Chapter 37

Romance Completed 11698

“USTAZ, ada cerita terbaru ke?” Hazman bertanya sambil duduk di hadapan Khalil.

“Cerita terbaru apa, tak ada apa, saja jumpa ni,” kata Khalil seolah-olah nak menyembunyikan cerita nikah sendiket yang baru disiasatnya tadi.

“Ustaz, macam mana dengan broker nikah Siam tu, ada apa perkembangan ke?”

“Belum lagi, Man. Kalau ada apa-apa perkembangan, beritahu saya, kita nak kumpul maklumat dulu.”

Khalil cuba merahsiakan tugas penyamaran dan risikan terhadap lelaki broker nikah Siam itu. Pada Khalil, kerahsiaan sangat penting termasuk kepada pengadu sendiri. Biarlah penguat kuasa yang selesaikan itu semua tanpa dimaklumkan kepada pengadu supaya tidak mengganggu siasatan kes.

“Saya nak sambung cerita semalam. Seronok juga cerita hidup kamu ni, Man. Saya pun tak tahu selama ini penjual burger boleh berpendapatan tinggi macam kamu, kalah gaji saya!”

“Alhamdulillah, dah rezeki saya ustaz. Tapi kenapa orang hina saya, ustaz? Saya bukan pencuri, bukan perompak, bukan penagih dadah. Tapi kenapa jadi begini, orang anggap saya sampah masyarakat. Apa dosa dan kesalahan saya, ustaz?”

Khalil terdiam kerana perbualan itu sudah bertukar menjadi sedih pula.

“Ustaz, ujian ini cukup berat. Lepas seorang, seorang yang hina saya. Kalau ikutkan hati, saya hampir bunuh diri. Saya tak sanggup hidup begini!”

“Banyakkan mengucap. Setiap hamba pasti ada ujian daripada Allah. Mengucap, Man... setiap ujian yang diterima itu pasti ada hikmah di sebaliknya,” pujuk Khalil.

Air mata Hazman terus deras mengalir, dia tak pernah menangis seperti ini di depan seseorang. Malam itu dia luahkan kesedihannya di meja kedai mamak itu.

“Bermula dengan keluarga Yanti memusuhi saya, kemudian keluarga saya sendiri dan sekarang mungkin Yanti sendiri yang membenci saya pula. Lepas ni siapa lagi? Ustaz, kenapa Yanti benci saya? Dulu dia janji nak sehidup semati dengan saya, sanggup berkorban untuk kebahagian bersama. Sekarang, kenapa pula Yanti yang tewas dengan keadaan ini? Saya boleh hadapi orang lain termasuk keluarga Yanti dan keluarga saya. Tapi kalau Yanti sendiri yang membenci saya, saya rasa hidup ni sudah tidak bermakna lagi. Saya tak dapat meneruskan hidup ini lagi tanpa Yanti.”

“Yanti membenci Man? Betul ke anggapan kamu ni, Man? Kenapa pula dia benci? Man, ini mungkin anggapan kamu saja. Saya rasa, kalau kamu susah melupakan Yanti, Yanti juga bukan senang nak melupakan kamu,” pujuk Khalil.

“Yanti sudah dua bulan lebih tak hubungi saya. Saya pun sudah nekad tidak akan hubunginya kalau dia tidak hubungi saya. Saya cuba lupakan Yanti, tapi tak boleh. Dia masih di hati saya. Cuma saya rasa, keluarganya sudah berjaya mempengaruhi Yanti supaya melupakan saya. Keluarga dia tuduh macam-macam termasuk kata saya guna ilmu hitam nak tundukkan Yanti.”

“Kamu boleh buat andaian, Man. Tapi saya fikir Yanti tetap menyayangi kamu seperti dulu, malah cinta itu mungkin bertambah lagi. Agaknya dia berada di persimpangan yang sukar dibuat pilihan sama ada ke kiri atau ke kanan. Saya rasa, Yanti tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini.”

“Kadang-kadang saya fikir begitu juga. Tapi kenapa Yanti tak mahu hubungi saya lagi seperti dulu?”

“Man, situasi dah berubah. Dulu lain, kamu boleh berhubungan dengan bebas, tapi sekarang mungkin tidak. Mungkin Yanti rasa bersalah kerana keluarganya yang menyebabkan kamu kena pukul dan dia takut abangnya mengganggu kamu lagi. Sebab dia sayangkan kamulah, dia tak mahu hubungi Man lagi sekarang,” pujuk Khalil.

“Ustaz, hubungi melalui telefon tiada kaitan dengan saya dipukul lagi atau tidak. Kalau dia hubungi saya pun, abangnya tak akan tahu!”

“Wanita bukan sifatnya begitu, wanita sukar untuk berlakon seperti lelaki. Mungkin dia tak mahu rapat sekarang ini sebab abangnya masih memerhatikan gerak gerinya.” Hazman terdiam. Dia cuba menyelami apa yang dikatakan oleh Khalil. Dia kurang faham, apa yang dimaksudkan dengan lakonan antara lelaki dan wanita itu.

“Yanti mungkin sedang mencari ketenangan diri dan tidak mahu mengganggu kamu buat masa ini. Saya percaya, kalau Yanti hubungi Man, cinta itu akan berputik kembali dan sukar dipisahkan. Yanti mungkin berfikir, adakah wajar dia teruskan cinta dengan Man. Saya rasa, biar Yanti terus berdiam diri. Lambat laun, dia akan dapat kesimpulan terbaik untuk masa depannya.”

“Berdiam diri sampai bila, ustaz? Kenapa Yanti tak fikir, hidup saya tambah terseksa bila dia berdiam diri?”

“Kamu pula kenapa tak hubungi Yanti?” tanya Khalil.

Hazman terdiam mendengar soalan itu.

“Kamu ada sebab tersendiri, kan? Begitu juga dengan Yanti, dia ada alasan tersendiri kenapa dia tak mahu hubungi kamu!”

Itu soalan perangkap yang sukar dijawab. Terfikir juga Hazman, kalau dia berat untuk menghubungi Haryanti, pasti gadis itu juga berat untuk menghubunginya.

“Lupakan semua itu, Man jangan fikir yang bukan-bukan. Kita hidup ini jangan selalu rendah diri, kalau kita rendah diri, sampai bila pun kita tak ada keyakinan diri. Cuba katakan dalam diri kamu yang kamu ini seorang yang hebat, seorang yang berjaya, seorang yang cemerlang. Tiap hari lepas sembahyang dan sebelum tidur, ungkapkan perkataan itu dalam diri kamu. Kita yakin boleh, diri kita pasti akan boleh!” pesan Khalil.

“Terima kasih, ustaz. Insya-Allah, saya akan cuba,” janji Hazman. Apa yang diperkatakan itu menusuk kalbunya.

“Man, soal jodoh ini adalah ketentuan Allah, kita merancang tapi Allah yang menentukan. Kamu perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Kalau kamu ditentukan berjodoh dengan Yanti, itu adalah ketentuan Allah. Kalau kamu ditentukan jodoh dengan orang lain, itu juga ketentuan Allah. Man jangan kecewa, jangan rasa rendah diri. Tanamkan azam dalam diri... kamu seorang yang berjaya dalam hidup! Kamu seorang yang cemerlang! Kamu seorang yang hebat!”

“Saya akan cuba kuatkan semangat dan akan cari penyelesaian terbaik. Tapi ustaz, apa pandangan ustaz. Patutkah saya telefon Yanti lepas ini?”

“Itu terpulanglah, Man. Kalau Man fikirkan itu yang terbaik, silakan. Tapi saya rasa, elok kamu menyendiri dulu macam sekarang. Bertenang dulu dan cari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ni,” kata Khalil mengakhiri perbualan mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience