Chapter 15

Romance Completed 11698

HAZMAN ditemani Aboi menghantar keretanya ke bengkel cat kereta. Hazman menghantar keretanya ke bengkel Ah Cai yang terletak dekat Taman Tasik Utara, berhampiran pejabat pendidikan. Dia dah kenal lama dengan Ah Cai. Oleh kerana warna keretanya dah agak lusuh, maka Hazman ambil keputusan untuk cat satu kereta. Dia tukar warna keretanya daripada kelabu kepada hitam. Pada anggapan Hazman, biar samseng tu tak cam keretanya lagi. Kos semua sekali dalam RM 1900 dan ambil masa empat hari untuk siap. Begitu kata Ah Cai, lelaki Cina dalam 40-an itu.

Hazman bersama Aboi naik teksi ke Larkin dan ambil bas untuk balik kampung. Dalam teksi, dia berpesan pada Aboi supaya tengok-tengok rumahnya selama dia di kampung. Kemudian, Hazman berikan gaji Aboi walaupun kedai tak buka. Hazman tetap jaga pekerjanya. Itulah yang membuatkan Aboi suka bekerja dengan Hazman yang sentiasa menjaga hati dan kebajikan anak buahnya.

“Aku mungkin dalam dua, tiga hari atau paling lewat pun seminggu di kampung.”

Aboi diam saja dan mengangguk. Pada Aboi, kalau cuti dapat gaji, kira baguslah. Hazman beli tiket pukul empat petang. Bukan susah nak beli tiket, bas banyak. Aboi tunggu sehingga bas jalan, sebab bimbangkan keselamatan Hazman. Apabila bas sampai, barulah Aboi balik ke rumahnya. Dalam bas, Hazman menerima SMS daripada Haryanti.

- Abang kat mana tu? Boleh kita jumpa? Yanti ada hal penting nak beritahu.

- Jumpa? Maaf, Yanti. Abang dalam bas, nak balik kampung.

- Balik kampung? Sampai hati abang balik kampung tak beritahu Yanti.

Pada anggapan Hazman, kenapa nak balik kampung pun kena beritahu Haryanti? Gadis itu bukannya dah jadi isterinya. Tapi Hazman faham, itulah perasaan orang bercinta, semuanya nak kena beritahu buah hatinya. Haryanti hantar satu lagi SMS.

- Abang, Yanti dah buat keputusan untuk kita nikah lari ke Thailand.

- Nikah Thailand? Biar betul Yanti.

- Yanti dah fikir semasaknya. Sebenarnya dah lama Yanti rancang. Kawan Yanti di JB ni pun ada yang nikah Siam senyap-senyap sebagai isteri kedua.

- Isteri kedua? Tapi kalau kita nikah, bukan Yanti isteri kedua, kan?

- Memanglah. Yanti cerita, kawan Yanti tu nikah Siam sebab nak rahsia daripada isteri pertama suaminya.Yanti dah jumpa pun orang yang boleh bawa kita ke Siam. Dia duduk tak jauh dari sini.

- Bila Yanti jumpa dia? Kat mana Yanti jumpa?

- Kat Restoran Osman, dalam sebulan lepas dengan kawan Yanti yang dah nikah Siam tu.

- Yang uruskan tu siapa?

- Dia kerja pemandu teksi. Dia ambil bayaran RM 5000 kesemuanya, siap hantar sampai sana naik teksi dia.

- RM 5000? Ini nikah betul ke tak betul?

- Betullah, bang. Kita masuk sampai sana, dia bawa jumpa imam sana. Tak pakai pasport pun tak apa.

- Ok. Tapi nikah sana sah ke tak?

- Balik tu kita daftar kat pejabat agama sini, dapat surat nikah sini. Tak perlu takut.

- Abang tak terfikir nak buat camni sebelum ni.

- Abang, Yanti dah fikir, inilah cara terbaik nak selesaikan masalah kita. Cara lain, Yanti nampak, tak ada jalan lagi.

Hazman tak jawab SMS tu kerana terlalu terkejut. Dia juga terasa tertekan kerana Haryanti seolah-olah mendesaknya.

- Yanti sanggup berkorban buat semua ni untuk kebahagian kita.

- Sesiapa pun tak boleh halang cinta kita, bang.

- Yanti akan buktikan kepada ibu bapa dan adik beradik Yanti, yang pilihan Yanti adalah tepat, bukan silap.

Hazman membaca setiap SMS itu tapi sudah berhenti membalas. Ada sesuatu yang membuatkan dia tidak bersetuju dengan Haryanti. Tetapi Hazman tahu, dia tak boleh kata tak setuju dengan kekasihnya itu. Dia sudah faham hati seorang perempuan. Lebih lagi perempuan itu adalah kekasihnya. Hati seorang kekasih mudah terguris. Kalau salah pertuturan, boleh jadi perang besar. Jadi lebih baik Hazman berdiam diri saja.

Bas yang dinaiki Hazman meluncur laju di lebuh raya. Hazman agak, kalau jalan lancar begitu, dalam sejam setengah sudah sampai ke bandar yang dituju. Kerusi sebelahnya kosong, maklumlah bukan hari cuti atau kelepasan am. Kalau hari cuti, pasti penuh bas. Hazman dah lama tak naik bas sejak ada kereta. Dia terus berfikir, wajarkah nikah di Siam?

Kenapa perlu bernikah di sana? Tak boleh bernikah di negara sendiri? Kalau bernikah di sana, sudah tentu nikah secara rahsia, tanpa pengetahuan sesiapa termasuk keluarga Hazman sendiri. Inilah yang dia tak sanggup. Hazman rasa, dalam nak buat sesuatu yang besar, dia perlu dapat restu ibu dan bapanya. Lebih lagi dalam perkahwinan ini, bukan perkara kecil. Hazman tak sanggup membelakangkan ibu bapanya. Dia anak sulung, Hazman tak mahu menjadi contoh yang tak baik kepada adik beradiknya yang semuanya masih belajar. Selama ini, dia yang banyak tanggung adik-adiknya belajar sehingga kesemuanya cemerlang dan ada harapan cerah untuk masuk universiti.

Hazman tanamkan azam, biarlah dia seorang abang sulung yang jadi Mat Burger, dicaci dan dihina macam yang dia alami sekarang. Dia mahu adik-adiknya masuk universiti macam Haryanti dan dapat pekerjaan yang baik. Hazman sudah berjanji kepada ibu bapanya untuk menanggung segala perbelanjaan pelajaran adik-adiknya. Tidak lain, adalah hasil keringat dia menjual burger di JB. Sebelum ini Hazman tak sambung belajar sebab keluarganya bukan orang senang, walaupun dia boleh terus melangkah sehingga ke univesiti kalau dia mahu.

Mak Munah, ibunya, mahu Hazman jadi anak sulung yang berjaya masuk universiti supaya menjadi contoh kepada adik-adiknya. Namun, Hazman tak sanggup melihat ibu dan bapanya berhempas pulas bekerja sedangkan gajinya tak seberapa, sekadar boleh menampung hidup dan makan mereka sekeluarga sahaja.

Hazman rasa, keputusannya menjadi peniaga burger adalah tepat dan berbaloi. Dia mampu belikan bapanya, Pak Din, sebuah kereta Toyota SE Limited secondhand secara tunai. Bolehlah Pak Din buat pergi ke kebun, ambil upah kutip buah koko atau kelapa, meracun dan mesin rumput di kebun orang. Sebelum ini Pak Din naik kapcai saja. Rumahnya pula, Hazman sudah keluarkan duit lebih RM 20,000, baiki bumbung bocor, buat bilik air dalam rumah dan pasang mozek serta pembaikan lain yang patut-patut.

Perabot dan barangan elektrik di dalam rumah juga dibelikan oleh Hazman. Mak Munah yang dulunya terpaksa bekerja menebas dan meracun di kebun orang ikut suaminya, sekarang hanya duduk di rumah. Hazman adalah tonggak utama dalam keluarga. Kalau begitu, takkanlah dia nak beri contoh yang tak baik dalam keluarga. Di kampung sekarang, namanya cukup harum. Ramai yang nak jadikan dia calon menantu. Hazman telah menjadi contoh di kampung sebagai lelaki yang berjaya dalam perniagaan di JB. Takkanlah dia sampai nak nikah lari! Tidak! Tidak!

Lama Hazman mengelamun, dia merasakan SMS daripada Haryanti itu sepatutnya dijawab. Kalau didiamkan nanti, lain pula jadinya.

- Yanti, abang kena bincang dan dapat restu dari ibu bapa abang dulu kalau nak buat semua ni.

- Lebih baik jangan beritahu ibu bapa abang, kita nikah saja dulu.

Jawapan Haryanti itu mengejutkan Hazman. Gadis itu seolah-olah mahu Hazman derhaka kepada ibu bapanya. Mereka berdua datang daripada keluarga yang berbeza. Kalau Haryanti sampai boleh membelakangkan keluarganya, Hazman rasa dia tak boleh. Hazman buat keputusan untuk mendiamkan diri. Ini membuatkan Haryanti terus bertalu-talu menghantar SMS kepada Hazman.

- Abang, Yanti faham perasaan abang, tapi sekarang tak boleh begitu.

- Abang, kalau boleh kita segerakan nikah kita, seberapa segera!

- Kalau boleh esok lusa, sebelum Yanti kena pindah KL.

- Lepas nikah, Yanti nak merayu dikekalkan di JB dan tak pindah ke KL.

- Abang, kenapa abang diam? Kenapa tak balas, bang?

- Abang, maafkan Yanti. Yanti sayangkan abang. Yanti tak nak kehilangan abang.

Kepala Hazman terasa pening dan berdesing. Bengkak di bawah matanya turut berdenyut. Baru dia sedar yang kesakitannya belum pulih sepenuhnya, malah hari ini semakin terasa sakitnya. Hazman menyedari telinga sebelah kanannya semakin kuat berdesing dan tidak dapat mendengar dengan jelas. Dia tahu, itu kesan hentakan dan pukulan kuat samseng yang beberapa kali terkena telinganya. Tetapi Hazman semacam ambil mudah, sikit pun dia tak pergi ke klinik. Bas akhirnya sampai ke kampungnya dan Hazman turun daripada bas untuk ambil teksi.

Hazman terasa hendak pengsan tapi dia kuatkan semangat sehinggalah dia dapat teksi untuk hantar dia ke rumahnya. Kepala Hazman semakin sakit dan dia menahan kesakitan itu, hanya semangat yang menyebelahinya. Dia baru sedar, kecederaan yang dialaminya serius dan bukan main-main. Hazman tetap tak beritahu pemandu teksi, hanya dia beritahu dia nak tidur sebab mengantuk dan beritahu pemandu supaya gerakkannya kalau dah masuk ke kampungnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience