BAB 1

Romance Series 33949

KELUHAN BERAT DILEPASKAN. Zhafran memandang dulang di tangannya dengan rasa hiba. Kehidupannya kini sangat sebati dengan keluh-kesah yang semakin memberat jiwa. Langkah perlahan dibawa ke arah meja makan yang diduduki oleh ahli keluarganya yang lain.

"Ji tak makan pun, bang?" soal Zulaikha dengan intonasi yang sangat lembut. Zhafran menggeleng lalu menjatuhkan duduk berhadapan Mustaqim. Badan disandarkan ke belakang sebelum keluhan sekali lagi terlepas daripada bibirnya.

"Abang tak tahu nak buat apa lagi dengan Ji. Dah seminggu dia terkurung je dalam bilik, tak nak keluar. Abang kejut, dia tak bangun. Diri dia langsung tak terjaga," adu Zhafran dengan jemari yang laju memicit dahi sendiri. Sakit kepalanya memikirkan keadaan Zinnirah yang pada dirinya tiada perubahan sejak pulang dari hospital minggu lepas.

"Biar Mus yang pujuk Ji nanti. Abang bolehlah masuk kerja. Macam dah lama sangat abang cuti," kata Mustaqim sebelum menolak pinggannya yang sudah ke hadapan sedikit.

Zhafran terus memandang adiknya dengan dahi berkerut.

"Abang jangan risau, Acad pun ada kat sini. Don't worry too much, abang." Mustaqim cuba meyakinkan abang sulungnya yang kelihatan agak serabut ketika itu. Absyar yang berada ditepinya terus disiku perlahan.

Bagaikan faham dengan tindakan Mustaqim, Absyar terus menyokong kata-kata sahabatnya itu.

"Betul tu bang, jangan risau sangat. Saya dan Mustaqim ada untuk jaga Zinnirah dan juga untuk pantau keluarga abang."

Zhafran memandang wajah Mustaqim dan Absyar berulang kali bagai mendapatkan kepastian daripada dua lelaki di hadapannya itu. 

"Abang pegang kata-kata kamu berdua. Don't break my trust." Zhafran berkata dengan nada yang agak tegas.

"Abang... Jangan risau sangat," ujar Zulaikha yang dari tadi hanya menjadi pemerhati. Namun pada ketika itu, dia yakin dia perlu membuka mulut apabila melihat keraguan dalam diri suaminya. Kura tangan Zhafran disentuh dan diusap perlahan untuk mengurangkan rasa resah sang suami yang semakin menebal.

Mustaqim dan Absyar terus mengangguk laju dengan ayat Zulaikha ketika itu.

"Okeylah kalau macam tu..." 

Akhirnya, Zhafran mengalah.

"Mus tahu cara nak jaga adik Mus, abang. Be at ease, insya-Allah I know how to handle her," kata Mustaqim dengan wajah bersahaja. Bukan untuk memanaskan Zhafran tapi untuk menyedarkan abangnya bahawa selama ini, hanya dia dan Zinnirah saja yang selalu bersama.

Hanya ada mereka berdua ketika segala keperitan yang semakin lama semakin teruk menghentam gadis yang bernama Zinnirah binti Alwie itu. 

Sentiasa bersama sehingga dia turut merasakan sakit dengan apa yang terjadi pada Zinnirah, satu-satunya adik kesayangannya.

MUSTAQIM menatang dulang berisikan bubur nasi dan juga sup ayam yang sudah dipanaskan kembali oleh Zulaikha sebentar tadi. Tangga didaki dengan penuh berhati-hati sebelum langkahnya berhenti pada bilik Zinnirah yang tertutup rapat.

"Cad, tolong bukakan pintu bilik Ji boleh?" pinta Mustaqim sambil menoleh ke belakang, melihat Absyar yang hanya berdiri tegak di belakangnya.

Dengar saja ayat Mustaqim, terus Absyar berjalan laju dan memulas tombol pintu bilik gadis itu. Mata dia hanya memandang ke luar kamar tanpa sedikit pun menoleh ke dalam bilik Zinnirah yang gelap itu.

"Thank you, Cad," ucap Mustaqim dengan senyuman segaris.

"Tak ada hal lah, Mus. Aku tunggu kat luar bilik tau, kalau ada apa-apa panggil je aku." 

"Kau tak nak masuk sekali?" soal Mustaqim.

Absyar lantas menggeleng dan tersenyum kecil. 

"Tak manis untuk aku masuk bilik Zinnirah. Aku tiada pertalian darah langsung dengan adik kau, Mus," terang Absyar dengan ayat yang pendek dan padat. Dan dia yakin, Mustaqim faham maksudnya.

"Faham, aku masuk dulu." Usai, Mustaqim terus hilang ditelan gelap bilik Zinnirah. Meninggalkan Absyar yang keseorangan di luar bilik yang hanya mampu duduk bersila sambil bersandar pada dinding berwarna biru lembut itu.

Dulang yang dibawa tadi, Mustaqim letakkan pada meja solek sebelum langsir bilik yang menghalang cahaya itu ditarik. Maka terserlah gerangan Zinnirah yang berselubung di bawah selimut dengan mata yang tertutup.

Lantas, selimut itu ditarik dan dibaling ke lantai.

Badan Zinnirah digoyangkan perlahan untuk mengejutkannya bangun daripada tidur yang sungguh lama. Mustaqim yakin, gadis itu sudah menghabiskan masanya sehari suntuk hanya dengan tidur. Bahkan, boleh jadi lebih.

"Ji, bangun. Ji tidur lama sangat ni, tak baik untuk badan Ji," kata Mustaqim dengan nada yang sedikit kuat namun tidak tegas. Rambut adiknya itu dilurut perlahan sebelum pipi Zinnirah ditepuk untuk menyedarkannya daripada tidur.

Susut. Pipi cengkung.

Itu yang terlihat pada pandangan Mustaqim tika itu. 

Mana mungkin seseorang yang mengambil ubatan seperti steroid akan sekurus itu. Hati Mustaqim menjadi semakin risau. Risau dengan keadaan Zinnirah ketika itu. Risau dengan sakit SLE Zinnirah yang bagai diabaikan kewujudannya sejak seminggu yang lalu.

"Zinnirah, bangun Zinnirah. Mus kira sampai lima je untuk Ji bangun. Kalau Ji tak bangun, Mus pikul Ji sampai ke bilik air," ugut Mustaqim walaupun ketika itu Zinnirah langsung tidak menunjukkan respon.

Jeda.

Masih tiada tindak balas daripada Zinnirah yang masih ketiduran.

"Ji... Bangunlah... Janganlah abaikan Mus..."

Kali ini, kedua-dua lengan gadis itu ditarik supaya Zinnirah dapat bangkit daripada perbaringannya dan duduk menghadap Mustaqim.

"Hey, open your eyes Zinnirah," arah Mustaqim sambil mencekup kedua-dua pipi adiknya.

Dan akhirnya, kelopak mata itu terbuka dan memandang terus anak mata Mustaqim. Bawah mata Zinnirah yang lebam diusap perlahan oleh Mustaqim.

Dengan tenaga yang kurang, Zinnirah terus menepis tangan Mustaqim daripada terus-terusan memegang dirinya. Bibir kering itu terbuka sedikit bagai mengambil nafas sebelum mengesot menjauhi Mustaqim.

Mustaqim tercengang. 

Keadaan Zinnirah ketika ini tidak ubah seperti mayat hidup. Dia tidak pernah menyangka untuk melihat seorang Zinnirah yang dahulunya pembersih berubah sehingga begini. 

Dirinya sangat tidak terurus. Entah mandi ataupun tidak, Mustaqim tidak pasti. Namun, tumpahan darah yang mengering di atas cadar Zinnirah bagai memberi jawapan pada persoalan yang bermain dalam minda Mustaqim.

Tidak. Zinnirah langsung tidak berganjak dari katilnya sejak hari pertama menjejakkan kaki di rumah ini. Dia langsung tidak menjaga dirinya yang sepatutnya berpantang akibat keguguran. 

Gadis ini... Jiwanya bagai hilang. Terbang bersama badai derita yang berselirat dalam mindanya.

"Ji, kita makan ya? Mus suapkan Ji." Mustaqim cuba menceriakan suasana apabila dia berdiam diri terlalu lama. Lantas dia bergegas untuk mengambil dulang dan dibawa ke katil Zinnirah. Dulang itu diletakkan pada kakinya yang sedang bersila, dekat dengan gerangan Zinnirah yang langsung tidak bersuara.

Sudu yang sudah dicedokkan bubur nasi bersama isi ayam disuakan di hadapan bibir Zinnirah. Namun, dia hanya memandang Mustaqim tanpa perasaan sebelum berpaling ke arah lain tanpa membuka bibirnya.

Mustaqim terus menggigit bahagian dalam pipinya.

"Ji, makanlah sikit. Ji dah tak makan beberapa hari ni, nanti Ji tak ada tenaga," pujuk Mustaqim lagi.

Zinnirah menggeleng lemah.

"Makanlah, please. Lepas makan, Ji mandi okey?"

Sekali lagi, Zinnirah geleng.

"You're bleeding Ji. Please, ikut cakap Mus," rayu Mustaqim dengan jari ditujukan pada kesan darah kering yang terlekat pada cadar.

Zinnirah hanya menyoroti jemari Mustaqim sebelum matanya turut terhenti memerhatikan kesan darah itu tanpa perasaan. 

Mustaqim yang dari tadi memerhatikan tingkah Zinnirah mula berasa sebu di dada. Ya Allah, jiwa Zinnirah sudah hilang. 

"Ji, makan okey? Mus suap." Untuk sekian kalinya, dia cuba memujuk Zinnirah dengan harapan gadis itu akan jemu dengan ajakannya dan mula membuka mulut.

Namun hampa. Gadis itu kembali berbaring dan menutupkan matanya. Mengabaikan setiap rayuan abang kembarnya, Mustaqim.

"Ji..." bergetar suara itu memanggil nama Zinnirah. 

Ya Allah, kembalikanlah dia yang dulu. Jangan Kau ambil jiwanya, Ya Allah.

Salam 20 Februari :)

Entah kenapa, sesak sungguh saya nak type bab awal ni hm.

BTW, mehler join channel tele saya @/bebelantienqowiy alang-alang dah nak masuk ramadan ni, bolehlah saya sambung share apa-apa kat situ sebab RANDOM TARBIAH dah full chapternya huwaaa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience