4 TAHUN KEMUDIAN...
Zinnirah menggulung kertas hasil lakarannya lalu dimasukkan ke dalam drawing tube yang berwarna hitam. Dia sudah selesai melakar layout yang diminta oleh senior architect dua hari yang lalu. Jam di komputer dikerling sekali lalu.
Bekas-bekas pemadam yang penuh di atas meja kerjanya, Zinnirah sapu menggunakan tangan sebelum dia buang ke dalam bakul sampah di bawah mejanya. Pensel yang digunakan, dia masukkan ke dalam bekasnya semula dan ditolak rapat ke dinding divider antara mejanya dan rakan sekerja yang lain
Dia dikira beruntung... Zinnirah terus diserap masuk ke dalam firma arkitek ini sebagai architect assistant setelah menjalani latihan industri selama enam bulan. Rezeki yang tidak disangka-sangka kerana kerjaya ini sungguh sukar bagi pelajar jurusan seni bina sepertinya untuk mendapat tempat kerana mereka yang baru sahaja graduate ini hanyalah melepasi Part 1 Professional Examination. Mereka perlu melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Master atau PhD untuk mendapatkan tingkat tertinggi iaitu Part 3 Professional Examination demi mendapatkan gelaran professional architect atau Ar.
Buat masa sekarang, Zinnirah mahu mengembangkan kerjayanya di sini terlebih dahulu sebelum melangkah ke satu tingkat yang lebih atas.
Bak kata omputeh, slowly but surely.
Dia juga tidak sangka dia akan sampai ke tahap ini sedangkan 7 tahun dahulu, hidupnya hancur.
Betullah, Allah sebaik-baik perancang dan dia bersyukur kerana masih diberikan nikmat untuk hidup normal seperti orang lain walaupun realitinya dia tidaklah normal mana.
"Ji, tak nak balik ke?" teguran daripada salah seorang rakan sekerjanya itu memecahkan lamunan Zinnirah.
"Hah? Ha saya nak balik," jawab Zinnirah gelabah apabila melihat jam yang sudah menginjak ke angka 6 petang itu. Komputer dimatikan lalu beg kerjanya digalas dan tidak dilupakan juga drawing tube yang turut dibawa pulang. Beg tangan turut disilangkan melepasi dada.
Kaki melangkah laju ke arah thumbprint scanner lalu dia terus meletakkan ibu jari. Dalam tiga saat, Zinnirah terus melangkah keluar dari firma itu dengan senyuman yang mula tersungging di bibir.
"Alhamdulillah, harini genap tiga bulan kerja kat sini," kata Zinnirah perlahan lalu memandang bangunan lima tingkat itu. Tidak sebesar firma yang lain namun ia cukup memberikan rasa nyaman buat Zinnirah.
"Terima kasih bos sebab ambik orang gila macam saya kerja kat sini," sambungnya perlahan, cukup untuk didengari telinga sendiri.
Tanpa membuang masa, Zinnirah terus melangkah laju dan menyeberang jalan untuk ke stesen MRT. Ya, Zinnirah hanya pergi kerja dengan menaiki pengangkutan awam. Walaupun letih berulang-alik setiap hari dan perlu bangun seawal yang mungkin, namun apa pilihan yang dia ada?
Dia tiada lesen kereta walaupun kereta Mustaqim tersidai di tempat parkir jika dia tidak berkerja shift pagi. Kalau motor, Mustaqim tidak membenarkannya untuk menunggang sehingga ke sini kerana bahaya.
Kadang-kadang, ada juga Mustaqim menghantarnya ke tempat kerja. Itu pun tak lut walaupun berkali-kali Zinnirah menegah kerana dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu sudah lelah dengan kerjayanya di hospital.
Kakinya mula melangkah masuk ke dalam MRT dengan berhati-hati apabila terlampau banyak manusia berpusu-pusu untuk masuk dalam masa yang sama. Dia terus berjalan ke tepi tingkap MRT dan bersandar di situ demi melihat pemandangan di luar sana.
Telefon yang berbunyi menandakan ada mesej masuk membuatkan Zinnirah mengubah pandangannya ke arah skrin telefon. Bibir tersungging senyuman kecil apabila melihat gerangan yang menghantar pesanan itu.
Ji dah balik ke belum? - Mustaqim
Otw. - Zinnirah
Okey, dah sampai nanti roger Mus tau.
Hati-hati bubucuk! - Mustaqim
Beres bos mamacam! - Zinnirah
Gadis itu terus tertawa kecil melihat mesej singkat antara dirinya dan Mustaqim. Walaupun sibuk, masih memikirkan adiknya yang banyak menyusahkan ini.
Ji sayang Mus...
Telefon kembali disimpan ke dalam poket baju kurung dan menunggu untuk dia sampai ke stesen berdekatan rumahnya dan juga Mustaqim.
RAMBUT yang masih basah, Zinnirah keringkan dengan tuala sebelum disangkut di ampaian dalam biliknya. Meja solek didekati lalu dia sikat rambutnya yang sudah pendek separas bahu.
Dia sudah malas mahu menjaga rambut yang panjang kerana kesan ubat SLE yang dia makan, kepalanya sudah hampir botak. Jika dilihat dalam cermin sekarang, bayang kulit kepalanya sudah kelihatan kerana hanya dilapisi helaian rambut yang nipis.
Skincare dipakai lalu losyen disapu di kedua-dua belah lengannya. Kulitnya sudah elok, tidak luka seperti dulu akibat gatal dan juga hirisan nipis pada epidermis apabila mentalnya dalam keadaan tidak baik-baik saja.
Apa yang dia bersyukur, harini sudah 175 hari dia 'clean' daripada melakukan self-harming pada dirinya sendiri. Satu kejayaan kan?
Usai saja dia menyiapkan diri di hadapan cermin, Zinnirah terus bergerak ke tepi katil dan mengambil beg ubatnya lalu bergerak ke ruang tamu. Kini hidupnya lebih tenang apabila dia berpindah masuk ke kondominium milik Mustaqim tanpa perlu menyusahkan abang sulungnya itu.
Walaupun pada awalnya dia berasa sangat bersalah pada Absyar kerana Mustaqim sudah berjanji untuk mengajak lelaki itu tinggal bersamanya sebaik saja mereka habis housemanship. Namun Absyar seorang lelaki yang sangat rasional dan tenang, dia hanya tersenyum dan berkata "Tak apa Zinnirah, saya boleh cari rumah lain. Awak tinggallah dengan Mus kalau itu yang membuatkan awak selesa."
Eh lelaki ini memang sentiasa positif ke?!
Tup-tup, Absyar memilih untuk berjiran dengan mereka kerana katanya kondominium ini ialah yang paling dekat dengan hospital tempat dia bekerja. Zinnirah hanya menerima saja alasan lelaki itu kerana buat apa dia nak menyibuk urusan hidup Absyar, kan? Selagi mana mereka tiada masalah, jadi Zinnirah akan kekal okey sahaja.
Plastik bungkusan makanan yang dia beli sebelum pulang ke rumah tadi Zinnirah buka dengan wajah yang ceria. Bau bihun tomyam campur memenuhi ruang tamu itu.
Jangan bagitahu Mustaqim yang Zinnirah makan seafood malam itu. Biarlah ia menjadi rahsia antara kita saja!
Dengan penuh berhati-hati, makanan itu dituang ke dalam mangkuk dan dengan lafaz basmallah Zinnirah mula makan dengan muka yang gembira.
Bunyi notifikasi telefon yang masuk tidak henti-henti itu mengganggu fokusnya untuk makan. Zinnirah terus berdecit kuat lalu mengambil telefonnya. Badan disandarkan ke sofa dengan wajah yang berkerut.
"Apa benda yang banyak sangat chat ni..." ujarnya.
Mesej dari satu nombor yang dia tidak simpan, Zinnirah buka.
Ji!
Dah tengok ke?
Kita konvo lagi dua bulan!
Sudah dia jangka, nombor itu ialah nombor Khairil Rizqin yang tidak pernah serik untuk berkawan dengannya sejak tahun pertama pengajian. Mesej itu langsung Zinnirah tidak balas malah dia terus membuka emelnya.
Perasaannya menjadi sangat berdebar-debar sebelum satu emel daripada pihak universiti memenuhi ruang kornea matanya. Dengan jari yang menggeletar, dia tekan.
ISTIADAT KONVOKESYEN KALI KE...
Zinnirah terus berdiri dan menjerit gembira. Tanpa berfikir panjang dia membuka aplikasi kenalan dan menelefon Mustaqim. Dia menunggu tanpa sabar dengan bibir yang sudah tersengih-sengih.
"Hello Mus, Ji dah nak konvo!" Terus dia beritahu Mustaqim dalam nada teruja tanpa kata-kata pendahuluan mahupun salam.
Share this novel