BAB 64 (part 1)

Romance Series 47910

HARI INI MERUPAKAN HARI  terakhir Absyar dan Mustaqim di hospital ini. Ya, Mustaqim turut akan melanjutkan pelajarannya sama seperti Absyar namun lelaki itu akan berfokus kepada paedriatik.

"Thank you for your hardwork, Dr. Absyar. Goodluck on your studies and I hope to see you soon here after you get that Master," ucapan daripada pengarah hospital itu membuatkan Absyar tersenyum sopan.

"Insya-Allah doc, please pray me."

"Always Absyar, always." Bahunya terasa ditepuk dua kali sebelum pengarah itu berlalu meninggalkan dia seorang diri. Absyar melebarkan senyumannya setelah mendengar ayat itu daripada Doktor Kamil yang sentiasa dia kagumi sejak dia bekerja di situ. Dia gembira apabila dikenali oleh orang yang paling tinggi di hospital ini. 

Deringan telefon yang bergetar di dalam poket seluarnya membuatkan angan-angan Absyar terhapus. Skrin telefon pintar itu dilihat dengan kening yang sudah terjungkit sebelah sebelum dia menjawab panggilan itu.

"Kau kat mana, Acad!" Baru saja dia meletakkan telefon itu di telinga, suara nyaring Mustaqim sudah memenuhi kokleanya.

"Assalamualaikum bapa orang," perli Absyar lalu berjalan ke arah lif. Butang G ditekan untuk dia turun ke kafeteria hospital.

"Waalaikumussalam, kau kat mana Acad?" Sekali lagi dia menyoal soalan yang sama.

"On the way dari tingkat 15," jawab Absyar bersahaja sebelum melangkah masuk ke dalam lif kosong itu.

"Buat apa kat tingkat 15?" Dahi Mustaqim berkerut.

"Pengarah nak jumpa aku tadi."

"Pergh, gilalah! Dr. Kamil nak jumpa kau?! Memang mantaplah, Acad! Kau buat salah apa sampai pengarah nak jumpa kau ni?" Dalam pujian terselit juga rasa ragu-ragu dengan ucapan sahabat baiknya itu.

"Kau ingat aku ni selalu buat jahat macam kau ke? Dia saja je nak jumpa aku untuk ucap tahniah and so on."

"Kau ingat aku bapak setan ke Acad yang selalu buat jahat? Apo!" Absyar terus melepaskan tawanya apabila mendapat respons daripada Mustaqim. Dia boleh membayangkan wajah itu menahan marah dan geram pada dirinya.

"Ops, aku tak cakap. Kau yang mengaku," usik Absyar lagi sambil bergerak rapat ke bahagian belakang lif apabila berpusu-pusu orang mula memenuhi lif yang tadinya kosong.

"Ya Allah, macam mana adik aku boleh suka kau..." Mustaqim mula berasa tertekan dengan perangai yang sudah banyak berubah. Contohnya, lelaki itu sudah pandai mengusik orang berbanding menjadi patung cendana seperti zaman universiti dulu. Adiknya bagi Absyar makan apa sampai jadi macam ni?

"Takdir Allah dah tertulis nama Absyar Abid dan Zinnirah di luh mahfuz, Mus. Mana boleh menyoalkan takdir Allah." Absyar tersengih apabila mendengar hembusan nafas Mustaqim. Dia yakin dan pasti lelaki itu sedang memicit dahinya sendiri akibat ulah Absyar.

"Cepatlah sikit datang kafe, sakitnya otak aku nak melayan perangai kau yang sekarang ni." Mustaqim terus mematikan panggilan telefon lalu bersandar pada kerusi kafe. Kenapalah 180 darjah kau berubah, Acad. Pening kepala aku ni ha...

Absyar terus menyimpan kembali telefon ke dalam poket seluar lalu melangkah keluar dan berjalan laju ke arah kafe hospital. Lehernya dipanjangkan untuk mencari gerangan manusia yang frust menonggeng dengan dirinya tadi. Apabila ternampak Mustaqim yang bersandar santai di kerusi sambil memeluk tubuh, Absyar melajukan langkah.

"Assalamualaikum abang ipar," sapa Absyar dengan wajah ceria.

"Waalaikumussalam, lambat betul kau ni. Baiki lif ke tadi?" perli Mustaqim sebelum menjatuhkan lengan daripada terus memeluk diri. Absyar tertawa kecil dengan perlian itu. 

"Banyak orang dalam lif, setiap floor dia berhenti. Kau dah order makanan ke?" Sesekali Absyar menoleh memandang beberapa gerai di kafe itu. Dia tidak tahu mahu makan apa walaupun perutnya sudah berkeroncong hebat.

"Belum, tunggu kau lah lambat sangat."

"Ha jomlah order," ajak Absyar sebelum bangun dan bergerak ke salah satu gerai yang menjual masakan panas dan berkuah. Mustaqim pula bergerak ke gerai yang menyajikan makanan bergoreng.

Usai, mereka kembali ke tempat duduk tadi dan menunggu makanan mereka siap.

"Kau order apa?" tanya Mustaqim lalu menyedut air manisnya. 

"Mi bandung special. Kau?"

"Nasi goreng chicken chop."

"Kau dah ready ke nak masuk belajar ni?" soal Absyar tanpa mengalihkan pandangannya di wajah Mustaqim. Lelaki itu terus menjongketkan bahu kerana dia benar-benar tidak pasti samada dirinya itu sudah bersedia ataupun tidak.

"Ada lagi dua bulan lebih jadi aku tak tahu nak rasa apa. Mungkin sehari sebelum masuk baru nak keluar segala mak nenek takut, resah bagai tu," terang Mustaqim bersahaja.

"Samalah. Dalam masa dua bulan ni, aku rasa nak bawa Zinnirah dan Mayyah jalan-jalan. Kesian anak bini aku asyik terkurung dalam rumah je. Lagi-lagi bila Zinnirah sekarang cepat letih sebab sakit yang serang bahagian sendi dan jantung dia. Aku dah tak tahu nak bantu dari segi apa dah, Mus. Aku hanya mampu support dia apa yang patut untuk ringankan beban dia walaupun aku tahu rasa sakit itu tidak akan berkurang mahupun sedikit," luah Absyar secara tidak sengaja.

"Kehadiran kau dah banyak membantu Ji, percayalah cakap aku. Ji tu dari dulu seorang yang sangat berdikari tapi bila dengan kau, dia sentiasa bergantung pada kau. Sebab dia memang dah letakkan kepercayaan dia ke atas diri kau, Acad. Jadi, kau sangat membantu dia dari segi emosi dan fizikal walaupun kesakitan dia kau tak mampu kurang kerana itu bukan kerja kita melainkan kerja Allah." Mustaqim memberi ayat panjang buat Absyar yang tidak sedar bahawa dirinya itu sentiasa menjadi tempat Zinnirah bergantung.

Absyar terdiam dan memproses setiap butir ayat yang dilontarkan oleh Mustaqim kepadanya. Betul kata dia, apa yang seorang hamba yang lemah boleh buat jika Allah sudah berkehendak sedemikian rupa?

"Aku-"

"Doktor Absyar Abid Abdullah?" Percakapan Absyar terpotong apabila nama panjangnya disebut secara tiba-tiba oleh orang yang tidak dia kenali. Dengan penuh sopan-santun, lelaki itu terus berdiri dan memandang wanita yang berumur dalam lingkungan 50-an berserta senyuman formalnya sebagai seorang doktor. 

Mustaqim turut terkebil-kebil melihat dua gerangan itu sebelum bergerak ke gerai makanan untuk mengambil pesanan makanannya dan juga makanan Absyar.

"Ya saya. Ada apa yang puan cari saya?" jawab Absyar sebelum menawarkan wanita itu untuk duduk bersama di tempat mereka.

"Saya Maria. Maria Abu Hashim." Secara tiba-tiba, dia memperkenalkan dirinya kepada doktor muda itu.

"Baiklah, ada apa-apa yang saya boleh bantu Puan Maria?" Absyar masih melayani wanita itu dengan baik walaupun hati sudah terselit rasa pelik.

"Baitul Jannah. 17 Julai 1992. Jumaat. 3.39 pagi," ujar wanita itu sambil menikam tepat mata Absyar yang sudah terkejut dengan ucapannya tadi. Dia terdiam membisu apabila setiap butir perkataan yang terbit merupakan butiran tentang dirinya sendiri.

"Absyar Abid Abdullah, anak luar nikah yang dibuang di Rumah Kebajikan Baitul Jannah 33 tahun yang lalu. Betul kan, Dr. Absyar?" Provokasi yang dia beri membuatkan tubuh Absyar menjadi panas.

"Puan siapa? Macam mana puan boleh tahu details tentang diri saya?" Wajah mula bertukar serius. Tiada lagi ton yang lembut tika wanita itu bagai mencabar kesabaran dirinya.

Senyuman sinis mula terukir di wajah tua itu. Beg tangan diseluk sebelum dia mengeluarkan beberapa keping gambar lusuh dan menyerahkan kepada Absyar. Satu keping kertas berlipat turut dihulurkan bersama.

Dalam masa yang sama, Absyar menyambut huluran itu dengan perasaan ragu-ragu. Mata Absyar terbeliak besar apabila iris hitam miliknya tertancap pada gambar bayi dan juga seorang wanita yang berwajah kelat seusai melahirkan. Lebih mengejutkan, dia tahu bahawa bayi itu adalah dirinya... Apa ini?

Gambar lain diambil dengan tangan yang bergetar hebat. Gambar di mana bayi itu diletakkan dan ditinggalkan di Rumah Kebajikan Baitul Jannah, rumah tempat dia membesar. Dan kepingan yang terakhir menunjukkan gambar wanita itu dan seorang pemuda yang wajahnya saling tak tumpah seperti Absyar.

"Apa ni, puan?" soal Absyar dengan bibir yang mula bergetar. "Apa maksud semua gambar ni? Kenapa ada saya dan puan dalam satu gambar? Kenapa wajah lelaki ini... mirip dengan saya?"

"Kau memang tak faham lagi ke? Atau kau cuba buat-buat tak faham? Aku rasa kau tak bodoh untuk memahami benda simple yang terpampang depan mata kau sekarang. Ni..." kertas yang belum dibuka oleh Absyar, Puan Maria lempar ke arah lelaki itu. "...kau bacalah kertas tu sekarang." Semakin menyampah dia melihat wajah Absyar dalam jangka masa yang lama.

Absyar langsung membuka kertas itu dan membacanya dengan penuh tanda tanya. Semakin ke bawah, jantungnya terasa seperti mahu tercabut dari tangkainya. Wajah Puan Maria dilihat tanpa rasa percaya.

Probability of Paternity: 99.9997% 

"Sebelum kau tanya dari mana aku dapat DNA kau, biar aku bagitahu. Beberapa tahun lepas, kau ada pesakit bayi berusia tujuh hari yang kau tak dapat selamatkan, kan? Aku nenek kepada bayi tersebut. Pada waktu aku nampak kau, muka kau sangat mirip dengan ayah kau, jantan tak guna yang dah rogol dan mengandungkan aku. Tanpa kau sedar, aku sempat ambil beberapa urat rambut kau yang terjatuh pada baju kau. Senangkan? Mungkin Tuhan nak pertemukan kita kembali setelah sekian lama aku tak ambil tahu langsung pasal anak haram seperti kau." Sungguh pedih kata-kata itu menusuk ke dalam hati Absyar tika itu. 

Mustaqim yang sedari tadi memasang telinga di meja belakang turut melopong mendengar ayat kejam yang terbit daripada wanita separuh abad itu.

"Kenapa sekarang?" Soalan itu bagai tidak terkeluar dari bibirnya apabila rasa sesak mula memenuhi dada.

"Sebab sejak aku ternampak kau tempoh hari, hidup aku tak tenang. Ada bisikan-bisikan yang meminta aku untuk bertemu dengan kau dan ceritakan segalanya," tuturnya tanpa rasa bersalah.

"Kenapa puan buang saya?" Suara Absyar mula bergetar.

"Sebab kau anak hasil rogol! Aku benci kau. Muka kau sama macam perogol tak guna yang dah tinggalkan aku terkontang-kanting lepas dia buat aku macam tu! Dia tipu aku! Dia cakap dia nak bertanggungjawab tapi dia tinggalkan aku dengan anak haram tu!" 

"Macam mana saya nak pastikan yang DNA Test ini valid? Macam mana saya nak pastikan puan tak tipu saya?" soal Absyar sebelum memandang tepat wajah orang yang telah lama dia cari.

Emak.

"Aku buat DNA Test tu kat sini. Kau ambil surat tu, kau pergilah siasat sendiri kalau kau tak percaya."

Absyar terus menggenggam kuat hujung surat itu apabila mendapat respons seperti itu. Dia tahu dokumen itu sah. Dia yakin. Tapi kenapa rasa sakit itu semakin nyeri dalam dadanya apabila mendengar ucapan keras Puan Maria?

"Puan..." panggil Absyar.

"Tak adakah sekelumit pun perasaan sayang puan pada saya? Saya masih anak puan walaupun saya bukan satu nasab dengan lelaki yang puan benci itu. Puan... benci saya?" Terasa sangat susah soalan itu keluar daripada kotak suaranya.

"Tak ada. Yang ada hanyalah perasaan benci aku yang semakin bertambah bila berhadapan dengan kau sekarang. Aku minta maaf tapi sampai bila-bila pun aku tak akan mengaku kau ialah anak aku, Absyar. Biarlah perkara lama itu pergi seperti angin lalu. Anggap sajalah emak kau telah mati sebagai mana aku tanamkan dalam jiwa dan minda aku bahawa Absyar Abid telah mati sejak 33 tahun lepas." 

Air mata yang tertahan terus terjatuh ke atas pipi bersihnya.

"Saya tak boleh jumpa puan lagi selepas ini?" 

"Tak. Tolong anggap aku dah mati supaya aku dapat hidup dengan tenang selepas ini. Aku minta maaf sebab buang kau dan tak menjadi gerangan emak buat diri kau. Tolong maafkan aku dan padamlah aku dari ingatan kau. Ini merupakan kali terakhir kita akan berjumpa, Absyar Abid Abdullah. Jangan cari aku lagi selepas ini." Lantas, Puan Maria bangkit dari duduknya dan bergerak laju untuk meninggalkan kafeteria hospital itu.

Baru saja beberapa langkah, badannya terasa berat bagai dihentam sesuatu dari arah belakang.

"Lepaskan aku Absyar. Tak malu ke orang tengok," marah Puan Maria yang cuba melepaskan pelukan erat itu.

"Kali ini je mak, biarkan Acad peluk mak buat kali pertama dan terakhir." Kaki Puan Maria terpaku pada lantai sejuk itu.

"Terima kasih kerana melahirkan Acad. Terima kasih kerana mak tak bunuh Acad. Acad maafkan semua perbuatan mak terhadap Acad. Terima kasih kerana merungkaikan identiti yang telah lama Acad cari selama ini. Acad minta maaf kerana lahir sebagai anak haram dari rahim mak tapi Acad bersyukur sebab mak dah tumpangkan rahim mak selama sembilan bulan buat Acad. Terima kasih buat segalanya mak. Acad janji Acad tak akan cari emak selepas ini. Semoga mak dapat hidup tenang tanpa perlu memikirkan anak haram ini lagi. Kita jumpa di syurga nanti ya, mak." Pelukan erat itu dia lepaskan sebelum kekura tangan Puan Maria dikucup lama.

Tangan tua itu dilepaskan sebelum dia berjalan meninggalkan kafeteria itu dengan rasa yang memberat dalam hati. Air mata mula jatuh bertimpa-timpa ke atas bumi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience