Chapter 57

Romance Completed 11698

MAMAK di kedai tu pandang saja pada Hazman dan Khalil. Dari yang mamak tu tengok, orang berdua ni tentu sedang cerita satu perkara serius dan menyedihkan. Berbeza dengan orang lain yang asyik menonton bola sepak di skrin besar tu. Khalil mendengar dengan baik satu persatu yang Hazman cerita. Khalil nampaknya tak banyak bercakap mungkin kerana masih mamai baru bangun tidur tadi. Lama juga mereka berbual.

“Ustaz... tolong, ustaz. Ustaz tolong bersetuju dengan keputusan saya ini.”

Khalil terdiam seketika, kemudian dia mengangguk tanpa berkata-kata. Padanya, Hazman sudah ada keputusan dan memintanya menerima keputusan itu. Kali ini bukan untuk meminta pandangan lagi. Maka Khalil harus akur dan tidak perlu ulas setuju atau tidak dengan keputusan Hazman itu.

“Harap-harap, ini keputusan terbaik Man. Semua ini menentukan hala tuju dan masa depan hidup Man. Tapi Man...,” kata-kata Khalil terhenti apabila disampuk Hazman.

“Apa, ustaz? Tapi apa?” nafas Hazman tersekat, kemudian suaranya jadi sebak, lantas mengeluarkan air mata dan tangannya mengesat air matanya.

“Tidak, Man… maafkan saya. Tahniah dengan keputusan ini. Harap-harap inilah keputusan terbaik Man,” pujuk Khalil seolah-olah menarik balik perkataan ‘tapi’ tadi.

“Saya tiada orang lain tempat mengadu. Pada ustaz, saya luahkan semua ini. Tapi kalau ustaz sendiri tak bersetuju dengan keputusan ni, saya tak tahu hendak mengadu dan minta tolong siapa lagi. Saya perlukan bantuan dan sokongan ustaz walaupun pada mulanya saya agak keberatan nak minta tolong lebih-lebih pada ustaz...!”

“Insya-Allah saya bantu demi untuk kebahagian hidup Man. Kalau inilah jalan yang Man pilih, Man harus tabah menghadapinya. Saya pasti Man dah bersedia menempuhnya,” kata Khalil.

“Insya-Allah, ustaz. Saya dah fikir semasaknya dan saya sanggup hadapi apa rintangannya!” tegas Hazman.

Mereka beredar dari kedai itu dalam jam 12.00 malam, lama juga mereka berbual, sejak satu setengah jam. Di rumah, Khalil rasa terkilan juga sebab Hazman desak dia bersetuju dengan keputusan lelaki itu. Sekali fikir, Khalil faham perasan Hazman ketika itu. Kalau dia tak menyokong atau kata keputusan itu tidak tepat, pasti Hazman kecewa. Dah tentu menambah kekusutan hidupnya lagi.

Bantuan yang Hazman mahukan itu ada yang payah juga tapi Khalil fikir dia harus bantu walaupun ini di luar tugasnya. Seperti kata Hazman tadi, tiada orang lagi tempat mengadu kecuali dirinya. Betul, keluarga Hazman nampaknya belum tentu boleh bantu Hazman dalam perkara ini. Khalil janji nak bantu sekadar yang dia mampu.

Esoknya Syira dan Nizar dihantar bapanya ke stesen bas seawal jam 7.00 pagi lagi. Hari itu Sabtu, bimbang kalau bas ke JB tak ada tiket. Mereka dapat tiket bas ekspres jam 8.00 pagi. Perjalanan ke JB lancar saja di lebuh raya. Sepanjang perjalanan, Syira cuba lelapkan mata tapi tak boleh. Syira tengok Nizar langsung tak tidur seolah-olah berangan.

“Nizar, tak tidur ke?” tanya Syira.

“Tak apa, tak mengantuk…,” jawab Nizar ringkas.

Syira kemudian telefon Hazman dan beritahu dia nak datang dan akan sampai tak berapa lama lagi. Hazman kata, dah sampai nanti terus saja ke rumahnya. Keluar dari lebuh raya, bas melalui simpang Skudai dan nampak penunjuk arah UTM Skudai.

“Kak, kalau boleh Nizar nak masuk UTM JB nanti!”

“UTM? Kenapa nak pilih UTM?”

“Nanti tak payah duduk asrama. Duduk dengan Abang Man saja. Boleh mintak abang belikan motosikal,” jawab Nizar.

“Jauhlah rumah Abang Man dengan UTM tu. Abah mesti tak kasi kau bawak moto kat JB. Ni bukan kampung, sini jalan sibuk, bahaya!” bantah Syira.

“Tak ada bahayanya, biasalah tu. Kalau duduk JB, malam-malam boleh kerja jual burger dengan Abang Man…,” jawab Nizar selamba.

Tidak lama kemudian mereka berhenti dan turun sebelum tiba Larkin, ada beberapa orang yang turun di situ. Dari situ, mereka berdua jalan kaki ke rumah Hazman dalam lingkungan setengah kilometer juga. Ada pemandu teksi yang tunggu orang turun dari bas, tapi mereka tak ambil teksi.

Sampai saja di rumah, pintu pagar terbuka dan di dalamnya ada Aboi. Rupanya Hazman tak ada di rumah, Aboi kata Hazman ada hal dan suruh Aboi bukakan pintu rumah menyambut adiknya datang. Syira dan Nizar masuk ke rumah manakala Aboi balik ke rumahnya.

Syira tengok rumah itu berselerak, begitulah rumah orang bujang. Sedang Syira basuh pinggan di dapur, Syira terdengar bunyi motosikal. Bila dijengah, rupanya Nizar yang dah siap nak keluar dengan topi keledarnya.

“Nizar, nak ke mana tu? Jangan mengada-ngada ye, kau tu tak ada lessen!”

“Pergi dekat-dekat sini je!”

Nizar terus keluar meninggalkan Syira keseorangan. Tak lama kemudian, Aboi datang semula dan bawa nasi ayam. Katanya Hazman telefon suruh hantar makanan tu.

“Terima kasih. Abang Man pergi mana ye? Tak balik lagi?” tanya Syira.

“Tak tahulah, mungkin sekejap lagi balik kot,” jawab Aboi.

“Syira risaulah. Nizar keluar dari tadi, dah dekat satu jam tak balik-balik. Ada jumpa dia ke?”

“Tak ada pulak, nanti saya tengok-tengokkan!” janji Aboi.

Syira dalam kerisauan hari itu. Nizar entah ke mana. Dia tu bukan ada lesen. Hazman pulak entah ke mana. Syira mengemas rumah termasuk di dalam bilik tidur Hazman yang macam tongkang pecah tu. Sedih juga hati Syira dibuatnya bila tengok bilik abangnya sebegitu. Kalau ada isteri, taklah teruk macam tu.

Sedang dia mengemas, di atas meja di bilik itu Syira jumpa satu album. Syira tertarik nak buka album itu kerana menyangka itu album Hazman. Bila Syira buka, album itu dipenuhi dengan gambar Haryanti. Gemuruh rasa jantung Syira dibuatnya. Syira terus keluar kerana bimbang kalau Hazman tiba-tiba balik, sudah tentu dia tak suka Syira masuk ke biliknya. Bila rasa selamat, Syira selak satu persatu album itu dalam 30 keping gambar. Kesemuanya gambar Haryanti bersama kawan-kawan perempuan. Dan ada juga dua keping gambar Haryanti bersama Hazman. Syira percaya, album ini diberikan sewaktu mereka sedang hangat bercinta dulu.

Syira percaya, Hazman masih mengingati Haryanti walaupun sudah terpisah dengan jurang yang amat jauh. Fikir Syira, kalau Hazman sudah mahu membuang Haryanti, sudah tentu gambar-gambar itu dibakar saja. Satu lagi, album itu berada di atas meja, di sebelah atas. Tentu Hazman selalu tengok gambar itu sebagai pengubat rindu.

Syira teringat Haryanti yang sedang kursus di hotel di JB itu dan telefon gadis itu.

“Kakak baru habis kursus, balik KL esok. Kalau nak jumpa kakak, malam ni boleh. Tapi apa-apa hal nanti kakak telefon semula. Takut kalau-kalau malam ni ada program pulak,” kata Haryanti dalam perbulan itu.

Persoalan yang belum terjawab, ke mana Hazman pergi hari Sabtu itu, apa yang dia sibukkan? Nizar pun satu masalah juga, tapi apa nak buat, tunggu sajalah Syira di rumah. Patutnya dah boleh keluar jalan-jalan, ini Nizar pulak buat hal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience