JANTUNG BAGAI BERHENTI berdetak sebaik saja matanya dihidangkan dengan katil ICU yang kosong. Absyar terus berlari anak ke kawasan yang dia tinggalkan Sumayyah dengan beberapa orang staff nurse di situ. Dengan gelabah, dia mendekati walaupun fikirannya sudah menerawang ke tempat lain.
"Mana pesakit bilik ICU 3?" soal Absyar laju. Sumayyah yang memegang jemarinya dia lihat sekali lalu sebelum terus mendukung si kecil itu.
"Puan Zinnirah binti Alwie?" tanya jururawat itu semula.
"Yes."
"Dia sudah dipindahkan ke private ward di tingkat 12."
"Kenapa pindahkan tanpa maklumkan pada saya? I'm her husband! You need my permission before making any decision!" marah Absyar dengan mata tajamnya menikam setiap orang yang berada di situ. Hampir pecah dadanya memikirkan isterinya itu sudah kenapa-napa.
Setiap yang berada di situ terus menikus dengan amarah dan renungan tajam Absyar yang mereka kenal penuh sifat lemah-lembut dan santun ketika masih menjadi pegawai perubatan di situ. Satu hal yang harus mereka belajar tika itu, jangan pandai-pandai menyentuh isteri Doktor Absyar Abid. Seekor kucing akan bertukar menjadi harimau jika kesayangannya disentuh.
"Maaf doktor, kami pindahkan setelah mendapat arahan daripada specialist dan juga tuan badan sendiri," jawab salah seorang staff nurse di situ dengan muka santai. Sudah terbiasa terbantai, jadi amarah Absyar itu hanyalah hal kecil buatnya.
"Apa maksud dengan tuan badan sendiri?" soal Absyar dengan dahi berkerut. Dia tidak bodoh untuk memahami ayat itu namun dia tidak mahu salah faham.
"Puan Zinnirah sudah sedar dari koma dan dipindahkan ke private ward, doktor."
Kali ini Absyar benar-benar merasakan nafasnya terhenti buat lima saat sebelum matanya membulat besar tika dapat memproses maklumat yang baru saja dia terima.
"Isteri saya dah sedar?" Matanya mula bercahaya.
"Ya doktor, puan sekarang berada di wad V-12-3A."
"Baik, terima kasih. Maafkan saya sebab terkasar bahasa tadi. Terima kasih sekali lagi," kata Absyar buru-buru sebelum dia berlari anak sambil mendukung Sumayyah. Lif ditujui dan angka 12 dia tekan dengan hati yang tidak henti melafazkan rasa syukur kepada Allah SWT.
"Ayah, mana ibu?" soal si kecil apabila mereka melangkah masuk ke dalam lif kosong itu.
"Kita nak pergi jumpa ibu ni, sayang. Ibu Mayyah dah sedar. Ibu dah bangun, Mayyah..." ujar Absyar lalu mencium pipi anaknya. Hatinya berasa teramat gembira. Dia teruja mahu berjumpa isterinya itu.
Zinnirah, isterinya. Kekasihnya. Cintanya.
"Yeay! Mayyah rindu ibu!" Dengan gembira, si kecil menyahut sambil mengeratkan pelukan di leher sang ayah.
Tiba di tingkat 12, Absyar melajukan langkah dengan mata melilau mencari nombor wad seperti yang dimaklumkan oleh mereka tadi. Sampai saja di depan pintu wad, hatinya menjadi debar lain macam. Sumayyah diturunkan. Pintu dia buka dengan dada yang dipalu hebat.
"Ibu!" Suara kecil itu memenuhi ruang bilik sambil berlari ke arah Zinnirah. Wanita yang sedang menyuap satu ulas limau mandarin di atas katil itu terus menoleh ke arah Sumayyah sebelum mendepakan tangan. Sumayyah terus memanjat kerusi dan terus melompat ke arah katil. Ibunya dipeluk erat bagai tidak mahu lepas.
"Sumayyah, anak ibu. Ibu rindu Sumayyah..." ujar Zinnirah yang membalas pelukan hangat si kecil. Matanya mula berasa panas dengan kasih Sumayyah terhadapnya. Anak gadis ini benar-benar merindui ibunya sehingga pelukan itu tidak mahu langsung dia lepaskan.
"Mayyah indu ibu! Kenapa ibu tidur lama sangat! Mayyah indu ibu..." Bibir kecilnya tersebik sebelum air mata mengalir dan berubah menjadi esakan. Zinnirah yang mendengar terus menjadi lebih sebak. Matanya turut berkaca lalu dia mencium kepala Sumayyah bertalu-talu. Pelukan dia eratkan dek rasa rindu yang menghurung jiwa.
"Ibu minta maaf, Mayyah. Ibu rindu Mayyah. Ibu sayang Mayyah," ucap Zinnirah penuh sendu dengan air mata yang mula mengalir membasahi pipi. Suasana di bilik itu menjadi suram dengan air mata yang banyak mengalir tengah hari itu.
"Abiy rindu sayang..." Suara itu terasa sangat dekat sebelum Zinnirah merasakan tubuhnya dan Sumayyah berasa hangat dalam dakapan suaminya. Jantungnya berdebar hebat sebelum air matanya semakin laju jatuh menyembah bumi.
"Abiy rindu awak, sayang..." bisik Absyar di tepi telinga isterinya dengan perasaan sebak.
"Abiy rindu nak dengar suara sayang. Abiy rindu usikan sayang. Abiy rindu masakan sayang. Abiy rindu manja sayang. Abiy rindu semuanya tentang sayang..." Hanya perlahan suara Absyar tika itu, cukup untuk pendengaran mereka berdua saja.
Zinnirah berasa sesak dalam dadanya. Dia hanya diam dan mendengar setiap luahan daripada Absyar yang masih memeluk dia serta Sumayyah tika itu.
"Dua bulan ini satu penyeksaan buat abiy... Abiy tak kuat tanpa awak, sayang. Abiy tak sanggup tengok awak macam ni lagi. Abiy tak nak awak sakit lagi, sayang. Abiy takut... Abiy takut hilang awak..." Zinnirah dapat merasakan bahunya basah sebelum getaran daripada tubuh Absyar menyapa diri.
Lelaki itu...menangis.
"Abiy..." panggil Zinnirah dengan bibir yang menggeletar.
"Abiy... Ji rindu abiy..." Hampir tidak terkeluar suaranya apabila meluahkan ayat itu. Namun dia benar-benar merindukan gerangan suaminya. Ketika koma, suara Absyar yang sentiasa yang menemaninya dalam tidur yang gelap. Lelaki itu berbual dengannya walaupun tidak mendapat balasan. Lelaki itu mengaji di tepi telinganya. Lelaki itu membersihkan badannya. Zinnirah tahu tapi dia tidak dapat bangkit dan memeluk tubuh itu. Badannya bagai dipaku pada katil dan seluruh derianya seperti dimatikan fungsinya.
"Ji minta maaf dah risaukan abiy, Ji minta maaf..." ujar Zinnirah dengan esakan sebagai iringan.
Absyar terus melepaskan pelukan sebelum wajah isterinya dipegang. Air mata yang mengalir, dia kesat dengan bibir yang mula tersungging senyuman manis.
"Sayang tak buat salah, jangan minta maaf. Sayang tak pernah buat salah pada abiy." Maka, makin laju air mata wanita itu jatuh.
Jejaka ini terlampau baik untuknya!
Suasana menjadi senyap. Yang kedengaran hanyalah esakan si kecil yang masih melabuhkan kepalanya pada bahu si ibu. Zinnirah dan Absyar hanya diam. Berlawan pandang sesama sendiri untuk melepaskan rindu yang sudah lama terpendam sejak dua bulan yang lalu. Masing-masing cuba menenangkan diri yang bagaikan dilanda badai sebak dalam diri sedari tadi.
Zinnirah mengangkat tangannya dan melabuhkan pada pipi Absyar sebelum diusap perlahan. Sesekali jemarinya tersentuh bingkai cermin mata jejaka itu. Dia rindu suaminya namun yang dia nampak hanyalah pandangan kabur dan tidak jelas. Dia mahu melihat wajah Absyar...
"Pipi abiy cengkung..." kata Zinnirah sebelum tangan diturunkan pada lengan suaminya. "Biseps abiy macam makin kecil..." Tangan itu meluru ke arah dadanya dan naik ke bahu Absyar dengan rasa panasaran yang tinggi.
"Abiy makin kurus. Abiy tak makan ke?" soal Zinnirah polos yang kembali mengelus pipi Absyar dengan hujung ibu jarinya.
Lelaki itu memegang tangan Zinnirah di pipinya sebelum dia bawa ke bibir dan dicium lama. Soalan Zinnirah itu dia biarkan tanpa menjawab. Wanita itu hanya membiarkan dan turut berdiam diri.
"Selera abiy mati bila sayang koma. Rasa lapar pun tak ada. Abiy hanya makan untuk tenaga dan untuk teman Sumayyah. Itu pun lepas kena berleter dengan Mus," adu Absyar. Zinnirah hanya tertawa perlahan dengan ayat terakhir suaminya. Dia lega. Masih ada Mustaqim yang boleh mengingatkan Absyar untuk meneruskan hidupnya.
"Lepas ni makan, okey? Kalau abiy sakit, siapa nak jaga Mayyah? Ji dah tak mampu nak jaga anak kita. Mayyah ada abiy sorang je sekarang ni..." pujuk Zinnirah lembut sambil melepaskan Sumayyah yang sudah tertidur di atas bahunya.
"Abiy... Mayyah tidur..."
"Ya Allah budak ni, tadi teruja sangat nak jumpa ibu. Dah peluk tak lepas, terus tidur ya?" bebel Absyar sambil mendukung si kecil dan dibaringkan di atas sofa di wad itu. Kepala anaknya dia usap perlahan sebelum kembali ke arah sang isteri.
Sumayyah dah tidur, jadi banyak benda yang boleh dia dan Zinnirah bualkan tika itu. Absyar terus bersila di atas katil Zinnirah sehingga lutut mereka bertemu. Zinnirah bungkam apabila melihat Absyar mencapai makanan yang belum sempat dia sentuh tadi.
Sudu yang sudah berada di hadapan bibirnya, Zinnirah lihat berselang-seli dengan wajah Absyar yang kabur.
"Makan sayang..."
Tanpa banyak bicara, Zinnirah membuka mulutnya dan menerima nasi, sup sayur dan isi ayam itu masuk ke dalam rangkungannya. Perlahan-lahan dia mengunyah setelah sekian lama tidak menjamah makanan berat.
"Kenapa?" soal Zinnirah.
"Mayyah bukan hanya ada abiy je, Mayyah ada sayang juga. So sayang kena makan, sayang kena sihat. Kita kena balik rumah dan sambut birthday Mayyah. Hari ni birthday Mayyah tau, sayang. Tapi tak apa, nanti bila sayang dah sihat, kita sambut sama-sama kat restoran mahal okey?"
Zinnirah bagai tersentak apabila dia tidak mengetahui bahawa hari ini ialah ulang tahun kelahiran anaknya. Mata Absyar dia lihat dengan getaran.
"Hari ni birthday Mayyah, abiy?" soalnya kembali dengan nada perlahan.
"Ya sayang... Anak kita dah besar, dah empat tahun. Tahun depan dah masuk tadika," ujar Absyar sebelum tersenyum kecil. Sungguh cepat waktu berlalu dan tanpa sedar anaknya itu membesar dengan pantas.
"Sempat ke Ji nak tengok Sumayyah sekolah..."
"Sempat. Sayang sempat dan sayang perlu tengok Sumayyah dan anak-anak kita bersekolah. Jangan fikir yang bukan-bukan. I need you here. The kids need you the most." Pintas Absyar laju lalu mengusap perlahan perut isterinya yang sudah membuncit ke hadapan.
'Tapi Ji tahu Ji tak sempat abiy...' Namun ayat itu hanya terluah dalam hatinya apabila dia melihat suaminya itu khusyuk mengusap perut boyotnya sebelum berbisik sesuatu di situ.
Share this novel