Chapter 18

Romance Completed 11698

HARYANTI tiba di hospital dan terus ke bilik tempat Hazman dimasukkan. Sebaik dapat berita tadi, Haryanti bergegas menaiki kereta seorang diri dari JB. Dia tinggalkan pejabat begitu saja, tanpa beritahu bos atau ketua keraninya. Sampai di bilik Hazman, dengan ditemani seorang jururawat, Haryanti lihat kekasihnya itu sedang tidur dan tidak sedarkan diri. Mak Munah pula sedang memicit-micit tangan Hazman daripada tadi.

Mulanya Mak Munah tak perasan Haryanti yang datang. Disangkanya seorang doktor muda masuk bersama jururawat. Gadis itu berdiri depan pintu, merenung sayu ke arah Hazman dari jauh. Perasaannya amat sedih melihat keadaan Hazman sebegitu. Berapa banyak tiub dan wayar dilekatkan di tangan, hidung, telinga dan lain-lain. Dia juga perhatikan pergerakan aliran komputer pada alat yang dipasang pada Hazman. Bunyi alat itu sangat mencemaskan. Hati Haryanti cukup tersentak.

“Kejam sungguh Abang Fuad... ini sudah boleh sampai ke tahap membunuh...,” bisik Haryanti perlahan. Dia menangis sepuasnya di hadapan pintu tapi tidak mengeluarkan suara.

Mak Munah masih kehairanan, memikirkan kenapa seorang doktor wanita boleh menangis melihat keadaan Hazman. Menyedari dirinya yang tidak dikenali, Haryanti menuju ke arah Mak Munah dan bersalaman.

“Mak cik, kenal Yanti tak? Maafkan Yanti, mak cik...,” rayu Haryanti.

Barulah Mak Munah perasan yang itu adalah Haryanti yang pernah datang ke rumahnya dulu. Mereka bersalaman dan berpelukan. Kedua-duanya menangis kesedihan.

“Maafkan Yanti, mak cik... maafkan keluarga Yanti...,” ulang Haryanti sekali lagi.

Mak Munah kehairanan, kenapa Haryanti memohon maaf sehingga begitu sekali. Haryanti sedar yang dia telah tersilap cakap.

Bila Haryanti tanya keadaan Hazman, tahulah dia yang Hazman tak beritahu tentang siapa yang pukul dirinya. Haryanti diberitahu yang pembedahan akan dilakukan ke atas Hazman malam itu. Sekarang ini, Hazman sedang tidur kerana dimasukkan ubat sebelum pembedahan dilakukan.

Sekitar waktu maghrib, Pak Din dan semua adik beradik Hazman datang. Haryanti kelihatan ramah dengan adik-adik Hazman. Dia dapat menyesuaikan diri dengan cepat dalam kalangan keluarga kekasihnya itu.

“Syira, sabarlah. Kita semua doakan Abang Man selamat. Allah akan bersama kita,” kata Haryanti kepada Syira. Kata-kata itu membuatkan Syira dan adik-adiknya jadi tabah dalam menghadapi ujian ini.

Kemudian, mereka sekeluarga termasuk Haryanti duduk bersila di atas karpet dalam bilik itu. Mereka sama-sama membacakan surah Yasin yang dipimpin oleh Nizar. Suasana di dalam bilik itu sungguh memilukan. Haryanti adalah orang yang paling rasa bersalah. Adakah kerana berkasih dengannya, Hazman jadi begini...? Soalan ini tiap detik bermain di kepala Haryanti. Perlukah Haryanti menyesal kerana menyintai Hazman?

Haryanti nampak adik-adik Hazman bersatu hati, sama-sama baca Yasin. Pada fikirannya, keluarga Hazman dididik dengan pendidikan agama dan akhlak yang cukup baik. Bila dibandingkan dengan keluarganya sendiri, jauh perbezaannya. Walaupun keluarga Hazman orang kampung, tak kaya, tapi mereka hidup bahagia. Keluarga Haryanti pula walaupun kaya dan berjawatan tinggi, sentiasa bertekak sesama sendiri dan jarang sependapat.

Haryanti sukar mempercayai yang abangnya sendiri telah menyebabkan kecederaan teruk yang dialami Hazman. Ikut hati, nak saja dia telefon abangnya itu dan memaki hamun lelaki baran itu. Tetapi Haryanti tahu itu tindakan yang sia-sia saja. Yang penting sekarang, bagaimana hendak menyelamatkan nyawa Hazman. Pada fikirannya, kalau lelaki itu tidak dapat diselamatkan, bukan saja dia yang merana, tetapi seluruh keluarga Hazman akan menderita. Baru Haryanti perasan, Hazman adalah seorang insan yang sangat bernilai. Bukan sedikit orang yang memerlukan dan ambil berat tentang dirinya. Kerana tingginya nilai yang ada pada lelaki itulah, Hazman jadi pilihan hati Haryanti.

Haryanti kurang yakin dengan penjelasan Mak Munah tadi. Mungkin wanita itu kurang jelas dengan bahasa yang digunakan oleh doktor. Haryanti ajak Mak Munah sekali lagi jumpa doktor untuk penjelasan lanjut. Soalnya, wajarkah pembedahan dilakukan? Bagaimana pula risiko daripada pembedahan ini? Bila berjumpa doktor, barulah Haryanti percaya, apa yang dijelaskan Mak Munah tadi adalah betul. Haryanti berbicara dengan doktor dalam bahasa Inggeris. Pembedahan akan dilakukan doktor pakar malam ini. Paling menyentak Haryanti, apabila doktor jelaskan risiko yang boleh berlaku kesan pembedahan ini. Antaranya, Hazman boleh jadi sakit jiwa. Tetapi kebarangkalian itu sangat kecil.

Haryanti lihat adik-adik Hazman sudah selesai membaca Yasin dan sekarang memegang tangan dan kaki abang sulung mereka yang masih terlena. Tak lama kemudian doktor memberitahu yang ibu bapa perlu menandatangani satu surat sebelum pembedahan dilakukan. Bayaran RM 10, 000 juga perlu dijelaskan dahulu. Ibu bapa Man tiada masalah untuk menandatangani borang itu, tapi wang? Pak Din dan Mak Munah termenung memikirkan, sedangkan pada awalnya mereka menyangkakan boleh bayar kemudian menggunakan kad bank Hazman, bila keluar wad nanti.

Melihat keadaan itu, Haryanti menawarkan diri untuk membantu. Dia berkata, “Mak cik, jangan susah hati. Yanti boleh bantu bayarkan dulu. Gunakan kad kredit Yanti.”

Haryanti menyeluk ke dalam beg tangan mengeluarkan kad kreditnya. Ayah dan ibu Hazman jadi serba salah. Kenapa gadis yang tidak ada hubungan keluarga dengan mereka boleh semurah itu untuk membantu? Kesemuanya terdiam tak berkata apa-apa.

“Pak cik, mak cik, ini pertolongan ikhlas dari Yanti, Yanti tak minta balas apa-apa. Percayalah mak cik...,” kata Haryanti lagi. Ibu dan ayah Hazman berpandangan antara satu sama lain tapi tak berkata apa-apa.

“Mak cik, pak cik dan adik-adik... kalau kita semua sayangkan Man, terimalah permintaan Yanti ini. Kita semua mahukan Man selamat, kita tak mahu kehilangan Man. Kalau kita lengahkan, nyawa Man dalam bahaya, kita semua mahu Man selamat...,” pujuk Haryanti lagi.

Keadaan senyap seketika, kemudian Pak Din bersuara dalam suara yang sedih. Semua yang hadir mendengar dengan teliti, apa yang dia nak cakapkan.

“Baiklah. Terima kasih Yanti kerana susah payah membantu kami.”

Adik-adik Hazman gembira kerana Pak Din menerima tawaran itu. Apa yang penting kepada adik-adik adalah keselamatan abangnya terjamin. Si ayah dan ibu Hazman pula bukan tak nak terus terima, tetapi terfikir pula, kenapa Haryanti yang bukan keluarganya begitu mudah membantu mengeluarkan sejumlah wang yang besar? Kalau nak harapkan Tabung Haji Mak Munah, dah nak malam mana boleh keluar duit. Haryanti, Pak Din dan Mak Munah ke tingkat bawah untuk membuat pembayaran melalui kad kredit, manakala Pak Din menandatangani dokumen sebelum pembedahan dilakukan.

Bila masuk ke bilik semula, kelihatan Aboi bersama mak Aboi baru saja sampai. Aboi perkenalkan maknya kepada Mak Munah dan orang-orang lain. Mak Aboi menceritakan kepada Mak Munah yang Hazman seorang pemuda yang baik dan banyak membantu keluarganya di JB. Pujian demi pujian kepada Hazman diluahkan oleh setiap pengunjung. Syira tersenyum dan bangga kerana abangnya sebenarnya seorang yang disayangi, tidak seperti kata abangnya malam tadi yang merendah diri sebagai orang terbuang dan penjual burger.

Suasana sedih apabila beberapa jururawat masuk ke bilik untuk membawa Hazman ke bilik bedah. Mak Munah secara spontan memegang katil supaya jururawat tidak membawa anaknya keluar. Bagaimanapun, dia ditenangkan oleh Pak Din dan keluarga yang lain. Tangisan bertalu-talu mengiringi Hazman keluar dari bilik itu untuk masuk ke bilik bedah. Jururawat dan petugas tetap menjalankan tugas menolak katil, sehingga dibawa keluar menaiki lif.

Haryanti nampaknya tenang saja, mungkin dia sudah puas menangis sebelum ini. Satu perkara yang membuatkan dia tidak sedih, iaitu dia sudah membantu Hazman untuk pembedahan ini. Dia terasa sebagai penebus dosa Haryanti pada Hazman, juga dosa keluarga dan abangnya yang menghina Hazman. Juga dosa Fuad yang telah membelasah Hazman sehingga lelaki itu jadi begini.

“Insya-Allah, Abang Man akan selamat. Allah akan menolong kita semua... sama-samalah kita doakan keselamatan Abang Man,” pesan Haryanti pada adik-adik Hazman.

Malam itu Haryanti tidur di hotel, dia tak balik JB. Dia SMS kawan serumahnya, Noor, yang juga kawan sepejabatnya yang dia tak balik malam ini. Tetapi Haryanti tak beritahu di mana dia berada. Malam itu, Hazman bertarung dengan nyawa, menjalani pembedahan yang bermula kira-kira jam lapan malam seperti dikatakan doktor tadi. Hazman juga sedang bertarung, adakah dia akan pulih seperti sediakala, atau hilang pendengaran telinga sebelah kanan. Apa yang paling menakutkan adalah pertarungan adakah dia akan kembali normal, atau akan menjadi penghuni Hospital Permai selepas ini?

Haryanti solat hajat di bilik hotel, doakan kesejahteraan dan dijauhkan daripada bala bencana. Haryanti berjanji, tidak akan balik ke JB selagi dia tak berpuashati dengan kesihatan Hazman.

Aboi pula pulang ke JB menaiki motosikal bersama ibunya, meredah lebuh raya dalam suasana hujan renyai-renyai itu. Ibu Aboi perlu bekerja pagi esok sebagai tukang cuci. Malam itu juga, di rumah Hazman diadakan bacaan Yasin dan solat hajat dipimpin oleh imam surau kampung itu. Ramai yang hadir termasuklah saudara-mara yang tinggal jauh. Semuanya menunjukkan simpati kepada keluarga Hazman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience