Tengku Armila memandang Sofea Liyana dengan senyuman mesra. Dia melipatkan tangan di pangkuan, menunggu jawapan anak gadis itu. “Sofea sekarang kerja apa?” tanyanya, nada suaranya penuh minat ingin tahu.
Sofea Liyana, yang masih cuba menenangkan emosinya selepas berbalas kata dengan Tengku Ezra tadi, segera melembutkan nada suaranya. Tidak mahu bersikap kasar pada ibu kepada lelaki itu. “Tak kerja lagi, Aunty. Saya tengah cari, tapi belum dapat apa-apa yang sesuai,” jawabnya dengan sopan.
Tengku Armila mengangguk sambil memandang wajah Sofea. “Oh, begitu... Tapi kalau nak tahu, tempat kerja Ezra sekarang ada kekosongan. Assistant Ezra, ha. Awak nak cuba tak?” tanyanya dengan penuh harapan.
Sofea Liyana terdiam sejenak. Hatinya terus menjerit, “Assistant dia? Kalau kerja tu asyik nak hadap muka dia saja? Oh tidak!” Namun, dia menahan diri daripada memberi jawapan yang terlalu cepat. Dengan senyuman kecil, dia menjawab, “Mmm... tengoklah macam mana nanti, Aunty.”
Tengku Ezra yang sejak tadi memerhati perbualan itu, segera mencelah dengan nada mengusik. “Betul tu! Awak tak nak ke? Gaji assistant saya besar tau... kerja pun tak susah sangat. Saya pun bos yang baik,” katanya sambil tersenyum senget, jelas sekali dia cuba mengusik Sofea.
Sofea Liyana memutar tubuh sedikit, memandang Tengku Ezra dengan jelingan tajam. “Diamlah kau! Tak ada siapa tanya pendapat kau pun!” katanya, nada suaranya lebih tegas. Wajahnya jelas menunjukkan rasa meluat setiap kali lelaki itu bersuara.
Tengku Ezra tergelak kecil, malah lebih terhibur dengan reaksi Sofea. “Eh, saya cuma nak tolong je. Awak ni cepat sangat naik angin, nanti cepat tua tau,” balasnya sambil mengangkat kening, sengaja menambah lagi minyak ke dalam api.
“Aku marah ke tak, itu bukan urusan kau!” Sofea menutup kata-katanya dengan menyilang tangan di dada, cuba mengawal kemarahannya.
Tengku Armila yang mendengar perbalahan kecil itu hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala perlahan. “Ezra, janganlah usik Sofea macam tu. Nanti dia lagi tak nak kerja dengan kamu,” tegurnya lembut.
Tengku Ezra mengangkat bahu sambil ketawa kecil. “Alah, mummy. Ezra rasa dia mesti nak kerja dengan Ezra. Kalau tak, dia rugi.”
Sofea Liyana menjeling lagi. Kali ini dia mengambil keputusan untuk tidak membalas, bimbang dirinya akan hilang kawalan kalau terus melayan.
Hajah Rodziah, yang baru selesai menyusun dulang kuih di meja, tiba-tiba bersuara. “Ha, Fea. Kalau Aunty Armila dah offer tu, cuba je lah dulu. Nanti duduk rumah lama-lama pun bosan. Lagipun kerja assistant ni bukan susah mana,” katanya, cuba menyokong cadangan Tengku Armila.
Sofea Liyana hanya diam. Dia memandang ibunya dan kemudian Tengku Armila, sebelum matanya beralih sekejap ke arah Tengku Ezra yang sedang tersenyum penuh makna. Dalam hati, dia tahu jika dia menerima tawaran itu, hidupnya akan lebih mencabar. Tapi dia juga tahu, sukar untuk menolak permintaan ibunya. “Ya Allah... apa aku nak buat ni?” bisiknya dalam hati.
“Tak apalah, saya fikirkan dulu, Aunty,” akhirnya Sofea menjawab. Suaranya lembut, tetapi ada nada serba salah di situ.
Tengku Armila mengangguk. “Tak apa, Sofea. Fikirkan dulu. Tapi kalau nak, bagitahu je, ya? aunte boleh terus cakap dengan HR.”
“Baik, Aunty. Terima kasih,” kata Sofea sebelum bangun untuk kembali ke dapur, meninggalkan suasana di ruang tamu yang masih penuh dengan usikan Tengku Ezra yang jelas menikmati saat itu.
Share this novel