tendang," adu Absyar sambil menggelengkan kepalanya. Zinnirah turut tertawa kecil walaupun rasa sebak mula menghurung jiwa apabila mendengar perbualan Absyar dan anak mereka itu.
Jiwanya sentiasa hangat dengan kasih sayang lelaki itu. Dia sentiasa rasa dihargai dan dikasihi apabila bersama Absyar.
"Ji takut abiy," kata Zinnirah apabila rasa itu sedang menghantuinya sejak beberapa hari yang lalu. Dia takut untuk melahirkan. Dia takut jika hari itu merupakan hari terakhirnya di atas muka bumi ini.
"Abiy ada. Abiy akan teman sayang dalam labour room nanti. Abiy akan sentiasa doakan sayang. Sayang pun jangan lupa berdoa banyak-banyak, okey? Kita mohon bantuan daripada Allah supaya Dia dapat memudahkn segala urusan kita, okey sayang?" nasihat Absyar lembut sambil mengusap pipi isterinya. Zinnirah mengangguk lesu tanda faham.
"Tak nak sedih-sedih dah, kejap je lagi kita dah nak bertukar status," kata Absyar lalu melabuhkan ciumannya pada kedua-dua belah pipi Zinnirah.
"Abiy suka cium pipi Ji," kata Zinnirah lalu menolak wajah suaminya.
"Sebab gebu," usik Absyar lalu lantas berdiri.
"Jom gerak," ajak Absyar yang sedang menghulurkan tangan pada isterinya itu.
"Takut abiy..." Sekali lagi perkataan itu meluncur laju.
"Abiy ada. Allah ada. Jom kita pergi Mixue. Sayang cakap nak matcha icecream kan?" Jejaka itu cuba memancing emosi isterinya.
"Betul ke ni?" Mata bening Zinnirah mula memancarkan cahaya teruja.
"Ya, jom. Nanti bila dah dalam pantang, sayang dah tak dapat aiskrim tu. Lagi sayang nak makan apa sebelum kena warded?" Absyar tersenyum bahagia apabila huluran tangannya bersambut.
"Abiy... Ji nak nasi kandar." Baru saja sebut, Zinnirah sudah kecur liur.
"Okey kalau macam tu, kita pergi makan nasi kandar dulu baru pergi Mixue, boleh?"
"Boleh!" jawab Zinnirah penuh teruja.
Absyar terus tertawa kecil. Beg pakaian Zinnirah dan anaknya dia pegang menggunakan tangan kiri manakala lengan kanannya menjadi tempat Zinnirah berpaut ketika berjalan.
"Comel sungguh ibu ni," puji Absyar sebaik saja dia mengunci pintu rumah. Dia tersengih apabila Zinnirah berdecit perlahan sebagai respons.
"MashaAllah cantiknya Zinnirah saya." Selagi tidak sampai ke tempat parkir, memang bibir Absyar itu tidak akan berhenti bercakap dan memuji isterinya sendiri.
Zinnirah apa lagi? Hanya mampu mengulum senyuman bahagia!
"RABBI yassir wala tu’assir rabbi tammim bil khair. Ya Allah permudahkanlah jangan dipersulitkan dan Kau akhirkanlah dengan kebaikan." Zinnirah mengulang doa itu sepanjang dia berada di dalam wad ini. Kontraksinya semakin kuat sehingga membuatkan tubuh badannya menggeletar. Dahi turut berpeluh hebat walaupun suhu pendingin hawa tika itu berada di takat paling rendah.
Dua jam yang lalu, bukaannya baru 6cm tapi sakit yang dia rasakan amat nyeri sekali. Habis lengan Absyar dia genggam tatkala kontraksi itu menyerang. Bermacam gaya sudah dia cuba asbab rasa tidak selesa.
Absyar yang sentiasa menemaninya itu hanya mampu mengurut dan memberikan kata-kata semangat buat Zinnirah di samping membacakan doa untuk menenangkan isterinya tika itu.
"Abiy... Sakit abiy... Kenapa tak boleh bersalin lagi?" Air mata mula jatuh apabila rasa sakit itu datang lagi. Sakitnya hanya Tuhan saja yang tahu.
"Abiy panggil doktor sekarang okey?" Absyar lantas menekan butang merah di hujung kepala katil Zinnirah. Ayat kursi, surah al-Fatihah dan surah tiga qul dia baca berserta surah al-A'raaf ayat ke-54 untuk menenagkan isterinya tika itu. Dalam hati, Absyar tidak henti-henti berdoa kepada Allah supaya memudahkan urusan bersalin Zinnirah.
"Abiy..." panggil Zinnirah dengan tangan yang terkapai-kapai mencari suaminya apabila terasa bahagian bawahnya diseluk untuk memeriksa bukaan.
"Ya sayang," jawab Absyar lalu menyambut tangan isterinya itu. Dia merendahkan badan sehingga Zinnirah dapat memegang belakang lehernya.
"Sakit..." adu Zinnirah dengan dahi yang sudah ternaik segala urat. Secara tiba-tiba, rasa sebak mula menerpa dada Absyar.
"Kalau boleh abiy pindahkan rasa sakit tu, abiy sudi terima asalkan sayang tak sakit. Bertahan sikit ya sayang? Sikit je lagi anak kita dah nak menjengah dunia. Abiy ada dengan sayang, okey? Abiy ada," pujuk Absyar sambil mengusap kepala bertudung Zinnirah. Dahi berpeluh wanita itu dia lap lembut dan dilabuhkan kucupan sekilas lalu.
"Bukaan dah 10 cm, kita dah boleh bergerak ke dewan bersalin ya." Teguran daripada jururawat itu menambahkan debar di dada Zinnirah dan Absyar turut merasakan hal yang sama.
Tangan suaminya tidak dia lepaskan walaupun katilnya sudah mula bergerak.
"Abiy... Takut..." adu Zinnirah dengan mata yang sudah berkaca.
"Jangan risau, Allah ada. Abiy pun ada. Abiy sayang awak, abiy akan sentiasa ada dengan sayang okey. Relaks dan ikut arahan doktor kejap lagi. InsyaAllah semoga Allah mudahkan urusan sayang," kata Absyar panjang sesudah mereka tiba di dewan bersalin yang sejuk itu.
Pakaian Absyar sudah bertukar kepada pakaian yang mengikut SOP hospital. Zinnirah juga sudah bersedia untuk melahirkan walaupun matanya sering kali melingas mencari keberadaan sang suami.
"Abiy ada kat sini sayang." Tangan itu digenggam untuk menyalurkan kekuatan.
"Jangan tinggalkan Ji!" arah Zinnirah dan genggamannya dikuatkan apabila perutnya berasa sakit yang luar biasa tika itu. Peluh sudah membasahi dahi dan pakaiannya.
"Puan ikut arahan saya ya." Doktor itu mula memberi arahan dan Zinnirah turuti dengan Absyar yang menjadi pendokongnya tika itu.
Dia cuba kekal tenang dan mengawal pernafasan sebaik mungkin ketika meneran. Absyar bagitahu untuk dirinya tidak menjerit ketika bersalin untuk menjimatkan tenaga dan Zinnirah menurutinya. Absyar dapat merasakan jemarinya hampir patah di dalam genggaman kuat sang isteri yang menahan peritnya bersalin.
Setelah beberapa lama, bunyi tangisan bayi mula memenuhi ruangan dewan bersalin itu. Semua yang berada di situ mula menghembuskan nafas lega termasuklah Absyar.
Dia terus mencium dahi isterinya dengan mata yang basah. Wajah Zinnirah yang kepenatan itu menambahkan lagi perasaan sebak. Dada wanita itu naik turun dalam keadaan laju.
"Alhamdulillah, terima kasih. Terima kasih sayang sebab dah lahirkan anak kita. Terima kasih, sayang," ucap Absyar berkali-kali dengan air mata yang tidak berhenti daripada jatuh.
"Encik, boleh potong tali pusat anak ya." Absyar terus bergerak ke arah hujung kaki Zinnirah apabila diseru. Gerangan kecil yang kemerah-merahan itu menambahkan rasa sebaknya.
Ya Allah, anaknya... Itu anak mereka...
"Assalamualaikum anak ayah," sebut Absyar sebelum memotong tali pusat itu dengan berhati-hati. Mata yang terasa kabur diabaikan.
"Terima kasih, ayah. Sekejap ya, saya nak bawa anak ini ke ibunya," kata doktor perempuan itu dengan senyuman yang melebar. Dia terus mengendong si kecil itu lalu diletakkan ke atas dada Zinnirah yang sudah dia selakkan sedikit pakaiannya.
Perhubungan ibu dan anak dari kulit ke kulit mempunyai kesan yang hebat berbanding dilapiki dengan baju.
Zinnirah yang pada awalnya tidak mampu membuka mata, kini perlahan-lahan mata bening itu mengalirkan airnya sejurus terlihat anak kecil itu di atas dirinya.
"Sayang..." seru Zinnirah perlahan sebelum dengan terketar-ketar, dia menyentuh badan merah anaknya.
"Sayang, anak ibu..." Air mata mula mengalir jatuh.
Absyar yang berada di samping Zinnirah turut sama mengelus tubuh kecil itu. Detik ini terasa sangat bahagia buat keluarga kecil mereka.
"Abiy, anak kita..." panggil Zinnirah sebelum tertawa kecil dalam tangisannya.
"Ya sayang, anak kita. Anak kita, Sumayyah Az-Zahrah binti Absyar Abid. Nama srikandi yang telah kita pilih. Sumayyah..." sahut Absyar dengan senyuman kecilnya.
"Sumayyah... Anak ibu, Sumayyah..." Zinnirah mula tersenyum bahagia apabila terasa hangat dahinya dek bibir Absyar yang berlabuh di situ.
Sumayyah Az-Zahrah.
Semoga kamu menjadi secekal dan setabah Sumayyah, isterinya Yassir. Semoga kamu menjadi wanita sebaik Fatimah Az-Zahrah sepanjang hidupmu.
Kehadiran kamu, memberi makna hidup baharu buat ayah dan ibu.
Share this novel