Chapter 10

Romance Completed 11698

PETANG itu, Hazman mula berniaga lewat sikit sekitar pukul 6.30 petang. Pembantu Hazman, Aboi, dah lama menunggu. Aboi nampak Hazman kurang ceria hari tu. Walau bagaimanapun, dia tetap mesra dengan pelanggan yang datang. Hubungan baik dengan pelanggan itu adalah salah satu daya penarik yang membuatkan perniagaan Hazman berjaya. Sekali fikir, nak saja dia berhenti berniaga burger. Mungkin dia boleh buat bisnes lain yang “hebat” sikit. Jual insuran ke, berniaga jualan langsung ke. Hazman tengok selalunya orang yang kerja macam tu berpakaian kemas. Ke sana ke sini pakai tali leher, kereta pun dahsyat.

Ada sorang kawan Hazman tu buat jualan langsung, berniaga barang kesihatan. Baru tiga bulan buat, dah pakai kereta mewah, dah bergelar jutawan. Tetapi Hazman pelik, nama saja jutawan. Kalau minum di kedai mamak pun, kebanyakannya Hazman yang kena belanja. Jutawan apa macam tu? Itu satu hal. Satu hal lagi, dulu si kawan tu pernah pinjam duit Hazman dalam RM 300. Tak pernah bayar-bayar. Patutnya apabila dah bergelar jutawan, faham-fahamlah nak bayar hutang orang. Entahlah, mungkin jutawan palsu untuk mengaburi mata orang.

Hazman terasa perniagaannya lebih bagus. Dia jual sebiji burger daging dalam RM 1.70, burger ayam RM 1.90 satu. Tolak campur, keuntungan yang dia dapat daripada sebiji burger antara 80 sen hingga seringgit. Kalau kawan Hazman yang jutawan jualan lansung tu, dia pun tak tahu macam mana nak kira untungnya. Sikit-sikit jutawan, sikit-sikit jutawan, naik menyampah pulak! Tapi sebab dia tu jutawan, ramai awek keliling pinggang.

Hazman terasa, nak saja masuk jualan langsung macam tu. Biar orang panggil dia “Man Jutawan”. Bukan apa, perniagaan burger Hazman akan terus jalankan juga secara senyap-senyap. Apa yang penting, nanti bakal pak mentua tanya Hazman kerja apa, dia boleh kata bisnes juta-juta, jutawan Melayu. Kalau macam ‘tu, pasti keluarga

Haryanti tak menolak. Malah tentu mereka akan menyokong 200 peratus pulak!

Malam tu Azizah menelefon adiknya untuk bertanya khabar. Kalau Azizah yang telefon, barulah Haryanti jawab. Kalau adik-beradik yang lain, langsung tak diperdulikan. Hatinya masih sakit.

“Yanti, kakak baru balik dari rumah Abang Kamal ni, bincang pasal kau. Empat orang saja yang ada, emak, Abang Kamal, Abang Fuad dan kakak, yang lain tak ada,” kata Azizah perlahan-lahan.

“Bincang apa, kak?”

“Pasal masa depan kamulah. Kakak rasa elok Yanti berehat dulu buat masa ni, jangan terlalu tertekan sangat. Kakak tahu, Yanti tak suka dengan sikap abang-abang dalam perkara ini,” kata Azizah.

“Berehat? Apa maksud kakak?” Haryanti bertanya, dia mula rasa tak sedap hati.

“Esok sepupu kita, Azmi, akan ke rumah Yanti. Dia nak hantar barang. Barang ni mak yang usahakan,” kata Azizah, kali ini lebih berhati-hati.

“Barang? Barang apa, kak?”

“Ada sebotol air dan gelang untuk kau pakai.”

“Air dan gelang apa ni, kak?” Haryanti mula terasa nak marah. Dia mendesak supaya kakaknya beri jawapan.

“Air dan gelang ni mak dapat dari orang alim. Untuk pendinding kamu kat sana!”

“Apa ni, kak? Jadi semua orang ingat Yanti nak kahwin dengan Mat Burger tu sebab terkena guna-guna? Sampai hati semua orang buat Yanti macam ni?” Haryanti terlalu kecewa. Suaranya sudah mula sebak.

“Yanti, kita ikhtiar dulu. Manalah tahu kalau-kalau kamu...,” kata Azizah kemudian dipotong Yanti.

“Kalau-kalau apa, kak! Hina sangat ke pilihan Yanti sampai semua orang sanggup tuduh dia seburuk itu?”

“Bukan macam tu, Yanti. Kan kita berusaha, kadang-kadang gangguan ini ada pada sesetengah orang terutama wanita,” pujuk Azizah.

“Tak, kak! Beritahu Azmi supaya jangan datang sini. Yanti tak mahu diganggu! Kalau dia datang, Yanti tak mahu terima apa-apa pada dia!” Haryanti mula meninggi suara, dia berasa terlalu marah dengan tuduhan terhadap Hazman itu.

Dia terus memutuskan perbualan itu tanpa sempat Azizah berkata apa-apa lagi. Haryanti menangis teresak-esak sendirian. Dia terasa benar-benar keseorangan. Semua orang dalam keluarganya sedang menentangnya. Pada mulanya dia yakin yang dia boleh mengharapkan Azizah. Namun sekarang, dia yakin yang kakaknya itu juga telah terpengaruh dengan hasutan abang-abangnya. Haryanti terasa tidak mahu berdepan dengan keluarganya lagi. Rakan serumahnya, Noor, risau melihat Haryanti yang tak berhenti menangis itu.

Haryanti membuat keputusan untuk menelefon Hazman yang pada ketika itu sedang sibuk berniaga.

“Man, tolong Man... Yanti tak kena ilmu hitam! Tak, Man. Yanti masih siuman!” Haryanti terus menangis-nangis.

Hazman yang berada di hujung talian terkejut sangat sebab dia langsung tak tahu hujung pangkal kepada Haryanti jadi begitu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience