Chapter 56

Romance Completed 11698

HARYANTI nekad untuk terus keluar meninggalkan hotel itu dan bersiar-siar seorang diri. Dia melalui Jalan Susur Tun Abdul Razak dan memperlahankan keretanya melihat orang ramai di situ. Dia tahu apa yang menarik di situ iaitu lambakan pondan yang mencari pelanggan. Dulu, kalau keluar dengan Hazman atau kawan serumahnya Noor, Haryanti selalu juga lalu di situ juga. Terhibur juga hatinya malam itu melihat gelagat satu persatu pondan dengan aksi masing-masing.

Kemudian Haryanti lalu di pusat beli belah Angsana dan kereta penuh sesak di situ. Ramai orang rupanya ke Angsana dan menghairankan Haryanti juga. Rupanya ada jualan mega dan selama lima hari dan malam itu Angsana dibuka sehingga jam 12.00 malam. Haryanti kemudian menuju ke tempat Hazman berniaga. Jam pukul 10.00 lebih itu ramai orang di situ terutama yang pergi makan. Haryanti memberhentikan keretanya supaya tidak lalu di depan gerai Hazman. Dia bimbang kalau-kalau Hazman perasan kehadirannya.

Dari jauh, Haryanti memerhatikan gerai burger Hazman. Ada empat, lima orang pelanggan sedang menempah burger sehingga menghalang pandangan Haryanti ke arah orang yang menjual itu. Pelanggan Hazman tak pernah berkurang. Dia kemudian menghampiri dengan lebih dekat sehingga dapat melihat dua lelaki sedang asyik memasak burger. Haryanti kenal sangat, lelaki itu adalah Aboi tapi dia tak kenal siapa lelaki yang seorang lagi. Mungkin itu pekerja baru. Haryanti memerhatikan di sekeliling, kalau-kalau Hazman ada di sekitar kawasan itu, tapi tiada nampaknya.

Terfikir juga Haryanti, kalau-kalau Hazman ada di Restoran Osman, kedai mamak yang Hazman selalu duduk di situ. Mulanya Haryanti nak pergi ke restoran itu tapi dia tak jadi pergi memikirkan tempat itu terang. Dia tak mahu terserempak dengan Hazman.

Malam itu, Haryanti terasa suasana hampir setahun lalu kembali semula. Dulu hampir setiap malam, Haryanti melepaskan kerinduan di gerai burger Hazman. Kalau satu hari tak tengok, Haryanti seakan tak dapat tidur. Dulu kalau tak jumpa Hazman satu hari pun tak apa, sekurang-kurang dengan jenguk gerai saja, sudah terubat kerinduan. Hari itu, terbalaslah sudah kerinduannya selama ini.

Jam dah menunjukkan 10.45 malam. Haryanti masuk ke kereta dan hendak pulang semula ke hotel. Dalam perjalanan, dia terasa hendak sangat untuk lalu di depan rumah Hazman. Dia percaya, kehadirannya sukar disedari Hazman kerana sekitar rumah lelaki itu agak gelap sedikit. Rumah itu juga dulu sebagai ubat kerinduan bagi Haryanti kalau tak jumpa Hazman. Dia lalu di depan rumah Hazman dan mendapati kereta Hazman tiada. Lampu di hadapan terang dan Haryanti yakin, Hazman ada di kawasan itu juga. Suasana di rumah itu tidak banyak berubah dan dia melihat baju-baju Hazman bersidai di luar. Dia kenal, itu semua adalah baju yang dia selalu lihat dulu waktu keluar dengan lelaki itu.

Bila lalu di Angsana, Haryanti rasa teringin nak singgah di situ. Dapat juga nak beli-beli di situ. Dulu, di Angsanalah pusat beli belah yang paling disukainya kerana hampir semua benda ada di situ seperti pakaian dan makanan. Tambah lagi, hari itu ada jualan Mega yang pasti hebat dan membakar nafsu Haryanti. Terasa pulak lapar dan teringin nak makan mi rebus Johor yang terkenal itu. Haryanti tercari-cari tempat letak kereta, tapi tidak berjaya kerana orang semakin ramai yang datang sehingga pengawal keselamatan bertungkus lumus mengawal lalu lintas. Banyak kereta termasuk kereta dari Singapura datang ke situ malam itu. Terpaksa Haryanti batalkan hasrat nak singgah Angsana malam itu. Tapi tak apa, malam esok masih ada peluang. Haryanti balik ke hotel.

Dari tadi, Badrul dah beberapa kali telefon dan SMS Haryanti tapi satu pun tak berbalas. Tak boleh tidur dibuatnya Badrul malam itu dan dia fikir yang bukan-bukan pada Haryanti. Terseksa Badrul malam itu dihimpit ketakutan akan kehilangan gadis itu selepas ini. Ditambah pula dengan kata-kata Azizah yang kata Haryanti sudah ada buah hati semasa di JB dulu. Badrul bimbang kalau cinta itu berputik kembali. Badrul sudah pendamkan lama untuk jadikan Haryanti sebagai isteri yang sah.

Badrul yakin dia dapat membahagiakan hidup gadis dan dapat diterima oleh keluarga Haryanti. Ditambah pula dengan sokongan Azizah. Masalahnya sekarang adalah Haryanti sendiri. Sudah banyak kali gadis itu mengecewakan Badrul yang sentiasa impikan ungkapan cinta daripada mulut Haryanti tetapi hambar belaka. Segala umpan-umpan yang dipasang Badrul, dimakan. Tapi tak pernah pun Haryanti tersangkut di mata kail pancingnya. Pernah beberapa kali Badrul kecewa. Namun Badrul tetap masuk ke gelanggang. Badrul tak pernah mengenal putus asa, dia tetap berusaha menambat hati dan jiwa Haryanti.

Mak Munah dah izinkan Syira dan Nizar ke JB esok. Paling gembira malam itu adalah Nizar yang melonjak kegembiraan dan mengemas baju. Syira tegur Nizar kenapa bawa banyak baju dan beg besar walaupun bukan lama nak ke JB tu. Nizar nampaknya tak hiraukan semua itu. Nizar merancang nak duduk lama di JB yang lebih menyeronokkan baginya. Terfikir juga Syira, dia nak ke JB tetapi tak beritahu pun pada Hazman. Syira fikir, esok saja telefon bila dah dekat-dekat sampai ke JB.

Lagi satu, dia perlu juga telefon Haryanti sebab itu tujuan asalnya. Terfikir juga Syira, bimbang kalau-kalau perancangannya nak pertemukan Hazman dan Haryanti tak menjadi. Nak dipertemukan di mana? Takkanlah di hotel, itu tempat Haryanti kursus. Di gerai burger Hazman? Situ sedang sibuk dengan pelanggan. Perkara itu mengusutkan fikiran Syira dan menyukarkannya untuk tidur malam itu.

Satu lagi, bagaimana kalau dia tidak berjaya hari esok? Mungkin juga tidak berjaya. Semua itu bukan senang. Nak harapkan Nizar, Syira percaya Nizar tak boleh diharapkan dalam hal ini.

Khalil baru pulang dari Gunung Ledang dan agak keletihan. Lepas solat maghrib, dia tertidur dengan nyenyaknya dan terjaga dalam jam 10.30 malam. Dalam keadaan mamai itu, Khalil fikir, elok sangat kalau pekena teh tarik untuk menghilangkan rasa mamainya itu. Oleh kerana dia seorang, elok juga dia minum bersama Hazman. Lagipun, lelaki itu memang nak jumpa dia sangat.

“Man... ada di mana?” telefon Khalil.

“Ada dekat-dekat sini saja, ustaz. Ustaz di mana?”

“Saya kat rumah JB ni. Jom keluar minum sekarang. Tunggu saya kat Restoran Akif, sekejap lagi saya keluar.”

Mereka bertemu di Restoran Akif, tak jauh dengan rumah Khalil. Khalil suka sangat teh tarik kedai tu. Malah, Khalil kata itulah teh tarik paling sedap di JB. Sampai saja Hazman di situ, Khalil hairan dengan Hazman yang berpakaian baju kemeja lengan pendek dan ada bau minyak wangi.

“Pergi mana tadi, Man? Pakai lawa malam-malam ni?” tanya Khalil.

“Biasalah ustaz, jumpa kawan tadi!”

“Pakai lawa, wangi macam ni… mesti jumpa buah hati ni!”

Hazman hanya ketawa apabila mendengar usikan Khalil itu. Khalil minum teh tarik dan roti telur. Hazman pula cuma minum teh tapi tak makan. Anggapan Khalil, mungkin Hazman baru makan. Jumpa kawan, tentu dah makan sama.

“Dah selesai ke tugas ustaz di luar daerah tu?” tanya Hazman.

“Selesailah untuk hari ni, Man. Lepas ni ada kena pergi sana lagi. Gunung Ledang, kes ajaran sesat. Tangkapan dah dibuat semalam,” jawab Khalil.

“Menarik tu, ustaz! Seronoklah kerja macam ustaz ni, banyak benda boleh jumpa,” kata Hazman teruja.

“Dah kerja saya, saya buat-buat seronok kerja ni dan tak nak fikir susah. Kalau nak fikir susah, memang susah, kena tinggal keluarga beberapa hari dan tidur dalam khemah kat sana.”

“Sampai kena tidur sana? Tak takut ke ustaz?”

“Dah kerja macam saya ni, dah tak ada rasa takut dah. Alhamdulillah, dulu masa kat universiti dulu masuk tentera, dah biasa dengan keadaan macam tu. Kira tidur dalam hutan tu dah jadi lumrah…!”

Begitulah perbualan mereka sambil makan. Belum pun keluar kata-kata yang dinanti-nantikan iaitu apakah perkara yang penting nak diberitahu Hazman. Tak lama kemudian, Hazman nampaknya ingin memulakan bicara pentingnya itu.

Berat hati Hazman untuk melafazkan kata-kata itu lagi. Dia tertunduk dan menggenggam tangannya. Khalil tahu, Hazman perlukan semangat untuk meneruskan kata-kata itu. Khalil terdiam menantikan kata-kata lanjut Hazman.

“Ustaz, saya ni insan yang kerdil. Saya...,” kata-kata Hazman terputus lagi.

Khalil nampak beban yang berat sehingga Hazman jadi sebegitu. Bila direnung ke mata Hazman, lelaki itu mengalirkan air mata dan mengesat-ngesat dengan jarinya. Khalil tak berkata apa-apa, sambil tangannya mengangkat gelas menghirup air teh tarik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience