BAB 39

Romance Series 33949

HULURAN YASIN ITU disambut tanpa banyak bicara. Zinnirah terus melabuhkan punggung di atas tikar yang sudah dihamparkan oleh Absyar. Matanya sudah tertancap pada batu nisan berwarna putih yang hampir berlumut itu.

Tanpa aba-aba, Zinnirah terus memanjangkan tangannya untuk memegang batu nisan itu. Rasa sebak mula menghurung jiwanya.

Tujuh tahun berlalu dan sekalipun dia tidak pernah menziarahi pusara Nek Timah. Cucu jenis apa dia ini?

Gerangan yang baru saja duduk di sebelahnya, Zinnirah abaikan. Usapan penuh lembut dia berikan pada batu sejuk itu ibarat dia mengusap neneknya.

"Assalamualaikum nek... Ji datang... Ji dah datang, nek..." perlahan saja suara Zinnirah tika itu namun masih dapat didengari oleh Absyar.

Lelaki itu hanya diam dan memerhati saja gerak geri isterinya itu. Genggaman Zinnirah pada tanah kubur nenek dia pandang sekali lalu sebelum dia membuat keputusan untuk menegur Zinnirah untuk mengelakkan dia terus dibawa hanyut oleh perasaan.

"Sayang..." panggil Absyar sambil memegang bahu tegang Zinnirah.

"Kita baca yasin untuk nenek okey?" kata Absyar dengan kepala yang sudah terteleng memandang Zinnirah yang langsung tidak menoleh padanya.

Wanita itu terus mengesat air matanya dan mengangguk sebagai jawapan kepada arahan lembut suaminya.

Absyar tersenyum kecil lalu membuka naskhah yasin itu.

"A'uzubillahhiminasyaitonirrajim..." Dan akhirnya, sayup-sayup kedengaran suara mereka berdua menghadiahkan bacaan yasin buat Nek Timah pada petang itu.

Doa dibaca oleh Absyar dan diaminkan dengan penuh takzim oleh Zinnirah sehingga matanya terpejam rapat.

Wajah diraup lama seusai saja Absyar selesai dengan doanya. Naskhah yasin di tangan Zinnirah dia ambil dan dipegang penuh hormat.

"Nek... Ji rindu nenek... Ji rindu nenek sangat-sangat..." Tangan kembali mencengkam tanah kubur itu. Dadanya mula rasa sesak dan ketat kembali.

"Kenapa nenek pergi waktu Ji betul-betul perlukan nenek? Kenapa nenek tinggalkan Ji waktu Ji berada di titik paling bawah dalam hidup Ji? Ji perlukan nenek... Ji perlukan pelukan hangat nenek pada saat itu tapi kenapa nenek pergi tinggalkan Ji? Ji hanya nak nenek ada dengan Ji tapi nenek pergi jugak... Nenek pun benci Ji ke?" Setitis air mata kembali jatuh ke pipi gebunya. Bibir mula bergetar akibat tidak dapat menahan perasaan. Mata sudah kabur dengan air mata.

"Mereka sangat kejam dengan Ji. Mereka sangat zalim dengan Ji, nenek..." Kini suaranya sudah mula berubah akibat sakit yang dia rasakan dalam hati. Absyar yang melihat sudah berjaga-jaga dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi pada gadis itu.

"Waktu tu– waktu tu mama–mama tahu apa yang dia buat pada Ji tapi mama–mama biarkan dia. Mama tidak endahkan Ji, nenek..." Esakannya mula terbit apabila teringat tentang kejadian kejam itu.

"Sayang..." panggil Absyar lembut. Bahu wanita itu dipegang. Dia tidak mahu Zinnirah membuka cerita yang bakal menjentik traumanya sendiri.

"Awak jangan larang saya... Saya nak cerita kat nenek," kata Zinnirah penuh tegas sebelum suaminya dijeling dengan mata yang sudah bengkak.

Absyar hanya angguk tanda faham. "Luahkanlah kalau itu melegakan hati awak."

"Nek... Ji dah nikah..." Absyar tersentak seketika apabila ayat itu keluar daripada bibir isterinya.

"Suami Ji baik sangat nenek," sambung Zinnirah sambil mengesat air matanya. Bibir mula terukir senyuman tipis. Dia tidak mahu bersedih lagi.

"Kalau nenek ada mesti nenek suka dia. Oh ya, dia kawan Mus tau, nek..." Zinnirah tergelak kecil dengat ayat terakhirnya.

"Dia baik sangat-sangat, nek. Ji tak tahu apa yang dah merasuki dia sampai dia sanggup berkahwin dengan seseorang yang dah tak ada dara macam Ji ni. Bekas bapak sendiri pulak tu. Dia memang tak betul kan, nek?" Senyuman kelat terukir di bibir apabila teringatkan fakta tentang dirinya itu.

"Zinnirah..." panggil Absyar dengan dahi yang sudah berkerut. Kedudukannya dia ubah agar dapat melihat wanita itu 100%. Namun Zinnirah hanya mengabaikan panggilannya dan terus mengusap batu nisan Nek Timah.

"Kebaikan dia buatkan Ji takut. Ji takut Ji tak mampu membalasnya dengan kebahagiaan. Ji takut Ji hanya akan menghancurkan dia, nek. Orang sebaik dia tak sepatutnya bersama orang seperti Ji kan, nenek?"

"Sayang, kenapa cakap macam tu?" Mata Absyar sudah bergetar.

"Ji harap suami Ji akan bahagia nanti, nek." Kali ini Zinnirah tersenyum lebar.

"Saya akan bahagia dengan awak," balas Absyar laju. Mata terus tepat memandang wajah Zinnirah. Dia tidak tahu apa yang bermain dalam minda isterinya.

"Semoga Absyar Abid Abdullah akan sentiasa bahagia walaupun–"

"Zinnirah!" potong Absyar laju kerana dia merasakan wanita itu sudah mula merepek.

Walaupun apa? Walaupun bukan bersama dia?

No!

"–walaupun seorang Zinnirah ini masih belum sembuh sepenuhnya. Semoga kami dapat bahagia bersama." Kali ini Zinnirah terus memandang wajah suaminya yang sudah tegang dek ulahannya.

Bahu Absyar kembali mengendur sebelum dia menghembuskan nafas lega. Wanita ini benar-benar menakutkannya.

Zinnirah tertawa kecil sebelum kembali memandang pusara nenek.

"Suami Ji takut, nek. Kelakarlah..." Absyar langsung berdecit dengan ayat itu.

Suasana itu mula senyap sunyi apabila mereka hanya berdiam diri menikmati rasa di situ.

"Nek, Ji balik dulu ya. Nanti Ji datang melawat lagi tau. Lain kali Ji bawak bunga banyak-banyak untuk cantikkan nenek. Selamat tinggal, nek. Ji sayang nenek sangat-sangat." Batu nisan dia cium penuh syahdu dan lama sebelum menoleh ke arah sang suami yang hanya berdiam diri.

Senyuman manis dia berikan pada Absyar yang membatu.

"Jom pergi jumpa anak saya, awak."

"Awak mampu ke nak tengok dia?" soal Absyar sambil membantu wanita itu untuk berdiri.

"Insya-Allah," balas Zinnirah pendek. Matanya memandang Absyar yang sedang menggulung tikar.

"Mus cakap, dulu awak yang selesaikan hal pengebumian anak saya. Terima kasih ya, Absyar." Zinnirah berkata ikhlas dengan mata tidak lekang memandang wajah tenang sang suami.

"Muhammad," kata Absyar secara tiba-tiba.

"Hah?"

"Nama anak kita, Muhammad." Absyar memandang tepat pada mata bening Zinnirah.

Anak kita?

Zinnirah terasa ada satu rasa yang menusuk dalam hatinya.

"Jom kita pergi jumpa Muhammad." Ajakan Absyar membuatkan Zinnirah tersedar daripada lamunannya dan terus masuk ke dalam perut kereta.

"Iya, jom."

"DEKAT sini?" soal Zinnirah apabila Absyar membelok masuk ke kawasan rumah lamanya.

"Ya, kubur Muhammad ada di belakang rumah. Awak betul-betul okey?" Wajah Zinnirah dipandang tunak.

"Saya... Saya insya-Allah okey." Tika itu, dia secara tiba-tiba tidak yakin dengan dirinya.

Adakah dia mampu untuk melihat kubur anaknya sendiri?

Adakah dia mampu untuk melihat anak hasil...

Ah, dia tidak sanggup untuk menyebutnya.

"Sayang, betul ni nak pergi?" tanya Absyar sekali lagi apabila melihat wajah gundah sang isteri.

"Ya..." Dan Zinnirah terus membuka pintu lalu terus keluar dari perut kereta. Matanya mula melilau melihat rumah yang penuh suka duka itu.

"Jom kita pergi." Zinnirah melangkah perlahan mengikut jejak langkah Absyar.

Ruang belakang rumah bersih tanpa lalang seperti terjaga dengan baik.

"Saya selalu upah budak-budak kat sini untuk jaga kawasan rumah awak." Absyar bagai tahu-tahu sahaja apa yang bermain dalam fikirannya.

Mereka berdua akhirnya berhenti di satu sudut terpencil di kawasan belakang rumah. Kawasan yang sudah terpacak dengan dua kayu yang berbalut dengan kain putih.

Zinnirah pandang dengan penuh sayu. Itu... anaknya... janinnya yang tidak sempat menjengah dunia.

"Ini Muhammad," kata Absyar sambil menunjuk ke arah yang sudah lama diperhatikan oleh Zinnirah.

Wanita itu terus mendekat dan mencangkung di tepi kuburan kecil itu.

"Assalamualaikum anak ibu..." Suaranya kedengaran sebak di pendengaran Absyar.

"Muhammad..." panggil Zinnirah sayu.

"Muhammad anak ibu..." Air matanya tanpa segan silu kembali jatuh ke bumi. Absyar turut mencangkung di sebelah isterinya.

"Ibu minta maaf sebab tak mampu nak mempertahankan Muhammad..."

"Muhammad selamanya akan menjadi anak pertama ibu..." Bibir dikemam kuat sebelum dia menunduk memeluk lutut.

Ya Allah... Tidak dia sangka, perasaan itu akan sesakit ini.

Absyar terus mengusap lembut belakang Zinnirah untuk menenangkan isterinya.

"Awak tahu tak, waktu saya kebumikan Muhammad... Dia kecil sangat. Sangat-sangat kecil hinggakan saya takut saya akan menghancurkan tubuh dia..." Absyar mula bicara. Zinnirah memanggungkan kepala dan memasang telinga.

"Umur Muhammad baru empat minggu lebih waktu tu, janin itu masih baru. Belum ada organ yang terbentuk. Bahkan, janin itu belum sempat ditiupkan roh ke dalamnya..." Kini Zinnirah menoleh memandang Absyar dengan mata yang berkaca.

"Disebabkan sifatnya belum sempurna, ustaz nasihatkan saya untuk balutkan dia dengan kain putih dan kebumikan dia tanpa perlu pemandian hatta solat jenazah sekali pun. Disebabkan itu saya kebumikan Muhammad di sini, Zinnirah." Wajah isterinya dilihat.

"Awak..." panggil Zinnirah perlahan apabila dirinya sudah berasa tenang.

"Ya?"

"Betul ke... janin yang meninggal sebelum usianya mencapai empat bulan... tidak akan dibangkitkan di Padang Mahsyar?" Mata bundar itu memandang suaminya dengan penuh sayu. Absyar terus melarikan pandangan apabila tidak sanggup melihat wajah sembap itu.

Dia diam seketika dan tidak terus menjawab pertanyaan serius itu.

"Betul. Hanya bayi dalam kandungan yang berusia empat bulan ke atas akan dibangkitkan dan sunat diberikan nama buat mereka. Sebab apa? Sebab bayi-bayi ini akan dipanggil namanya di hari kiamat nanti sama seperti kita yang hidup di dunia ini." Absyar menjawab penuh lembut dan rasional.

"Maksudnya, saya tak dapat jumpa Muhammad di syurga nanti?" Mata mula berkaca kembali dengan pernyataan itu.

Absyar hanya tersenyum nipis dengan soalan luar jangka Zinnirah.

"Sayang... Dalam syurga nanti awak boleh minta apa-apa pun pada Allah dan semestinya Allah akan memakbulkan permintaan awak. Termasuklah jika awak berhajat untuk hidup bersama Muhammad di syurga nanti."

Senyuman dia berikan pada Zinnirah seraya mengusap kepala bertudung itu. Dia cuba menenangkan wanita yang sudah kembali merembeskan air matanya.

"Insya-Allah, doakan yang baik-baik." Absyar menambah dan hatinya lega apabila melihat Zinnirah mengangguk dalam tangisnya.

Zinnirah... Awak wanita hebat.

Sorry lambat update. Saya tak sihat :(

sedih sedih sikittt

Share this novel

siti
2024-09-17 00:28:38 

moga author cepat sembuh. suka baca bila zinnirah dgn absyar


NovelPlus Premium

The best ads free experience