Chapter 40

Romance Completed 11698

MALAM tu, Hazman dan Aboi berniaga macam biasa. Pelanggan mereka tetap ramai seperti biasa. Dalam jam 10 malam, dia ke kedai mamak tak jauh dari situ sebab dah janji nak jumpa Khalil. Namun, dah dekat 15 minit menunggu, Khalil tak muncul. Hazman hantar SMS pada Khalil, takut kalau-kalau Khalil terlupa. Rupanya Khalil ada kerja dan minta maaf tak dapat jumpa malam tu.

Khalil di pejabat bersama penguat kuasa lain, mengatur perancangan untuk membuat serbuan mengenai kegiatan nikah sindiket. Salah seorang ahli keluarga pengantin perempuan mengadu bahawa akan ada pernikahan di sebuah rumah. Menurut pengadu, jurunikahnya tidak bertauliah dan selepas nikah akan dapat surat nikah Siam. Pengadu tu tak puas hati kerana kenapa perempuan dan bapa sebagai wali boleh setuju buat perkara begitu.

Penguat kuasa dalam 15 orang sudah berkumpul di lokasi, tidak jauh dengan rumah yang diadu. Dua orang penguat kuasa berjaya menyamar sebagai jurugambar dengan bantuan pengadu dan bebas keluar masuk rumah. Perempuan itu umur 19 tahun, sudah mengandung dalam lima bulan. Lelaki pula 26 tahun, masih bujang. Keluarga perempuan termasuk bapanya malu kerana anak perempuannya sudah ditebuk tupai sebelum bernikah. Maka jalan yang diambil adalah dengan bernikah Siam. Oleh kerana kos terlalu mahal nak ke Siam dan masalah lain, maka mereka cadang nak nikah sini saja. Tapi mereka dapat surat nikah Siam.

Pengantin lelaki dan perempuan dah ada kat rumah bersama dalam 20 orang ahli keluarga. Mereka sedang tunggu jurunikah sampai, tak diketahui dari mana. Tak lama kemudian, sebuah kereta sampai ke rumah dan yang keluar itu adalah empat orang lelaki termasuk seorang imam jurunikah. Mendapat isyarat itu, Khalil dan penguat kuasa menghampiri kawasan rumah iaitu rumah teres sederhana rendah di taman itu.

Jurugambar penguat kuasa mengambil gambar jurunikah, pengantin dan sekalian yang hadir dari pelbagai sudut. Nampak gaya macam profesional, orang tengok, bayarannya pasti beratus tu. Majlis akad nikah dah nak mula. Jurunikah bercakap dengan wali dan berbisik untuk bayaran upah nikah dulu. Bapa perempuan menghulurkan sampul surat warna coklat.

“Berapa semua ni?” tanya jurunikah tu.

“Seperti dijanjikan, RM 3000,” kata bapa perempuan tu.

“Kita mulakan akad nikah,” kata jurunikah tu.

Jurunikah tu menghulurkan satu surat dalam sampul dan bapa perempuan buka sampul itu. Itulah dia surat nikah Siam. Sebelum nikah pun, surat nikah dah dapat dulu, lengkap dengan nama pengantin dan lain-lain.

Majlis bermula dengan bapa membaca tulisan yang disediakan jurunikah tu iaitu untuk menyerahkan wakil wali kepada jurunikah. Kemudian jurunikah baca khutbah nikah. Selepas tu, nak mulalah akad nikah. Waktu ini, dua orang penguat kuasa tu macam bersedia dan duduk sebelah jurunikah tu. Pesan Khalil tadi, kalau nak mula akad nikahsaja, sila bertindak. Jurunikah belum lafaz lagi tapi cuba-cuba dulu. Bila selesai cuba-cuba dan dah nak mula, penguat kuasa menepuk bahu jurunikah dan memperkenalkan diri.

Dengan serta merta Khalil dan beberapa orang penguat kuasa masuk. Jurunikah ditangkap dan yang mengejutkan, jurunikah itu adalah orang yang sama yang ditemuinya beberapa hari lepas. Orang itu adalah agen nikah Siam, biasa bawa orang nikah ke Siam. Cuma kali ini, dia nikahkan orang di JB juga sebab orang tu tak nak ke Siam. Turut ditemui dan dirampas adalah duit RM 3,000 dan surat nikah Siam yang sudah lengkap. Lama juga Khalil meneliti surat nikah itu. Rupanya tarikh nikah dalam surat nikah itu diawalkan lapan bulan dari tarikh hari tu. Fahamlah Khalil, mereka nak halalkan perzinaan dan menutup kes mengandung luar nikah itu. Jurunikah dibawa ke balai polis dan ditahan ke dalam lokap.

Pasangan pengantin juga ditahan atas kes nikah sendiket dan persetubuhan luar nikah sehingga mengandung. Keduanya ditahan ke dalam lokap juga. Beberapa orang termasuk wali, saksi dan tuan rumah turut dibawa ke balai polis tetapi diberi jaminan selepas itu, tidak dilokapkan. Tuan rumah itu sebenarnya adalah bapa saudara kepada perempuan bukannya rumah perempuan. Majlis diadakah di situ bertujuan untuk merahsiakan majlis itu. Bagaimanapun, akhirnya mereka tumpas juga di tangan penguat kuasa.

Semua yang ada dalam majlis itu diambil pengenalan diri dan diarahkan hadir ke pejabat untuk membantu siasatan kes. Seorang lelaki tidak membawa kad pengenalan dan Khalil menengking orang itu.

“Apalah kad pengenalan tak ada!”

Lelaki itu terdiam tak kata apa-apa. Orang lain tengok macam pucat. Rupanya lelaki itulah pengadu dalam kes ini. Khalil menengking orang itu sebagai lakonan saja, supaya orang lain tak syak yang dia tu pengadu dalam kes ni. Bukan setakat orang lain tak tahu dia pengadu, penguat kuasa pun tak syak siapa pengadu. Selepas tu, di luar Khalil meminta maaf pada orang tu dan jelaskan, dia tengking sebab nak melindungi pengadu. Lelaki itu tersenyum.

Dalam kereta, Khalil yang satu kereta dengan Razali berbual mengenai kes itu.

“Puas hati saya malam ni. Orang yang kita cari tu dah kena tangkap. Tak sangka juga dia jurunikahnya!”

“Tulah, tuan. Dia guna banyak nama kejap nama tu, kejap nama ni. Nombor telefon pun dia tukar-tukar tapi orang yang sama juga. Saya pun tak sangka dia yang kena tangkap,” kata Razali.

“Saya rasa yang buat kerja ni bukan dia seorang. Kalau dia seorang, takkanlah ramai yang boleh pergi nikah Siam dan Indonesia. Masalahnya orang kita tak mahu buat aduan dan anggap orang macam ni sebagai tempat minta tolong,” kata Khalil dengan kesal.

Dua hari kemudian, kes itu dapat liputan meluas dalam akhbar harian mengenai kejayaan penguat kuasa membenteras sindiket pernikahan itu. Pagi tu, Hazman baca akhbar dan nampak muka Khalil bersama penguat kuasa lain. Dia baca cerita tu dan ada kaitan dengan ceritanya pada Khalil sebelum ni. Dia terus SMS Khalil untuk tahu cerita lanjut.

Ustaz, tahniah berjaya tangkap jurunikah sindiket.

Terima kasih. Malam ni saya telefon, kalau ada masa boleh jumpa.

Malam tu mereka jumpa di kedai
mamak, tempat biasa dalam pukul 11. Khalil cerita tentang kes itu dan memberitahu yang ditangkap itu adalah orang yang sama yang Hazman telefon sebelum ini. Hazman terkejut dan seakan tak percaya.

“Macam mana ustaz tahu tu orang yang sama?”

“Saya dah telefon orang tu lepas kamu kasi nombor telefon hari tu. Orang saya dah jumpa dia dan berbincang. Biasalah, orang saya menyamar buat-buat nak pergi nikah Siam,” jelas Khalil.

“Ustaz tak beritahu saya pun sebelum ni?”

“Kerja macam saya ni tak boleh sebarang-sebarang cerita. Kes belum selesai kita tak boleh cerita, nanti bimbang mengganggu siasatan. Hari ni dah bolehlah cerita, kes pun dah selesai. Dah masuk akhbar pun, biar jadi pengajaran pada semua.”

“Betul, ustaz. Lepas baca akhbar tadi, macam nak gugur jantung saya. Nasib baik saya tak terlibat. Kalau tak, kena tangkap masuk surat khabar malu orang kampung tengok,” kata Hazman.

“Saya rasa mungkin ada orang lain lagi yang buat kerja macam ni, jadi broker nikah Siam. Orang yang kena tangkap ni pun, lepas ni dia bukan serik juga. Tak mustahil lepas ni dia buat kerja ni lagi. Semua duit punya pasal, kerja macam ni lumayan!” kata Khalil.

“Betul, ustaz. Masalahnya orang kita juga nak cari cara macam ni. Kalau agen saja bergerak, kalau orang kita tak nak ikut, tak akan jadi,” ulas Hazman.

“Tengok penguat kuasa nak benteras satu kes macam ni, bukan kerja mudah. Saya dah beberapa lama melayan kes ni, barulah dapat tangkap.”

Topik perbualan mereka banyak pasal nikah siendiket tu. Kemudian Hazman lari topik lain pasal cerita dirinya dan keluarganya.

“Ustaz, hari tu keluarga saya datang rumah. Berlaku sedikit lagi pertengkaran....”

“Janganlah bertengkar lagi, Man. Hormatlah mak ayah.”

“Bukan, ustaz. Adik saya, Syira, bertengkar dengan mak abah pulak. Syira membela Yanti dan mahu saya teruskan perhubungan dengan Yanti. Masalahnya sekarang, hidup saya semakin serba salah. Saya sebenarnya nak bersendirian, tak mahu tekanan. Syira tu tahun ni STPM, saya tak mahu dia rasa kecewa sehingga boleh menjejaskan pelajaran dia.”

“Saya rasa Man perlu elakkan pertengkaran dengan keluarga pasal Yanti ni. Perbincangan biasa pun boleh jadi pertengkaran nanti. Tunggulah lepas-lepas STPM nanti. Betul juga, nanti pelajarannya boleh terjejas.”

“Pasal Yanti, patutkan saya hubungi Yanti buat masa ni?”

Khalil terdiam seolah-olah sedang memikirkan sesuatu, kemudian menjawab dengan serba salah dan tak berapa yakin, “Entahlah. Kamu rasa macam mana?”

“Saya rasa tak nak telefon. Nanti menambah serabut lagi.”

“Kalau itu yang baik untuk kamu, elok kamu berdiam diri dulu sekarang.”

Kemudian Hazman terdiam dan tunduk. Khalil seakan hairan lalu bertanya, “Kenapa, Man?”

“Ustaz... saya dah ada keputusan sekarang ni mengenai hubungan dengan Yanti. Saya dah fikir banyak hari. Walaupun berat, saya perlu buat keputusan sekarang. Saya....”

Hazman kemudian menutup mukanya dengan tangan. Air matanya mengalir. Khalil diam saja, mengetahui betapa sedih dan beratnya untuk Hazman meneruskan kata-kata. Khalil tetap hairan, kenapa Hazman jadi begitu?

“Keputusan apa, Man... ceritalah kalau kamu tak keberatan,” kata Khalil.

Hazman terus menangis lagi, kali ini semakin deras air matanya mengalir. Dalam sebak dia berkata, “Saya... nak putuskan hubungan dengan Yanti!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience