BAB 36

Romance Series 33949

"NAH AIR SUAM awak," Absyar terus meletakkan segelas air suam di atas meja kecil dalam bilik mereka. Bunyi desiran ombak pada pagi itu menenangkan jiwa masing-masing.

Zinnirah hanya mengucapkan terima kasih dan tersenyum kecil sebelum mula menelan beberapa biji pil. Pipi kembung yang mengandungi air itu Absyar lihat dengan geli hati. Dahi berkerut isterinya turut mendapat perhatian.

"Ergh, tak sedap!" luah Zinnirah perlahan namun masih dapat ditangkap oleh telinga Absyar dan dia terlepas tawa kecil.

"Jom kita pergi breakfast, nanti kita nak pergi jalan-jalan," ajak Absyar sambil menjungkitkan sebelah keningnya pada si isteri.

"Kejaplah awak, ubat ni baru kat esofagus... Tak sempat pun nak kena serap awak dah ajak makan..." adu Zinnirah sambil menyimpan kembali ubat-ubatan di dalam beg galas comel yang sering dia bawa. Air suam yang tersisa dia teguk sehingga habis.

Usai mendengar ayat Zinnirah, Absyar terus melepaskan tawanya. Ya Allah, dia tak pernah tahu Zinnirah ada sisi kelakar jugak. 

"Awak ni kelakarlah, sakit perut saya." Absyar memegang perutnya yang terasa keras. Zinnirah terus menjuihkan bibirnya dan Absyar tersengih seperti kerang busuk.

"Awak tak boleh ke buat ubat saya sedap sikit? Tak sedaplah... Loya tekak saya nak telan pahit-pahit macam tu," luah Zinnirah sambil memandang Absyar yang sudah mengambil duduk di hujung katil mereka. Pembetulan, katil Zinnirah kerana lelaki itu mengambil keputusan untuk tidur di sofa demi keselesaannya.

Absyar langsung memerhatikan isterinya yang masih sibuk merias wajah dengan geli hati. Soalan Zinnirah itu sekali lagi mencuit hatinya.

"Tak dapatlah saya nak tolong awak sebab saya bukan pharmacist. Saya tahu check orang pastu jahit je lepas operation," kata Absyar sambil tersenyum simpul.

"Awak bagitahulah kat pharmacist tu untuk buat ubat-ubat saya ada perisa coklat. Kalaulah ada rasa macam tu, memang saya tak akan skip langsung waktu makan ubat." Wajahnya dibelek buat kali terakhir pada cermin kecil sebelum dia memasukkan kembali alatan soleknya ke dalam beg dan dizip sempurna.

Usai, dia terus berpaling untuk menghadap Absyar yang hanya diam dan memerhatikan tindak-tanduknya.

"Akan diusahakan cadangan awak tu. Tak apa, nanti saya akan restock coklat banyak-banyak untuk awak kat rumah kita. Awak bolehlah makan coklat tu lepas makan ubat," ujar Absyar dengan tenang. Isterinya itu suka benar dengan coklat membuatkan Absyar juga telah menghafal jenama-jenama coklat yang sedap di Malaysia ini demi kebahagiaan seorang Zinnirah.

"Betul ni?" soal Zinnirah.

"Betullah sayang, pernah ke saya tipu awak?" Zinnirah terus menggeleng laju apabila mendapat soalan seperti itu. Dia percaya Absyar kerana lelaki itu memang tidak pernah membohongi dirinya sepanjang mereka kenal walaupun tidak rapat.

"Jomlah pergi breakfast, saya lapar," kata Zinnirah sebelum menarik sengihan panjang. Perutnya yang buncit satu inch itu dia tepuk perlahan.

"Ha jom-jom. Kesian dia, lapar ya?" Absyar hanya melayan Zinnirah dan bingkas bangun daripada terus melekat pada tilam empuk itu.

Wanita itu hanya memuncungkan sedikit bibirnya apabila dipermainkan sebegitu oleh Absyar. Jejaka itu hanya tersenyum dan menahan diri daripada menarik muncung itik dengan jemarinya.

"Awak nak makan apa?" soal Absyar apabila mereka berjalan seiring sambil mencari kedai makan yang menarik untuk mengisi perut.

"Saya rasa nak makan nasi lemak panas-panaslah awak. Kat sini ada ke?" Absyar di sebelahnya itu dia lihat dengan sedikit terdongak disebabkan ketinggian mereka yang tidak terlampau berbeza. 

"Insya-Allah ada, kita cari dulu okey..." balas Absyar sambil leher dipanjangkan untuk mencari kedai yang menyajikan hidangan yang isterinya mahu.

Zinnirah turut sama melakukan hal yang sama sehinggalah bibirnya tersenyum lebar apabila terdengar ayat, "Jom awak, saya dah jumpa!" daripada Absyar.

Terima kasih, Absyar!

"LETIH ke?" soal Absyar apabila secara tiba-tiba isterinya itu mencangkung di tepi jalan dengan wajah yang sudah merah bak udang kena bakar. Topi pantai yang dia pakai dibuka dan mengibas mukanya sendiri.

Panas!

Setelah hampir seharian mereka berjalan-jalan untuk menikmati keindahan Pulau Pangkor sehingga terlupa bahawa kaki itu sudah tidak mampu untuk berjalan lagi.

Dari Pekan Pangkor mereka bergerak  ke Galeri Pangkor kerana wanita itu suka akan sejarah. Puas saja hati kecil mereka, Kubu Belanda Pulau Pangkor menjadi tempat persinggahan yang seterusnya. Beberapa keping gambar diambil untuk kenangan sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Masjid Terapung Pulau Pangkor atau nama lain Masjid Al-Badr Seribu Selawat yang sangat cantik seni binanya yang terletak di Kampung Telok Gedung.

Dan kini, mereka berada berhampiran di Pantai Telok Gedung yang mungkin menjadi destinasi terakhir mereka sebelum pulang kembali ke chalet.

Tanpa menunggu lama, Absyar terus berdiri tegak di hadapan Zinnirah yang masih mencangkung demi menghalang cahaya mentari terik yang menyinggah pada badan isterinya.

Wanita itu tidak boleh terlampau panas, risau dia bakal tumbang secara tiba-tiba.

Mata Absyar melingas ke seluruh kawasan untuk mencari tempat bagi mereka berteduh dengan panasnya matahari. Irisnya terpaku pada satu tempat berdekatan dengan persisiran pantai yang teduh. Hujung bibir mula ternaik satu senyuman.

"Zinnirah, jom duduk bawah pokok sana. Nanti kaki awak lenguh kalau mencangkung lama-lama macam ni," ajak Absyar penuh lembut sambil menunjukkan kawasan yang tidak sampai 10 meter jauh dari mereka.

"Jauh tak?" soal Zinnirah dengan dahi yang berkerut.

"Tak pun, larat lagi tak nak jalan?" Zinnirah angguk bagi menjawab soalan suaminya itu. Baru saja dia bangun daripada terus mencangkung, kakinya bagaikan dicucuk beribu jarum kecil.

"Sakit sakittt," kata Zinnirah dan tanpa sengaja menggenggam kuat lengan Absyar untuk kestabilan dirinya sendiri.

"Eh kenapa ni?" tanya Absyar yang terkejut dengan genggaman yang tiba-tiba saja di lengan bogelnya.

"Kaki saya kebas, awak..." Dahi berkerut hebat menahan lenguh dan juga perit pada masa yang sama. Waktu-waktu gawat macam ni jugaklah yang dia nak semut-semut!

"Saya piggy back awak boleh?" Absyar meminta izin apabila melihat wajah penuh kerutan yang masih merah dek kepanasan.

"Hah?!" Terkejut sehingga hampir terbeliak biji matanya mendengar permintaan itu.

"Saya piggy back awak sampai pokok tu je. Muka awak merah sangat tu, saya risau awak pengsan kat sini," pujuk Absyar lagi sambil tunjuk ke arah pokok tadi.

"Saya beratlah... Saya gemuk tau, Absyar" kata Zinnirah perlahan

"Awak tak beratlah, yang. Terimalah permintaan daku ini wahai srikandiku, dapat pahala tau?" usik Absyar sambil menjeling lengannya yang masih digenggam kuat.

"Hm, ya lah..." Zinnirah berkata pasrah dan hanya melihat Absyar yang sudah membelakanginya. Perlahan-lahan Zinnirah rapatkan dirinya sebelum Absyar bangun dan membuatkan dirinya terjerit kecil.

Mak aih, macam ni ke rasanya jadi tinggi? Gayat jugak!

Absyar menahan senyum sambil memegang kaki isterinya erat untuk mengelakkan dia terjatuh.

"Awak, snap satu gambar please!" pinta Absyar sedikit kuat apabila mereka sudah sampai di pantai yang berangin kuat.

"Okey!" Zinnirah mengeluarkan telefonnya lalu diarahkan ke hadapan wajah Absyar. Beberapa gambar ditangkap dan video turut disimpan bersama.

Gelak tawa menjadi teman mereka sepanjang jalan menjadikan Absyar dan Zinnirah kelihatan seperti pasangan paling bahagia tika itu.

Dan gadis itu juga seakan-akan lupa akan rasa traumanya apabila dia mampu berada sedekat dan serapat itu dengan suaminya tanpa ada gigilan sedikit pun.

Mungkin kerana Zinnirah tidak dapat melihat mata lelaki itu dari belakang menyebabkan dia rasa lepas nyaman dan selesa.

Mungkin...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience