Chapter 73

Romance Completed 11698

MAK MUNAH terus memeluk Syira yang menangis tak sudah-sudah dari tadi.

“Mak... sebenarnya kakak bertengkar dengan Abang Man kat JB,” kata Nizar selepas didesak dengan pelbagai soalan oleh maknya.

“Bertengkar? Kenapa ni, Syira? Dari semalam mak susah hati dengan anak-anak mak. Rupanya ada perkara tak baik berlaku. Kenapa jadi macam ni?” kata Mak Munah. Namun Syira tetap tak berkata apa-apa dan terus menangis teresak-esak.

“Sudahlah! Menangis macam ni apa gunanya? Mak dah pesan pada anak-anak mak, jangan bergaduh adik beradik. Nanti mak dan abah kau dah tak ada nanti, apalah akan jadi pada kamu semua ni? Mak tak suka anak-anak mak bergaduh,” tegas Mak Munah lagi.

Kemudian, semua sekali, Mak Munah, Syira, Nizar naik ke rumah disambut dua orang lagi adiknya yang masih sekolah rendah. Pak Din waktu itu baru keluar mengambil upah mesin rumput di rumah orang, biasanya akan balik sebelum maghrib.

Kesian Haryanti

Haryanti keluar tol Air Hitam dan memberhentikan keretanya di sebelah tandas selepas bayar tol. Haryanti tidak ada hajat pun nak ke tandas, tapi dia termenung memikirkan sesuatu. Dia mengeluarkan handphone lalu membuat panggilan untuk menempah bilik yang dimahukannya.

Malangnya, hotel yang dimahukannya itu sudah penuh. Haryanti terasa benar-benar hampa. Dia mula berfikir semula. Perlukan dia tidur di Batu Pahat malam ini? Atau dia harus meneruskan perjalanan ke KL. Hari pun masih siang. Haryanti mengambil keputusan untuk makan dulu di Air Hitam. Haryanti makan kuih pau, putu bambu dan cendol. Dia terus berfikir... hendak tidur di mana malam itu.

Haryanti teringatkan Nani, kawan baiknya sejak di universiti dulu. Dalam hatinya, kalaulah Nani balik ke kampungnya di Kluang, boleh juga kalau dia singgah ke rumah Nani. Haryanti tahu rumah Nani. Dulu masa bernikah, Haryanti pergi ke rumah Nani. Nani sudah bernikah dan sekarang sudah mengandung, tentu Nani gembira. Haryanti nampak, Nani bahagia dengan suami tercintanya.

Dulu masa belajar, Nani tak ada buah hati pun. Haryanti tahu, Nani bukan secantik Haryanti yang ramai peminat termasuk di universiti dan waktu kerja. Tapi Nani kenal suaminya tak sampai enam bulan terus kahwin dan hidup bahagia. Betul juga kata orang tua, yang bercinta lepas kahwin itu lagi elok. Entahlah!

Aboi yang Rajin

Aboi membawa kereta Hazman dan majikannya itu duduk di sebelah menuju ke kampung. Hazman bawa pakaian yang cukup dan dia pun pesan pada Aboi untuk bawa pakaian untuk tiga hari. Gerai burger ditutup untuk tiga hari. Dalam hatinya terfikir, berapalah duit yang tak masuk sepanjang gerainya ditutup? Tentu pelanggan tetapnya tertanya-tanya. Tetapi Hazman nak cari ketenangan. Pertama, dia masih ada ibu dan bapa. Dia nak minta maaf banyak-banyak pada ibu bapanya dan mohon restu. Apa yang berlaku pada dirinya ini adalah ketentuan Allah. Dia kena utamakan mak abah.

Hazman lahir dan dibesarkan di kampung, bukan di bandar. Jadi, untuk mencari ketenangan, dia terasa suasana kampung itu mampu memberi sesuatu kepadanya. Dalam perjalanan itu, Hazman cuba melelapkan matanya yang mengantuk itu. Dia teringatkan Syira dan Nizar. Adakah Syira mengadu cerita tragisnya di Angsana itu hari kepada maknya? Hazman rasa sakit kepala dibuatnya.

Hazman berhenti di surau tol keluar Air Hitam, sebelum meneruskan perjalanan. Kepalanya terasa sakit dan hendak pitam, tapi dia gagahi juga untuk ke surau. Aboi bertanya kepada Hazman, tapi Hazman kata dia tak apa-apa. Selesai solat dan berdoa, Hazman teringatkan Khalil. Dia terasa, dia melakukan kesalahan yang besar kepada lelaki itu. Hazman tak mahu tunggu lama untuk sekali lagi meminta maaf pada Khalil.

“Ustaz, saya nak minta maaf pada ustaz,” telefon Hazman.

“Tak mengapa, jangan susah hati Man. Saya tak terguris apa-apa.”

“Terima kasih, ustaz. Saya sekarang kat Air Hitam. Saya dah fikir, esok lusa saya nak berterus terang pada mak dan abah saya mengenai hubungan saya dengan Haryanti dan Syikin. Saya nak bawa mak abah saya jumpa ayah Cikgu Syikin untuk minta maaf banyak-banyak. Juga pada pak imam dan ketua kampung yang ustaz ceritakan itu. Selagi saya tak minta maaf, saya rasa berdosa...,” perkataannya terhenti. Khalil dengar sebak suara Hazman yang tak mampu menghabiskan percakapannya itu.

“Eloklah Man berterus terang pada keluarga. Bagus apa yang Man fikirkan tu. Ajaklah mak abah jumpa keluarga Syikin. Insya-Allah, semuanya akan selesai dengan baik. Saya doakan,” kata Khalil dengan lembut. Dia cukup tahu yang anak muda itu sedang dalam tekanan yang hebat.

“Terima kasih, ustaz. Insya-Allah nasihat ustaz, sentiasa saya pegang. Ustaz... doakan saya,” kata Hazman sebelum menamatkan perbualan.

Hazman meneruskan perjalannya. Kemudian di Pekan Parit Raja, mereka berhenti makan. Hazman rasa Aboi penat memandu, sebab tu dia suruh berhenti. Lagi satu, Hazman nak beli bungkus untuk mak abah dan adik-adiknya. Hazman cuma minum saja, Aboi minum dan makan mi soto dan Man bungkus mi bandung dan soto.

Sambil minum dan menanti Aboi makan, Hazman terfikir suatu yang sukar untuk dia selesaikan iaitu untuk mengadap Syikin dan keluarganya nanti. Dari tadi, panggilan dan SMS pada Syikin tak berjawab. Hazman tahu, sampai bila pun Syikin tak akan jawab lagi. Pada Hazman, mungkin Syikin dah balik ke kampungnya, esok kan sekolah. Takkanlah Syikin masih ada di JB.

Syiralah yang memperkenalkan Hazman dengan Syikin, gadis comel berkaca mata itu. Selama ini, Hazman rahsiakan daripada pengetahuan keluarganya terutama Syira yang mulut tak ada insuran itu. Pada Hazman, biarlah mereka rahsiakan dulu hubungan intim itu, kerana satu hari nanti, pasti Syira akan tahu juga. Tapi perancangan mereka tidak menepati sasaran. Terbongkar akhirnya di tengah perjalanan sebelum terlaksana apa yang dirancang. Syira dah mengamuk sekarang.

Kadang-kadang Hazman rasa pelik kenapa dia selalu beralah dengan Syira sedangkan gadis itu adiknya, dan bukan kakaknya. Ada kalanya, Hazman rasa nak tampar saja muka Syira, biar dia dengar cakap sikit dan jangan bersikap kurang ajar pada abang. Mungkin kerana Syira satu-satunya adik perempuan yang paling rapat dengannya dalam keluarga. Malah Syira selalu menjadi perantara antara Hazman dengan mak abahnya kalau ada sesuatu perkara yang Hazman sukar untuk diberitahu secara nyata.

Tak apa. Balik nanti, Hazman akan bersemuka dengan Syira. Hazman berserah saja pada Allah. Kalau Syira nak sembur Hazman depan orang ramai, dia terpaksa tadah saja. Itu pun kalau dia boleh sabar, tapi nampaknya Hazman macam tak boleh nak sabar dah ni. Tapi dia percaya, bergaduh-gaduh pun dengan Syira, mereka berdua tak akan putus hubungan. Dia juga gembira kerana selama ini Syira banyak menyokongnya dalam percintaan dengan Haryanti walaupun menentang cintanya dengan Syikin.

Azhar yang Mulut Celupar

“Azhar... tadi bos telefon,” kata Tasim dalam telefon kepada Azhar.

“Eh, kenapa bos telefon?” tanya Azhar terkejut.

“Esok pukul lapan, kau bersedia masuk bilik bos, bos nak jumpa,” kata Tasim lagi, menambah persoalan yang mengusutkan perasaan Azhar.

“Kenapa, Encik Tasim? Ada perkara nak disampaikan ke?” tanya Azhar yang sudah berdebar-debar ketakutan.

“Apa lagi... pasal kejadian di Hotel Grand itulah. Bos kata, dia malu dengan Dato’ atas apa yang berlaku. Bos tanya, betul ke kau bertengkar dengan Yanti sampai Yanti menangis.”

“Aduh! Habis bos macam mana? Apa reaksi dia?”

“Siap sedialah kau pagi esok kena jawab dengan bos. Kau tahu tak, peserta-peserta dari negeri lain pun tahu hal ni tau. Tu yang bos susah hati,” kata Tasim yang menambah debaran pada Azhar.

Pening kepala Azhar dibuatnya. Apakah yang nak dijawabnya esok? Dia harus menjadi peguam bela esok untuk membela dirinya sendiri depan bos. Tidak, tidak, tuduhan itu semua tidak betul. Dia tak mulakan bertengkar atau bergaduh, cuma.... cuma... apa ye?

Serabut kepala Azhar memikirkan. Tak disangka boleh jadi begini. Soalnya, kenapa Haryanti tiba-tiba berubah. Dia kenal Haryanti sejak mula kerja lagi, bahawa Haryanti seorang yang suka bergurau dan suka dilayan sebegitu. Tapi, kenapa pula Haryanti jadi begitu, mengamuk tak tentu pasal? Ingatkan main-main, rupanya tak main-main. Pening, pening...!

Rumah Hazman

Hazman sampai di rumahnya dalam lewat petang. Nampak Toyota SE Limited abahnya ada di depan rumah. Tidak ada orang dan di rumah hadapan nampaknya. Hazman biasa masuk rumah ikut pintu belakang, maklumlah rumah kampung. Kalau rumah bandar, masuk ikut pintu belakang itu namanya dah macam perompak pulak.

“Assalamualaikum...!” Hazman beri salam.

“Waalaikumsalam,” jawab Pak Din.

Rupanya ramai, malah semuanya ada di dapur di meja makan. Mak Munah, Pak Din, Syira, Nizar dan dua lagi adik Hazman. Mak Munah masak bubur kacang dan keledek goreng. Hazman dan Aboi masuk ke dalam bersalam dan memeluk ibunya, kemudian bapanya. Kemudian Nizar salam dan cium tangan abangnya. Tapi bila pergi kepada Syira, Syira tak mahu bersalam malah terus bingkas bangun dari kerusi dan naik ke rumah atas dalam keadaan marah. Di atas, Syira menghentak kakinya dengan kuat di lantai kayu. Kemudian, Syira menghempas pintu bilik dan menguncinya dari dalam.

Mak Munah terkejut dan menggeleng kepala tetapi tidak mampu berkata-kata. Hazman jadi marah dengan Syira. Dalam hatinya, sikap Syira itu amat mengecewakannya. Bayangkan, dari jauh dia balik, tapi adiknya layannya sebegini, adakah patut?

Kali ini, Hazman hilang sabar. Sikap kurang ajar Syira mesti diajar sekarang dan tak boleh dibiarkan.

“Syira... mari sini kau!” Teriak Hazman dan segera naik ke atas.

Mak dan abah terkejut dengan tindakan Hazman. Mana tidaknya, selama ini anak sulung mereka itu seorang yang penyabar terutama kepada adik-adik. Tapi kali ini, kenapa Hazman berubah perangainya sebegitu. Mak Munah takut tengok tangan Hazman yang mengeletar, nampak sangat tengah marah.

“Man... sudah!” Sahut Pak Din yang menjangka Hazman hendak bertindak sesuatu.

“Ya Allah... Man, sabar! Sabar! Tu adik kau, darah daging kau, jangan bergaduh macam nilah, nak…,” pujuk Mak Munah sambil menangis.

“Syira! Kau keluar sekarang! Keluar! Keluar kalau berani! Kenapa masuk bilik? Keluar sekarang! Perempuan kurang ajar! Sia-sia aku susah payah untuk sekolahkan kau selama ni. Bila dah besar, dah berjaya sikit, jadi kurang ajar macam ni...!” Jerit Hazman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience