BAB 71 (part 2)

Romance Completed 60011

"ASSALAMUALAIKUM." Salam yang diberi membuatkan Zinnirah menolehkan perhatiannya dari kaca televisyen ke arah pintu wad. Bibir mula tersenyum lebar apabila melihat gerangan Absyar tanpa Sumayyah.

"Waalaikumussalam, abiy!" Zinnirah terus mendepakan tangannya untuk memeluk badan itu.

"Rindunyaaa," kata Zinnirah sambil mengetatkan pelukan mereka. Absyar langsung tertawa kecil dengan tingkah comel isterinya.

"Abiy balik tak sampai tiga jam pun sayang..."

"Tapi Ji tetap rindu abiy!" balas Zinnirah sambil menjuihkan bibir.

Pelukan dilepaskan sebelum dia menarik Absyar supaya duduk di depannya. Wajah yang dia tidak dapat lihat dengan jelas buat masa yang berbulan-bulan itu, dia sentuh dengan hati yang gembira.

"Kenapa ni, hm?" soal Absyar apabila pelik dengan reaksi Zinnirah tika itu.

"Abiy nak tak tahu rahsia tak?"

"Rahsia apa tu?" Absyar hanya melayan.

"Mata Ji sangat-sangat kabur dalam masa beberapa bulan ni. Ji tak dapat nak tatap muka abiy. Ji tak dapat lihat muka Sumayyah. Ji tak dapat nak pandang keindahan Allah yang lain. Ji takut Ji akan buta tapi Ji diamkan diri dan tak bagitahu abiy. Ji bercadang nak bagitahu abiy lepas kita balik dari penjara tapi... Ji koma pula." Zinnirah berhenti bicara dan tertawa sendirian. Absyar hanya memandang tanpa ada rasa untuk turut serta isterinya kerana bagi dirinya tiada apa yang kelakar.

"Ji rindu nak tatap muka Abiy dengan jelas. Ji rindu sebab Ji takut Ji lupa wajah abiy bagaimana..." Suaranya mula bergetar dengan ayat terakhir. Absyar hanya diam dan menindihkan tangannya di atas tangan Zinnirah yang masih berada di pipinya.

"Tapi hari ini... Tadi Ji tertidur lepas abiy dan Mayyah balik... Bila Ji bangun... Mata Ji dah tak kabur lagi, abiy. Mata Ji dah jelas..." Mata Zinnirah mula berkaca apabila melihat wajah terkejut suaminya.

"Ji takkan lupa wajah abiy lagi dah. Ji takkan jemu nak pandang muka abiy lama-lama lepas ni... Ji takkan bosan tengok muka syurga Ji ini... Ji sayang abiy... Allah dah kembalikan penglihatan Ji dan Ji sangat bersyukur akan hal ini. Doktor cakap ini miracle dan Ji sangat-sangat berterima kasih pada Allah, abiy... Ji gembira dapat melihat wajah yang Ji cinta semula..." Air mata itu mula jatuh sementelah terdengar ucapan syukur yang terluah daripada bibir Absyar.

Tubuhnya terasa ditarik dalam pelukan sebelum ubunnya terasa dicium berkali-kali.

"Abiy dapat tahu tentang ni sewaktu sayang koma dan abiy reda dengan semua yang berlaku. Bila sayang bagitahu hal ni pada abiy, abiy bersyukur sayang dah tak tanggung semua ini seorang diri. Yang paling abiy mahu panjatkan kesyukuran pada Allah bilamana sayang bagitahu penglihatan saya sudah jelas. Abiy terkejut sayang... Alhamdulillah... Terima kasih, Ya Allah..." Absyar memejamkan matanya dan mengeratkan pelukan mereka. Dia sayang wanita ini, Ya Allah. Tolong berikan dia sedikit saja masa lagi untuk kekal begini.

"Alhamdulillah..." Suara Zinnirah mula masuk ke dalam halwa telinganya.

"Abiy ada bawa hadiah untuk sayang." Pelukan dia lepaskan lalu air mata di pipi Zinnirah dikesat lembut.

"Hadiah apa?" Mata bundar itu meliar ke arah Absyar namun baru dia sedar lelaki itu tidak membawa apa-apa bersamanya.

"Pakai tudung dulu, nanti sayang tahu." Absyar mula menyarungkan tudung sarung hitam ke kepala isterinya dengan penuh berhati-hati. Zinnirah hanya menurut tanpa bicara. Usai, dia melabuhkan satu kucupan ringkas di dahi Zinnirah lalu berlari anak ke arah pintu wad dan membukanya seluas mungkin.

"Tadaaaa!"

"Assalamualaikum Zinnirah!" Suara itu hampir saja menggegarkan biliknya. Matanya mula membulat tika melihat setiap orang yang berada di situ. Keluarga Abang Zhafran, keluarga Mustaqim, keluarga Atiya dan juga ibu. Termasuk juga anak sulung kesayangannya, Sumayyah.

"Ya Allah, waalaikumussalam semuaaa! Ji rindu!" ucap Zinnirah sambil membalas pelukan para wanita-wanita di sana. Dan sekali lagi, ruangan itu dibanjiri dengan air mata atas desakan emosi yang telah lama tersimpan dalam hati.

"Dah-dah, ni banyak makanan ni. Jom kita makan dulu, mesti adik kesayangan Mus lapar kan?" Mustaqim terus memintas sesi air mata itu lalu berlalu ke sebelah katil Zinnirah. Tubuh genit itu dia peluk seketika sebelum satu kucupan hangat dilabuhkan di dahi.

"Mus rindu Ji." Bisikan itu hanya untuk pendengaran dirinya dan Zinnirah sahaja. Sesudah itu, mata Zinnirah kembali berkaca.

"Jangan nangis! Kalau nangis Mus tak kasi Ji makan!" ugut Mustaqim sambil menjegilkan matanya. Zinnirah terus menampar lengar abangnya dengan air mata yang langsung jatuh.

"Jahat!"

"Mana ada! Ji yang jahat sebab tidur dua bulan!" usik Mustaqim lagi dengan sengihan yang terbit.

"Mus jahat! Jahat! Jahat!" Bertubi-tubi lengannya mendapat tamparan padu dari Zinnirah.

"Sakitlah Ji..."

"Biar Mus sakit!"

"Yanggg, tengok adik ipar awak pukul abang..." adu Mustaqim pada Shira sambil membuat muka kasihan.

"Gedik!" Hampir semua orang di situ mengatakan perkataan yang sama membuatkan Mustaqim membeliakkan matanya. Kenapa semua orang anti sangat ni?!

"Mus, pergi tolong Acad setup tempat makan sana. Abang nak bercakap dengan Ji," arah Zhafran lalu menolak bahu adik lelakinya itu menjauh. Mustaqim berdecit perlahan namun turut mengikut arahan abangnya itu. Semua mula menjauh dari katil itu untuk memberi ruang pada Zhafran dan Zinnirah tika itu.

"Ji... Adik abang dah sihat?" Zhafran memulakan perbualan mereka. Zinnirah tersenyum kecil dan mengangguk perlahan. Wajah Zinnirah dia lihat lama sebelum teringat kenangan sewaktu hubungan adik beradik mereka masih tidak terganggu dengan segala anasir-anasir jahat. Waktu di mana Zinnirah akan teruja menunggunya pulang ke kampung. Waktu di mana Zinnirah mengikuti saja permintaannya yang mengidam makanan anak gadis itu. Waktu di mana hidup mereka tidak dihancurkan oleh ulah orang tua sendiri.

"Abang sihat?" Suara Zinnirah memecahkan lamunan Zhafran.

"Alhamdulillah sihat."

"Anak-anak saudara Ji sihat?" Zhafran angguk laju dan tersenyum lebar bilamana Zinnirah mula banyak berceloteh dengan seperti waktu remajanya dulu.

"Ji rasa tak adalah lama mana Ji tak jumpa abang... Tapi abang dah beruban ya?" usik Zinnirah sebelum terkekek ketawa. Zhafran terus menjegilkan biji matanya lalu turut sama tertawa dengan ujaran spontan itu.

"Abang dah late 40s, Ji... Menghitung hari nak pencen dah."

"Awal lagilah nak fikir pasal pencen!" Lengan Zhafran, Zinnirah tampar perlahan.

"Abang nak pencen awal, malas dah nak kerja."

"Okey faham, mesti nak bermanja dengan Kak Zu kan?" usik Zinnirah lagi dan Zhafran menjungkitkan kedua-dua keningnya tanda mengeyakan.

"Ji..." panggil Zhafran apabila melihat Zinnirah yang ralit memandang ke hujung wad yang riuh dengan suara ahli keluarga yang lain.

"Ya?" Dia terus menoleh ke arah abang sulungnya.

"Abang nak minta maaf atas segala dosa dan kesalahan yang abang dah buat pada Ji dari kita kecil sampai sekarang. Abang minta maaf kerana tidak menjadi gerangan abang yang tidak baik buat Ji. Abang minta maaf tidak dapat melindungi Ji. Abang minta maaf sebab dah sakitkan hati adik abang yang baik ni. Abang minta maaf, Zinnirah. Maafkan abang..." Matanya merenung anak mata Zinnirah dengan penuh rasa bersalah.

Wanita itu mula tersenyum lalu memegang tangan abangnya.

"Ji sentiasa maafkan abang. Ji tak pernah berdendam dengan abang. Bilamana Ji sakit, abanglah yang selalu tumpangkan rumah untuk Ji. Abanglah yang bayar bil-bil hospital Ji waktu Ji di wad gila. Abang juga yang beri Ji makan dan minum. Ji takkan lupa jasa abang sampai bila-bila. Abang... Ji pun nak minta maaf pada abang... Kehadiran Ji banyak menyusahkan abang dan Kak Zu. Maafkan Ji ya, abang?" Zinnirah cuba menahan sebak.

"Zinnirah adik abang yang baik, abang selalu memaafkan Ji." Zhafran turut merasa sebu dalam hati.

"Abang... Nanti tolong sayang anak-anak Ji seperti anak abang sendiri ya?" Bibir Zinnirah mula menarik senyum walaupun menggeletar.

"Always." Zhafran tersenyum lebar sebelum mengusap ubun adiknya.

"Kalau Ji tak sempat, tolong bagitahu ahli keluarga kita yang Ji minta ampun atas segala dosa yang telah Ji lakukan. Ji juga dah maafkan kesalahan semua orang sama ada sedar ataupun tak. Abang tolong Ji, ya?" Tangan abangnya digenggam erat dan wajah suram Zhafran dilihat.

"Tak nak, Ji cakap sendiri."

"Tolonglah Ji, abang..." rayu Zinnirah.

"Ji sempat, apa yang tak sempatnya. We have more years, more minutes to live together. Jadi, Ji yang kena buat sendiri," tegas Zhafran berkata membuatkan Zinnirah angguk perlahan.

"Kalau Ji tak sempat, tolong Ji tau?" ulang Zinnirah lagi.

Zhafran terus menghela nafas berat dengan adiknya yang tidak tahu makna putus asa itu.

"Baiklah," akur Zhafran.

"Janji?" Jari kelingkingnya ditala ke arah Zhafran.

"Janji." Zhafran menyahut.

"Sayang..." panggil Absyar yang sudah mendekat.

"Nak makan apa?" tanya suaminya sambil membantu Zinnirah yang berura-ura mahu turun dari katilnya.

"Ada makanan apa je?"

"Yang macam sayang nak tengah hari tadi dan Abang Zhaf, ibu dan Atiya ada tambah desserts juga. Nak makan yang mana dulu?" Mata Zinnirah bersinar melihat makanan yang memenuhi meja di situ. Liur yang hampir meleleh ditelan.

"Ji nak makan megi yang abiy masak dulu." Wajah Absyar dia lihat sebelum hatinya berbunga memandang senyuman yang cuba disembunyikan oleh suaminya tika itu.

"Kenapa nak makan megi dulu?" soal Absyar sambil membawa Zinnirah kembali ke katil dengan sebekas megi kari di tangan.

"Sebab itu abiy yang masak dan Ji rindu masakan abiy," kata Zinnirah bersahaja namun lelaki itu dapat merasakan telinganya panas. Dalam pipi digigit lalu garfu yang sudah terisi megi dia sua ke hadapan bibir Zinnirah.

"Bismillah dulu sayang," pesan Absyar dan wanita itu mengikut arahannya sebelum mengunyah masakannya itu.

"Sedap?"

"Sedap. Abiy sentiasa tahu selera Ji and I will always love you for that the most!" Zinnirah terus melabuhkan ciumannya pada pipi Absyar secara tiba-tiba. Kali ini bukan sahaja telinganya merah, hampir satu wajahnya berubah warna dengan tindakan isterinya. Tambahan lagi dengan usikan nakal daripada keluarga di belakang.

"Ji bersyukur Ji masih dapat lihat abiy salting macam ni lagi," usik Zinnirah.

"Makan sayang, megi dah kembang." Absyar cuba mengelat dan Zinnirah tertawa kecil.

"Sekembang cinta abiy pada Ji kan?" Zinnirah mendongak sedikit untuk melawan padangan dengan suaminya. Absyar menyepetkan sedikit matanya.

"Lebih daripada ni, sayang." Absyar membalas pendek dan kembali menyuap isterinya.

"Ji tahu dan Ji sentiasa tahu. Terima kasih abiy untuk segala-galanya. Abiy banyak berkorban untuk Ji dan Ji sangat hargainya. Terima kasih, my abiy-syar!" ujar Zinnirah dengan hati yang ikhlas.

"Sama-sama kasih, sayangku Zinnirah..." balas Absyar dengan senyuman yang semakin melebar. Dia bahagia melihat isterinya yang kuat mengusik itu.

Terima kasih untuk momen ini, Ya Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience