Chapter 24

Romance Completed 11698

HARYANTI hanya mampu tergelak tanpa menjawab soalan Aboi, bukan sesuatu yang lucu tapi siapa yang tahu betapa sedihnya Haryanti akan meninggalkan JB esok.

Esoknya, sebelum turun ke rumah, Haryanti memberitahu Noor yang dia masih menyewa rumah itu seperti biasa walaupun tak duduk situ lagi. Banyak barang yang dia tinggalkan seperti mesin basuh, peti ais, tv, kerusi meja, almari dan katil. Dia hanya bawa pakaian dan barang penting saja. Haryanti bertolak sekitar pukul lapan pagi.

Haryanti sempat pusing dan lalu di depan rumah Hazman. Dilihatnya tiada kereta dan van burger di situ. Kereta di kedai cat, van mungkin Aboi yang guna, fikir Haryanti. Rumah Hazman kelihatan bersepah, ada banyak daun-daun di depan rumah seperti rumah tinggal. Terubat juga rindu Haryanti apabila dapat lihat rumah Hazman walaupun kekasihnya itu tiada di situ.

Kalau dulu, Haryanti selalu juga curi-curi lalu di situ terutama pagi Ahad. Manalah tahu kalau Hazman ada di depan rumah. Dia pasti rindukan itu semua selepas ini. Kemudian, Haryanti lalu pula di gerai burger. Dilihatnya gerai yang masih bertutup itu. Selepas ini, dia tak dapat lagi lalu dan bermain mata dengan Hazman di situ yang biasanya hampir setiap petang dan malam.

Haryanti kemudiannya ke Kedai Mamak Osman, mengisi perut untuk sarapan pagi. Di situlah dia selalu makan minum dengan Hazman terutamanya sarapan pagi atau makan malam. Kelihatan ramai orang di situ, tapi dirinya keseorangan. Hampir tak pernah dia seorang diri minum di situ, biasanya Hazman atau Noor yang teman. Dulu sebelum datang JB, dia tak pernah langsung minum di kedai mamak. Waktu itu, sebut saja kedai mamak, tekak Haryanti dah naik loya, belum makan lagi.

Dalam kepala Haryanti, roti canai mamak orang kata sedap sebab mamak tu uli tepung dengan bulu tangan lebatnya. Lepas itu dikesat dan direnjis peluh, sebab tu orang ramai makan. Tapi itu dulu, sekarang Haryanti pula peminat roti canai mamak selepas berkawan dengan Hazman. Dia benar-benar rasa berseorangan hari ini. Hatinya meronta-ronta terasa nak SMS Hazman, tapi apalah maknanya. Buah hatinya itu masih sakit dan tak mungkin larat nak membalas SMS.

Haryanti bertolak ke KL selepas itu. Dia menuju ke rumah Nani, sahabat satu universitinya yang tinggal di Gombak. Nani asalnya orang Kluang, tapi terus menetap di Gombak sejak belajar. Semasa memandu, berkali-kali Azizah menelefonnya tapi Haryanti tak suka jawab telefon pada masa begitu. Dalam tengah hari, Haryanti tiba di rumah Nani. Nani agak terkejut menerima kedatangan Haryanti yang membawa banyak beg itu. Selalunya kalau datang bawak diri saja.

Sepanjang setengah hari tu, Haryanti menceritakan segala-galanya kepada Nani. Selama ini pun, Nani dah tahu cerita kisah cinta Haryanti dengan Hazman yang mendapat halangan keluarga itu. Jadi, apabila sahabatnya itu mahu tinggal bersamanya, dia langsung tak kisah. Sebelum ini, Nani duduk bertiga, kalau tambah seorang lagi tak mengapa.

Isninnya, Haryanti melaporkan diri di pejabat barunya. Biasalah hari pertama, suasana masih dingin di antaranya dengan teman-teman baru di situ. Banyak tugas pada hari pertama terutama bidang latihan kepada kakitangan. Itu bukanlah suatu yang membebankan sebab Haryanti sudah biasa dengan tugas sebegitu di JB dulu.

Di JB, Aboi dah mulakan berniaga burger setelah bercakap dengan Pak Din. Hari pertama di gerai burger, banyak soalan terutama daripada pelanggan tetap Hazman. Bila ditanya, Aboi kata Hazman kemalangan dan masih dirawat di kampung. Ramai kawan Hazman melahirkan rasa simpati dan mengharapkan lelaki peramah itu cepat sembuh. Petang itu juga, Pak Din datang untuk ambil kereta Hazman yang dah siap.

“Mana itu Man burger, tak ada mari angkat kereta?” tanya Ah Cai yang kehairanan melihat Pak Din pula yang datang.

“Tauke, Man kemalangan, sekarang kat hospital di kampung.”

“Hah! Mana macam boleh eksiden, itu hari tengok sini baik saja? Patutlah, sudah lama tak bukak itu kedai burger,” kata Ah Cai yang jelas terkejut.

“Man kena pukul, orang jahat pukul sama dia!” kata Pak Din.

“Itu samseng pukul ke? Apa pasal orang baik-baik kena itu macam?” marah Ah Cai.

“Tak tahulah tauke, ini bandar besar susah mahu cakap. Buat baik sama orang pun, orang buat tak baik sama kita,” kata Pak Din, kesal.

Pak Din keluarkan duit RM 1900 seperti dalam resit dan beri pada lelaki itu. Tetapi, Ah Cai tak mahu menerimanya.

“Ini kereta angkat dululah. Nanti Man sudah baik, datang sini bayar. Ini hari gua tak mahu angkat wang,” kata Ah Cai.

Pak Din serba salah. Dia hairan kenapa tauke itu boleh sebaik itu.

“Itu Man burger banyak baik punya orang. Kawan sama saya sudah lama! Gua tak mahu angkat wang ini hari. Ini wang kasi Man beli ubat, kasi baik cepat,” kata Ah Cai lagi.

Pak Din berterima kasih dan kemudian membawa balik kereta itu ke kampung. Teringat pula Pak Din pada Haryanti pemurah dan semudah itu mengeluarkan RM 10,000 tanpa mahukan wangnya kembali. Pak Din terasa bersyukur kepada Allah SWT kerana begitu ramai orang yang mengambil berat terhadap anak sulungnya itu.

Tiga hari kemudian, keadaan Hazman beransur pulih dan sudah boleh bercakap. Hazman dibenarkan pulang ke rumah dan diminta oleh doktor untuk berehat sepenuhnya.

Di pejabat Haryanti pula, gadis itu cuba meneruskan kehidupan seperti biasa. Namun, suatu hari, dia menerima kunjungan mengejut daripada Puan Nisah dan Azizah. Haryanti mula berdebar dengan kunjungan ibu dan kakaknya itu. Soalnya, kenapa mereka datang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience