Chapter 72

Romance Completed 11698


KHALIL menurunkan Zakri dan Razali di Balai Polis Skudai kerana tadi Zakri dan Razali letak kereta di situ. Khalil terus bertemu Hazman di Restoran Osman.

“Maafkan saya, ustaz. Ini ujian paling berat pada saya,” kata Hazman sebaik sahaja memulakan bicara.

Khalil tidak mahu bercakap banyak, hatinya terasa kecewa.

“Hubungan saya dengan Syikin nampaknya sudah retak dan berkecai. Syikin mahu peminangan itu dibatalkan. Ini semua kerana peristiwa di Angsana semalam. Saya malu, ustaz!”

“Tapi semua persiapan sudah dirancang, Man. Kenapa buat keputusan batal itu secara mengejut? Kenapa tak teruskan saja? Bergaduh itu perkara biasa dan boleh reda,” kata Khalil.

“Saya memang nak teruskan. Tapi, Syikin benar-benar mahu putuskan hubungan dengan saya...,” kata-katanya terputus dan tak berjaya meneruskan lagi.

Setelah bertenang seketika, Hazman kemudian menceritakan peristiwa yang berlaku dan termasuk kursus kahwin di Hotel Seri Malaysia serta pertemuan dengan Syikin dan Syira di Terminal Larkin.

“Saya faham perasaan Man. Cuma saya sedikit terkilan dan rasa malu pada orang yang menunggu saya termasuk imam dan ketua kampung di sana. Mereka sepatutnya sama-sama rombongan meminang ke rumah Syikin. Itu yang saya malu sikit, yang lain saya tak kisah,” keluh Khalil.

“Tapi tak apalah, saya lupakan saja. Saya di JB dan mereka di kampung. Cuma lepas ni kalau pak imam dan ketua kampung tu telefon dan tanya saya lagi, saya tak nak jawablah,” kata Khalil lagi.

“Maafkan saya, saya sanggup jumpa mereka semua termasuk pak imam dan ketua kampung tu. Saya nak minta maaf pada mereka semua. Rasanya macam petang ni juga saya nak ke sana,” kata Hazman dengan bersungguh-sungguh.

Khalil nampaknya sudah reda terutama selepas makan nasi kandar lauk ayam goreng masala dan air teh o panas.

“Man, saya nampak muka kau pucat, macam tak sihat saja?” soal Khalil.

“Kurang tidur sikit ustaz malam tadi, banyak benda nak fikir….”

“Jaga kesihatan kau, Man. Kalau tak sihat, rehatkan diri, jangan buat kerja berat dan jangan fikir masalah yang berat-berat,” nasihat Khalil.

“Itulah, ustaz. Saya ingin nak balik kampung petang ni. Nak jenguk mak abah saya dan nak tenangkan diri di sana dalam dua, tiga hari.”

“Baguslah tu, Man. Lagi satu, dalam hal meminang dan cari jodoh ni, sebaiknya jangan belakangkan keluarga. Elok Man berterus terang lepas ni, tak kiralah jodoh Man dengan sesiapa. Perancangan kita hari ni gagal, ada hikmah dan pengajaran sebenarnya. Mungkin sebab kita belakangkan keluarga kita, agaknya itulah pengajaran yang Allah nak tunjukkan pada kita,” nasihat Khalil dengan lembut.

Rancangan nak meminang Cikgu Syikin secara rahsia adalah hasil perbincangan Hazman dan Khalil. Khalil bersetuju membantunya. Bukan niat Hazman untuk membelakangkan keluarga, tapi adalah kerana sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Hasil perbincangan itu, Khalil bersetuju, Syikin pun bersetuju. Mulanya memang Khalil tak setuju Hazman belakangkan mak dan abahnya, tapi akhirnya dia setuju setelah dapat penjelasan daripada Hazman. Hazman rancang, nak meminang dulu, lepas itu barulah nak beritahu mak abahnya.

Khalil menyiapkan beberapa ahli rombongan meminang yang terdiri daripada orang kuat-kuat juga termasuk pak imam dan ketua kampung Syikin. Menurut Syikin, ayahnya tiada halangan untuk menerima kunjungan rombongan ini. Diceritakan oleh Syikin, yang bapanya seorang pesara guru dan orang yang dihormati di kampungnya. Bapanya sedia menerima Hazman sebagai menantu walaupun mengetahui lelaki itu tidak ada kelulusan seperti Syikin, seorang guru yang ada ijazah dan bakal ada master itu.

Kerungsingan Khalil apabila peminangan itu terpaksa dibatalkan adalah kerana memikirkan, bagaimana perasaan ayah Syikin serta ketua kampung dan pak imam itu? Bila Hazman sendiri menawarkan untuk menyelesaikan isu ini, Khalil nampaknya berpuas hati.

Haryanti memandu kereta seorang diri meninggalkan JB untuk pulang ke KL selepas solat zuhur. Kawan sebilik Haryanti menemaninya hingga ke kereta. Banyak nasihat dan kata-kata perangsang diberikan kawannya itu. Haryanti cukup bertuah dan bersyukur dapat bersama sebilik selama tiga hari di hotel itu.

Masuk saja ke lebuh raya, kereta Haryanti tidak laju seperti biasa, gayanya pecutannya tidak seperti dia hendak berjalan jauh ke KL. Haryanti yang tidak makan tengah hari tetapi tidak terasa lapar dari tadi, sekarang mula terasa lapar pula. Lagi satu, ingatan Haryanti tetap kepada Hazman dan Syira. Dari semalam, Haryanti sudah tanamkan azam, dia tak akan jejakkan kaki ke Johor lagi selepas ini dan dia akan anggap, keluarnya dia dari negeri Johor kali ini adalah kali terakhir dalam hidupnya. Tapi tak tahulah, sejauh mana kuatnya azamnya itu, entahlah.

Haryanti menangis sendirian sambil memandu bila mengenangkan Syira yang sedaya upaya mahukan Haryanti sehidup semati bersama Hazman. Ini membuatkan kasih Haryanti kepada Syira lebih daripada adik beradik walaupun mereka tiada apa-apa kaitan keluarga. Fikir Haryanti, sedangkan mak, abah, abang dan kakak Haryanti sendiri tak sebegitu besar pengorbanannya untuk menyelami perasaan cintanya pada seorang lelaki idamannya. Haryanti rasa, Haryanti hendak bertemu Syira sebelum dia meninggalkan Johor buat selama-lamanya ini. Haryanti tahu, berdasarkan SMS yang dikirimkan Syira semalam, Syira sudah berada di kampung waktu itu.

Hazman adalah insan yang teristimewa dalam hidup Haryanti. Lelaki itu berjaya mencuri hati Haryanti. Tiada bandingannya Hazman dengan lelaki lain dalam hidup Haryanti. Walaupun perasaannya marah, geram, terbakar dan menyampah pada lelaki itu apabila menayangkan aksi intim dengan Syikin, tapi sebenarnya, Hazman masih tetap di hati.

“Man... semoga Man bahagia dengan gadis pilihan Man. Yanti tumpang gembira,” bisik Haryanti sendirian.

Esok Haryanti rasa nak cuti dan dia tiada masalah kerana dia memang banyak cuti lagi. Bila papan tanda menunjukkan dua kilometer lagi persimpangan keluar Air Hitam, Haryanti mula terfikir untuk tidur di hotel berhampiran rumah Hazman. Bukan apa, cuma hati Haryanti terlalu rindukan suasana di sekitar kampung dan bandar itu. Mungkin Haryanti nak tidur di hotel yang sama masa Hazman menjalani pembedahan kepala di hospital pakar dulu. Kalau boleh juga, Haryanti hendakkan bilik yang sama, itu pun kalau ada kosong. Sukar diungkapkan, kenapakah Haryanti terlalu rindukan suasana dalam bilik itu, tapi itulah yang Haryanti mahukan bila dia melayan perasaannya ketika memandu sendirian.

Syira dan Nizar naik teksi dari bandar ke kampungnya kerana tidak mahu mengganggu bapanya yang sibuk ke kebun. Sampai saja di rumah, Mak Munah yang dari tadi sibuk memasak, menyambutnya dengan membuka pintu. Syira terus memeluk ibunya sambil menangis teresak-esak, manakala Nizar hanya memerhatikan saja.

“Kenapa ni, Syira? Kenapa kau, kenapa dengan Abang Man?” tanya Mak Munah yang cepat panik itu dengan penuh debaran.

“Cakap Syira, cakap… apa yang dah berlaku ni?” desak Mak Munah lagi.

Syira terus menangis semahunya sehingga membasahi baju emaknya. Nizar juga terus berdiam diri tanpa sepatah pun keluar dari mulutnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience