BAB 6

Romance Series 47910

"TENGOK-TENGOKKAN ADIK saya nurse," kata Mustaqim sebaik saja melaporkan segala hal yang berkaitan dengan kesihatan Zinnirah kepada misi di wad itu. Senyuman lirih diberikan sebelum dia bergerak menjauhi kaunter itu.

Absyar yang sentiasa ada dengannya itu hanya dipandang sekali lalu. Lengan pemuda itu berbalut disebabkan luka hanya dikerling seketika sebelum Mustaqim menggigit dalam pipinya.

'It's always you, Acad. Hanya kau yang selalu selamatkan Zinnirah.' Desis hati kecilnya.

"Kau kenapa perhati aku sampai macam tu sekali?" tegur Absyar apabila melihat sahabatnya itu memerhatikannya lama dengan pandangan yang sayu.

Namun teguran itu masih tidak menyedarkan Mustaqim daripada lamunannya. Terus Absyar menampar kuat lengan Mustaqim sehingga lelaki itu terkejut.

"Ada apa?" soal Mustaqim semula. Absyar hanya tersenyum kecil dengan soalan itu.

"Kau tu... Kenapa tengok aku macam nak telan?" soal Absyar dengan ayat yang sudah diubah suai.

"Mana adalah..." jawab Mustaqim sambil menggaru kepalanya.

"Kau berangan tau tadi, Mus. Mana ada apanya," bidas Absyar lagi.

"Ya lah, sorry... Banyak benda yang bermain dalam perkara aku sampai tak sedar aku tertenung kau sampai macam tu sekali. Sorry, bro."

Wajah kusut Mustaqim itu diperhati dengan wajah yang terhias senyuman kelat. Absyar yang sedari tadi hanya duduk, kini berdiri di sebelah Mustaqim.

"Relaks ah, aku tak marah kau pun. Aku tanya aje sebab nampak kau berserabut. Kau kalau ada benda nak luah, ceritakanlah pada aku supaya beban tu kau tak tanggung seorang diri. Itu pun kalau kau percayakan aku lah." Ayat terakhir tu sengaja ditambah untuk memancing emosi lelaki itu.

"Aku sebenarnya... aku... aku dilema. Aku tak tahu betul ke tidak keputusan hantar Zinnirah ke sini. Aku tak tahu apa reaksi dia nanti. Masa depan dia macam mana? Apa nak jadi dengan dia? Dia seorang yang bercita-cita tinggi, Acad. Kau tahu dia nak jadi apa?"

Absyar hanya menggeleng bagi menjawab persoalan Mustaqim.

"Dia nak jadi arkitek, Cad..." Bahu Mustaqim jatuh seraya menghabiskan ayatnya. Kepala turut ditunduk memandang lantai. Hati terasa berat.

Cita-cita tinggi adiknya itu bagaikan telah dipotong sayapnya dengan tekanan takdir yang telah membaham gadis kecil itu.

Absyar hanya diam sebelum memandang Mustaqim lama. Kusut. Itu keadaan Mustaqim sekarang.

"Percayakan takdir Allah, Mus. Jika Allah kata rezeki Zinnirah sebagai seorang arkitek itu ada, dia akan tetap dapat memperoleh cita-citanya sama ada cepat atau lambat. Kita hanya perlu percaya pada proses yang sememangnya tidak mudah bagi seorang gadis seperti dia," kata Ezrul sambil menepuk bahu Mustaqim.

"Jangan rasa ragu-ragu lagi, Zinnirah perlukan rawatan profesional dan di sinilah tempatnya. Stigma masyarakat kita cuba tepis dengan baik kerana adik kau... perlu diselamatkan. Aku tak nak nyawa dia habis di tangannya sendiri, Mus..." kata-kata Absyar bagai menyentakkan tangkai jantung Mustaqim.

Ayat terakhir itu bagai menyedarkan dirinya yang pada awalnya dilema dengan keputusan ini. Ya... Dia tidak mahu adiknya mengambil nyawanya sendiri. Dia mahu Zinnirah kekal hidup dengan nafas baru. Gadis itu tidak boleh sakit lagi.

Kepala ditoleh untuk melihat wajah tenang Absyar.

"Thank you, Cad... Ayat kau telah sedarkan aku bahawa aku hanya takutkan stigma masyarakat... Bukannya keadaan Zinnirah di sini," ucap Mustaqim dengan senyuman tipis.

Stigma masyarakat tentang orang yang mempunyai masalah kesihatan mental menyebabkan mereka takut untuk mendapatkan bantuan profesional demi menyelamatkan diri sendiri. Penghidap masalah kesihatan mental ini sering dianggap memalukan, gila, melemahkan serta tiada harapan hidup.

Seperti kejam bunyinya. Namun itulah fakta yang pahit untuk ditelan.

"Kau ni asyik berangan aje, Mus. Aku ni asyik buang air liur bercakap dengan kau ni," kata Absyar sambil menggaru dahinya.

Mustaqim terus tersengih apabila ayat itu menusuk masuk ke koklea telinga.

"Sorry, kau cakap apa tadi?" tanya Mustaqim.

"Aku tanya kau tak nak jenguk Zinnirah ke sebelum kita balik rumah? Minggu depan kita dah kena balik kolej, dah nak start kuliah," ulang Absyar sekali lagi.

"Oh..." Mustaqim terdiam seketika. Tidak dia sangka minggu hadapan mereka sudah perlu pulang semula ke medan akademik. Sungguh cepat masa berlalu.

"Jomlah, aku nak pergi jumpa Ji," ajak Mustaqim sebelum mula bergerak.

"Mus, kejap!" panggilan Absyar menghentikan langkah lelaki itu. Terus dia menoleh ke arah Absyar dengan kening yang dinaikkan.

"Bagi ni pada Zinnirah," ujar Absyar sambil menghulurkan satu plastik hijau yang dipenuhi dengan pelbagai jenis coklat.

Mustaqim hanya memandang plastik itu dan Absyar berulang kali sehingga dahinya mula berkerut.

"Kenapa kau nak bagi pada Ji?"

"Sebab dia suka coklat."

"Mana kau tahu Ji suka coklat?"

Absyar terdiam sebelum mengemamkan bibir.

Ahhh, Absyar! Takkan dia mahu memberitahu Mustaqim bahawa dia pernah duduk dan bersembang lamanya dengan Zinnirah pada Pulau Perhentian berbulan yang lalu. Gadis itu sangat gemar menjamah coklat pemberiannya sehingga langsung tidak mempelawa Absyar walaupun ketika itu topik yang dibincang berat. Sangat berat.

"Perempuan mana yang tak suka coklat. Kan?" helah Absyar sambil tersenyum kelat.

"Oh, betullah kut..." jawab Mustaqim sebelum menganggukkan kepalanya. Plastik itu disambut sebelum ucapan terima kasih meniti di bibirnya.

"Jomlah Absyar, kau tak nak pergi tengok Ji ke?" ajak Mustaqim apabila jejaka itu hanya berdiri tegak dan tidak bergerak dari tempatnya tadi.

"Aku boleh masuk ke? Aku bukan keluarga dia," balas Absyar laju. Sesungguhnya jiwa dia sangat berkobar-kobar untuk menjenguk gadis itu. Namun undang-undang hospital bagai merantai kakinya di situ.

"Alahai, rules nerd lah kau ni. Jomlah masuk, dia orang bukannya tahu kalau kau tak mengaku," kata Mustaqim selamba.

Absyar hanya terkebil-kebil memikirkan ayat Mustaqim.

"Lambatlah kau ni!" Terus, lengan lelaki itu ditarik dan mereka berjalan laju menuju ke wad Zinnirah.

"Tak apa ke Mus?" soal Absyar.

"Tak apa."

"Kalau kena tangkap macam mana?"

"Tak akan."

"Aku risaulah kalau–"

"Diam Acad, nanti waktu melawat habis," potong Mustaqim tanpa sempat lelaki itu menghabiskan ayatnya. Banyak pula Absyar bercakap ketika itu. Pening mahu layan.

Absyar hanya termangu dan menurut saja amaran Mustaqim. Langkah lelaki itu diikuti tanpa suara.

Sampai saja di depan bilik isolasi itu, jantung Absyar berdebar hebat. Dia turut tidak tahu kenapa.

"Jom," ajak Mustaqim sambil membuka pintu itu dengan lafaz salam.

ABANGNYA yang berada di hujung katil hospital ini dipandang dengan geram. Hujung baju digenggam kuat sehingga timbul urat di kekura tangan kecilnya.

"Kenapa hantar aku ke sini? Aku nak balik!" soal Zinnirah lagi apabila soalannya tadi tidak berbalas.

Zhafran hanya diam dan memandang adik bongsunya itu dengan wajah dingin. Entahlah, kepalanya sudah pusing dengan segala masalah yang mendatang.

Apabila kali ini dia tetap tidak mendapat jawapan, Zinnirah terus menggunakan tenaga yang tersisa untuk membaling bantal tepat ke muka abang sulungnya.

Zhafran hanya mengetap bibir sambil memejamkan matanya. Dia berbisik pada hati supaya bersabar dengan keadaan adiknya yang tidak stabil itu.

"Aku tak gila! Aku nak balik! Bawa aku balik! Aku tak nak duduk sini!" jerkah Zinnirah tanpa menghiraukan pintu bilik itu terbuka dan tertutup.

Dadanya naik turun menahan amarah.

Kenapa dia ditahan di wad gila ini sedangkan dia tidak gila?

Dia mahu pulang!

Dia mahu tidur di rumah bukan di sini!

"Get a treatment. Abang dah tak tahan dengan perangai Ji. Sembuhkan diri tu dulu baru Ji boleh balik," kata Zhafran dengan nada mendatar.

"Tapi aku tak gila! Aku tak gila! Kenapa nak kena dapatkan treatment?" Zinnirah mula mengamuk.

"Ji... Jangan macam ni..." tegur Mustaqim seraya berjalan laju ke arah katil adiknya. Plastik itu diletakkan di tepi sebelum dia melabuhkan duduk di tepi Zinnirah.

"Aku tak gila Mus! Aku nak balik! Bawa aku balik!" Kedua-dua lengan baju Mustaqim dicengkam kuat sehingga ternaik urat di dahinya dek tekanan perasaan yang hebat.

"Ya, nanti kita balik ya? Sekarang ni Ji kena dapatkan rawatan sekejap aje. Bila dah sihat Mus sendiri akan bawa Ji balik ya?" pujuk Mustaqim lembut.

Namun, balasan itu hanya membuatkan Zinnirah semakin panas.

"Kau pun sama! Kau mesti suka tengok aku dalam sangkar ni kan? Kau mesti nak cakap aku gila kan?" jerkah Zinnirah sebelum menarik rambut panjangnya.

Mustaqim terus memegang lengan itu untuk mengelakkan rambut itu terus-terusan ditarik.

"Tak, Ji tak gila. Adik Mus tak gila," kata Mustaqim lagi.

"Kalau aku tak gila, keluarkan aku dari sini Mus!" Matanya penuh pengharapan melihat mata abang keduanya.

Mustaqim hanya diam sebelum mengalihkan pandangan pada Zhafran dan juga Absyar yang tegak berdiri di hadapan pintu.

"Mus-"

"Ji memang gila sebab tu Ji kena dapatkan rawatan." Kata-kata itu menyebabkan tiga pasang mata menumpukan perhatian pada Zhafran.

"Abang," panggil Absyar dan Mustaqim serentak.

"Ji cuba untuk bunuh Zarif. Itu yang Ji cakap Ji tak gila? Anak abang hampir mati disebabkan Ji. So, get a treatment. Heal yourself." Sesudah ayat itu, Zhafran terus keluar meninggalkan mereka bertiga.

Zinnirah yang terkedu mendengarkan ayat itu terus menaikkan tangannya ke kepala dan menjerit kuat. Segala barangan di atas katil itu dilempar ke lantai.

Mustaqim terus memeluk kuat adiknya yang sedang mengamuk itu.

Absyar dengan langkah cepat terus keluar dan memanggil doktor dan jururawat di situ.

Dalam hati, dia sudah tidak henti-henti menyumpah dengan tindakan Zhafran itu.

Egoistik!

Maaf, lama menghilang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience