MATANYA TUNAK MEMANDANG kiub hitam di hadapan dengan mata yang berkaca-kaca. Dirinya kini bersila di atas lantai setelah menunaikan solat sunat sebentar tadi. Walaupun terik mentari menikam tajam wajahnya, dja tetap tidak berganjak dari tempat itu.
Jemarinya tidak diam daripada menekan tasbih digital yang tersarung di jari bersama bibir yang tidak kering melafazkan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
Zinnirah hanya membiarkan pipinya mula basah dengan air mata yang jatuh. Hatinya mula terasa sebak dan dalam pada masa yang sama, rasa kesyukuran mula meresap dalam jiwa apabila semakin lama memandang kaabah itu.
Sungguh dia tidak menyangka, dia masih diberikan nyawa dan dapat menyaksikan tempat suci ini dengan mata kepalanya sendiri. Pembedahan dua bulan lepas, berjaya.
Kini Zinnirah sedang hidup dengan satu-satunya ginjal yang masih bertahan dalam tubuhnya. Awalnya terpaksa, akhirnya dia reda dengan takdir yang ditetapkan buat dirinya.
Absyar cakap selagi diri kita sentiasa diberikan dugaan dan ujian, itu bermaksud Allah sayang akan kita. Allah mahu kita terus-terusan bergantung dan memohon bantuan kepada-Nya. Dan yang paling penting, Allah sentiasa ingat akan diri kita.
Lelaki itu sungguh bijak berkata-kata untuk memujuk kembali hatinya yang hampir terpesong ke jalan lama; arah yang bagai mencabar takdir Allah. Dia bersyukur dikurniakan Absyar sebagai suaminya walaupun dia sangat kecewa dengan dirinya sendiri.
Dia... Masih tidak dapat cintakan lelaki itu. Sedangkan Absyar memandangnya seolah-olah Zinnirah adalah segalanya buat dia. Zinnirah ialah nyawanya. Zinnirah adalah kebahagiaannya. Padahal Zinnirah hanya mempunyai rasa sayang seperti seorang adik kepada abangnya yang membuat dirinya selesa dengan lelaki itu. .
Mata Zinnirah kembali berkaca apabila perkara itu bermain dalam mindanya. Kejamnya seorang Zinnirah memperlakukan sang suami seperti itu. Dia sudah cuba tapi hatinya masih belum mampu terbuka. Dia takut akan kesakitan dan kekecewaan. Dia takut bila dia sudah mencintai, dirinya akan disakiti.
Walaupun dia tahu kebarangkalian untuk Absyar melakukan itu terhadapnya ialah kosong namun dia tetap trauma dengan masa lalunya. Disakiti fizikal dan mental dengan orang yang paling dia percaya... Benar-benar memberikan kesan yang sangat besar pada hidupnya sehingga sekarang.
Butiran tangis itu kembali membasahi pipi dengan dada yang kembali berasa sesak apabila wajah Absyar mula melekat dalam mindanya. Senyumannya, tawanya, percakapannya... Dia cukup sempurna untuk bergandingan dengan Zinnirah yang banyak cacat celanya.
Dengan terketar-ketar, dia menadahkan tangan dengan kepala yang sedikit menunduk apabila kulitnya terasa seperti hampir terbakar dengan suhu ketika itu. Dia mahu berdoa sepuas hatinya sementara Absyar masih belum tiba.
"Bismillahhirahmanirahim... Alhamdulillah hi rabbil alamin wassollatu wasalamu a'la asyrafil amya iwal mursalin wa a'la alihi wasohbihi wabarik wasalim. Ya Allah Ya Maha Pengampun, aku di sini dengan rendah hati memohon keampunan kepada-Mu, Ya Allah. Ampunkanlah segala dosaku, dosa masa lampauku, dosaku yang sekarang dan dosaku pada masa akan datang. Aku terlalu banyak melakukan dosa besar, aku banyak melawan takdir-Mu sehingga aku sanggup menyakiti diriku berkali-kali. Bahkan aku turut hampir memutuskan nyawaku sendiri beberapa kali. Aku mohon ampun Ya Rahman Ya Rahim... Aku hanyalah hamba-Mu yang hina, yang sentiasa terhasut dengan bisikan syaitan, yang nipis imannya, yang sentiasa menyalahkan takdir yang Engkau telah tuliskan padaku. Ampunkan aku Ya Allah..." Bahu Zinnirah mula terhinjut perlahan apabila dia membuka doa pengampunan buat dirinya yang penuh dengan dosa silam. Mukanya sudah basah dengan air mata bahkan tudung yang dia pakai turut menjadi lembap.
"Ya Allah..." Bibirnya menggeletar sehingga dia berhenti seketika.
"Ya Allah, terima kasih atas semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku. Terima kasih atas nikmat nyawa yang masih terkandung dalam badanku. Terima kasih atas kurniaan iman dan nikmat Islam ini terhadap diriku. Pada hari ini, aku sangat bersyukur dalam menjejakkan kaki di rumah-Mu, Ya Allah. Engkau telah berikan aku banyak kesempatan dalam hidupku daripada kecil sehingga sekarang.
Aku mengaku... Aku futur... Aku putus asa dengan takdir-Mu ke atas diriku sebelum ini. Namun, sekali lagi Kau Yang Maha Penyayang memberikankanku orang-orang yang baik di sekelilingku. Sungguh aku malu dengan segala nikmat yang Engkau turunkan padaku sedangkan aku seorang hamba-Mu yang sangat derhaka terhadap-Mu." Matanya dipejam erat apabila doa itu terbit daripada bibirnya. Sebak mula menjalar ke seluruh kawasan dadanya.
"Ya Allah... Ampunkan dosa kedua ibu bapaku... Ampunkan dosa mereka yang te-telah menzalimiku. Aku-aku sudah memaafkan segala perbuatan jahat yang telah mereka lakukan terhadapku dulu. Ampunkan mereka, Ya Allah..." Reda? Ya dia sudah reda dengan takdir itu. Namun untuk bertemu dengan mereka, dia masih belum ada kekuatan itu.
"Ya Allah aku mohon, Kau lindungilah keluarga Abang Zhafran dan Kak Zulaikha daripada segala ancaman dan berikanlah kebahagiaan kepada keluarganya. Berikanlah anak-anak saudaraku kenyamanan dan keselesaan keluarga sepanjang hidup mereka. Ya Allah aku mohon, Kau jodohkanlah abangku, Mustaqim dengan wanita yang baik. Berikanlah kebahagiaan yang layak kepada dirinya kerana dia sudah banyak berkorban untukku. Jagalah dirinya, berikanlah kesihatan yang baik buat Mustaqim dan Kau kekalkanlah keceriaan itu pada Mustaqim selamanya." Bibir mula terketap rapat setelah dia menghabiskan rangkap doa itu. Wajahnya yang tadi terasa seperti panas terbakar dengan mentari terik, kini Zinnirah sudah tidak merasakan itu. Dirinya terasa telah berteduh di bawah pohon yang melindunginya tika itu.
"Ya Allah, nikmat terbesar yang sedang aku rasakan dalam kehidupanku kini ialah suamiku, Absyar Abid Abdullah. Aku bersyukur Engkau membuka hatiku untuk menerima lamarannya walaupun aku sangat takut pada mulanya. Aku takut diri ini akan mengecewakannya. Aku takut dia akan benci dengan diri aku yang kotor dan jijik ini. Aku takut dia akan berputus asa dengan aku yang sering saja diserang sakit. Namun tanggapanku salah, Ya Allah. Suamiku... Dia seorang manusia yang sangat baik buat diriku. Dia seolah-olah seperti gerangan malaikat buatku, yang sentiasa menjagaku di setiap nafasnya. Yang sentiasa memikirkan keadaan aku walaupun raut wajahnya terserlah keletihan yang berganda. Dia sentiasa tersenyum untuk menenangkan hatiku. Dia sentiasa ada di saat aku berasa tidak mahu hidup, Ya Rahim. Dia sentiasa memikirkan keselesaan aku walaupun sepanjang perkahwinan kami, aku mengasingkan tempat tidur kami. Aku berdosa... Aku tahu Ya Allah, ampunkan aku...
Absyar Abid, dia seorang hamba-Mu yang sangat taat akan segala perintah-Mu. Seorang yang tidak pernah mengeluh dengan beban yang dia tanggung. Seorang yang sangat positif yang sentiasa menjadi support system aku yang terkuat... Bahagiakan dia, Ya Allah. Bahagiakan suamiku." Zinnirah sudah tidak mampu menahan esakan apabila dia mula mendoakan sang suami yang sudah banyak berkorban buat dirinya.
"Kau angkatlah segala keperitan dan kesakitan dalam hidupnya. K-Kau berikanlah kejayaan buat Absyar Abid dalam segala kemahuan yang dia langitkan dalam doanya kepada-Mu. Aku mohon Ya Allah, berikan kebahagiaan kepada suamiku, Absyar Abid Abdullah." Dada yang terasa perit dia sentuh dan usap perlahan dengan mata yang terpejam walaupun isinya laju mengalirkan tangis pengharapan.
"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim... Jika kebahagiaan seorang Absyar Abid adalah melalui aku... Kau panjangkanlah umurku untuk aku berbakti sebagai isteri yang mithali terhadapnya. Kau taburkan dan tanamkanlah rasa cinta aku kepada dia. Kau buangkanlah rasa sayang seorang adik kepada abang dalam diriku tika ini. Kau kurniakanlah rasa cinta seorang isteri kepada suaminya kepadaku. Sesungguhnya, aku mahu memberikan kebahagiaan kepadanya sebagaimana dia membuatku bahagia sepanjang perkahwinan kami. Aku mohon Ya Allah, benihkan rasa cinta aku terhadap Absyar Abid Abdullah... Aku mohon Ya Allah, bantulah aku mencintai sosok tubuh yang tidak kenal erti lelah itu. Bantulah aku... Bantulah aku untuk membina rumah tangga yang bahagia. Bantulah aku untuk menjadi isteri yang menggembirakan buat Absyar Abid. Bantulah aku Ya Allah, aku mohon... Aku mohon sangat-sangat, kau izinkanlah aku untuk membahagiakan suamiku sebelum aku benar-benar pergi meninggalkan dunia ini. Berikanlah aku peluang untuk berbakti kepada dia, sang kekasih halalku.
Ya Allah, kau lindungilah perkahwinan ini daripada segala perkara-perkara yang boleh meruntuhkannya. Aku sayang perkahwinan ini, Ya Allah. Aku mengaku, aku sangat selesa dengan suamiku tika ini jadi jangan Engkau uji kami dengan musibah yang dapat menggoyahkan bahtera perkahwinan ini. Berikanlah sebuah keluarga yang sakinah mawaddah warahmah buat Zinnirah dan Absyar Abid, Ya Allah. Aku merayu kepada-Mu, makbulkanlah doaku ini." Zinnirah mula mengesat pipinya yang lencun dek air mata.
"Ya Allah, doa terakhir ini adalah untuk diriku sendiri. Kau kurniakanlah kesihatan buat diriku agar aku mampu menunaikan ibadah-ibadahmu dengan mudah dan selesa, Ya Allah. Kau angkatlah segala penyakit yang tersisa dalam diriku ini agar aku tidak menjadi beban kepada suamiku sendiri. Kau berikan kepadaku rasa rendah diri, rasa berlapang dada yang tinggi dan rasa bersyukur supaya aku akan sering mengingati-Mu di setiap detik nafasku." Nafas ditarik dan dihembus panjang.
"Ya Allah, Kau buangkanlah rasa trauma ini dalam diriku. Aku sudah lelah hidup dalam rasa trauma yang bagaikan mencengkam diri ini daripada melakukan sesuatu di luar batas keselesaanku. Kurniakanlah aku dan Absyar zuriat yang sihat, soleh-solehah dan berbakti kepada orang tuanya nanti. Berikanlah aku kesempatan dan peluang untuk menjadi seorang ibu buat sekali lagi, Ya Allah. Izinkan aku memberi hadiah paling bermakna buat Absyar sebelum aku pergi... Berikanlah kami kesempatan ini dengan penyingkiran rasa traumaku agar kami dapat mengecapi kebahagiaan ini. Tolonglah Ya Allah, aku mohon kepada-Mu... Bantulah aku..." Zinnirah terus menekup wajahnya sesudah dia menyelesaikan doanya yang terakhir.
Tangisan semakin kuat terhambur tanpa dia mempedulikan samada suaranya itu bakal didengar orang lain ataupun tidak. Biarlah dia melepaskan segalanya di sini, di Tanah Suci.
Hampir 15 minit dia berkeadaan begitu sebelum Zinnirah melepaskan wajah daripada terus ditekup. Wajah dilap dengan kain tuala kecil yang setiasa dia bawak di dalam beg galasnya.
Pada saat itu, dia terdetik untuk memandang ke hadapan apabila dia tersedar dirinya bagaikan sedang berteduh di belakang sesuatu. Tubuhnya bagaikan membatu apabila terpandang tubuh Absyar yang segak berihram, sedang berdiri di depannya untuk melindungi matahari daripada terkena pada tubuh genit Zinnirah.
"A-abiy..." panggil Zinnirah tergagap.
"Ya sayang," jawab Absyar perlahan. Cukup untuk pendengaran mereka berdua. Lelaki itu terus bergerak mendekati Zinnirah dan langsung duduk bersila di hadapan wanita itu yang sudah seperti patung cendana.
"Abiy dah berapa lama kat situ?" soalnya kalut. Dia takut suaminya itu mendengar doanya tadi. Dia... Malu.
"Abiy baru sampai aje," helah Absyar dengan juring bibir yang mula tertarik dengan senyuman.
"Abiy tak dengarkan doa Ji?" tanya Zinnirah lagi dan Absyar hanya tersenyum untuk menutup rasa hati.
Dia dengar. Dia dengar kesemuanya.
"Abiy dah bawakan air zamzam, minumlah. Kejap lagi kita nak saei." Absyar terus menukar topik lalu menunjukkan dia cawan kertas yang sudah dia letakkan di sebelah Zinnirah. Wanita itu terus menoleh ke kiri dan mengambil kedua-dua cawan itu.
Satu dihulurkan kepada Absyar, betul-betul di hadapan bibir lelaki itu.
"Minumlah, sayang..."
"Abiy minumlah sikit."
"Abiy ambil untuk awak, bukan untuk abiy. Lagipun tadi abiy dah minum sikit kat sana," balas Absyar lembut dengan mata yang tidak henti memandang wajah comel itu, walaupun matanya sudah bengkak dan merah akibat menangis dalam jangka masa yang lama.
"Abiy... Sisiplah sikit... Tangan Ji dah lenguh ni..." Zinnirah sengaja mahu memancing perhatian lelaki itu.
"Okeylah, abiy minum." Absyar mengalah dan mahu memegang cawan kertas itu sebelum dihalang isterinya.
"Biarlah Ji yang suap, abiy tak perlu pegang!" Asbyar terus tersenyum simpul dan mengikuti arahan wanita itu.
Kalau tak difikirkan dia tengah menjaga wuduk, memang tidak segan silu Absyar akan mencubit pipi gebu isterinya itu. Siapa suruh comel sangat?
"Okey dah. Terima kasih sayangku," ucap Absyar sebaik saja secawan air zamzam sudah habis dia minum.
"Sama-sama, abiy!" jawab Zinnirah dengan wajah yang cuba diceriakan demi menutup kesedihan yang dia rasakan tadi.
"Minumlah, nanti kita nak saei tau. Awak ada wuduk lagi?" tanya Absyar pada Zinnirah yang sudah mula menyisip sedikit air itu.
Anggukan Zinnirah membuatkan Absyar tersenyum bahagia.
Ya Allah, aku mohon... Kau makbulkanlah segala doa isteriku tadi. Berikanlah dia kebahagiaan bersama diriku...
"ABIY, nak pergi mana?" tanya Zinnirah sebaik saja Absyar mengambil bantal dan menuju ke sofa bilik mereka sebaik saja lelaki itu menukar kepada pakaian tidur yang lebih selesa selepas menjamu makan makan di hotel tadi.
"Nak tidur sayang, mata abiy berat sangat-sangat sekarang ni," adu Absyar dengan matanya yang sudah tinggal separuh. Dia benar-benar sangat mengantuk akibat badan yang letih apabila seharian ini mereka telah menyelesaikan umrah pertamanya termasuklah pergi ke miqat-miqat. Absyar berhasrat untuk menunaikan umrah yang seterusnya selagi masih ada waktu berbaki di sini.
"Abiy tidurlah atas katil. Kesian badan tu letih tapi tidur kat sofa," kata Zinnirah yang sedang menyisir rambutnya di hadapan cermin meja solek.
"Pastu takkan sayang nak tidur kat sofa? Biar abiy ajelah tidur kat sofa, sayang tidur atas katil okey?" Dahi Absyar berkerut.
"Tak ada siapa yang tidur atas sofa, abiy. We both will sleep on that bed okay?" Wajah suaminya dia lihat dengan wajah bersahaja. Dia cuba untuk mengatasi rasa trauma itu... Di sini.
"Are you being serious right now, sayang? Abiy tak nak awak kena anxiety attack kat sini..." Wajah risaunya ditayangkan.
Zinnirah terus tergelak kecil dengan respons Absyar itu.
"Ji serius, jomlah tidur." Usai, Zinnirah terus berbaring pada katil itu tanpa menunggu jawapan suaminya.
"Sayang... Betul ke ni? Jangan main-main, abiy dah mengantuk ni," soal Absyar lagi dengan bantal yang dipeluk erat.
"Betul abiy, tidurlah cepat. Ji pun dah mengantuk ni," jawab Zinnirah dengan mata yang sudah terpejam. Enak rasanya apabila badan sudah bertemu dengan tilam empuk ini setelah seharian beribadah.
Zinnirah tersenyum kecil apabila merasakan kawasan di sebelahnya dihenyak oleh Absyar.
"Kalau sayang tak selesa, bagitahu." Absyar memandang wajah Zinnirah dengan penuh risau.
"Ji selesa, abiy tidurlah." Sedikit pun mata Zinnirah tidak terbuka apabila rasa mengantuk menguasai diri.
"Kalau tak selesa, tendang je abiy jatuh katil." Ujaran Absyar itu membuat Zinnirah terus menghamburkan tawanya secara tiba-tiba.
"Abiy... Janganlah buat lawak malam-malam macam ni. Tidurlah, Ji okey..." Wajah risau suaminya dia pandang dan mengangguk perlahan. Tanpa menunggu lama, Absyar turut merebahkan badannya ke tilam empuk itu.
Fuh, sedap!
"Abiy..." panggil Zinnirah secara tiba-tiba membuatkan Absyar terus menoleh bagi menghadap isterinya yang sudah kembali menutup mata.
"Ya sayang."
"Esok kejut Ji awal tau. Ji nak ikut abiy tahajud," pinta Zinnirah dengan tona suara yang semakin perlahan. Absyar terus tersenyum simpul dengan ayat isterinya itu.
"Ya, esok abiy kejut okey? Sekarang tidurlah." Absyar mengeyakan sebelum menyelimuti tubuh Zinnirah yang sudah tertidur dalam jangka masa pendek di sebelahnya.
"Selamat malam, sayang..."
Share this novel