GERAKAN KASAR DARI tempat dia labuhkan kepala membuatkan Absyar membuka matanya sebagai tindak balas refleks. Gerangan Zinnirah yang sedang duduk di tengah katil sambil menunduk mendapat perhatiannya. Absyar terus bangun daripada duduknya dan memegang bahu wanita itu.
"Sayang?" panggil Absyar perlahan.
Namun panggilannya itu dibalas dengan esakan kecil Zinnirah. Absyar terus menolak rambut itu ke belakang lalu memegang dagu Zinnirah supaya dia dapat melihat wajah itu dengan jelas.
Muka isterinya itu sudah basah dengan air mata membuatkan Absyar panik.
"Sayang kenapa ni? Kenapa nangis? Awak sakit ke?" soal Absyar lalu melabuhkan duduk di hadapan wanita itu. Kedua-dua bahu Zinnirah dia pegang lembut.
"Sakit kat mana?" tanya Absyar lagi apabila Zinnirah hanya angguk untuk menjawab soalannya.
"Sa-sakit sangat abiy... Ji sakit..." adu Zinnirah dengan mata yang masih mengalirkan air mata. Tangan kanannya sedari tadi mengusap laju pada bahagian tengah dadanya.
"Sayang sakit dada?" Mata Absyar turut turun pada tangan yang tidak henti-henti menekan dada sendiri.
"Hati... Hati Ji sakit..." balas Zinnirah lalu mencengkam lengan Absyar dengan tangan kirinya.
"Sakit... Sakit sangat hati Ji, abiy..." Esakannya kembali berbunyi apabila mengadu pada Absyar. Sudah beberapa malam dia tahan rasa sakit ini semenjak dia diberi makan ubat Tibi itu.
"Rasa sakit tu macam mana, sayang? Can you explain to me so I can help you?" Absyar menanya lembut setelah dia merapatkan kedudukan mereka. Dahi yang berpeluh itu dia lap dengan tangannya.
"Hat–hati Ji rasa macam kena tekan sampai han–hancur. Sakit sangat sampai Ji ta–tak boleh tidur. Se–sejak ambil Akurit 4, Ji sakit sangat. Malam-malam tak dapat tidur. Si–siang Ji selalu muntah apa yang Ji makan..." terang Zinnirah dengan bersusah payah menahan rasa sakit di dada.
"Ji tak larat... Ji penat..." Air mata kembali merembes jatuh ke pipi setelah mengatakan hal itu.
Absyar terus mengambil beg ubatan isterinya sebelum mengambil balm yang tidak terlampu panas untuk disapukan pada kawasan yang sakit.
Dia bakal memaklumkan hal ini pada Doktor Wendy esok hari sebaik saja matahari terbit. Isterinya itu perlu dirawat dan diperiksa sebaiknya.
"Sayang, izinkan abiy sapu balm okey?" pinta Absyar. Zinnirah tidak membalas malah menjatuhkan kepalanya pada dada bidang Absyar. Lelaki itu terus menyapu balm dengan pantas sebelum dia menyelesakan duduk dan bersandar pada kepala katil. Zinnirah yang masih mengerang kesakitan dia tarik dan melabuhkan kepala wanita itu supaya dapat tidur dalam keadaan tenang.
Zinnirah tidak dapat tidur secara berbaring jadi dia sangat berharap wanita itu dapat tidur dalam keadaan ini. Bahu isterinya dia tepuk sebelum membacakan surah al-Mulk untuk pendengaran mereka lalu disambung dengan zikir-zikir penenang hati.
"Ya Allah, Kau angkatlah kesakitan isteriku dan gantikanlah kesakitannya ini dengan kebahagiaan dan kegembiraan." Doa Absyar sebaik saja Zinnirah sudah tertidur setelah lama dia berperang rasa sakit di dada.
Absyar mencium lama belakang kepala Zinnirah lalu dia kembali mengurut tengah dada itu dengan harapan rasa sakit itu bakal berkurangan.
Sambil-sambil itu, bibirnya tidak pernah kering daripada melafazkan zikir dan doa-doa untuk sang isteri yang dalam kesakitan. Walaupun sedang tidur, Zinnirah tetap mengerang sakit. Absyar hanya mampu menutup lama matanya dan membantu semampunya tika itu. Dia bukan pakar pada bahagian ini, jadi untuk berbuat pandai dalam merawat isterinya pada malam ini hanya akan meletakkan nyawa Zinnirah dalam bahaya.
Dia tidak mahu hal itu berlaku.
SETELAH kejadian malam itu, Doktor Wendy telah mengkaji semula kesesuaian ubat Akurit 4 dengan dirinya. Akurit 4 yang mengandungi empat jenis ubat di dalamnya iaitu Isoniazid, Pyrazinamide, Rifapicin dan Ethambutol.
Tubuh Zinnirah tidak dapat menerima ubat yang kedua, Pyrazinamide yang menyebabkan bacaan hatinya menjadi sangat tinggi dan berasa sakit setiap masa. Kini daripada satu pil ubat yang mengandungi empat jenis bahan, Zinnirah perlu makan tiga jenis pil yang lain; Isoniazid, Rifapicin dan Ethambutol disebabkan dirinya tidak mampu menahan peritnya kesan Pyrazinamide dalam diri sendiri.
Bulan lepas sudah masuk bulan ketujuh dia consume ubat Tibi yang baru itu dan dia juga sudah dibenarkan pulang dan bekerja seperti biasa. Hanya sesekali dia perlu datang ke hospital untuk memeriksa kondisi dirinya dan juga nanah yang masih ada dalam ginjal. Dan hari ini merupakan minggu kedua dia bebas daripada terus-terusan makan ubat Tibi itu.
Setakat sekarang dia sudah tidak merasakan sakit apabila membuang air kencing. Zinnirah mula rasa bersyukur, mungkin nanahnya sudah hilang.
"Sayang." Panggilan itu membuatkan Zinnirah yang sedari tadi termenung terus menoleh ke kirinya. Tangannya cepat-cepat menutup bekal yang dia mahu bawa ke tempat kerja dan dimasukkan ke dalam beg.
"Termenung apa?" soal Absyar lalu mencuci tangannya di singki. Dia baru saja sudah menikmati sarapan yang dimasak oleh Zinnirah sebentar tadi.
"Takde apa-apa, tiba-tiba teringat waktu sakit hati malam tu. Ji harap Ji takkan hadap sakit tu lagi. Rasa macam nak mati..." ujar Zinnirah lalu tersengih hambar.
Serik. Itu perkataan yang boleh digambarkan untuk situasinya sekarang.
"InsyaAllah, tak akan sakit lagi. Kita usaha dan banyakkan doa pada Allah okey. Semoga rasa sakit yang isteri abiy rasa akan hilang dan diganti dengan kemanisan sahaja." Absyar berdoa lalu mengusap lembut puncak kepala Zinnirah yang sudah bertudung.
"Amin... Terima kasih abiy sebab selalu doakan Ji," ucap Zinnirah sambil mendongak menghadap suaminya yang tinggi di sebelah.
Tanpa menunggu lama, Absyar terus mencubit pipi tembam Zinnirah. "Awak akan selalu ada dalam doa abiy sepanjang abiy masih bernafas atas muka bumi ini. Setiap langkah awak akan sentiasa diiringi dengan doa abiy. Abiy harap sangat, sayang akan sentiasa dijaga oleh Allah SWT selalu..."
"Sweetnya abiy," puji Zinnirah sambil tersengih walaupun dia benar-benar rasa terharu dengan ucapan penuh tulus Absyar. Ah, tak mahu dia menangis pagi-pagi buta ini disebabkan ayat seorang Absyar Abid.
"Sweet hanya untuk Zinnirah seorang," usik Absyar sebelum terkekeh perlahan.
"Dahlah, jom hantar Ji pergi kerja. Nanti lambat pulak sampai," Zinnirah terus berdalih sebelum suaminya untuk lebih-lebih merepeknya.
"Okey jom, abiy mengayat awak dalam kereta pulak." Absyar tersengih lalu terus memgambil beg bekal makanan isterinya lalu berlalu ke arah pintu. Hari ini, sengaja dia mahu menghantar Zinnirah ke tempat kerja alang-alang dia kerja shift malam.
"Eii baru khatam pickupline kat Google ke?" kata Zinnirah sambil berjalan beriringan ke lif.
"Mana ada, abiy buat sendiri. Tak mainlah Google ni." Keningnya dijungkitkan beberapa kali ke arah Zinnirah membuatkan wanita itu berdecit jengkel.
"Ni mesti belajar daripada Mus kan? Yang sesat-sesat ni semuanya berpunca daripada dia," kata Zinnirah tanpa rasa bersalah membuatkan Absyar melepaskan tawanya.
Padan muka Mus, pagi-pagi dah kena fitnah.
"Boleh dikatakn begitu," jawab Absyar sambil tersengih. Tapi benar tanggapan isterinya itu, Mustaqimlah yang mengajarnya benda-benda seperti ini pada awalnya.
"Dah agak dah..."
Mereka melepaskan tawa dalam masa yang sama pintu lif terbuka.
"Abiy," panggil Zinnirah.
"Ya?" Punat lif ditekan sebelum wajah Zinnirah dicari.
"Bulan depan Ji ada appointment dengan nephro tau. Abiy nak ikut?" maklum Zinnirah sambil berlawan pandangan suaminya.
"Nanti bagitahu tarikh dan masa pada abiy, insyaAllah abiy ikut." Senyuman kecil dilontarkan pada sang isteri.
"Terima kasih abiy sebab selalu teman Ji," ujar Zinnirah dengan senyuman manis yang sudah tertarik di wajah.
Absyar terus menggenggam tangan itu dan berjalan keluar daripada lif menuju ke keretanya.
"Awak isteri abiy... Sampai bila-bila abiy akan teman awak, sayang."
"Tengok tu? Manis lagi... Daripada Ji kena makan ubat darah tinggi nanti dapat ubat diabetes pulak sebab suami Ji terlampau manis!" Zinnirah terus memukul perlahan lengan Absyar membuatkan lelaki itu terkekeh perlahan.
"Janganlah diabetes, abiy tak nak sayang sakit lagi. Nanti abiy tak tenang... Makan tak basah, mandi tak kenyang..."
"Sudah Absyar Abid. Ji risau betul-betul akan dapat ubat diabetes ni kang!"
Absyar terus melepaskan tawa bahagianya sehingga bergema satu parkir lot itu. Seronok dapat mengusik sang isteri pada waktu begini. Happy!
double update! happy reading!
Share this novel