BAB 3

Romance Series 33949

"SEMALAM DIA MAKAN ke bubur tu Mus?" soal Absyar sebaik saja dia melabuhkan punggung di sebelah Mustaqim. Lelaki itu hanya menggeleng sebelum mencapai remote untuk menghidupkan televisyen.

"Dia makan dua sudu je, ubat pun dia tak nak makan," ujar Mustaqim sebelum mengeluh perlahan.

"Aku risau sebenarnya, Cad. Ji langsung tak fikirkan penyakit dia, aku takut SLE tu akan attack dia lagi teruk nanti," luah Mustaqim sebelum bersandar pada sofa yang dia duduki ketika itu.

Absyar angguk tanda faham, "Bahaya sebenarnya, Mus."

Absyar menggigit bawah bibir sebelum mendiamkan diri. Dia mahu mengatakan sesuatu tapi dia takut sahabatnya itu bakal melenting.

"Kau tak rasa ke yang kita sepatutnya bawa Zinnirah jumpa pakar psikatri? Dia bukan Zinnirah yang dulu, Mus. Kita kena tolong dia."

Akhirnya terluah juga apa yang terpendam dalam hatinya setelah sekian lama. Keadaan gadis itu sangat tidak normal dan semua orang di dalam rumah ini jelas akan hal itu. Namun, kenapa semuanya hanya mendiamkan diri bagai tiada apa-apa yang berlaku?

"Aku terfikirkan hal yang sama... Untuk bawa Ji ke hospital. Tapi, ia tak semudah seperti apa yang kita fikirkan, Cad. Abang aku tu..." Mustaqim menghentikan ucapannya. Zhafran, seorang yang sukar untuk dibawa bincang tentang hal yang dianggap taboo oleh masyarakat setempat.

Abangnya itu sama sahaja seperti mama. Otak kuno!

Absyar mengangguk faham.

"Sebenarnya Cad..." Mustaqim berhenti seketika. Matanya hanya tertancap pada skrin televisyen yang entah menyiarkan rancangan apa ketika itu.

Absyar hanya menunggu dengan penuh sabar.

"...Ji tu dah lama buat self-harm. Tahun lepas di Pulau Perhentian tu, aku nampak luka di tangan dia. Luka lama dan juga baru." Liur yang ditelan terasa kelat. Mustaqim rasa dia perlu meluahkan hal ini pada Absyar kerana dia mempercayai lelaki itu.

"Aku ajak dia jumpa doktor tapi dia tak nak. Dia cakap dia tak gila. Dia cakap bila dia ada rekod masalah kesihatan mental, dia tak boleh dapat kerja yang dia inginkan. Aku sebenarnya abang yang tak guna kan, Acad? Aku tahu dia sakit dah lama tapi aku ikutkan sangat dia sampai sekarang Ji jadi teruk sampai macam ni." Keluh Mustaqim, sekali lagi. Kali ini, dia memejamkan mata seraya menyandarkan kepalanya pada kepala sofa.

"Bukan salah kau. Bukan salah Zinnirah. Kita tak minta pun benda ni terjadi," kata Absyar, cuba memujuk Mustaqim yang baginya mula terbuai dengan rasa bersalah yang menghurung diri.

"Tapi aku lambat sampai. Kalau aku cepat sampai rumah pada waktu tu, mungkin aku dapat selamatkan Ji. Mungkin dia tak akan dirogol dan dipukul seteruk itu. Mungkin dia tak akan-"

"Mus! Dah!" Naik sedikit suara Absyar demi menghentikan ucapan Mustaqim yang mula menyalahkan dirinya atas kejadian yang telah berlaku.

Kedua-dua bahu lelaki itu digenggam kuat bagai mahu menyedarkan Mustaqim akan realiti ketika itu. Lelaki itu seperti meracau-racau, menyalahkan diri sendiri.

"Mus, sekarang bukan masanya untuk kau salahkan diri sendiri. Bukan Mus... Sekarang waktunya kita cari cara untuk selamatkan Zinnirah daripada terus hanyut dalam gelapnya kemurungan." Matanya menikam tajam mata Mustaqim yang sangat sayu ketika itu. Dia tidak mahu lelaki itu hanyut dibawa perasaan sendiri.

"Aku nak kau berhenti salahkan diri sendiri kerana ia tak akan mengubah apa-apa, Mustaqim. Kau hanya akan kekal di tempat yang sama dan situasi Zinnirah mungkin akan memburuk. Sebab tu aku nak kau lihat hanya ke depan. Buang segala perkataan 'kalau' dalam minda kau kerana 'kalau' itu akan merosakkan jiwa kau sedikit demi sedikit." Absyar menekan kuat perkataan 'kalau' itu dan pada masa yang sama, cengkamannya pada bahu Mustaqim turut diperketatkan.

"Aku tak nak sahabat aku hanyut. Aku tahu sukar untuk menerima takdir yang sudah tertulis tapi kita janganlah sampai menyalahkan takdir itu, Mus. Aku tahu susah untuk bangkit, susah untuk menjadi kuat dan tabah selepas apa yang terjadi. Tapi kau jangan lupa, kau ada aku sebagai sahabat kau, Mus. Aku akan bantu kau dan keluarga kau semampu aku. Sebab hanya kau yang aku ada, hanya kau yang menerima aku masuk ke dalam keluarga kau, Mus. Jadi, tolong jangan berputus asa. Zinnirah perlukan kau." Suara Absyar berubah menjadi lembut berbanding tadi.

Cengkamannya di bahu Mustaqim dilepaskan sebelum dia kembali duduk di sebelah Mustaqim yang masih berdiam diri tanpa bercakap apa-apa.

"Kau adalah tali yang Zinnirah sedang berpegang sekarang. Jika kau putuskan tali itu, dia akan semakin jauh daripada kau. Semakin jauh daripada Tuhannya, Mus."

Absyar bernafas tenang.

Mustaqim bagaikan tersentak dengan ayat-ayat Absyar sebelum dia beristighfar perlahan. Wajahnya diraup berkali-kali sebelum dia menghembus nafas berat.

Raut muka tenang Absyar dijeling seketika.

"Terima kasih sedarkan aku," ujar Mustaqim dengan senyuman kelat mula tergaris di wajah.

Absyar terus berpaling ke sebelah untuk melihat Mustaqim yang menegurnya itu. Senyuman kecil mula terukir sebelum Absyar mengangguk sekali.

"Aku akan buat apa-apa sekalipun untuk tarik kau dari kegelapan. Dan aku harap, jika suatu hari nanti aku hanyut, kau akan bantu untuk tarik aku keluar daripada perasaan yang kau rasa sekarang."

"Kau lagi menyenangkan daripada abang aku, Cad." Jujur Mustaqim berkata sehingga menyebabkan Absyar tertawa kecil.

"Jangan cakap macam tu, tak baik," tegur Absyar dalam senyumannya.

"That's the fact that you can't deny." Mustaqim menjongketkan bahunya.

"Apa-apa pun, nanti kau kena bincang perihal nak bawa Zinnirah ke pakar psikatri pada abang kau.  Aku tak nak dia rasa dibelakangkan," ujar Absyar lagi.

"Hm, tengoklah macam mana."

"Mus..."

"Ya lah, nanti aku maklumkan pada dia." Mustaqim berdecit perlahan.

Absyar hanya menggelengkan kepala dengan perangai Mustaqim. Dia sudah masak dengan perilaku mamat itu.

Degil.

ZARIF mendaki tangga itu satu demi satu sebelum dia terkedek-kedek berjalan ke arah pintu bilik yang terbuka.

Kanak-kanak berusia 4 tahun itu hanya memasukkan separuh kepalanya ke sebalik pintu sambil matanya meliar melihat ke seluruh bilik.

Bibir itu mula tersenyum lebar apabila melihat orang yang sangat dia rindui di atas katil itu.

Lantas dia berlari sebelum mendaki katil itu dengan wajah gembira.

"Mak cu, mak cu..." bahu Zinnirah ditepuk berkali-kali walaupun ketika itu Zinnirah langsung tidak melelapkan matanya. Bahkan, mata itu hanya berkelip memandang siling bilik.

"Mak cu... Rindu..." Zarif mula meletakkan kepalanya pada dada Zinnirah sebelum memeluk badan gadis itu dengan lengan pendeknya.

Zinnirah hanya mengeraskan badan apabila dipeluk begitu. Bebola matanya mula mengerling kepala Zarif yang melekap pada dadanya.

Kepala kecil itu diangkat daripada terus menempal pada dadanya. Mata bundar itu terus menatap wajah Zinnirah, mak su yang sangat dia rindu.

Pipi Zinnirah dipegang dengan kedua-dua tangannya. Cuba menyalurkan rasa tulusnya pada gadis yang bagaikan mayat hidup ketika itu.

"Ayep rindu mak cu, mak cu tak rindu Ayep ke?" soalnya sambil menepuk perlahan pipi cengkung Zinnirah.

Gadis itu hanya berdiam diri tanpa menjawab. Dia hanya memandang Zarif dengan dahi sedikit berkerut.

"Mak cu sakit ke? Mak cu kuyus sangat," tanya Zarif sekali lagi sambil meraba-raba wajah kurus Zinnirah.

Mata Zinnirah mula terasa panas dan bergenang akan soalan itu.

"Kenapa mak cu nangis? Sakit ke?" Penuh kerutan di dahi kecil itu apabila melihat air mata Zinnirah menitis jatuh.

Jemari kecil itu terus mengelap air mata itu tanpa perasaan geli.

"Mak cu lapar ke?" Zinnirah menggeleng laju untuk menjawab soalan tiba-tiba anak buahnya itu.

"Okey kalau mak cu tak lapar. Tapi Ayep lapar ni mak cu," katanya sambil memegang perut sendiri. Dia terus duduk bersila di tepi Zinnirah yang masih berbaring.

Badan kecil itu mula melompat turun dari katil sebelum berjalan mengelilingi bagai mencari sesuatu. Kaki itu mula berhenti melangkah pada meja solek Zinnirah.

Bibir mula mengukir sengihan lebar apabila melihat banyak botol 'candy' di situ.

"Mak cu, Ayep nak candy ni boleh?" soal Zarif sambil menunjukkan botol ubat itu kepada Zinnirah. Namun sedikit pun gadis itu tidak menoleh kerana dia sudah mula termenung.

"Ayep ambik tau mak cu," ujarnya dengan penuh ceria sebelum membuka botol ubat itu. Tiga biji pil berwarna kuning itu diambil dan terus dimasukkan ke dalam mulut.

"Yek! Masyam tapi sedap," kata Zarif seorang diri dengan wajah berkerut menahan masam.

"Nak tunjuk kat mama lah candy ni. Ayep keluar dulu mak cu. Tata!"

Terus Zarif melangkah keluar berserta sebotol ubat yang dia makan tadi. Dengan wajah yang ceria, dia mahu mencari ibunya.

Tanpa dia sedar, 'candy' yang dijamahnya tadi akan membawa kesan buruk buat kanak-kanak sepertinya.

Haaaa habislah Zarif, memandai pula hang pi makan ubat orang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience