"KOMPLIKASI TERUK! IBU hampir meninggal. Kau sedar tak kau dah buat salah apa ni, Absyar?" Dr. Halimah melemparkan terus laporan itu tepat pada Absyar.
Dia hanya mampu menunduk apabila dimarahi sedemikian rupa di hadapan doktor-doktor pelatih yang lain. Dia mengaku, dia ada buat kesalahan semasa dalam dewan bersalin tadi sehingga menyebabkan berlakunya komplikasi yang boleh meragut nyawa sang ibu.
"Kau bisu ke? Aku tanya kau ni?" Kali ini terus Absyar dijerkah di hadapan batang hidungnya sehingga dia bertapak beberapa langkah ke belakang dek terkejut. Kepala terus diangkat untuk melihat wajah bengis itu sebelum dia kembali tunduk memandang hujung kaki.
"Saya minta maaf, doktor..." perlahan dan hampir tidak terkeluar suaranya apabila menyatakan permohonan maaf itu. Sungguh dia gementar dan takut.
"Kalau patient tadi meninggal disebabkan kecuaian kau sendiri, kau boleh ke nak mohon maaf macam ni pada family dia? Boleh ke Absyar?" Renungan tajam diberikan pada doktor muda yang masih menunduk tanpa ada keberanian untuk melihatnya.
Absyar terus menggigit bawah bibirnya mendengar ayat itu. Kedua-dua tangan digenggam erat bagai menyalur kekuatan pada diri sendiri.
"Saya minta maaf doktor..." Dia hanya mampu mengulang ayat yang sama berulang-ulang kali kerana tekaknya sudah terasa kesat dan kering disebabkan darah gemuruh yang menyerbu.
"Redo the report and submit to me today before 12 o'clock. Do submit reflective report of your mistake also. If you late, you see there?" jarinya ditunjuk ke arah tingkap di hujung aras.
Absyar hanya mengangguk apabila mendapat renungan tajam Dr. Halimah.
"You can jump off the building. I don't care." Usai, dia terus meninggalkan mereka di situ tanpa kata-kata mahupun arahan yang lain.
Absyar semakin berasa bersalah apabila mendengar keluhan daripada rakannya yang lain.
"Aku minta maaf..." kata Absyar secara tiba-tiba sambil melihat satu persatu rakan seperjuangan di situ.
"Tak apa Acad. Kau tak sepatutnya minta maaf pada kami. You did nothing wrong to us," ujar Umar sambil tersenyum kelat. Bahu Absyar yang jatuh ditepuk sebelum dia turut beredar bersama rakannya yang lain untuk kembali bertugas dalam bahagian O&G itu.
Absyar terus berjalan ke penghujung aras sebelum dia terus mendaki tangga ke tingkat atas. Dia daki dan daki sehingga kakinya berhenti pada satu aras yang dia juga tidak tahu. Tanpa menunggu lama, dia terus melabuhkan duduk pada salah satu anak tangga dengan helaan nafas berat.
Kedua-dua tangan meopang kepala yang mula terasa berat. Rambut yang jatuh ke dahi dibiarkan sebelum dia menarik sedikit kuat dek berasa geram. Tangan yang menggeletar itu menunjukkkan dia benar-benar triggered dengan apa yang dikatakan oleh Dr. Halimah tadi.
'You can jump off the building. I don't care.'
Ayat itu berulang kali terngiang-ngiang dalam mindanya tanpa berhenti sejak dari tadi. Mata mula berasa bergenang lalu dia mendongak untuk memandang bahagian atas.
Matanya terkebil-kebil untuk menghapuskan air mata yang bakal jatuh pada bila-bila masa saja. Dada ditepuk bagi mengurangkan rasa sebu yang memenuhi diri.
"Don't let emotion control you, Acad. Please... don't let emotion control you..." kata Absyar perlahan seperti memujuk dirinya sendiri.
"Betullah apa yang Dr. Halimah cakap, kau buat salah dan kau kena tanggung apa yang kau dah buat. If you don't realize what you have done today, you're a real freak here, Acad," sambungnya lagi dengan mata yang terpejam.
Nafas ditarik lama sebelum dihembus perlahan-lahan.
Tenang.
Tenang.
Tolong bertenang, Absyar.
"Acad?" Suara yang menegur itu menyebabkan Absyar terus membuka matanya secara drastik. Gerangan Mustaqim yang sedang berdiri tegak di bahagian tangga bawah memenuhi ruang kornea matanya.
Terus badannya menegak apabila mata mereka bertembung.
"Mus..."
"Kau okey?" soal Mustaqim. Tanpa pelawaan, dia terus duduk di sebelah Absyar yang kelihatan agak kusut pada pemerhatiannya. Scrubnya yang masih ada tompok darah dikerling oleh Mustaqim tanpa sedar.
Dahi Mustaqim berkerut apabila terdengar tawa kecil Absyar secara tiba-tiba. Wajah lelaki itu terus dilihat dengan aura yang serius.
"Kau kenapa ketawa tiba-tiba ni?" tegur Mustaqim apabila lelaki itu masih tidak berhenti.
Absyar terus berhenti dan menghela nafas berat apabila ditegur sebegitu. Rambutnya dikuak ke belakang dan dia bersandar pada tangga di belakang.
"It's all messed up. I messed up everything. Member kita yang lain kena tempias disebabkan aku. I am the real troublemaker here. I'm freaking messed everything up!" luah Absyar dan diiringi dengan keluhan yang sangat berat.
Dulu dia selalu marah Mustaqim kerana lelaki itu sering mengeluh. Namun dalam keadaan sekarang, dia sendiri tidak dapat berhenti mengeluh disebabkan kekecewaan yang menggunung terhadap diri sendiri. Nasihat yang dia berikan mula memakan dirinya sendiri.
Mustaqim diam dan hanya menunduk melihat anak tangga di bawah. Dia membiarkan Absyar meluahkan apa yang dia rasa supaya lelaki itu berasa lega kerana dia tahu, Absyar bukanlah seorang lelaki yang pandai meluahkan apa yang dia rasa. Dia hanya tahu memendam sehingga rasa itu memakan dari dalam.
"Aku dah susahkan semua orang. Aku rasa bersalah dengan patient tadi. Jujur aku takut dia meninggal, Mus..."
"People makes mistakes, Acad. And mistakes make us human."
"But this mistakes involve someone's life... someone's family, someone's mother and someone's wife..." Bergetar suara Absyar sampai di hujung telinga Mustaqim.
Mustaqim diam. Begitu juga Absyar.
Keadaan menjadi senyap sunyi tanpa bicara.
"It's okay Acad. Mistakes make people stronger, right? Kau jangan ambil hati sangat dengan apa yang Dr. Halimah katakan tu, dia tengah marah so semuanya dia hamburkan pada kau sebab kau surgeon assisstant harini. Ibu tu pun dah selamat, alhamdulillah dengan pertolongan Allah dan juga kau. You did help her in there. You're struggling yourself to keep her alive and you did! Dia dan anaknya selamat. But people only saw mistakes not what you have achieved, Acad," pujuk Mustaqim dengan kata-kata rasional yang sangat jarang terbit daripada bibirnya.
"Tak ada seorang doktor pun di dunia ini yang mahukan pesakitnya mati. Tak ada. Termasuklah aku dan kau," sambung Mustaqim lagi.
"Anggaplah ini satu sesi pengajaran buat kau untuk kau lebih beringat dan berhati-hati selepas ini. Absyar yang aku kenal, dia bukanlah seorang manusia yang mudah berputus asa. Betul kan, Cad?" Kali ini, dia terus menoleh memandang wajah Absyar dari tepi.
Absyar terus tertunduk dalam tiga saat sebelum tersenyum kecil. "Thank you, Mus."
"Consultation fee RM300. Dr. Mustaqim only accept payment in cash, online transfer and QR code," seloroh Mustaqim membuatkan Absyar tertawa kecil. Bahu lelaki itu ditolak sebelum menggelengkan kepalanya.
"Mahal nak mampos!" kata Absyar.
"Inflation rate sedang diawang-awangan bro," tambah Mustaqim lagi sambil mengekek ketawa.
"Kau sebenarnya ada masalah lain ke, Cad? Selain daripada masalah ini?" soal Mustaqim secara tiba-tiba. Absyar terus berdehem untuk menghilangkan rasa janggal yang tiba-tiba datang.
Kalau dia mengaku mindanya sebenarnya serabut akibat memikirkan Zinnirah yang hilang selama dua hari sehingga melakukan kesalahan dalam dewan bersalin tadi, apa reaksi Mustaqim?
"Tak ada apa-apa masalah pun. Aku just terlupa nak study sebelum masuk dewan bersalin. Just that..." bohong Absyar.
"Okeylah kalau macam tu, kalau ada masalah kalau bagitahu je aku. Kalau aku boleh tolong, aku akan tolong," kata Mustaqim penuh ikhlas.
"Consultation fee still RM300?" soal Absyar dengan senyum yang tertahan,
"Weekdays. Kalau weekend up RM100," ujar Mustaqim lalu tersengih lebar.
"Bukan main tinggi mark up harga!" Absyar membuat muka dan Mustaqim hanya tertawa besar.
"Kau nak tahu something tak, Acad?"
"Apa?"
"Ji dah reply chat aku. Dia tidur dua hari straight and it worries me..." luah Mustaqim.
"Dua hari? Langsung tak bangun? Sebab tu ke dia menghilang tanpa khabar macam tu?" Bertubi-tubi soalan terbit daripada bibir.
"Ya dan aku risau depression dia relapse balik."
"Insya-Allah, kita doakan yang baik-baik buat Zinnirah. Kau kena pantau dia lebih sikit and remind dia untuk keep makan ubat. Pasal budak yang kacau Zinnirah tu, aku harap dia tak akan berani ganggu Zinnirah lagi dah lepas kau warning dia kaw-kaw semalam," balas Absyar panjang.
Mustaqim hanya diam dan memandang Absyar dengan penuh tanda tanya.
"Kau suka adik aku ke?" soalan luar kotak Mustaqim itu menyebabkan Absyar tidak senang duduk.
"Kenapa kau tanya aku macam tu?" soal Absyar kembali dengan mata yang melingas ke serata tempat.
"Aku perasan kau concern lebih kalau berkaitan dengan Ji. Bukan kalini je tapi dah berkali-kali. Kau suka adik aku ke?" Sebelah alis dijungkitkan dengan senyuman senget yang mula tergaris di hujung bibir.
Absyar bingkas bangun apabila melihat senyuman Mustaqim itu. Dia dapat merasakan dirinya sudah tidak selamat. Lebih baik dia lari dari situ.
"Aku nak kena siapkan report ni, Mus. Nanti Dr. Halimah mengamuk lagi. Aku gerak dulu."
Terus dia berjalan turun dengan langkah yang pantas dan juga dada yang berdebar hebat.
Fuh, terasa seperti ditemu duga oleh abang ipar!
"Kalau suka mengaku, Acad. Karang melepas, meranalah kau!"
Suara Mustaqim dari tingkat atas itu menyebabkan Absyar memejamkan mata seketika.
Janganlah provoke aku, Mus! Belum masanya untuk aku mengaku!
Share this novel