"JI!"
Suara yang begitu teruja itu menyebabkan Zinnirah yang leka melihat pepohon hijau di luar terus menoleh ke arah suara itu.
Kelihatan Mustaqim berjalan laju dan melambai-lambai pada Zinnirah dengan senyuman lebar yang tidak lekang di bibir.
"Ji! Rindunya Mus pada Ji!" Terus dia melabuhkan punggung di sebelah adiknya yang hanya memandang tanpa reaksi.
"Tak rindu Mus ke?" soal Mustaqim lagi sambil menjuihkan bibir. Dia cuba meraih simpati dan juga perhatian daripada seorang Zinnirah ketika itu. Mata dikebilkan berkali-kali sebelum mencuit lengan Zinnirah.
Gadis itu terus berdecit dek berasa rimas dengan tindakan lelaki itu. Dia terus bangun dan duduk berhadapan Mustaqim yang terhalang dengan meja antara mereka.
"Tak rindu Mus ke?" ulangnya sekali lagi.
"Tak!" ujar Zinnirah sambil mendengus kuat. Matanya mencerlung tajam memandang abang kembarnya itu. Dasar manusia menjengkelkan.
Lelaki itu terbungkam seketika sebelum menarik senyuman lebar. Adiknya itu sudah mahu memberikan respon dan itu sangat menggembirakan hati kecil Mustaqim ketika itu.
"Sikit pun tak?"
"Tak. Tak faham bahasa ke?" perli Zinnirah sebelum membuat muka menyampah.
Akhirnya, Mustaqim hanya tertawa kecil dengan reaksi Zinnirah. Comel!
Sungguh dia rindukan adiknya yang dulu.
"Gila." Omelan Zinnirah itu menusuk masuk ke halwa telinga Mustaqim namun dia hanya abaikan sahaja asalkan dia dapat mendengar suara yang dia rindui itu.
"Ji, Mus minta maaf lama tak datang," ucap Mustaqim dengan rasa bersalah.
Jujur dia rasa terkilan dengan diri sendiri kerana telah mengabaikan adiknya itu disebabkan akademik dan juga jarak universiti ke hospital ini. Sudah hampir tiga minggu dia langsung tidak menjenguk Zinnirah dan hanya berhubung melalui panggilan telefon. Walaupun hanya dia yang sering berceloteh, Zinnirah hanya diam tanpa balasan. Entah dengar entah tidak pun dia tidak tahu.
Namun pada hari ini, hatinya terasa sangat bahagia kerana dapat melawat adik kesayangannya di hospital ini. Perubahan Zinnirah yang sudah mahu bercakap dan mengomel kepadanya membuatkan Mustaqim berasa senang hati.
Zinnirah hanya buat tidak tahu sebelum menggaru kepalanya yang sudah tersarung tudung hitam. Apa lagi mamat ni?
"Harini keputusan STPM keluar tau, Ji nak check result sekarang tak?" Teguran Mustaqim itu membuatkan Zinnirah kembali memandang wajah abangnya itu.
"Harini?" soalnya semula dengan nada perlahan.
"Yes. Harini. Today. Jintian." Sengihan Mustaqim itu membuatkan Zinnirah bertambah jengkel.
"Malas nak ambil tahu," kata Zinnirah perlahan dan tepat pada pendengaran Mustaqim.
"Kenapa?"
"Kau fikir aku ada masa depan ke?"
Sontak.
Suasana menjadi diam akan ayat pedas Zinnirah itu. Mustaqim hanya mampu menggigit bibir bawahnya sambil menahan rasa.
Ah! Zinnirah yang sekarang hanya tahu membidasnya sahaja. Dia rindukan Zinnirah yang manja seperti dahulu!
Keadaan yang diam ketika itu menyebabkan Zinnirah bingkas bangun dari duduknya untuk melangkah pergi.
Baru saja dia melangkah tiga tapak, namanya sudah diseru.
"Ji! Nak pergi mana? Mus baru aje sampai ni!"
Ya, mamat annoying itu lagi.
Zinnirah kembali melangkah.
"Ji! Tunggulah, kita belum makan sama-sama tau."
Zinnirah hanya mengabaikan suara itu.
Huh, bising macam lalat.
"Ji!"
Buk!
Langkahnya terhenti apabila kepalanya terlanggar sesuatu yang keras. Dengusan nafas menjadi berat sebelum dia mendongak untuk memandang gerangan di hadapannya itu.
"Sorry..." kata lelaki itu dengan wajah yang serbasalah.
Zinnirah hanya diam tanpa kata sebelum mula bergerak meninggalkan ruangan itu.
Namun, lengannya terasa ditarik membuatkan langkahnya terhenti untuk kali yang dia juga tidak pasti. Dia terus menoleh ke belakang dengan muka yang sudah semakin muram.
"Janganlah pergi dulu, kita makan sama-sama okey? Mus rindu nak makan dengan Ji. Jom?" Lembut suara Mustaqim masuk ke koklea telinganya.
"Ji... Please? Penat Acad pergi beli makanan kesukaan Ji kalau Ji tak nak makan sekali dengan kita orang. Join us, please?" pujuk Mustaqim sekali lagi.
Zinnirah hanya menjeling sedikit gerangan 'Acad' yang ditunjuk oleh Mustaqim tadi.
Oh, mamat tadi.
Tanpa menjawab pujuk rayu lelaki itu, Zinnirah terus melangkah ke arah meja yang didudukinya tadi. Kedua-dua lengan direhatkan di atas meja sambil menunggu dua lelaki itu datang dan menghidangkan makanan seperti yang dikatakan tadi.
Mustaqim terus tersenyum lebar sebelum mengajak Absyar bergerak pantas ke meja itu.
"Acad ada belikan tomyam kegemaran Ji. Ada juga telur dadar dan sayur kailan ikan masin. Ji makan banyak-banyak tau!" ujar Mustaqim penuh teruja sambil mengeluarkan lauk dan nasi lalu dihidangkan ke atas meja itu.
Absyar hanya tersenyum kecil melihat suasana itu.
Zinnirah yang diam dan memerhati.
Mustaqim yang tidak berhenti berceloteh dan tangan yang cekap menghidang.
Absyar hanya mampu membuka penutup botol air sebelum diletakkan di tepi Mustaqim dan Zinnirah.
"Acad, hulurkan aku bungkusan nasi tu," arah Mustaqim. Absyar terus melakukan apa yang diarahkan tanpa bicara.
"Thank you bro."
"My pleasure," jawab Absyar sebelum mengambil duduk di sebelah Mustaqim.
"Baca doa, Cad." Sekali lagi dirinya diarah oleh manusia bernama Mustaqim itu.
"Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma bariklana fima razaktana waqina azabannar. Bismillahi 'ala barakatillah."
"Amin!"
Usai, Mustaqim terus menjamah sesuap nasi putih tanpa lauk sementara menunggu adiknya itu.
"Kenapa tak ambil lauk tu, Ji?" tegur Mustaqim apabila melihat Zinnirah yang termenung lama memandang tomyam ayam yang beraroma harum itu.
"Nasi banyak," jawab Zinnirah perlahan dengan kepala yang menunduk.
"Alamak, Mus punya dah ambil nasi tambah tadi. Ji memang tak dapat nak habiskan ke?" kata Mustaqim sambil memanjangkan lehernya untuk melihat kuantiti nasi yang dikatakan banyak itu.
Itu hanyalah porsi normal seorang Zinnirah suatu ketika dahulu...
Gadis itu sudah tidak mampu untuk menghabiskannya sekarang?
Zinnirah hanya menggeleng sebagai jawapan kepada soalan Mustaqim itu.
"Tak apa, awak beri pada saya. Saya tolong habiskan," potong Absyar setelah sekian lama menjadi pemerhati kedua-dua orang adik beradik itu.
Seraya itu, mereka terus memandang Absyar secara serentak. Mustaqim dengan dahi yang berkerut hebat dan Zinnirah yang memandang tanpa berkerdip.
Absyar hanya mengendahkan pandangan itu lalu mengangkat bekas nasi itu ke arah Zinnirah. Bibirnya terseksa menahan senyuman yang semakin melebar dari pandangan Mustaqim.
"Terima kasih. Sekarang awak dah boleh makan. Ambil lauk banyak-banyak tau, kalau awak tak ambil nanti Mus yang akan habiskan."
Entah kenapa, Absyar secara tiba-tiba menjadi terlebih ramah sesudah saja Zinnirah memberinya nasi tadi.
"Makanlah, Cad. Banyak pula kau bercakap harini," perli Mustaqim.
Absyar hanya berdecit sebelum menunduk memandang nasi.
Mana mungkin dia hendak memandang Zinnirah. Dia tidak mahu gadis itu terasa tidak selesa dengan kehadirannya di situ.
"CAD, Doktor Dahlia nak jumpa aku. Kau teman Ji kejap boleh?" bisik Mustaqim di tepi telinga Absyar yang khusyuk membaca pesanan di aplikasi WhatsApp.
"Takkan kau nak tinggal aku berdua dengan dia?" soal Absyar semula.
"Hotak kau tinggal berdua. Kau tak nampak ke nurse dengan pelawat bukan main banyak kat sini? Kuat beranganlah kau ni, Acad."
Absyar terus menggaru kepala setelah mendapat semburan daripada Mustaqim. Aduh, tersalah cakap pula.
"Sorry, my bad."
"Boleh ke tak kau temankan Ji? Aku nak pergi jumpa doktor ni."
"Boleh, Mus. Kau pergilah jumpa doktor."
"Okey, aku ciao dulu," pamit Mustaqim lalu berlari anak menuju ke tempat yang sudah ditetapkan.
Kini yang tinggal hanya Absyar dan Zinnirah di meja yang sama. Masing-masing berada di hujung meja tanpa ada bicara yang memecahkan kesunyian ketika itu.
Absyar mula tidak senang duduk. Dia menjeling sekilas Zinnirah yang hanya membuang pandangan ke arah luar.
Rambut diraup seketika sebelum Absyar berdehem perlahan.
"Ehem. Zinnirah." Gadis itu hanya menoleh sedikit apabila terdengar namanya diseru.
"Zinnirah... Saya nak bercakap dengan awak boleh ke?" soal Absyar sekali lagi.
"Nak cakap apa?" jawab Zinnirah tanpa memandang Absyar.
"Dah lebih sebulan awak tinggal sini. Awak okey?"
Terus tergaris senyuman sinis apabila mendengar soalan yang tapacul daripada bibir lelaki itu.
"Lagi tenang daripada duduk dalam rumah yang macam neraka."
Absyar terdiam sebelum tersenyum kelat.
"Awak tak nak check result STPM, Zinnirah?" soalan yang sama seperti Mustaqim tujukan padanya sebentar tadi.
"Malas."
"Jangan macam tu. Awak dah bertungkus-lumus untuk dapatkan keputusan yang terbaik, takkan awak tak nak tengok langsung?" Absyar terus memandang belakang Zinnirah yang dari tadi langsung tidak menoleh kepadanya.
Zinnirah terus menghela nafas berat. Kali ini, dia terus menoleh untuk memandang Absyar walaupun mereka berjarak jauh.
"Buat apa nak tengok sedangkan masa depan aku pun dah hancur? Orang gila macam aku ada masa depan ke?" Matanya mencerlung tajam ke arah Absyar.
Lelaki itu terdiam seketika sebelum cuba merangka ayat.
"Masa depan setiap manusia sudah ditentukan oleh Allah, Zinnirah. Saya tak tahu masa depan awak macam mana nanti. Awak pun sama, awak pun tak tahu bagaimana keadaan awak pada masa akan datang nanti. Tapi percayalah cakap saya, masa depan awak belum hancur. Awak masih ada peluang untuk ubah hidup awak, Zinnirah. Awak masih ada insan-insan yang menyayangi awak, yang akan sokong awak untuk awak teruskan hidup. Jangan mengalah."
"Saya tahu, saya tak akan faham sakitnya menjadi seorang Zinnirah. Ujian yang datang menimpa awak, saya tak mungkin mampu untuk tempuhinya. Tapi Zinnirah, awak sedar tak? Awak sudah sampai ke tahap ini. You're one step closer to achieve your dream."
Absyar tersenyum kecil untuk menenangkan gadis itu. Zinnirah hanya mampu menunduk dan cuba menghadam ayat lelaki itu.
"Tapi aku sakit..."
"Sebab itulah, dalam masa yang ada sekarang, awak perlu fokuskan pada diri awak sahaja. Awak perlu kembalikan semangat yang dulu supaya awak dapat comeback stronger next time. Awak nak jadi arkitek kan, Zinnirah?"
Zinnirah mengangguk lesu.
"Kuatkan semangat awak, saya dan Mustaqim akan tunggu awak di universiti walau selama mana pun masa yang awak perlukan. Jadi, worry less. Focus on yourself this time, okay?"
"Okey..."
Senyuman Absyar semakin melebar dengan jawapan gadis itu.
"Nak check tak result awak?" soal Absyar sekali lagi. Dia langsung tidak memaksa gadis itu. Sebarang keputusan dia hanya serahkan pada Zinnirah.
"Saya nak pinjam phone boleh ke?" Zinnirah mengangkat bebola matanya untuk melihat wajah Absyar. Namun apabila mata mereka bertembung, dia terus kembali menunduk.
Hati Absyar semakin berbunga-bunga apabila sedar panggilan gadis itu terhadapnya telah berubah. Daripada 'aku' sudah menjadi 'saya', sama seperti pertama kali mereka berjumpa.
Tanpa menunggu lama, telefon yang sedari tadi berada di atas meja dihulurkan pada Zinnirah.
"Awak tahukan nak check kat mana?" Zinnirah pantas menggeleng.
"Awak boleh check melalui SMS aje. Kejap saya ajarkan..." Absyar menggerakkan diri merapati jarak antara mereka walaupun masih boleh memuatkan tiga orang manusia di antaranya. Hal ini kerana, dia masih tahu batas agama dan tidak mahu menjentik trauma gadis itu.
"Bismillah dulu, Zinnirah," tegur Absyar apabila melihat jemari itu menggeletar untuk menekan butang hantar.
Dengan lafaz basmallah, Zinnirah terus menghantar dengan mata yang tertutup rapat. Sejujurnya dia takut akan keputusan STPMnya sendiri walaupun pada awalnya dia sudah malas mahu ambil endah.
"Dah tengok?" tanya Absyar. Zinnirah hanya menggeleng dengan mata yang masih terpejam.
Absyar hanya tergelak kecil sebelum mengambil semula telefonnya. Paparan di skrin itu dilihat sebelum senyumannya bertambah lebar.
MashaAllah, Zinnirah...
"Zinnirah! Tahniah! 4 flat ni!" kata Absyar dengan teruja.
Zinnirah terus membuka matanya dan melihat ke arah skrin telefon yang sudah diserahkan kembali oleh Absyar.
Matanya tidak berkerdip melihat keputusan itu. Dia sangkakan Absyar hanya menipu.
"Tahniah Zinnirah! Saya bangga dengan awak!"
Ingin saja dia melompat teruja dengan keputusan gadis itu. Namun dia menahan diri. Kalau dia lompat, hilanglah macho!
"Awak nak hadiah apa, Zinnirah? Nanti saya belanja." Tanpa berfikir panjang, Absyar terus menyoal gadis itu dengan mata yang bersinar-sinar.
Zinnirah hanya memandangnya dengan pandangan yang tidak dapat digambarkan.
Tanpa dia sedar, bibir keringnya itu mula menggariskan senyuman nipis untuk lelaki bernama Absyar.
Sooooooorry lambat update. Sungguh saya minta maaf sangat-sangatttt sidai hampa lama macam ni.
maafkan sayaaa
Share this novel