BILIK YANG KOSONG tanpa barangan dan juga manusia menjadi tatapan mata kuyu Zinnirah. Kakinya dibawa rapat ke dada dan dipeluk erat sebelum dagunya direhatkan di situ.
Dinding kosong berwarna putih. Tingkap yang ditutup dengan jeriji besi halus menyebabkan tiada ruang langsung untuk dia menghulurkan tangan bagi membuka tingkap di dalam bilik itu.
Tiada peralatan kaca. Yang ada cuma plastik.
Keluhan mula terlepas dari bibir kering Zinnirah. Dia masih tidak faham kenapa dia masih perlu tinggal di sini sedangkan sehingga ke saat ini, masih tiada apa-apa rawatan daripada doktor. Jadi ini membawa maksud yang dirinya sihat! Dia tidak gila!
Badan Zinnirah tegak apabila ayat-ayat itu bermain dalam mindanya.
Ya... Dia tidak gila.
Badan dibawa turun dari katil yang menjadi tempat peraduannya selama lebih kurang seminggu. Mungkin kurang mungkin lebih kerana dia sendiri turut tidak tahu masa yang berjalan.
Tombol pintu dipegang dan dipulas. Harapan agar pintu itu tidak berkunci hancur apabila tanggapannya meleset.
Pintu itu berkunci.
Dengan langkah longlai, Zinnirah kembali ke katilnya dan membaringkan diri. Selimut ditarik sehingga ke paras dada.
Muka pucat itu langsung tidak terlukis dengan senyuman. Matanya melilau memandang sekeliling sebelum terhenti pada satu plastik hijau di meja pada hujung katilnya.
Dengan malas, Zinnirah terus bangun dan mencapai plastik itu. Isinya dilihat dengan wajah yang beku.
Oh, coklat.
Balutan coklat cuba dibuka namun tenaga yang tersisa menjadi penghalang.
"Bodoh."
Zinnirah terus mengeluh sebelum membiarkan plastik dan coklat itu di situ. Dia kembali berbaring dalam keadaan mengiring dan menutup matanya.
Dia cuba untuk tidur sedangkan sudah beberapa hari Zinnirah tidak dapat melelapkan mata disebabkan bayangan lelaki durjana itu kerap muncul dalam mimpinya.
Dia benci akan bayangan itu.
Bunyi pintu yang dibuka menyebabkan Zinnirah terus mencelikkan mata dan melihat pada gerangan itu.
Misi yang berbaju berpakaian serba putih itu sedang tersenyum manis apabila berjalan mendekati dirinya. Zinnirah hanya membantu tanpa ada usaha untuk bangun dar perbaringannya.
"Assalamualaikum Cik Zinnirah, how are you today?" soalnya dengan ceria. Zinnirah terus memandang pada tag nama di baju putih itu.
Syakila.
Dengan tenaga yang sedikit tersisa, dia terus bangun dan duduk menghadap Syakila.
"Bila saya boleh balik?" soalan itu terpacul daripada bibirnya.
Syakila terus tersenyum dengan soalan itu. Keadaan ini dia sudah terbiasa. Ragam pesakit yang sudah menjadi makanan buat dirinya.
"Bila Cik Zinnirah dah sihat, Cik Zinnirah boleh balik rumah. Sekarang, kami masih perlukan cik di sini untuk kita lakukan rawatan bersama-sama okey?" Lembut suara Syakila menerangkan pada gadis muda itu.
Mesin pemeriksa tekanan darah dibawa keluar dan lengan Zinnirah dipegang.
"Saya minta izin untuk check blood pressure cik ya? Dan juga heart beat cik nanti. Be calm ya..." ujar Syakila lagi sambil menghidupkan mesin itu setelah selesai memasangkannya pada lengan kanan Zinnirah.
Zinnirah hanya memerhatikan semua tindakan misi itu tanpa berkata apa-apa. Hanya mata yang bergerak melihat tindak-tanduk Syakila.
"Okey dah siap," kata Syakila sambil menyimpan kembali semua barangan ke dalam beg yang dibawa.
"Lepas ni Cik Zinnirah ikut saya ya. Pukul 11 pagi nanti cik ada appointment dengan Doktor Dahlia. Doktor Dahlia ialah doktor yang akan merawat dan menjadi kawan baik cik sepanjang cik berada di sini. Cik jangan risau, doktor tu baik. You're in a good hand," tuturnya panjang dengan wajah yang ceria.
Namun Zinnirah hanya memandang tanpa rasa. Apa yang dia dengar hanyalah seperti masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Satu pun tidak lekat pada fikirannya.
Pandangannya kosong. Sangat-sangat kosong sehingga Syakila hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila tiada balasan daripada gadis itu.
Dia terus melangkah keluar dan mengunci bilik Zinnirah. Jam di pergelangan tangan dikerling.
Masih ada satu jam sebelum janji temu pertama Zinnirah. Dia mahu menyiapkan tugasannya untuk memeriksa keadaan pesakit-pesakit di wad yang lain.
Dia tidak mahu dituduh mencuri tulang sedangkan pekerjaan yang dia galas sekarang ialah amanah yang dikurniakan kepadanya.
Dan amanah itu perlu dijaga dengan sebaiknya.
ZINNIRAH melangkah masuk ke dalam bilik yang hanya terdapat sebuah meja panjang dan beberapa buah kerusi dengan langkah perlahan. Belakang gerangan yang duduk di salah satu kerusi itu dipandang lama.
Tanpa aba-aba, wanita itu terus berpaling dan tersenyum manis kepadanya. Senyuman itu langsung tidak dibalas oleh Zinnirah. Dia tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya namun untuk menarik senyum adalah hal yang sangat sukar buatnya ketika itu. Tenaga yang ada terasa tidak cukup buat mengukirkan sebuah senyuman.
"Zinnirah, sini duduk." Zinnirah terus melihat arah jemari yang ditunjukkan oleh wanita itu. Kerusi berhadapan dengannya.
Dia berjalan perlahan sebelum duduk di tempat yang ditunjukkan tadi. Bahagian bawah baju dipegang.
"Hai Zinnirah, saya Doktor Dahlia yang bakal menjadi kawan baik awak mulai sekarang." Senyuman manis langsung tidak lekang pada bibir doktor muda itu. Zinnirah hanya melihat tanpa ada rasa untuk membalas.
"Apa yang awak rasa hari ni? Okey ke sepanjang berada di sini?" soal Doktor Dahlia sebelum meletakkan kedua-dua lengannya ke atas meja.
Zinnirah diam lama sebelum menggelengkan kepalanya.
"Kenapa tak okey?" Lembut suaranya menghinggap telinga Zinnirah.
"Saya nak balik." Pendek dan tegas suara Zinnirah. Matanya menatap Doktor Dahlia tanpa rasa bersalah.
"Awak nak balik ke mana?"
"Rumah."
"Kenapa nak balik rumah?"
"Saya nak tinggal dengan nenek. Hanya nenek yang sayang saya," tutur Zinnirah laju tanpa sempat berfikir.
Doktor Dahlia tersenyum manis. Nenek? Dia sudah tahu informasi tentang gadis di hadapannya itu melalui abangnya, Mustaqim.
Nenek yang disebut oleh Zinnirah itu... Telah tiada. Dia telah meninggal dunia.
"Boleh awak ceritakan sedikit tentang nenek? Saya rasa nak kenal dengan nenek awak boleh?" soal Doktor Dahlia sambil memandang tepat mata kosong itu. Sebut saja tentang nenek, iris Zinnirah sedikit bersinar.
"Nenek saya dah tua tapi masih kuat. Setakat nak kasi ayam dan itik belaannya makan, itu sangat mudah bagi nenek. Saya pun satu-satunya cucu perempuan nenek. Nenek sayang saya... Tak seperti mama dan baba..." tuturannya terhenti. Nafas dihela berat.
"Nenek sayang saya... Saya rindu nenek sangat-sangat," kata Zinnirah lagi dengan mata yang sudah berkaca.
"Zinnirah," panggil Doktor Dahlia lagi.
"Awak sayang nenek?"
Zinnirah terus mengangguk laju dengan soalan itu.
"Kalau awak sayang nenek, awak perlu cepat sembuh. Nenek mesti tak nak lihat awak sakit macam ni. Dia mestilah nak lihat cucunya sihat, barulah dia happy. Betul tak?"
Soalan yang menjerat itu membuatkan Zinnirah terdiam sebelum mengangguk tanda setuju.
"Kita boleh mula dengan ujian DASS terlebih dahulu sebelum diteruskan dengan ujian lain. Awak akan okey kan?" Wajah sayu itu dipandang.
"Saya tak gila, doktor." Matanya mencerlung tajam. Dahi sudah mula berkerut.
"Awak tak gila. Siapa cakap awak gila?"
Jeda.
"Zinnirah... Berada di sini bukan bermaksud awak gila tapi ia bermakna awak sangat berani. Awak berani mengambil langkah untuk sembuh. Berani untuk keluar dan menepis stigma msyarakat. Dan yang paling penting, awak tahu tahap kemampuan awak," terang Doktor Dahlia dalam memujuk gadis di hadapannya.
Zinnirah hanya diam.
"Awak jangan terlalu memendam Zinnirah. Di sini, awak boleh ceritakan semuanya pada saya. Jangan risau, di sini semua maklumat dan rahsia awak akan dijaga dengan sangat rapi. So, don't worry about that. You're safe here, okay?" pujuknya lagi.
Kertas dari dalam fail kuning itu diambil dan ditolak dengan penuh sopan kepada Zinnirah.
"Can we start your new journey together, Zinnirah?"
Dalam senyap, Zinnirah dengan perlahan-lahan mula mengangkat tangannya dan memegang pen yang disediakan.
Kertas itu ditarik mendekatinya sebelum dibaca soalan itu satu persatu tanpa menghiraukan Doktor Dahlia di hadapannya.
Dia cuba. Dia cuba untuk percaya dengan kata-kata Doktor muda di depannya itu. Dia mahu sembuh dan dia mahu hidup bahagia bersama nenek.
Doktor Dahlia yang melihat Zinnirah yang menunduk untuk menjawab soalan-soalan itu hanya tersenyum nipis.
Zinnirah... Sesungguhnya awak sangat kuat....
Selamat Hari Raya semua sayang-sayang saya! Minta maaf sebab selalu buat hampa tertunggu-tunggu update daripada saya. InsyaAllah next week saya dah balik kolej, mungkin kekerapan untuk update akan bertambah hehe.
Once again, selamat hari raya semuaaa♡
Share this novel